Wednesday, 16 June 2010

Kesyumulan Ilmu Tasauf

Di kalangan kaum sufi, sebenarnya terdapat juga orang-orang yang sebenarnya bukan sufi. Mungkin ada yang benar, tetapi mereka tidak sampai ke tahap yang sepatutnya, sama ada kerana sesuatu gangguan atau tiada rahmat Ilahi buat dirinya. Atau ada yang sengaja masuk ke alam sufi kerana ingin mengacau.

Ia disebabkan orang-orang munafiq sudah berada di segenap ceruk dan bidang agama termasuk alam tasauf yang tersangat halus itu. Ia menjadi satu lapangan hidup yang cukup baik untuk menjadi pengacau agama. Jika ini berlaku maka mereka inilah orang-orang sufi yang perkataan dan amalannya bukan sufi. Malah tidak sesuai langsung dengan jalan-jalan yang telah ditempuh oleh ulama sufi.

Biar hebat setara mana pun seseorang yang mengaku dirinya sufi, syarat mutlak untuk menilai kebenaran mereka ataupun pendustaan yang cuba disembunyikan ialah; Seharusnya jangan ada satu pun daripada perbuatan mereka, atau perkataan mereka yang keluar menyalahi zahir syariat Islam! Jika ada, mereka itu jelas bukan ahli sufi.

Jika pun berlaku sesuatu peristiwa yang menghairankan, menyalahi adat, luar biasa itu tandanya bukan keramat, tetapi istidraj - keizinan Allah yang berpunca bukan kerana keredhaan-Nya. Demikian pesanan daripada imam besar ahli sufi, iaitu Muhyiddin Ibnu Arabi.

Bertindak meninggalkan segala kemewahan hidup; tinggal di kawasan
Pergunungan Hindukush yang ekstrim cuaca sejuk-panas pada malam dan siangnya
bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui oleh kalangan fuqaha.

Bagi tasauf yang hakiki, mereka tidak mengakui ulama-ulama yang tidak beramal dengan ilmunya. Mereka tidak menyukai kalangan fuqaha yang kurang ibadatnya. Kalau sekadar banyak-kurang ibadatnya maka itu tidaklah sampai mencela akan kefaqihan, tetapi tarafnya dikira sebagai kurang baik.

Namun kaum sufi berusaha agar setiap manusia itu pada setiap waktu mesti bertambah ibadatnya dan cintanya pada Allah. Apa jalannya, bagi kaum sufi mereka sudah mempelajarinya dan telah pun melaksanakannya secara terus-menerus. Selalunya, ini masalah yang sering berlaku di mana kaum fuqaha terus menyerang dan mencaci.

Namun begitu pada imam-imam fuqaha atau faqih yang benar-benar berilmu tidak pula bersikap demikian terhadap kaum sufi. Contoh terbaik ialah imam besar asy-Syafie dan Ahmad bin Hanbal ikut bermuzakarah melalui surat dengan imam-imam sufi yang ada pada zaman mereka. Tidak pun terkeluar daripada mulut mereka cacian atau sesuatu yang tidak sepatutnya.

Dengan kesediaan bermuzakarah dan memberikan penghargaan oleh kedua-dua tokoh berkenaan, menandakan bahawa kedudukan ilmu tasauf adalah baik dan mulia. Jadi, sekiranya berlaku juga tentangan kaum fuqaha yang terkemudian terhadap ilmu tasauf, berkemungkinan disebabkan mereka itu kekurangan ilmu, atau disebabkan ilmu tasauf yang dibawa oleh sekelian ahli sufi itu menyeleweng seperti yang biasa berlaku.

Setiap serangan atau tohmahan terhadap ilmu tasauf mestilah dibuat melalui pemerhatian dan penyelidikan yang rapi. Pada prinsipnya, ilmu ini merupakan ilmu yang berasal daripada perbuatan dan perkataan Nabi saw di kalangan para sahabat. Ia adalah intisari daripada kelakuan baginda.

No comments:

Post a Comment