Fikirannya sering melayang entah ke mana. Biar pun mereka tertanya-tanya, tetapi tidak ada sesiapa yang berani bersuara. Mereka cukup faham perangai Azman. Apatah pula selepas keluar dari hospital itu. Dalam keadaan riuh-rendah itu dia masih selesa mengelamun. Fikirannya melayang dibawa ke dunia awang-awangannya.
Pemergian baginda ke langit dibawa Jibril dengan kenderaan bernama 'Buraq'
Dia kembali teringat kata-kata Tuk Su juga. Orang tua itu menceritakan bahawa dengan Buraq Nabi Muhammad saw dibawa naik ke langit dunia. Sampai di langit yang pertama, Jibril meminta izin.
“Siapa gerangan engkau?” kedengaran satu suara bertanya.
“Aku Jibril.”
“Siapa bersamamu?” tanya suara itu pula.
“Muhammad,” sahut Jibril.
“Sudahkah dia diutus?” tanya suara itu lagi.
“Sudah.”
Merekapun dibenarkan masuk lalu bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda menyambut Nabi Muhammad saw serta mendoakannya dengan yang baik-baik.
Dari sana, baginda dimikrajkan naik ke langit kedua. Di situ mereka ditanyakan soalan yang sama sebelum dibenarkan masuk dan bertemu dengan Nabi Yahya a.s. dan Nabi Isa a.s. Baginda berdua menyambut Nabi Muhammad saw dan mendoakannya dengan yang baik-baik.
Seterusnya baginda dimikrajkan naik ke langit ketiga. Di situ Jibril ditanyakan soalan yang sama dan apabila dibenarkan masuk baginda menemui Nabi Yusuf a.s. Baginda dimikrajkan lagi ke langit keempat lalu bertemu dengan Nabi Idris a.s. yang tidak wafat dan telah diangkat oleh Allah swt ke tempat yang tinggi.
Kemudian baginda mikraj ke langit kelima dan apabila dibenarkan masuk baginda bertemu Nabi Harun a.s. Seterusnya pada langit keenam, baginda bertemu Nabi Musa a.s. Kesemua nabi ini menanyakan soalan yang sama. Apabila bertemu mereka mendoakan yang baik-baik untuk baginda.
Apabila tiba ke langit ketujuh, sebelum dibenarkan masuk Jibril tetap ditanyakan soalan yang sama. Sebaik dibenarkan masuk baginda mendapati Nabi Ibrahim a.s. sedang bersandar di Baitul-Makmur. Di situ seramai tujuh puluh ribu malaikat mengunjunginya setiap hari. Setiap kali masuk mereka tidak keluar lagi.
Di sini, Nabi Allah Ibrahim telah berpesan kepada umat Nabi Muhammad saw.
“Syurga itu subur buminya, tawar airnya dan tanahnya mudah tumbuh sementara tanamannya ialah amalan zikir; Subha-naLlah wal-hamdulillah wala-ilaha-illaLlahu-akbar; walahau-la wala-quwwata-illa billahil ‘aliyul ‘azim,” kata Nabi Ibrahim a.s.
Azman cuba juga beramal dengan zikir ini, tetapi ia begitu liat untuk melekat terus di hati dan di bibirnya. Ia selalunya hilang begitu sahaja oleh runtunan keduniaan dan nafsu yang tiada batas. Setiap kali teringat, dia menyambung kembali zikirnya tersebut untuk hilang lagi selepas beberapa ketika.
Dia sedar itu adalah angkara dosa-dosanya yang masih berkerak. Kalau tidak pun mungkin kifarah daripada dosa-dosanya pada masa lalu. Setiap anak Adam a.s. itu melakukan dosa. Jadi sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang segera bertaubat.
Namun zikirnya tetap diteruskan.
Lautan Pasifik yang dilihat dari angkasa lepas
No comments:
Post a Comment