Monday, 7 June 2010

Tariqat: Memelihara Hati

Setiap orang harus berusaha untuk memelihara hatinya daripada was-was, cita-cita yang kosong, dan lintasan fikiran yang kotor. Pintu hatinya harus dibentengi dengan dinding untuk mengawasi setiap yang datang menghampiri. Lantaran jika hati itu berjaya dimasuki oleh gejala-gejala yang tersebut nescaya akan rosaklah hati itu. Apabila ia rosak maka sukarlah untuk mengeluarkan penyakit yang berselaput di dalamnya.

Oleh itu sesiapa jua harus sentiasa berusaha untuk membersihkan hatinya yang menjadi tempat tumpuan perhatian Tuhan. Tujuannya, agar hati itu tidak cenderung kepada tuntutan hawa nafsu dan syahwat keduniaan semata-mata.

Seseorang yang menjalani tasauf harus memelihara hatinya daripada sifat-sifat dendam, kesumat, hasad dan dengki serta tipu dan belit terhadap kaum mukmin yang lain. Jangan sekali-kali mengamalkan sikap berburuk sangka terhadap sesiapa pun di kalangan orang mukmin. Sedangkan hati itu harus dipandu untuk menjadi penasihat kepada kaum mukmin, dengan bersifat pengasih dan kasihan belas. Dia harus sering bersangka baik terhadap semua orang. Andaikan segala kebaikan yang disukai oleh dirinya hendaklah disukai pula untuk orang lain. Demikian sebaliknya, segala keburukan yang dibenci untuk dirinya sendiri harus dielakkan daripada menjadi kebencian orang lain pula.

Kecantikan itu adalah anugerah yang layak untuk disyukuri

Kita perlu ingat, bahawa hati itu mempunyai pelbagai penyakit yang lebih berat, lebih buruk dan lebih busuk daripada maksiat pancaindera. Hati yang berpenyakit tidak sesuai sama sekali untuk menerima ma'rifatullah (pengenalan oleh Allah) dan kecintaan-Nya. Jadi ia perlu dibersihkan daripada segala penyakit. Di antara penyakit hati yang amat membahayakan ialah sifat-sifat membesarkan diri atau bongkak, riya' atau menunjuk-nunjuk dan hasad-dengki.

Sifat membesarkan diri itu menandakan tuan punya diri itu seorang yang kurang akal, jahil dan bodoh. Bagaimana dia boleh membesarkan dirinya, sedangkan dia tahu bahawa dirinya itupun dicipta daripada setitis air yang kotor. Kemudian tidak lama selepas itu dia akan mati dan tubuh badannya yang lawa dan sasa itu menjadi bangkai nan busuk kohong!

Jika dia berasakan dirinya cantik dan hidupnya senang dan mewah, bukankah semua itu ciptaan dan kemurahan Tuhan; di mana dia sendiri tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam qudrat Allah, dan tidak mempunyai usaha dan keupayaan untuk memperolehinya jika tidak dengan kehendak takdir Tuhan. Tidakkah dia berasa bimbang, jika meninggi diri terhadap hamba-hamba Tuhan dengan apa yang telah dikurniakan kelebihan-Nya kelak dirampas semula berpunca daripada kelakuannya yang buruk dan cuba menandingi Tuhan dalam sifat kibriya'-Nya. Bukankah sifat kebesaran itu merupakan sifat Allah yang Maha Agung dan Maha tinggi?

Sifat riya' menunjukkan bahawa orang yang suka bersikap demikian, menunjukkan hatinya kosong daripada sifat suka membesarkan Allah dan mengagungkan-Nya. Lantaran kesemua amal yang dibuat hanya pura-pura dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Dia seolah-olah tidak puas hati jika amal yang dikerjakan itu hanya diketahui oleh Tuhan Rabbul-'alamin saja.

Orang yang beramal soleh, sedang dia menuntut agar amalannya itu diketahui ramai, dengan tujuan mendapat penghormatan atau balasan anugerah jelas menunjukkan dia riya', jahil dan hanya mengejar dunia. Sebab orang yang zahid, tetap tidak akan menjual amal akhiratnya dengan dunia, meskipun orang ramai datang memberikan penghormatan dan mencurahkan harta kekayaan. Dia akan menolaknya, malah membenci dengan sepenuh hati. Lantaran ramai orang yang riya' itu memancing dunia dengan amal akhiratnya sebagai umpan. Demikian jahilnya manusia seperti ini.

Jika ada orang yang tidak mampu berzuhud di dunia, maka hendaklah dia menuntut akan dunia itu daripada Pemiliknya sendiri, iaitu Allah swt. Sebab hati manusia itu berada di dalam genggaman Tuhan. Dialah sahaja yang boleh menggerakkan hati manusia agar menurut kehendak-Nya untuk membantu sesiapa pun yang menujukan harapan kepada-Nya.

Sifat hasad jelas menentang kekuasaan Allah swt dengan membantah qudrat-Nya dalam urusan kerajaan-Nya. Jika Allah mengurniakan nikmat kepada sesetengah hamba-Nya, tentulah jelas bahawa Dia yang berkehendakkan sedemikian. Dia yang memilih dan tiada sesiapa pun yang memaksa-Nya. Jika seseorang hamba memilih sesuatu yang bertentangan dengan apa yang dipilih oleh tuannya, nescaya sang hamba itu telah berlaku biadab terhadap tuannya itu. Dan layaklah dia menerima kemurkaan-Nya.

Ada orang yang terpesona dengan apa yang dimiliki, sedangkan  
ia cuma tanda bagi orang yang bebal dan pendek akal!

Ada kala hasad dengki itu berlaku dalam urusan dunia, seperti mencari pangkat dan mengejar harta kekayaan. Pada hal harta dan pangkat itu adalah terlebih kecil dan lebih hina daripada ia yang patut didengkikan. Sepatutnya, kita berasa belas kasihan pula terhadap mereka yang telah dibencanakan Allah dengan cara mendapat pangkat dan kekayaan itu. Malah sebaliknya, berasa terima kasih kerana telah menyelamatkan diri kita daripadanya.

Terkadang-kadang ada juga hasad dengki itu berlaku dalam urusan akhirat jua, seperti dalam mencari ilmu dan berlumba-lumba dalam membuat kebajikan. Adalah tidak baik bagi seseorang untuk memeram dengki terhadap teman lain yang bersaingan dalam sesuatu urusan. Dia sepatutnya tidak berdengki terhadap teman yang pernah membantunya, sedangkan dia harus berbangga dengan mempunyai ramai kenalan handai dan taulan.

Seseorang murid yang menjalani ilmu tasauf, sepatutnya mencintai saudaranya di dalam hati serta berusaha mengumpulkan orang ramai agar menuju ke jalan Allah, terutama dalam mentaati-Nya. Dia tidak harus berasa dengki sekiranya teman itu agak terkehadapan daripada apa yang dapat dilakukannya sendiri. Dia harus sedar bahawa itu semua adalah rezeki dan kurnia daripada Allah. Dia sahaja yang boleh mengkhususkan segala rahmat-Nya kepada sesiapa sahaja yang diinginkan.

Sebenarnya, ada banyak lagi sifat akhlak yang tercela. Cuma pokok persoalannya ialah soal penyakit yang cintakan dunia. Cintakan dunia itu adalah pokok kepada segala bencana. Ada sebuah hadis meriwayatkan;

"Jika hati terselamat daripada penyakit cintakan dunia, nescaya ia menjadi putih dan bersih, baik dan bercahaya; dan ketika itu sesuailah ia untk menerima limpahan cahaya daripada Allah dan mudahlah baginya untuk menyingkap segala rahsia Ketuhanan."

No comments:

Post a Comment