Saya hanya duduk dalam bilik guru; lebih kepada mendengar dan memerhatikan. Mendengar loghat bahasa yang asing di telinga. Memang banyak perkataan yang langsung tidak difahami. Anehnya, cikgu pun riuh juga dalam bilik guru itu. Walaupun tiga atau empat orang yang bercakap, tetapi lagaknya macam mereka bercakap di hujung kampung. Gaya gedebe pun ada kalau yang lelakinya.
Mata ini tajam memerhatikan sambil menganalisa satu demi satu watak di dalam bilik guru itu. Namun mereka pun baik-baik belaka - tahu menghormati kita sebagai orang luar. Cuma ada satu cikgu itu... dengan loghatnya yang cair lama-kelamaan baru saya sedar dia bukan berasal Kelantan, tetapi dari Parit Yaani, Batu Pahat. Aiiks... orang Johor boleh petah dengan loghat Kelantan! Rupa-rupanya sudah tujuh tahun dia bernikah dengan orang Gunung itu juga.
Yeah... saya masih mencerap pengalaman. Ia pengalaman baru nun jauh di rantauan orang. Kepada siapa tempat untuk mengadu? Namun sebagai lelaki, saya kuat hati dan azam. Ia berselang-seli dengan marah Cikgu Tin yang sesekali datang menerjah. Kenapa dia mesti marah apabila saya menemui seorang kawan yang jauh lebih lama kita kenali?
"I'm not going to fool around...," masih tergiang-giang di telinga. "I'm serious...."
Kemudian, kenapa dia terus menghilang dan mengasingkan diri sebaik tiba di rumahnya? Dia berlagak asing sekali. Dan kesan dek kemarahan yang dilemparkan membuat saya kembali bersikap negatif dan cukup prejudis terhadap perempuan. Sudahlah sebelumnya sewaktu di kolej join dengan pelajar-pelajar lelaki yang anti-perempuan. Lantaran sudah tertanam rasa geli dan menyampah terhadap perempuan yang mengada-ngada; yang mempamerkan gelagat ingin menarik perhatian orang!
Tiada yang sepertinya....
Hanya Watee yang telah merobah segala-galanya, sehingga mengejutkan sekian ramai pelajar. Mereka terperanjat kerana saya sudah pandai pergi 'merendek' di serata tangga bangunan dan di hujung padang. Hanya apabila lewat malam baru kami pulang ke blok asrama masing-masing. Suka ada, boring pun ada. Sebab semua gelagat kena diambil kira demi menjaga hati teman yang baru dikenali. Itupun pengalaman baru juga... susah belaka! Hati di dalam bergelora juga.
Keadaan menjadi sebaliknya apabila berada di tempat baru itu kesan 'marah' Cikgu Tin yang masih membekas. Walaupun saya dari jenis tidak ambil kisah walaupun dimarahi, namun kesannya menjadikan saya prejudis kembali pada setiap yang bernama perempuan atau wanita. Ia termasuk terhadap guru-guru wanita di sekolah baru itu. Untungnya, personaliti mereka baik-baik dan berhemah. Mereka tahu menghormati dan tidak berlebih-lebih ketika berbual. Dan terlebih untungnya kerana kesemua mereka adalah isteri orang belaka.
Sambil itu mata yang nakal itu tetap memerhatikan juga; pada anak-anak murid yang 'jernih' dan dapat menyenangkan mata yang memandang? Jangan terperanjat, rata-rata anak murid perempuan di situ sudah cukup matang dan mula membentuk 'posture' sebagai anak gadis... termasuk sesetengah yang masih di tingkatan satu. Mereka bukan kanak-kanak yang masih berhingus lagi. Keadaan semakin jauh berbeza dengan murid di tingkatan dua, tiga dan semakin terserlah murid di tingkatan empat - sudah layak menjadi 'emak budak'.
Rupa-rupanya sekolah itu masih agak baru menjadikannya cuma ada sehingga tingkatan empat. Itupun tidak banyak kelasnya - dua kelas. Tingkatan tiga ada tiga kelas, tingkatan dua ada empat kelas dan tingkatan satu ada empat kelas juga. Dan sewaktu pagi atau waktu rihat ketika murid-murid berkumpulan sesama mereka di sekitar bangunan sudah ada yang pandai menjeling-jeling mencari tumpuan. Nampak jelas yang mereka itu bersikap mudah mesra.
Aii... kenapalah lambat sangat siapnya jadual waktu? Jemu juga asyik dok terperap di bilik guru tanpa sebarang kerja yang dapat dibuat. Tak sepatah kata yang dapat dicelah. Nak kecek kelate guano? Kita orang Perak... yang boleh dikatakan pekat juga bahasa peghoknya. Ada campur sedikit bahasa orang utara sebab berketurunan dari Sungai Limau Dalam. Emak dan abah tetap bercakap loghat Kedah, tetapi kawan di sekolah dan sekampung kesemuanya orang Perak yang loghatnya 'ate', 'ape ke bende' dan 'mengape'.
Seminggu kemudian, Cikgu Awang Hamat sudah kenalkan saya dengan seorang 'cikgu luar' yang mengajar di sekolah lain. Mereka tinggal serumah tidak jauh dari situ. Itulah Cikgu Azra'e dari Kedah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Jelawat, kira-kira 7 batu dari situ. Melaluinya, saya mula kenali cikgu-cikgu dari luar yang lain.
"Engkau kat sini kena jaga sikit," pesan Cikgu Azra'e sambil menyengih. "Silap-silap nanti kahwin dengan anak murid."
"Aiks... kenapa pula?" saya kehairanan. "Anak murid mana boleh kahwin?"
"Hah... nanti kamu tau la camne," dia mula menyeringai sambil melarikan pandangannya. "Err... aku dah kena. Ada satu pakcik tu datang 'offer' anaknya.
"Dia kata apa tau... senang cikgu nanti; ada orang masak nasi. Ada orang tolong basuh baju. Err... ada orang tolong jaga cikgu. Semua senang," jelas Cikgu Azra'e.
"Abis tu awat hang tak mau terima?" Kami sekejap cakap kamu, sekejap panggil 'hang'.
"Huhh... nak mampuih. Tak tengok Cikgu Seman tu... dah dapat tukar balik ke Batu Pahat pun, dan setahun aje minta tukar balik ke sini."
"Pasei apa?" saya kehairanan.
"Haa... ni la penangan orang Kelantan. Depa tak sama dengan orang kita di sana," jelasnya sambil menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. "Takpe... nanti hang pun akan tau juga. Klu hang kahwin orang sini pun orait juga, kan!"
Azra'e sinis, dalam cara nak mengena.
Tup... tup seminggu kemudian pakcik itu datang lagi menawarkan Azra'e anaknya. Tak payah buat hantaran dan upacara apa-apa. Cukup sekadar menyediakan maskahwin dan jumpa tuk imam nikah. Beres.
Saya terkebil-kebil dibuatnya. Begitu mudah!
Beza umur yang tidak banyak dengan cikgu
No comments:
Post a Comment