Tuesday, 22 June 2010

Tariqat: Sentiasa dalam Taharah

Setiap murid dan mereka yang berhasrat menuju salik hendaklah sentiasa berada dalam keadaan taharah (wudhu'). Jelasnya, setiap kali dia berhadas, hendaklah bersegera untuk wudhu' lalu solat dua rakaat. Sekiranya dia mempunyai isteri dan bersetubuh, maka hendaklah dia segera mandi janabah pada waktu itu juga supaya dia tidak terus-menerus berada dalam keadaan junub.

Sentiasa mencari jalan untuk kebaktian

Untuk memastikan seseorang itu sentiasa dalam keadaan taharah, maka dia hendaklah mengurangi makan. Orang yang banyak makan akan sering berhadas. Kesannya, akan menyukarkannya untuk mengekalkan diri agar sentiasa dalam taharah. Selain daripada itu, mengurangkan makan juga akan membantunya bangun di waktu tengah malam untuk beribadat.

Sedangkan amalan di tengah malam itu amat-amat dituntut dan digalakkan.

Seseorang murid, hendaklah tidak makan kecuali apabila lapar. Dia tidak akan tidur melainkan apabila mengantuk. Dia tidak berbicara kecuali apabila perlu. Dan dia tidak akan bercampur dengan orang ramai, kecuali dalam percampur-gaulan yang mendatangkan faedah.

Sesiapa yang suka banyak makan, hatinya akan menjadi keras seperti batu - benak. Pada waktu itu segala anggotanya serasa berat dan malas untuk beribadat.

Banyak makan juga akan menarik seseorang itu untuk berbanyak tidur dan banyak cakap. Apabila tidur dan banyak cakap, menjadikan segala kehendak dan cita-citanya sekadar gambaran sahaja (omong-omongan). Ia jauh daripada menjadi hakikat.

Dalam sebuah hadis baginda bersabda; "Tiada satu tempat yang dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya melainkan perut. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya (untuk menahan kelaparan). Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah dibahagi tiga; sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan."


Bersambung... (Memperbanyak yang dianjurkan)

No comments:

Post a Comment