Berkata Usman bin Affan r.a bahawa Rasulullah saw telah bersabda; Allah swt berfirman;
"Apabila hamba-Ku mencapai usia 40 tahun, Aku jauhkan daripadanya tiga macam bencana, iaitu gila, kusta dan sopak. Dan apabila dia mencapai usia 50 tahun, Aku akan menghisabnya dengan hisab yang ringan. Dan apabila dia mencapai usia 60 tahun, Aku akan dorongkannya supaya suka bertaubat. Dan apabila dia mencapai usia 70 tahun, Aku akan jadikannya dicintai oleh para malaikat. Dan apabila dia mencapai usia 80 tahun, Aku akan catatkan kebajikannya semata-mata, dan Aku akan tutup mata terhadap kesalahan-kesalahannya.
"Dan apabila dia mencapai usia 90 tahun, akan berkatalah para malaikat: Orang ini sebagai tawanan Allah di bumi-Nya, maka diampunkanlah segala dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian; dan dibenarkan dia mensyafaatkan. Dan apabila dia mencapai usia tua ganyut, Allah mencatatkan baginya semua pahala amalan yang pernah dilakukan sewaktu sihatnya dahulu, dan kalau dia melakukan kesalahan, tiadalah dicatatkan ke atasnya lagi." Riwayat at-Termidzi.
Huraiannya;
Setiap manusia yang hidup pasti akan mati. Namun jangka matinya itu tiadalah sesiapa pun yang tahu, melainkan Allah swt. Oleh sebab itu ada kalanya seorang pesakit yang tersangat teruk, sampai ke peringkat doktor sendiri pun berputus-asa namun dia sembuh serta dipanjangkan Allah usianya dan dapat hidup bertahun-tahun lagi selepas itu. Demikian sebaliknya pula.
Hadis ini menerangkan tentang peringkat usia manusia, dan keadaannya di sisi Allah swt. Akan tetapi khitab, iaitu bicara ini tidaklah umum melainkan ditujukan kepada orang-orang yang dikategorikan sebagai 'Hamba-Ku'. Untuk mendapatkan pangkat ini, seseorang itu mestilah mukmin yang penuh ketaqwaannya terhadap Allah swt; mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Kaum Uighur, di antara mereka yang paling awal menerima Islam
Hadis ini juga membawa bisyarah, iaitu sebuah berita gembira kepada manusia yang mendapat kehormatan sebagai 'Hamba-Ku' atau hamba Allah swt di mana dia akan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah swt setiap usianya meningkat - bermula dari usia 40 tahun ke atas. Ia merupakan satu kurnia yang cukup istimewa, atau ia satu jaminan yang amat menggembirakan.
i) Apabila sampai ke usia 40 tahun, Allah selamatkan seseorang itu daripada sakit kronik; gila, kusta dan sopak.
ii) Apabila sampai ke usia 50 tahun, Allah akan menghisabnya dengan hisab yang ringan (apabila matinya nanti), yakni banyak tolak-ansur dan mungkin juga Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang kecil.
iii) Apabila sampai ke usia 60 tahun, Allah bukakan pintu hatinya untuk gemar bertaubat dan menggandakan amalan-amalan kebajikannya. Kebaktiannya menjadi lebih nyata dan lebih banyak daripada kerja yang sia-sia - lantaran fikirannya telah lebih terarah kepada menuju mati.
iv) Apabila sampai ke usia 70 tahun, tentulah dia sudah menjadi seorang yang soleh dan jiwanya telah semakin hari semakin suci sehingga dia dikasihi oleh sekelian para malaikat. Hasilnya, mereka akan mendoakan agar Allah swt mengampunkan segala dosa dan merahmatinya pada baki umur yang masih tinggal.
v) Apabila sampai ke usia 80 tahun, Allah swt tidak akan menghitung lagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan, sebaliknya hanya kebajikan sahaja yang diambil kira untuk dicatatkan.
vi) Apabila sampai ke usia 90 tahun, apa lagi yang tinggal buat dirinya tentang dunia ini, selain ingatannya asyik tertumpu kepada mati yang sedang ditungguinya untuk bersegera kembali menemui Tuhannya. Tenaganya sudah lemah, fikirannya buntu sementara pandangan dan pendengaran pun sudah tidak jelas lagi.
Pada waktu itu dia sudah menjadi tawanan Allah swt di bumi ini. Oleh itu kesemua dosanya sama ada yang terdahulu atau yang terkemudian diampunkan. Di samping itu dia diberikan hak untuk memberikan syafaat pada hari kiamat. Itulah pangkat yang paling tinggi pernah diberikan Allah swt kepada seorang hamba-Nya.
vii) Apabila sampai ke usia melebihi 90 tahun, atau di usia tua ganyut maka diangkat qalam daripadanya apabila berkemungkinan dia sudah nyanyuk dan jadi seperti kanak-kanak kecil. Sudah tiada apa lagi yang akan diperhitungkan ke atasnya.
Allah hanya akan mencatatkan baginya semua pahala amalan yang pernah dilakukan sewaktu sihatnya dahulu. Kalau pun dia melakukan maksiat dosa dan kesalahan, sudah tidak dikira lagi.
Unjuran hadis ini seolah-olah mengajak kita memerhatikan peringkat-peringkat umur ini sambil merenungkan diri kita sesudah itu - berada di peringkat umur yang mana sekarang? Apakah kehidupan kita menepati apa yang dijangkakan oleh hadis berkenaan? Jika tidak, bersegeralah kita mengubah sikap dan perjalanan hidup kita supaya tergolong di kalangan hamba-hamba Allah yang diberikan penghormatan sebagai 'Hamba-Ku' itu. Dengan harapan kita akan memperoleh janji Allah seeperti yang diesbutkan itu. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment