Friday, 11 June 2010

Di Rantauan-4: Benarkah Hati Itu Mula Berbunga?

Keesokan harinya, saya cepat-cepat mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Masa cuti kolej walaupun panjang, tetapi disebabkan terlalu mengikut kehendak Cikgu Tin jadi saya pun akan ikut sama pulang dengannya nanti untuk menemankan. Kursusnya cuma lima hari, sedangkan cuti kolej tiga minggu. Ini masalah saya yang paling utama; tidak sampai hati menyentuh perasaan orang - sanggup menjadi lilin untuk membakar diri. Sedangkan sebelum itu bukan Cikgu Tin tidak pernah ke mana-mana dengan keretanya secara berseorangan!

Sudah ditakdirkan untuk tidak menemui orang seperti ini...

Sepatutnya, saya bertegas untuk bercuti agak lama di kampung. Beritahu sahaja kepada cikgu anak dara itu  biar dia pulang dahulu sebaik tamat kursusnya itu. Entah bagaimana hari itu saya boleh mengaku, di mana dia akan singgah untuk mengambil saya di Ipoh pada hari Sabtu. Soalnya, di mana saya akan tinggal untuk tempoh dua minggu lagi itu? Sedangkan kolej masih tutup. Jadi, saya harus mencuri-curi juga untuk pulang ke Beruas.

Maka saya akan mengambil bas GENERAL untuk ke sana. Dari Kampung Kepayang saya boleh naik bas Kinta sahaja untuk sampai ke pekan Ipoh.

"Aii... kenapa kelam-kabut macam kucing jatuh anak je ni?" Pak Tuk Sedewa Raja mula menegur apabila dilihatnya saya sudah melawa.

Dia sedang bersarapan pagi di meja bulat besar di ruang ke dapur. Ada lagi beberapa orang sedara lain sedang duduk-duduk di pangkin. Sementara bersamanya ada dua orang tauke lombong Cina sedang minum.

"Dia sudah mau jadi cikgu," jelas orang tua itu kepada dua orang apek yang tidak putus-putus menyengih itu. "Dia belajar sana manyak musat punya tempat."

"Ya... ya...," akur apek itu. "Ooo... mau jadi cikgu aaa. Manyak babut, kasi ajar itu mudak-mudak kasi pandei."

"Hoo... ini orang manyak pandai lo," pakcik, panggilan biasa saya pada Tuk Sedewa itu mula berkempen. Jual minyak, kata orang. "Sekarang sudah ada nyonya... ati manyak munga."

"Ya ka?" Apek berdua itu terperanjat. "Aiiya... manyak muda sudah mau kawin ka?"

"Taraa laaa. Mana ada mau kahwin lagi?" saya mengelak. Mati aku, bisik dalam hati. Sah kes takkan putus di situ sahaja.

"Yaa... semalam itu nyonya ada angkat dia mali sini," pakcik masih bersemangat nak mengenakan saya. "Mali sana Johor ooo... angkat keleta."

"Oo... itu macam manyak mabut lo. Belum keleja sudah ada keleta," apek seorang yang selalu memekak bila  datang ke situ. Badannya kecil, tetapi suaranya punya la bising. Dari dalam bilik kami sudah boleh dengar suaranya riuh di luar rumah.

"Nanti... saya boleh makan kenduli la," Pak Tuk masih mahu mengenakan saya.

Aduiii, mati aku dibuat dek orang tua ni, rungut hati di dalam. Apek berdua itu masih mengangguk sambil merenung ke atas ke bawah sambil saya mengambil tempat di meja itu - untuk bersarapan sama.

"Nah tekonya," kata orang tua itu sambil menghulurkan teko berisi air kopi. "Haa... tengok tu, cawan belum diterbalikkan... nak tuang camne?"

Saya hanya tersengih. Betul juga... lengong pun ada apabila diperli camtu. Apa tidaknya, saya nak tuang air ke atas bontot cawan yang belum diterbalikkan. Semua orang tersenyum.

"Haa... tu la, orang kata, tak ngaku. Sah dah rosak cikgu ni kena penyakit angau," pakcik membebel sambil memanggil isterinya. "Teh, cuba mai tengok anak mike ni."

Berbirat muka saya. Malu. namun, itulah asam garam kami di rumah itu yang mana saya sering menjadi mangsa. Itupun saya masih bernasib baik. Jika ada sama tuk penghulu, hah lagi haru. Tak putus-putuslah saya asyik diperli dan dikenakan. Dan jangan terperanjat, tuk penghulu pun ada dua anak dara lawa yang depa dok kenen-kenen sejak lama. Cuma saya tak berani sebab isteri tuk penghulu selalu serius. Kedua-dua anak daranya rajin bertandang ke situ mengikut ibu mereka.

"Ni apa ke heinyer... ada janji dengan cikgu tu ke?" pakcik masih belum reda sambil menghirup kopi dari dalam cawannya. "Ada dating ke?"

"Isyy... dating apenyer? Dia tu cikgu, teman ni baru masuk kolej nak jadi cikgu," saya bersuara untuk cuba membela diri. "Err... cadangnya nak balik Beruas."

"Aaa... ingatkan nak pi dating kat taman Dato' Seenivasagam tu," pakcik bersuara lembut. "Ater karang boleh la ikut sekali... awak pun nak ke Ipoh juga ni. Ada mesyuarat dengan Uncle Azumu."

Saya mengangguk. Ada can naik Holden Kingswood, heh! Pakcik akan hantar saya sampai ke stesen bas. Cantik. Baik hati orang tua ni. Dan begitulah selalunya dia... ada sahaja hal yang nak dikenakan buat memeriahkan suasana di rumah itu. Untung juga ada apek berdua itu. Jika tidak sah Kak Yang pun akan ikut sama metor dok perli, apatah pula apa bila dia sendiri melihat ada orang pompuan lain yang menghantar saya ke situ. Namun pada pagi itu dia sedang sibuk di dapur bersama ibunya. Sepupunya, bersama opah pun turut ada bersama.

Jadi, pada hari itu saya memulakan cuti di kampung. Jangan terperanjat, saya memang tidak beritahu Cikgu Tin tentang kampung saya. Padanya, tentu dia berasakan bahawa Tuk Sedewa itu adalah ayah saya; anak seorang tauke lombong yang kaya di seluruh bandar Ipoh. Ewah. Ya la... memang kami pun tidak banyak bercerita kisah peribadi lantaran hubungan kami pun bukannya rapat setara mana pun. Cuma biasa keluar tengok wayang dan melepak di Pantai Lido. Pastu bersama dia naik kereta balik ke Ipoh menemaninya kerana berkursus di Kuala Kangsar.

Nota:  Maaf, ada sahabat yang menegur gambar LUCAH!
Aneh ya... camne boleh berkelahi dengan perempuan?

Di sepanjang perjalanan dalam bas fikiran saya asyik menerawang; banyaknya berkait dengan kisah hubungan kami. Benak asyik berkelana mengenai hubungan yang dikira sebagai baru pertama kali berteman rapat dengan seorang yang bernama perempuan. Sebelumnya, ketika di sekolah - saya asyik berkelahi dengan kawan-kawan sekelas dari kalangan perempuan. Puncanya, sebab mereka mencuri dua baris kerusi meja yang kami angkut dari tingkat bawah sekolah sebaik penggal pertama bermula.

Ya la... selepas perbarisan memang la murid perempuan yang jalan dahulu. Depa yang masuk kelas dahulu dan terus duduk di kerusi dan meja yang telah kami siapkan sejak awal. Hasilnya, sepanjang dua tahun itu kami bermusuhan. Ketika di kolej pun oleh kerana saya sibuk dengan pelbagai persatuan, termasuk menjadi pengerusi pilihanraya perwakilan pelajar, jadi masa untuk 'merendek' itu memang hampir tidak ada. Saya jadi tidak seperti pelatih-pelatih yang lain.

Makwe Segamat? Itupun mungkin secara kebetulan kami dipertemukan di malam akhir minggu orientasi. Saya berpasangan dengannya untuk membuka riben 'freshie' yang terikat di kepala dan lehernya. Kemudian, acara kemuncaknya semua pasangan dikehendaki menari mengikut rentak beberapa lagu yang dimainkan. Jadi, mungkin kesan kami berpasangan buat beberapa jam itu menimbulkan keserasian untuk terus berkawan selepas itu.

Itupun menimbulkan keributan juga, sebab sebelumnya saya terlibat dengan geng-geng pelatih lelaki yang anti-perempuan (anti lagi!). Tup... tup selepas minggu orientasi satu kolej nampak kami berdua terus 'melekat'. Cuma dua bulan selepas itu, 'makwe' meneruskan pengajiannya di Universiti Malaya apabila dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke sana.

Dan dalam kemurungan itu, apabila pergi latihan mengajar di Masai maka saya bertemu dengan Cikgu Tin yang sering membawa saya dan kawan-kawan keluar. Itupun tidak lama apabila kemudiannya tinggal saya seorang sahaja yang tinggal bersamanya pergi menonton wayang atau 'merendek' di Pantai Lido.

Jadi, dalam hati itu turut berkira-kira, seandainya hubungan kami berterusan... camne? Manalah tau kan? Bukan apa... faktor umur yang agak jauh berbeza. Kemudian, 'makwe' itu pula camne? Namun ia tidak putus di situ. Ia terus tergantung tanpa rumusan.

Dan saya menghabiskan cuti yang paling pendek bersama ayah dan ibu. Keadaan itu sehingga menimbulkan kehairanan di riak air muka mereka berdua. Namun saya tidak cakap apa-apa. Hanya mereka yang tertanya-tanya. Cuma saya beritahu kena balik cepat ke kolej! Atas apa sebab, saya tidak cakap.

Sedih juga kerana saya telah berbohong hanya disebabkan oleh seorang yang bernama 'perempuan'!

No comments:

Post a Comment