Itupun takpe, selepas beberapa hari saya boleh kembali saja ke Beruas menemui ibu dan ayah sementara Cikgu Tin menamatkan kursus musim cutinya di Maktab Melayu yang terletak di bandar diraja itu - raja koboi! Cuma tu la... Cikgu Tin agak lewat bertolak kerana dia perlu siapkan kerja sekolah, kemudian kursusnya cuma akan bermula pada hari Isnin. Sedangkan kami di Johor - hari Khamis sudah mulai cuti.
Pun satu masalah... di mana pula saya nak tinggal buat sementara? Saya agak bernasib baik sebab si Haili budak Sarawak itu tidak pulang bercuti ke kampungnya. Jadi, ada le teman untuk tinggal di kolej yang menggerunkan itu juga. Saya tau le sebab ada di beberapa penjuru asrama keadaan selalu meremangkan bulu tengkuk, terutama di waktu malam!
Yeah... pagi Sabtu kami bertolak dari JB. Cikgu Tin yang datang ambil di kolej, dan er... ia mula menjadi perhatian pakcik jaga, pekerja-pekerja am dan kawan-kawan juga. Sebab semua orang tau saya tidak pernah ada teman wanita. Tup... tup ada satu wanita pula yang datang ambil di asrama.
Ini pun dihubung-kait dengan gelagat beberapa orang pelatih perempuan yang selalu ada 'orang luar' datang ambil. Mereka dari kalangan pelatih yang agak sosial, terutama budak KL ataupun budak JB. Sudah tentu askar dari Kem Majidee yang berpangkat Leftenan - ada kereta. Apa yang depa buat tak siapa yang tau... pun mungkin macam saya juga kot; sekadar makan kuaci dan kacang goreng sambil menikmati keindahan pulau di seberang tambak!
Ok la... lantak la apa orang nak kata. Cikgu Tin pun nampak ok saja. Cuma tu la... saya tengok punya la banyak bekal makanan ringan yang dia bawa. Ada kacang. Ada asam - seba mak nenek. Ada biskut wafer, biskut, air minuman botol (minuman dalam tin belum ada lagi masa tu). Rambutan, laici rebus, buah epal dan lai pun ada. Bagus. Memang tak kebulur saya dalam perjalanan itu.
Ia tidak habis di situ rupa-rupanya. Dengan benda-benda itu semua, membuatkan saya kena berlakon jadi Romeo yang terpaksa menyuapkan si Juliet. Apa tidaknya, Cikgu Tin yang memandu kereta dan sekejap-kejap dia nakkan rambutan, maka saya la yang kena kopekkan kulitnya dan menyuapkan ke mulut beliau. Aduss.... Siap ada hilai tawa pula sebab - ya la menyuapkan orang makan ketika sedang memandu!
Nota: Maaf, ada sahabat yang menegur gambar LUCAH!
Hati siapakah yang masih berbunga?
Apa pun tak pe la... sebab saya takde kerja apa-apa selain daripada melayaninya berbual dan makan juga.
Pun dia masih tidak lekang dengan kisah sakit di ari-ari pada setiap bulan! Sakit itu akan hilang setelah dia melahirkan. Anehnya, sudahlah saya tidak bertanya lebih lanjut - dia sendiri pun tidak menceritakannya secara lebih panjang. Cuma kisahnya, sakit di ari-ari dan akan sembuh apabila melahirkan. Ah, malas la nak fikir. Kalau difikirkan pun saya takkan sampai ke situ capaiannya. Anak muda 20 tahun yang masih belum mahu fikirkan soal-soal yang serius pasal orang pompuan!
Namun tu la... orang JB ni memang sosial dan berani juga. Tidak terkecuali dengan cikgu ni. Dia cuma agak bersopan bila ke sekolah. Apabila bersama saya, corak dan ragamnya agak lain macam. Dia suka sekali memakai baju nipis berkolar yang ada bunga halus warna kuning lembut atau cokelat muda. Ada butang. Dan yang jahatnya, dia mesti lekangkan butang yang di atas sekali; menjadikan kolarnya yang sedia luas itu jadi lebih terdedah lagi.
Namun pada pandangan orang-orang di Johor Baru, takde siapa yang peduli? Tudung kepala? Sorry la.
Cuma saya agak susah hati jika keadaan masih begitu sehingga kami tiba di Ipoh; singgah di rumah ayah angkat si tauke lombong yang kuat mengusik itu. Keadaan akan jadi lebih parah jika dilihatnya gelagat dan cara berpakaian si cikgu itu.
"Habis la kamu... kena balun dek orang pompuan!" teriaknya kuat-kuat dari dapur.
Itu jangkaan saya. Dan memang begitu caranya dengan anak-anak sedaranya yang lain pun. Ia disebabkan mulutnya riuh dan gemar bergurau. Jadi, dalam hati itu amat mengharap agar jangan dia ada di rumah sewaktu kami tiba. Lagipun, dia selalunya pergi uruskan lombongnya di Kampung Tanjung dan Keramat Pulai yang terletak di jalan menghala ke Cameron Highlands sekarang ini. Kalau basuh palung, lagi la lambat dia balik. Jika tidak pun mungkin dia ada pertemuan dengan tauke lombong Cina yang kecil-kecil di pekan Ipoh. Jadi, saya akan selamat.
Apa pun kami masih terus gembira. Cikgu Tin pun bawa kereta tidak la laju - 80-100kph/jam saja. Jadi untuk menghilangkan lenguh di sepanjang jalan itu kami singgah makan di Ayer Itam sambil merayau melihat pasu. Sambil merayau itu, Cikgu Tin cam nak bermanja saja... jalan dekat-dekat, berkelit dekat saya sambil memegang bekas jeruk mempelam di tangannya. Kami makan sama-sama. Happy macam orang bercinta.
Cuma yang tak sedap tu... bila ada juga mata nakal yang menjeling. Mereka seakan-akan tidak percaya; seorang anak muda bermesra dengan cikgu perempuan yang sudah agak berumur! Tak tau la..., tapi begitu la rasanya.
Di pekan Gemas pun kami singgah. Makan ringan-ringan... mi. Tentu akan ada yang tertanya-tanya kenapa kami mesti singgah di pekan Gemas! Yeah... untuk makluman, pada masa itu lebuhraya belum ada lagi, jadi kami terpaksa lalu ikut jalan lama yang sibuk dengan kenderaan berpusu-pusu. Jalan yang banyak selekoh yang biasa terganggu dek lori dan bas yang bergerak perlahan.
Kami turut singgah di Seremban, Rawang, Bidor dan kira-kira jam 5.00 petang kami pun tiba di rumah ayah angkat itu di Kg Kepayang dekat Simpang Pulai. Cikgu Tin ikut sama turun untuk singgah sebentar berbual dengan ibu angkat yang 'sporting' itu. Nasib agak baik sebab ayah angkat tu takde. Menurut kata Mak Tuk, suaminya pergi ke Ipoh.
"Tunggu le kejap... nanti balik le dianyer...," kata orang tua itu pada Cikgu Tin.
"Err...takpe le makcik, ni pun nak kena cepat sebab tempoh tutup daftar nama tu sampai 6.30 aje," jawab Cikgu Tin. Malu-malu pula, aih!
Saya cepat saja turunkan beg dari kereta terus simpan dalam bilik. Kemudian tak lama lepas itu Cikgu Tin meminta diri. Dia kena perlu segera sampai ke MCKK sebelum jam 6.30 petang.
"Err... nanti ari Sabtu I singgah amik you kat sini," kata Cikgu Tin dari dalam kereta sebelum dia berlalu pergi.
Ibu angkat turut berada di depan pintu melambainya pergi. Anaknya, yang kami panggil Kak Yang cuma memerhatikan saja dari dapur. Dia sengaja menyibukkan diri berkemas ketika Cikgu Tin singgah.
Nota: Maaf, ada sahabat yang menegur gambar LUCAH!
Ni bukannya Kak Yang tu...
Aduh.... mati saya dibuatnya nanti. Sah riuh satu rumah tu apabila kisah ini sampai ke telinga Tuk Sedewa Raja - ayah angkat teman itu. Kemudian mereka akan jaja kepada sesiapa juga yang berkunjung ke rumah. Maklum sahaja la rumah Orang Besar negeri, kemudian tauke lombong bijih yang terkenal.
"Ye le mak oii.... orang yang berjalan jauh; dah jumpa macam-macam. Gitu la," si Kak Yang pula mengusik. Laju sahaja dia menyapu di bahagian dapur dekat pangkin tempat kami sering melepak.
Saya hanya mampu menjeling tajam. Malu juga rasanya... cam le saya ni jahat sangat.
"Haaa.... kalau marah tu betul la mak oiii!" Kak Yang masih belum puas hati.
"Alaaa... dia yang ajak, teman ikut aje la," saya cuba membela diri.
"Alaa... kalau ya pun apa salahnya? Cikgu tu pun ada kereta," Mak Tuk masih ingin mengusik. "Dia pun baik orangnya... padan sangat le tu."
"Haduiii...," saya mengeluh sambil melepaskan buntut di pangkin dekat tempat kami selalu berkumpul, dekat meja bulat menghala dapur. Padan ke dengan cikgu yang lapan tahun lebih tua itu? Pastu orang JB pulak... sosialnya macam nak mampuih! Teringat saya akan seorang penyanyi satu program realiti yang sudah 'terkena'; kena kahwin dengan budak flet dekat JB. Tau aje la... budak yang tinggal di flet.
Dari depan sana kelihatan sebuah kereta masuk merayap dan berhenti di depan rumah. Kereta Holden Kingswood warna perak. Sah ayah angkat dah balik. Jadi, cepat-cepat saya pergi menemuinya di ruang depan, bersalam dan mencium tangannya.
"Hahh... bila kamu sampei?" tegurnya dengan nada serius.
"Err... baru kejap tadi," jawab saya terus melencong masuk ke dalam bilik apabila nampak Mak Tuk sudah datang dari arah dapur. Cabuttt.... kalau tidak nahas.
No comments:
Post a Comment