Dari kalangan kaum Bani Israil pada zaman dahulu ada seorang lelaki fasiq yang terus-menerus melakukan kejahatan. Dan penduduk negeri itu tidak mampu mencegahnya, hingga di akhirnya mereka berdoa kepada Allah swt mengadukan hal.
Selang beberapa hari kemudian Allah swt mewahyukan kepada Nabi Musa a.s bahawa di kalangan Bani Israil itu ada seorang pemuda yang sering berbuat jahat, maka usirlah dia agar negeri itu tidak nanti ditimpa musibah!
Apabila menerima wahyu, maka Nabi Musa a.s. pun segera menghalau pemuda fasiq itu ke tempat lain. Ditakdirkan tempat pengasingan itu tersangat sepi apabila tidak terdapat manusia, burung ataupun binatang buas.
Pada suatu hari si pemuda itu jatuh sakit. Tiada sesiapa pun yang tahu untuk menolongnya. Akhirnya, dia menggelupur seorang di atas tanah sambil meratap dalam sakitnya itu,
Walaupun berada di mana jua... tunduk dan sujud menyembah-Nya
"Wahai Tuhanku, seandainya ibuku berada di samping, tentu dia akan menyayangiku di atas kehinaan yang kualami ini. Dan andai kata ada pula ayahku tentu dia akan menolong di atas kehinaan yang kualami ini - dengan memandikan atau mengenakan pakaian terhadapku. Andai kata ada isteriku di samping tentu dia akan menangis kerana berpisah denganku apatah pula dengan keadaan sunyi dan sepi ini.
"Dan andainya ada anak-anakku di samping, tentu mereka juga akan menangis dan tentu akan berkata di samping jenazahku; "Ya Allah, ampunilah ayah kami yang asing lagi lemah, pendurhaka dan berbuat kejahatan. Dia yang terusir dari tempat tinggalnya ke tempat pengasingan yang akhirnya menuju ke tanah lapang. Dan dia keluar dari dunia menuju akhirat dalam keadaan yang putus-asa dari segala sesuatu kecuali rahmat-Mu ,ya Allah."
Pemuda itu berkata, "Ya Allah, jika Engkau memutuskan hubunganku dengan ibuku, isteriku, serta anak-anakku maka janganlah aku sampai putus dengan rahmat-Mu. Dan Engkau telah membakar hatiku dengan memisahkan mereka daripadaku, maka janganlah sampai aku terbakar dengan api-Mu sebab kemaksiatan yang telah kukerjakan."
Selang beberapa hari Allah swt telah mengirimkan bidadari yang telah menyerupai ibu, isteri serta anak-anaknya dan juga malaikat yang menyerupai wajah ayahnya. Mereka semua menangis di sampingnya seakan-akan mereka itulah ibu, isteri dan anak serta ayahnya. Apabila melihat keadaan demikian, hatinya terasa amat tenang lalu berkata, "Ya Allah, janganlah Engkau putuskan aku daripada rahmat-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."
Akhirnya pemuda itu meninggal dunia dalam keadaan suci dan diampuni segala dosanya. Allah swt lalu mewahyukan kepada Nabi Msa a.s, "Pergilah engkau ke tanah lapang di tempat yang telah meninggal dunia seorang wali-Ku - maka mandikan, kafanilah dan solatkan dia."
Dan sesampai sahaja ke tempat tersebut, Nabi Musa a.s. teringat kembali bahawa pemuda itulah yang telah diusirnya sebelum itu dengan perintah Allah swt. Di samping itu baginda melihat pula para bidadari yang sedang menangisinya.
Nabi Musa a.s. berkata, "Wahai Tuhanku, bukankah ini adalah pemuda fasiq yang Engkau telah suruh aku usirkan tempohari?"
Allah swt menjawab, "Benar, wahai Musa, tetapi Aku berasa kasihan kepadanya dan telah memaafkannya disebabkan ratapan beliau dalam sakitnya, serta berjauhan dengan kampung halaman dan kedua-dua orang tuanya, isteri serta anak-anak sehingga Kukirimkan bidadari yang menyerupai ibunya, isteri dan anak-anaknya. Kemudian Kukirimkan malaikat yang menyerupai akan ayahnya. Sebab Aku berasa kasihan akan kehinaan dalam pengasingan yang dialaminya."
"Oleh sebab itu bagaimana Aku tidak mengasihinya, sedang Aku adalah Zat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang di antara sekelian para penyayang."
Nabi saw bersabda, "Apabila orang mukmin itu sakit, Allah swt menyuruh para malaikat; "Tuliskan hamba-Ku amal yang baik sama seperti yang dikerjakannya sewaktu dia sihat dan sejahtera."
No comments:
Post a Comment