Friday, 4 June 2010

Pengembaraan si Salik Menuju Tuhannya

Berkata Wahab bin Munabbih, bahawasanya Nabi saw bersabda;
Allah swt telah berfirman;

'Innas-sama waati wal-ar dha dho'ufat 'an an-tasa'anii wa wasi'ani qalbu-l-mu'min.' yang bermaksud;

"Sesungguhnya semua petala langit dan bumi akan menjadi sempit untuk merangkul Zat-Ku, akan tetapi Aku mudah untuk dirangkul oleh kalbu seorang mu'min."

Huraiannya;
Agak sukar juga untuk diberikan huraian yang teliti bagi maksud hadis Qudsi ini. Namun maksud ijmalnya (secara ringkas) adalah jelas dan mudah diketahui.

Hati itu memang besar peranannya, meskipun ia hanya seketul daging yang kecil. Dalam pepatah Arab ada mengatakan; "Hati lebih luas daripada sebuah rumah" yang bererti jika rumah yang kecil menampung kedatangan tetamu, tetapi hati tuan rumah berlebih lagi luas penerimaannya - berbesar hati.


Melalui hadis ini, Allah swt menjelaskan bahawa kesemua petala langit dan bumi mustahil dapat menampung Zat-Nya yang Maha Agung itu. Lantaran Zat Allah memang tidak bertempat, sehingga tidak dapat ditampung oleh langit dan bumi, atau selainnya biar betapa luas sekalipun. Zat-Nya yang Maha Mulia juga tidak dapat dijangkau oleh fikiran manusia, sedang hanya Dia saja yang mengetahui akan Zat-Nya sendiri.

Secara tegas, biarpun langit dan bumi begitu luas tidak setanding dengan hati manusia (dari segi saiz dan zat), namun ia masih tidak dapat menampung Zat Allah swt. Namun hati manusia yang sekecil-kecil daging itu mampu menampungnya setelah ia dicucuri dengan iman. Apabila hati itu telah dipenuhi dengan iman kepada Allah swt maka sukalah ia beramal dan bertaqarrub kepada-Nya.

Jika semakin banyak amalan dan taqarrubnya kepada Allah swt, maka semakin hampir dan dekat sekali zatnya (si hamba) akan Zat Khaliqnya sehingga digambarkan oleh sebuah hadis yang lain dengan seseorang yang memandang dengan pemandangan Tuhannya, mendengar dengan pendengaran Tuhannya dan bertindak dengan tindakan Tuhannya.

Kadang-kadang ada orang yang naik dengan mengembara dari tajalli sifat, dan dari sifat kepada af'al dan dengan itu sempurnalah pengembaraannya. Suluk terdiri daripada pengembaraan menuju Allah (Al-Allah), dengan Allah (Billah), dalam Allah (Fillah) dan beserta Allah (Ma'allah). Pengembaraan ini ialah untuk membaiki sesuatu yang lain. Seorang majhub kembali dari dzauk untuk membaiki yang lain. Dalam dzauk itu ia berkeadaan seperti matahari tengahari yang menyebabkan tiada bayang. Sekembalinya, ia seperti matahari jatuh, dan dengan itu kembaranya telah sempurna.

"Pada hari ini telah Kusempurnakan agama kamu untuk kamu dan memenuhkan nikmat-Ku kepada kamu." Al-Maidah: 3

Seorang guru yang telah menyempurnakan pengembaraannya, memulakan pengembaraan itu sekali lagi dengan murud-muridnya. Ia sama seperti biji benih yang telah menjadi pokok dan kemudian menghasilkan biji benih kembali. Atau... seumpama satu titik yang menjadi garis dan bulatan hingga sampai ke titik itu kembali. Ini bukan penjelmaan (transmigration), tetapi ia adalah penzahiran (manifestation) atau tajalli.


Inilah yang dimaksudkan oleh Jalaludin Rumi apabila berliau berkata, "Tujuh ratus tujuh puluh badan telah aku lihat."

Pertama sekali sang guru itu melakukan suluknya sendiri, kemudian beliau bersama lakukan dengan murid-muridnya. Oleh yang demikian dia sendiri akan bertambah sempurna daripada sebelumnya.

Gulshan-i-Raz berkata;
"Cahaya Nabi adalah matahari
Kadang-kadang cahaya itu ternampak dalam Musa, dan kadang dalam Adam.
Masa guru adalah semasa mentari tepat di atas kepala,
Yang bebas dari lindungan dan bayangan.

Inilah sebab dikatakan
Sufi tidak menjadi logam yang tidak bercampur sehinggalah dia telah minum dari sebuah piala.
Pengembaraan yang banyak adalah diperlui untuk yang muda menjadi masak."

"Guru akan mengambil bentuk hati murid dan mencurahkan berkatnya kepada murid itu. Jiwa guru akan mempengaruhi jiwa murid. Ia dinamakan 'Buruz' dan bukan penjelmaan. Sama seperti kita memasang sebuah lampu. Lampu yang pertama itu adalah nur nabi yang dipasang daripada cahaya (nur) Allah."

"Allah cahaya langit dan bumi, misalan cahaya-Nya itu adalah seperti satu lubang yang di dalamnya ada satu lampu, lampu itu di dalam kaca."  An-Nur: 3

Cahaya itu bersinar dalam dalam lampu hati yang terletak dalam ceruk badan. Oleh itu 'banyak' ialah pada sumbu lampu, bukan pada cahayanya. Kenabian bermula daripada Adam a.s. dan menjadi sempurna dalam 'khatim' (penutup segala nabi-nabi), iaitu hakikat Muhammad telah menjalani pusingannya dalam kesemua nabi dan menyempurnakannya dalam 'penutup'.

Wilayat (kewalian) bagaimanapun tetap tinggal dalam dunia dan memulakan pengembaraannya yang kedua. Salik ialah penzahiran (manifestasi) syan (bakat, keupayaan). Dia terkandung dalam syan itu. Semua syan terhad dalam kawasan masing-masing dan tidak boleh memasuki syan yang lain.

Apabila si salik menjadi fana', syan itupun hilang, dan salik itupun menjadi mutlak dan mencapai baqa'. Dalam peringkat ini keupayaannya berkembang, dan diketahuinya zat mutlak. Diketahuinya ilmu mutlak dalam bidang ilmunya sendiri. Ilmu Allah meresap dalam ilmu sufi, seperti yang dikatakan oleh Jalaluddin Rumi itu.

Mula-mula si salik naik dari syan atau nama yang terhad dan itu adalah 'ghayr' dan ia pun bermula dari Zat mutlak. Yang Terhad menjadi Yang Tidak Terhad.

"Langit dan bumi tidak dapat mengandung Aku, tetapi hati orang yang beriman dapat mengandungi Aku," maksud sebuah hadis Qudsi yang lain.

Inilah meresapnya ilmu Allah dalam ilmu sufi. Sufi itu mulanya satu titik air dan menjadi lautan. Fananya diri itu meluaskan keupayaannya. Keupayaan setitik air itu menjadi keupayaan sebuah lautan.

"Jika anda belah hati satu titik air,
Anda akan dapati seratus lautan dalamnya."    
(Gilsyan-i-Raz)

Lautan dalam kapal. Titik air itu binasa dalam dirinya dan kekal dalam lautan.

Bayazid berkata, "Jika arasy, dengan semua sekelilingnya, dalam penjuru hati saya, saya tidak akan sedar berkenaannya.

No comments:

Post a Comment