Wednesday, 30 June 2010

SOLAT: Dari Novel "ANAK PEREMPUAN KABARET"

PADA mulanya Pak Guru itu diperkenalkan oleh teman-teman. Dia pun pernah merungut dan teringin sekali buat mendalami ilmu agama. Lagipun dia sedar setakat mana sahaja ilmunya dalam dada; mengaji al-Quran pun tidak tamat kerana marahkan kawan-kawan yang suka mencemuh.

Apabila menemui Imran, banyak juga ilmu yang diperoleh. Lebih menyeronokkan apabila dia ditemukan dengan falsafah agama yang suci itu. Pertama, dia ditunjukkan tujuan kelahirannya di atas muka bumi ini; dari mana dia datang dan ke mana tujuannya apabila tua dan menemui mati?

Ini yang membuatkan dia terasa betapa luas dan jauhnya kehidupan yang bakal ditempuhinya. Ia melangkau hingga ke alam malakut dan jabarut, iaitu di alam ghaib. Ia bukan sekadar hidup untuk makan, tidur, berusaha untuk jaya, berkeluarga dan sampai masanya mati lalu ditanam orang. Bukan.

Ia menepati kata-kata Nabi Besar Muhammad s.a.w; "Matlamat kehidupan yang sebenar buat seseorang insan ialah untuk menuju mati. Sesungguhnya, mati itu adalah permulaan/pembukaan kepada kehidupan yang sebenar".
Gambar Hiasan:
Sori la pada yang akan menuduh ini gambar lucah.
Ia berkait dengan teks. Itupun dah banyak2 istighfar kita dek kerananya.

Dia sedar akan dirinya yang tercemar dengan segala danur hanyir dan kekotoran. Dia bergelumang dengan maksiat atas dasar membalas dendam dan menzahirkan rasa benci terhadap lelaki. Akhirnya, dia tidak sampai ke mana? Dirinya yang musnah, dosa bertempek-tempek dan kedamaian makin menjauh dan jauh. Dia lalu sering resah dan keliru. Fikirannya buntu dan tidak menentu.

Itu pun dia agak beruntung kerana Imran begitu penyabar orangnya. Imran mengajarnya hal-hal asas yang tidak disentuh Pak Guru. Paling awal dia mendalami dan memahami solat yang dikerjakan. Imran pernah memberitahu apabila hendak mendirikan solat ucapan ini patut dihayati selain daripada doa iftitah yang sering diucapkan.

“Subhanakallahumma, wabihamdika, wataba-rokas muka, wataala jadduka wa Lailaha ghairuka....

Maksudnya: "Maha suci Engkau wahai Tuhanku, dengan memuji Engkau dan bertambah-tambahlah keagungan nama-Mu. Maha benarlah puji-pujian kepada Engkau dan tiadalah yang disembah selain daripada Engkau.”

Kemudian peristiwa mikraj yang dilalui oleh Nabi Besar itu berkait rapat dengan surah al-Fatihah, iaitu ummul Quran yang dijawab Allah Taala apabila ia disebut di dalam solat.

“Allah Taala turunkan tujuh ayat yang diulang-ulang,” jelas Imran sambil memerhatikan gelagat Nurul Fasha yang tidak lekang-lekang dengan telefon bimbit. Ada-ada sahaja panggilan yang diterima... entah dari mana? “Surah itu terbahagi antara Allah Taala dengan hamba-Nya dan bagi hamba-Nya apa yang dipinta.”

Firman Allah s.w.t.; “Tiga daripadanya untuk Aku, dan tiga untuk engkau. Sementara yang satu lagi antara Aku dan engkau.”

Kemudian Allah Taala akan menjawab setiap kali disebut tujuh ayat tersebut, terutama ketika dalam solat,” kata Imran.

“Apa jawapannya?”

“Dari Abu Hurairah r.a. mengikut riwayat Ahmad dan Muslim bahawa Nabi telah bersabda; Allah berfirman:

Alhamdulillahi-rabbil-’aalamin;

“Hamdani-’abdi: "Hamba-Ku telah mensyukuri-Ku,” jawapan Allah apabila disebut ayat itu.

Ar-Rahmaan-ir Rahiim;

“Asna ‘alaiya ‘abdi; "Hamba-Ku memuji-Ku,” jawab Allah seterusnya.

Maaliki Yaumiddiin;

“Majjadani ‘abdi: "Hamba-Ku mengagungkan-Ku,” jawab Allah lagi.

Iyyaka Na’budu wa-iyyaka Nasta’iin;

“Haaza baini ‘abdi wa-li’abdi ma-saal: "Yang ini untuk hamba-Ku, dan Aku tetap beri apa yang dipintanya,” jawapan Allah sebagai pengakuan-Nya.

Ihdinasy-syirat-al Mustaqiim;

“Haaza li’abdi wa-li’abdi ma-saal: "Yang ini untuk hamba-Ku, dan Aku tetap beri apa yang dipintanya,” jaminan Allah apabila ayat itu disebut.

“Hingga ke akhir surah tersebut, itulah jawapan yang diulang-ulang Allah s.w.t. secara tegas. Ia sebagai jaminan bagi sekelian umat Muhammad yang bersolat.” kata Imran dengan suara yang lembut. “Kemudian ia diaminkan bersama oleh sekalian para malaikat dan kedengaran bergema ke segenap empat penjuru alam.

“Kemudian apabila rukuk, kita memuji Allah s.w.t.; Subhana-Rabbial-aziimi-wabihamdih yang bermaksud: "Maha Suci Tuhanku lagi Maha Besar."

Hasil daripada puji-pujian ini apabila i’tidal, seolah-olah Allah s.w.t. menjawab; ‘Sami-Allahu-liman hamidah; yang bermaksud: "Allah mendengar akan hamba yang memuji-Nya."

Beramai-ramai kembali bermunajat di hadapan Khaliq

“Rabbana walakal-hamdu; yang bermaksud: "Wahai Tuhan, dan bagi-Mu segala puji-pujian.”

Tanpa mengira tempat untuk tunduk dan sujud kepada-Nya

Sujud, “Maha Suci Tuhanku lagi Maha Terpuji,” .

Seterusnya dalam tasyahhud terdapat dialog berupa puji-pujian terhadap Nabi Besar Muhammad s.a.w. Ucapan baginda itu dijawab dengan pengiktirafan terhadap baginda sebagai hamba dan pesuruh Allah.

Kata Nabi: “Segala kehormatan, keberkatan, dan ucapan yang baik-baik bagi Allah semata-mata";

Jawab Allah s.w.t: “Keselamatan bagimu wahai nabi, beserta dengan rahmat Allah dan berkat-Nya";

Kata Nabi: “Keselamatan bagi kami dan bagi para hamba Allah yang soleh";

Daripada keselamatan yang dipohon oleh Nabi berserta umat-umat yang soleh itu, Allah Taala ingin tahu apakah imbalannya? Sebagai balasan...

Nabi pun berkata: “Aku bersaksi sesungguhnya, tiada yang nyata sebenar-benarnya melainkan Allah";

**"Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya.”

Nota: ** Bagi pengakuan ini; "Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya.” Hj Harussani Zakaria, mufti Perak menyatakan bahawa ia adalah ucapan daripada para nabi dan sekelian malaikat yang menyaksikan peristiwa berkenaan!

Kata Imran lagi, di atas perisytiharan tersebut, maka sekalian para nabi dan malaikat yang menyaksikan peristiwa yang hebat dan bersejarah itu segera bersalawat ke atas baginda, keluarga dan mengucapkan terhutang budi kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya.

"Ya Allah, sejahterakanlah Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Nabi Muhammad";

"Sebagaimana Engkau telah sejahterakan Nabi Ibrahim";

"Demikian juga ke atas keluarga Nabi Ibrahim";

"Berilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad;

dan ke atas keluarga Nabi Muhammad";

"Sebagaimana Engkau telah beri keberkatan ke atas Nabi Ibrahim;

dan ke atas keluarga Nabi Ibrahim";

"Pada sekelian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."

Peristiwa tersebut lalu diakhiri dengan Nabi Muhammad menoleh ke kanan sambil mengucapkan salam, memohon daripada Allah s.w.t. kesejahteraan ke atas mereka yang telah berselawat ke atas baginda.

"Assalamu-alaikum warohmatullah."


Dari sini timbul satu peristiwa, apabila dalam keasyikan sekelian penghuni langit, para malaikat dan nabi-nabi berselawat ke atas Nabi dan keluarga baginda, dek terlalu asyik tup-tup seorang malaikat terlupa untuk berselawat. Maka dia diperintahkan oleh Jibril supaya sayapnya dipatah-patahkan.

Dia meraung kesakitan sepanjang tempoh Rasulullah s.a.w. turun-naik menemui Nabi Musa dan Allah s.w.t; apabila baginda telah dinasihatkan oleh Nabi Musa a.s. agar memohon jumlah kewajipan itu biar dikurangkan sebab umatnya tidakkan termampu.

Dengan turun-naik itu, maka fardu solat itu dapat dikurangkan daripada lima puluh kepada lima waktu sahaja. Namun Allah s.w.t. telah menetapkan bahawa pahalanya tetap lima puluh juga.

Israk dan mikraj yang berlaku ke atas diri baginda itu terdiri daripada tiga peringkat; iaitu dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa, kemudian dari Masjidil-Aqsa ke Sidratul-Muntaha dan akhirnya, dari Sidratul-Muntaha ke Qab Qausaini Aw Adnaa (tempat yang paling hampir sekali di hadrat Allah s.w.t.).

“Sebab itu, solat juga terdiri daripada tiga peringkat,” jelas Imran perlahan. “Ia bermula dengan berdiri, kemudian ruku’ dan sujud.”

Waktu sujud itulah saat dan amalan yang paling hampir dengan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam al-Alaq: 19 yang bermaksud; “Dan bersujudlah sambil mendekatkan diri.”

“Maha Suci Tuhanku lagi Maha Terpuji,” ucapan agung ketika sujud itu.

Dalam keadaan yang paling hampir inilah kemudiannya berlaku dialog seperti dalam tasyahud itu. Ia memaparkan keagungan syahadah bagi seseorang mukmin. Maka di sinilah letaknya pengakuan Rasulullah s.a.w. akan Khaliqnya diikuti dengan pengiktirafan akan Muhammad itu sebagai hamba dan Pesuruh-Nya.


                                                     Keredhaan-Nya jua yang dicari....


Nota:  Bersempena dengan bulan Isra' dan mi'raj yang bakal mendatang maka dicatatkan peristiwa yang berlaku pada malam sejarah itu; iaitu penerimaan fardu solat oleh baginda Rasulullah saw.


p/s Novel 'ANAK PEREMPUAN KABARET' 651 m.s. terbitan 2007 (RM24.90) masih dijual. Kisah ini paling 'top' di halaman Tranungkite Online (TKO) dengan 'hits' tertinggi pada Januari 2010 ; 250hits/jam (Hubungi - 019-2323752 - Elias).

Monday, 28 June 2010

Kefarduan Solat: Dari Petikan Novel

Sebagaimana yang diceritakan oleh gurunya, Azman terkedu apabila teringatkan bagaimana Nabi Besar Muhammad saw dibawa mengadap Alla swt untuk menerima secara langsung akan fardu solat. Baginda hadir seorang diri di ‘balai penghadapan’ Allah Taala yang diselubungi oleh Nur Rabbul-izzah, iaitu cahaya dari Zat Allah Yang Maha Mulia yang menyilaukan sekitar Sidratul-Muntaha itu.

Baginda berada dalam suatu macam perasaan yang yakin dan nyata bahawa baginda berada di hadrat Allah swt yang sifatnya meliputi segala sesuatu. Baginda melihat-Nya dengan musyahadah, suatu bentuk ‘penglihatan’ sebagaimana firman Allah swt: “Tiada sesuatu yang menyerupai-Nya, Maha Halus dan Bercahaya.”

Suasana di luar sana... dalam penerimaan fardu solat baginda Rasulullah saw

Allah swt mewahyukan kepada baginda dengan fardu solat sebanyak lima puluh untuk dikerjakan pada siang hari dan malamnya. Baginda menerimanya dengan hati terbuka lalu mendapatkan Jibril untuk turun semula ke langit dunia. Satu persatu langit dilintasi mereka hingga sampai ke tempat Nabi Musa a.s.

“Apakah yang difardukan Tuhan ke atas hambamu?” tanya Nabi Musa a.s.

“Lima puluh solat pada siang dan malam,” sahut Nabi Besar Muhammad saw.

“Kembalilah kepada Tuhanmu. Minta diringankan kerana umatmu tidak bisa menanggung tugas berat serupa itu,” kata Nabi Musa a.s. “Sesungguhnya aku telah menguji Bani Israel dan kebolehan mereka.”

Nabi Muhammad saw kembali mengadap Allah swt. meminta agar ia dapat dikurangkan. Apabila baginda turun Nabi Musa a.s. lalu menegur.

“Apa halmu?”

“Dikurangi lima solat,” sahut Nabi Besar Muhammad saw.

“Sesungguhnya, umatmu ternyata lemah berbanding dengan umat-umat yang terdahulu. .” kata Nabi Musa a.s. “Kembalilah kepada Tuhanmu, pinta dikurangi lagi.”

Nabi Muhammad saw memberitahu baginda terus berulang-alik menemui Allah swt minta dikurangkan solat itu. Akhirnya tinggal lima sahaja. Allah swt pun berfirman; “Wahai Muhammad! Itulah lima solat setiap siang dan malam, pada setiap satunya dikira sepuluh jadi lima puluh solat.”

“Barang siapa bercita-cita membuat kebajikan lalu terhalang akan dicatat baginya satu hasanah. Jika dia berjaya melakukannya, dicatat baginya sepuluh hasanah.”

“Dan barang siapa yang bercita-cita untuk melakukan kejahatan lalu dibatalkan maka tidak dicatatkan apa-apa pun. Jika dia melakukannya, barulah dicatatkan baginya satu kejahatan.”

Maka Nabi Besar Muhammad saw pun turun lalu memberitahu Nabi Musa a.s.

“Kembalilah kepada Tuhanmu dan minta dikurangkan lagi untuk umatmu,” kata Nabi Musa a.s. “Aku tahu umatmu ternyata lemah berbanding dengan umat-umat yang terdahulu. ”

“Tidak! Aku tidak bisa kembali lagi kepada Tuhanku,” jawab Nabi Muhammad saw. “Aku malu kepada-Nya.”

Menurut kata gurunya, jumlah tersebut kekal dikerjakan sehingga hari kiamat sebagai lambang tauhid dan jembatan perhubungan yang langsung dengan Allah swt. Walaupun ia telah dikurangkan, tetapi pahalanya tetap sama - 50 juga.

Demikian Nabi Muhammad saw yang dibawa dari Masjidil-Haram ke Mesjidil-Aqsa, kemudian dari Mesjidil-Aqsa ke Sidratul-Muntaha dan akhirnya ke Qab Qausaini Aw Adnaa, tempat yang paling hampir sekali di hadrat Allah swt untuk menerima kefarduan solat secara langsung.

Maka oleh yang demikian solat itu terbahagi kepada tiga peringkat; berdiri, ruku’ kemudian sujud. Firman Allah swt: al-Alaq: 19: “Dan sujudlah sambil mendekatkan diri.”

Sesungguhnya melalui solat itulah Azman dapat merasakan betapa hampirnya dia dengan Khaliqnya. Dia bermunajat dan di sana dia dapat menitip kemanisannya.


Nota:  Petikan daripada novel 'KEHILANGAN-2' - 760 m.s yang belum diterbitkan (m.s. 353-356).

Sunday, 27 June 2010

Mikraj' Dalam Penceritaan Novel

SELEPAS menelefon Maznah, Azman termenung. Dia sebenarnya tidak risaukan saham-sahamnya yang banyak bertaburan itu. Dia paling risaukan Maznah dan kawan-kawan yang menjaga kaunter urusniaganya. Dia tidak mahu mereka terkesan dan jadi susah hati apabila melihat harga saham jatuh merudum. Ia fenomena yang melibatkan seluruh dunia gara-gara penyangak matawang.

Haa, pakai matawang dollar lagi, bisiknya. Kemudian Azman terlentang di sofa. Dia jadi malas untuk memikirkannya lagi. Dia puas hati sebab telah memberitahu Maznah agar tidak kalut. Seperti selalu apabila duduk bersunyi-sunyi begitu membuatkan lamunannya terbayang-bayangkan peristiwa lama.

Dalam keadaan terbaring dan terawang-awang di hospital itu, jasadnya tetap tidak terasa apa-apa. Hanya dia terbayang-bayangkan wajah Tuk Su yang mengajarnya hidup beragama. Tuk Su mengajar tentang Kebesaran Allah swt serta dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya. Tuk Su juga mengajarnya tentang peristiwa mikraj yang hebat itu.
Baginda melepasi angkasa lepas yang berada di luar jangkaan akal manusia

Ketika dalam perjalanan bersama Jibril itu Nabi telah menemui satu kaum yang bercucuk-tanam. Kemudian mereka menuai hasilnya pada hari yang sama. Setiap kali dituai, ia merecup semula menghasilkan buah-buahan yang baru.

“Apakah gerangannya ini wahai Jibril?” tanya Nabi Muhammad saw.

“Itulah kaum yang berjihad fi sabilillah,” sahut Jibril. “Kebajikan mereka itu dilipatgandakan sehingga tujuh kali ganda. Setiap yang mereka belanjakan diganti oleh Allah dengan yang lebih banyak lagi.

Kemudian Nabi meneruskan perjalanannya lalu menemui satu kaum yang kepalanya dihempap dengan ketul-ketul batu besar sehingga berkecai. Setiap kali berkecai ia sembuh semula dan dihempap lagi.

“Apakah gerangannya ini wahai Jibril?” tanya Nabi Muhammad saw.

“Inilah orang yang malas menunaikan solat fardu,” sahut Jibril. “

Aduhh... Azman teringatkan sekian banyak solatnya yang tidak ditunaikan ketika remaja dahulu. Banyak solat yang diabaikan kerana dia asyik menimba ikan dan menangkap burung. Dia tertinggal solat Subuh kerana terlajak sehingga matahari tinggi melangit. Ada juga yang ditinggalkan kerana malas! Dia malas bersolat.

“Setiap yang berhutang perlu dibayar,” kata Tuk Su. “Solat yang ditinggalkan itu hutang. Kita berhutang dalam meruntuhkan agama Allah swt.”

Kita berdosa kerana meninggalkan kewajipan. Kemudian kita berdosa kerana meruntuhkan agama pula. Arwah Pak Chot pun kata begitu. Ustaz-ustaz yang mengajar pun kata begitu.

Kemudian baginda menemui pula satu kaum yang pakaiannya koyak-rabak. Mereka ini makan pohon berduri, daun-daun yang pahit dan batu dari neraka Jahannam.

“Apakah gerangannya ini wahai Jibril?” tanya Nabi Muhammad saw.

“Inilah orang yang tidak membayar zakat harta mereka,” sahut Jibril.

Kemudian ia diselangi dengan pandangan matanya yang berbalam-balam. Dia masih nampak Aziriah yang serba tidak kena duduk di bangku tempat menunggu.

Lamunannya terus melangkau dan menitip isra' Nabi Besar Muhammad saw. Dia teringatkan penemuan nabi akan sekelompok manusia yang menggunting lidahnya dengan gunting yang diperbuat daripada api neraka. Selepas digunting, lidah itu bercantum semula untuk digunting lagi. Ia terus-menerus begitu berkali-kali.

Nabi Muhammad saw diberitahu oleh Jibril, itulah akibat bagi orang-orang yang tidak bercakap benar dan berbuat fitnah.

Pemandangan di Bumi dari angkasa lepas

Azman segera teringat bahawa dia adalah orang surat khabar. Tugas wartawan adalah menyampaikan berita dan segala peristiwa yang berlaku. Namun demi kepentingan tertentu, berita dan peristiwa itu bisa diselewengkan. Kadang-kadang dia mengada-ngadakan cerita untuk menutup kepincangan pihak tertentu.

Dia teringat bagaimana dia dan ketua bahagian majalah mengadakan cerita hantu stokin dan hantu kom-kom dalam surat khabar. Tujuannya adalah untuk menaikkan jualan majalah untuk wanita terbitan syarikat mereka.

Kononnya, hantu itu berkeliaran di sekitar Tangkak, Johor. Dia mengeluarkan berita tersebut di muka depan akhbar dua hari berturut-turut. Pemberitanya membuat temuramah dengan beberapa orang kampung yang dibayar supaya membuat pengakuan.

Ceritanyapula direka dan dimuatkan secara eksklusif dan mendalam dalam majalah mereka. Semua cerita itu rekaan semata-mata. Kemudian di hujung berita akhbar tersebut dicatatkan; ‘Ikutilah cerita eksklusif selanjutnya dalam majalah “TIPU” keluaran bulan ini.’

Dengan serta-merta jualan majalah "TIPU” itu mendadak naik sebab orang ramai ingin mengikuti cerita hantu stokin berkenaan. Sedangkan cerita itu tidak pernah wujud pun! Apabila tidak puas hati dengan kenaikan jualan itu, kisah hantu kom-kom pula direka tiga bulan kemudian. Orang ramai pun ditipu lagi. Dan majalah itu berkekalan jualannya yang tertinggi di antara semua majalah untuk kalangan wanita hingga sekarang.

Azman teringat lidahnya yang bakal digunting dengan gunting api neraka!

Dia terkedu. Untung juga, dengan kasih sayang Allah swt dia diberi peluang bertaubat. Dia telah lama bertaubat dari perbuatan tersebut, tetapi mengikut syarat taubat dia perlu menyiarkan penafian tersebut dalam akhbar juga. Kisah tersebut telah disiarkan dalam akhbar SUARA MERDEKA. Jadi, Encik Kassim tidak mungkin mahu membenarkan penafian itu disiarkan. Ia berkait dengan kredibiliti sebuah media ternama.

“Kita mesti terus berbuat baik dan menuliskan cerita-cerita yang memberi munafaat dalam tulisan,” kata ustaz yang datang mengajar di surau syarikat. “Jangan jemu memohon keampunan dan serahkan kepada rahmat dan ihsan Allah Taala.”

Dia tahu Allah Taala memang sukakan hamba-Nya yang hemoi meminta dan merayu. Dia berharap Allah swt akan sudi mengampunkan dosa-dosanya itu. Namun dia masih bersedih di atas dosa-dosa ‘tipu’ tersebut.


Nota:  Petikan daripada novel 'KEHILANGAN-2' 760 m.s. yang belum diterbitkan (m.s. 660-664).

Mikraj Dalam Penceritaan Novel

BIAR seramai mana pun kawan yang datang menziarah Azman tetap begitu juga. Apatah pula sejak baru betah daripada sakit itu dia jauh berubah. Cakapnya tidak banyak dan lebih kerap tersenyum daripada menyampuk. Hanya Rosnah dan Roslan yang meriuhkan suasana.

Fikirannya sering melayang entah ke mana. Biar pun mereka tertanya-tanya, tetapi tidak ada sesiapa yang berani bersuara. Mereka cukup faham perangai Azman. Apatah pula selepas keluar dari hospital itu. Dalam keadaan riuh-rendah itu dia masih selesa mengelamun. Fikirannya melayang dibawa ke dunia awang-awangannya.
Pemergian baginda ke langit dibawa Jibril dengan kenderaan bernama 'Buraq'

Dia kembali teringat kata-kata Tuk Su juga. Orang tua itu menceritakan bahawa dengan Buraq Nabi Muhammad saw dibawa naik ke langit dunia. Sampai di langit yang pertama, Jibril meminta izin.

“Siapa gerangan engkau?” kedengaran satu suara bertanya.

“Aku Jibril.”

“Siapa bersamamu?” tanya suara itu pula.

“Muhammad,” sahut Jibril.

“Sudahkah dia diutus?” tanya suara itu lagi.

“Sudah.”

Merekapun dibenarkan masuk lalu bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda menyambut Nabi Muhammad saw serta mendoakannya dengan yang baik-baik.

Dari sana, baginda dimikrajkan naik ke langit kedua. Di situ mereka ditanyakan soalan yang sama sebelum dibenarkan masuk dan bertemu dengan Nabi Yahya a.s. dan Nabi Isa a.s. Baginda berdua menyambut Nabi Muhammad saw dan mendoakannya dengan yang baik-baik.

Seterusnya baginda dimikrajkan naik ke langit ketiga. Di situ Jibril ditanyakan soalan yang sama dan apabila dibenarkan masuk baginda menemui Nabi Yusuf a.s. Baginda dimikrajkan lagi ke langit keempat lalu bertemu dengan Nabi Idris a.s. yang tidak wafat dan telah diangkat oleh Allah swt ke tempat yang tinggi.

Kemudian baginda mikraj ke langit kelima dan apabila dibenarkan masuk baginda bertemu Nabi Harun a.s. Seterusnya pada langit keenam, baginda bertemu Nabi Musa a.s. Kesemua nabi ini menanyakan soalan yang sama. Apabila bertemu mereka mendoakan yang baik-baik untuk baginda.

Apabila tiba ke langit ketujuh, sebelum dibenarkan masuk Jibril tetap ditanyakan soalan yang sama. Sebaik dibenarkan masuk baginda mendapati Nabi Ibrahim a.s. sedang bersandar di Baitul-Makmur. Di situ seramai tujuh puluh ribu malaikat mengunjunginya setiap hari. Setiap kali masuk mereka tidak keluar lagi.

Di sini, Nabi Allah Ibrahim telah berpesan kepada umat Nabi Muhammad saw.

“Syurga itu subur buminya, tawar airnya dan tanahnya mudah tumbuh sementara tanamannya ialah amalan zikir; Subha-naLlah wal-hamdulillah wala-ilaha-illaLlahu-akbar; walahau-la wala-quwwata-illa billahil ‘aliyul ‘azim,” kata Nabi Ibrahim a.s.

Azman cuba juga beramal dengan zikir ini, tetapi ia begitu liat untuk melekat terus di hati dan di bibirnya. Ia selalunya hilang begitu sahaja oleh runtunan keduniaan dan nafsu yang tiada batas. Setiap kali teringat, dia menyambung kembali zikirnya tersebut untuk hilang lagi selepas beberapa ketika.

Dia sedar itu adalah angkara dosa-dosanya yang masih berkerak. Kalau tidak pun mungkin kifarah daripada dosa-dosanya pada masa lalu. Setiap anak Adam a.s. itu melakukan dosa. Jadi sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang segera bertaubat.

Namun zikirnya tetap diteruskan.
Lautan Pasifik yang dilihat dari angkasa lepas

Nota;  Petikan daripada novel "KEHILANGAN-2" 760 m.s. yang belum diterbitkan (m.s 203-205).

Saturday, 26 June 2010

Ada Apa Selepas Mati?

Tazkirah Nabi s.a.w. di hari pengkebumian seorang sahabat bernama al-Barra’ bin ‘Azib radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Suatu hari kamu keluar bersama Rasulullah saw mengiringi jenazah seorang lelaki dari kalangan Ansar yang meninggal dunia. Ketika sampai di perkuburan dan jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, baginda duduk dan kami pun turut duduk di sekitar beliau.

Di tangan baginda ada sebatang kayu. Baginda menggaris tanah dengan kayu itu, kemudian mengangkat kepalanya sambil berkata; “Hendaklah kamu sekelian memohon perlindungan Allah dari azab kubur”. Baginda mengulanginya dua atau tiga kali. Seterusnya baginda berucap;

Pejuang syahid Gaza yang dihalang ambulans daripada datang hampir

“Sesungguhnya seorang hamba yang beriman ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika ia hampir mati), akan turun kepadanya malaikat-malaikat dari langit, yang putih wajah mereka seumpama matahari, bersama mereka kain kapan dan bau-bauan (حنوط) dari syurga. Mereka duduk darinya sejauh mata memandang.

Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata kepadanya; ‘Wahai ruh yang baik! Keluarlah menuju kepada keampunan dari Allah dan keredhaanNya’. Maka keluarlah ruh itu di mana ia mengalir (keluar) umpama mengalirnya titisan air dari corong bekas air (yang dinamai as-Saqa’ dalam bahasa Arab).

Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan bersama-sama bau-bauan (yang di bawa oleh malaikat-malaikat tadi) dan terbitlah darinya bau yang amat harum umpama bau kasturi yang paling harum di atas muka bumi ini’. Setelah itu malaikat-malaikat tadi membawa ruh yang harum itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya;

“Bau apakah yang amat harum ini?”.

Malaikat-malaikat yang membawa ruh itu menjawab; “Ruh si fulan bin fulan”. Mereka menyebutnya dengan nama yang paling baik yang diberikan kepadanya di atas muka dunia. Apabila sampai di langit, para malaikat yang membawanya itu meminta supaya dibukakan pintu langit, lalu dibukakan.

Di setiap langit, ruh mukmin itu diiringi oleh malaikat penjaga langit untuk naik ke langit berikutnya hinggalah ia sampai langit ketujuh. Maka datanglah firman Tuhan kepadanya; “Tulislah hambaku di dalam ‘illiyyin (tempat orang-orang mulia di dalam syurga) dan bawalah ia kembali ke bumi kepada tubuhnya kerana sesungguhnya darinya (yakni dari bumi/tanah) aku menjadikan mereka (yakni manusia), kepadanyalah aku akan kembalikan mereka dan darinya juga aku akan mengeluarkan mereka sekali lagi (yakni apabila berlakunya kiamat)”.

Maka dikembalikanlah ruh itu kepada tubuhnya

Kemudian datang dua orang malaikat kepadanya dan mendudukkannya (yakni menjadikannya duduk). Kemudian mereka bertanya kepadanya; ‘Siapa Tuhan kamu?’.

Dia akan menjawab; "Tuhanku adalah Allah". Mereka bertanya lagi kepadanya; “Apa agama kamu?” Dia menjawab; “Agamaku adalah Islam”. Mereka bertanya lagi; “Siapa lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Dia menjawab; “Dia adalah Rasul Allah”. Mereka bertanya lagi; “Apakah ilmu kamu?”. Dia menjawab; “Aku membaca kitab Allah, lalu aku beriman dan membenarkannya”.

Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Benarlah apa yang dikatakannya itu. Hamparilah ia dengan hamparan dari syurga, pakaikanlah ia dengan pakaian dari syurga dan bukakanlah untuknya satu pintu ke syurga”.

Maka sampailah kepadanya bauan dan haruman dari syurga dan dilapangkan untuknya kuburnya seluas mata memandang. Kemudian datang seorang lelaki yang elok rupanya, cantik pakaiannya dan harum baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang menyeronokkan kamu ini. Hari ini adalah hari yang telah dijanjikan untukmu”.

Dia bertanya; “Siapakah kamu?. Kamu datang dengan wajah yang membawa kebaikan”.

Lelaki itu menjawab; “Akulah amal soleh kamu”. Ia (yakni si mati yang beriman itu) lalu berkata; “Wahai Tuhanku! dirikanlah kiamat, dirikanlah kiamat, supaya aku mendapat kembali keluargaku dan hartaku”.


Adapun seorang hamba yang kafir dan jahat pula, pada ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika hampir mati), turun kepadanya malaikat-malaikat berwajah hitam membawa bersama mereka kain kapan yang buruk. Mereka duduk mengelilinginya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata: "Wahai ruh yang kotor, keluarlah kepada kemurkaan dari Allah dan kemarahanNya." Maka bertempiaranlah ruh pada jasadnya (seolah-olah hendak melarikan diri).
Mustafa Kemal Atarturk, Turki


Lalu malaikat maut mencabut ruh itu (tanpa belas kasihan) seperti mencabut besi pemanggang daging dari kain bulu yang basah. Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan buruk tadi dan terbit dari ruh itu satu bau yang amat busuk seperti bau bangkai yang paling busuk di atas muka bumi ini. Kemudian malaikat-malaikat yang berwajah hitam tadi membawa ruh yang berbau busuk itu naik ke langit.

Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya; “Ruh siapakah yang busuk ini?”. Jawab para malaikat yang membawa ruh itu; “Ruh si fulan bin si fulan”, di mana mereka menyebutnya dengan nama yang paling buruk orang menamakannya di atas muka dunia dulu.

Apabila sampai ke langit dunia, para malaikat yang membawa ruh itu memohon dibukakan pintu langit, namun tidak dibuka. Lalu Rasulullah s.a.w. membaca firman Allah (bermaksud):

“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan yang angkuh dari mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit, dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk ke lubang jarum. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka). Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keengkarannya)”. Surah al-A’raf, ayat 40.

Rasulullah bercerita lagi; “Kemudian Allah berkata (menyampaikan perintahNya berkenaan ruh itu); “Tulislah ia di dalam Sijjin (yakni penjara) di dalam bumi yang paling bawah”. Maka dilemparkanlah ruhnya itu dengan satu lemparan. Rasulullah lalu membaca firman Allah (bermaksud):

“Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)”. Surah al-Hajj, ayat 31.

Kemudian ruh itu dikembalikan kepada jasadnya di bumi. Setelah itu datang kepadanya dua malaikat. Mereka bertanya kepadanya; “Siapa Tuhan kamu?”.  Dia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Apa agama kamu?”. Dia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Siapakah lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”.  Dia menjawab sama seperti tadi; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”.

Mustafa Kemal Atarturk: Bani Uthmaniah diruntuhkan

Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Hambaku telah berdusta. Hamparilah ia dengan hamparan dari neraka dan bukakan untuknya satu pintu ke neraka". Maka sampailah kepadanya bahang panas dari api neraka dan disempitkan baginya kuburnya hingga bersilang-silanglah tulang-tulang rusuknya.

Kemudian datang kepadanya seorang lelaki yang hodoh mukanya, buruk pakaiannya dan busuk baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang mendukacitakan kamu ini. Hari ini adalah hari yang dijanjikan buatmu”. Dia bertanya; “Siapa kamu? Kamu datang dengan wajah yang membawa kejahatan”. Lelaki itu menjawab; “Aku adalah amalan kamu yang keji”. Akhirnya Dia pun berkata; “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau dirikan kiamat”.

(Riwayat Imam Ahmad. Menurut Imam al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid; para perawi hadis ini adalah soheh (Majma’ az-Zawaid, 3/49). Menurut menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh (Misykat al-Masabih, hadis no. 1630).

Dikeluarkan di TKO Oleh: AbeBulelHijau

Friday, 25 June 2010

Percayakan Kehidupan Akhirat @ Hidup Sesudah Mati

Tujuan asas daripada terutusnya para Nabi serta Rasul yang berjumlah 124,000 orang itu dan diturunkan Allah kitab-kitab suci kerana DUA perkara;

i.  Menerangkan kepada manusia siapa Tuhan yang sebenarnya, iaitu  Allah Yang Tunggal, dan tidak ada lagi Tuhan selain daripada Allah Yang Tunggal itu.

ii.  Menerangkan kepada manusia bahawa sesusah hidup yang amat terbatas waktunya di atas dunia ini, manusia akan dihidupkan kembali untuk menempuh kehidupan yang kedua kalinya, iaitu kehidupan yang kekal dan abadi. Di sana masing-masing akan menerima pembalasan daripada apa sahaja perbuatan yang pernah mereka lakukan selama hidup di dunia.

Perbuatan baik akan mendapat balasan baik, dan perbuatan jelik akan dibalas dengan kejelikan yang berupa azab siksa nan pedih.

Sebenarnya, ada banyak kepercayaan yang diajarkan oleh agama Islam, tetapi apa yang paling penting adalah enam asas kepercayaan yang dinamakan rukun iman. Ia melibatkan kepercayaan dengan Allah, dengan malaikat, dengan Rasul-rasul, dengan kitab-kitab Allah, dengan hari akhirat, dan dengan qadha' dan qadar.

Pengabdian disebabkan oleh keyakinan dan kepercayaan itu

Namun di antara enam pokok kepercayaan ini, perkara yang paling utama ditekankan adalah kepercayaan terhadap Allah swt. dan kepercayaan terhadap kehidupan di akhirat. Ia dikatakan paling utama sebab kepercayaan tersebut telah diulang-ulang berpuluh kali dalam kitab al-Quran dan hadis Nabi Muhammad saw.

"Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah berlaku baik terhadap tetangganya. Dan barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah menghormati akan tetamunya. Dan barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang baik atau diam." -  hadis Nabi saw.

Banyak dan sering kali disebut dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis di mana Allah dan Rasul-Nya berulang kali menegaskan untuk difahami dan diyakini oleh kita manusia seluruhnya bahawa kehidupan akhirat itu adalah penghidupan yang amat penting; ia jauh lebih penting daripada kehidupan dunia yang ada sekarang.

Kehidupan tersebut bukan sahaja penting, tetapi ia lebih besar, lebih lama (kekal) dan satu kehidupan yang lebih baik, lebih moden dan lebih indah bagi orang-orang yang beriman dan berbuat kebajikan.

Bersambung....

Wednesday, 23 June 2010

Di Rantauan-7: Menempuh Pengalaman Baru

Dan di sepanjang hari itu saya masih memikirkan - keadaan yang masih belum menentu. Jadual waktu belum disiapkan, jadi guru-guru belum tahu kelas mana yang mereka akan ditugaskan mengajar. Mana yang rajin masuklah ke kelas yang mereka sudah biasa. Kalau yang terlebih rajin pula akan terus mengajar. Jika tidak, murid-murid akan berbuat bising macam keling karam.

Saya hanya duduk dalam bilik guru; lebih kepada mendengar dan memerhatikan. Mendengar loghat bahasa yang asing di telinga. Memang banyak perkataan yang langsung tidak difahami. Anehnya, cikgu pun riuh juga dalam bilik guru itu. Walaupun tiga atau empat orang yang bercakap, tetapi lagaknya macam mereka bercakap di hujung kampung. Gaya gedebe pun ada kalau yang lelakinya.

Mata ini tajam memerhatikan sambil menganalisa satu demi satu watak di dalam bilik guru itu. Namun mereka pun baik-baik belaka - tahu menghormati kita sebagai orang luar. Cuma ada satu cikgu itu... dengan loghatnya yang cair lama-kelamaan baru saya sedar dia bukan berasal Kelantan, tetapi dari Parit Yaani, Batu Pahat. Aiiks... orang Johor boleh petah dengan loghat Kelantan! Rupa-rupanya sudah tujuh tahun dia bernikah dengan orang Gunung itu juga.

Yeah... saya masih mencerap pengalaman. Ia pengalaman baru nun jauh di rantauan orang. Kepada siapa tempat untuk mengadu? Namun sebagai lelaki, saya kuat hati dan azam. Ia berselang-seli dengan marah Cikgu Tin yang sesekali datang menerjah. Kenapa dia mesti marah apabila saya menemui seorang kawan yang jauh lebih lama kita kenali?

"I'm not going to fool around...," masih tergiang-giang di telinga. "I'm serious...."

Kemudian, kenapa dia terus menghilang dan mengasingkan diri sebaik tiba di rumahnya? Dia berlagak asing sekali. Dan kesan dek kemarahan yang dilemparkan membuat saya kembali bersikap negatif dan cukup prejudis terhadap perempuan. Sudahlah sebelumnya sewaktu di kolej join dengan pelajar-pelajar lelaki yang anti-perempuan. Lantaran sudah tertanam rasa geli dan menyampah terhadap perempuan yang mengada-ngada; yang mempamerkan gelagat ingin menarik perhatian orang!

Tiada yang sepertinya....


Hanya Watee yang telah merobah segala-galanya, sehingga mengejutkan sekian ramai pelajar. Mereka terperanjat kerana saya sudah pandai pergi 'merendek' di serata tangga bangunan dan di hujung padang. Hanya apabila lewat malam baru kami pulang ke blok asrama masing-masing. Suka ada, boring pun ada. Sebab semua gelagat kena diambil kira demi menjaga hati teman yang baru dikenali. Itupun pengalaman baru juga... susah belaka! Hati di dalam bergelora juga.

Keadaan menjadi sebaliknya apabila berada di tempat baru itu kesan 'marah' Cikgu Tin yang masih membekas. Walaupun saya dari jenis tidak ambil kisah walaupun dimarahi, namun kesannya menjadikan saya prejudis kembali pada setiap yang bernama perempuan atau wanita. Ia termasuk terhadap guru-guru wanita di sekolah baru itu. Untungnya, personaliti mereka baik-baik dan berhemah. Mereka tahu menghormati dan tidak berlebih-lebih ketika berbual. Dan terlebih untungnya kerana kesemua mereka adalah isteri orang belaka.

Sambil itu mata yang nakal itu tetap memerhatikan juga; pada anak-anak murid yang 'jernih' dan dapat menyenangkan mata yang memandang? Jangan terperanjat, rata-rata anak murid perempuan di situ sudah cukup matang dan mula membentuk 'posture' sebagai anak gadis... termasuk sesetengah yang masih di tingkatan satu. Mereka bukan kanak-kanak yang masih berhingus lagi. Keadaan semakin jauh berbeza dengan murid di tingkatan dua, tiga dan semakin terserlah murid di tingkatan empat - sudah layak menjadi 'emak budak'.

Rupa-rupanya sekolah itu masih agak baru menjadikannya cuma ada sehingga tingkatan empat. Itupun tidak banyak kelasnya - dua kelas. Tingkatan tiga ada tiga kelas, tingkatan dua ada empat kelas dan tingkatan satu ada empat kelas juga. Dan sewaktu pagi atau waktu rihat ketika murid-murid berkumpulan sesama mereka di sekitar bangunan sudah ada yang pandai menjeling-jeling mencari tumpuan. Nampak jelas yang mereka itu bersikap mudah mesra.

Aii... kenapalah lambat sangat siapnya jadual waktu? Jemu juga asyik dok terperap di bilik guru tanpa sebarang kerja yang dapat dibuat. Tak sepatah kata yang dapat dicelah. Nak kecek kelate guano? Kita orang Perak... yang boleh dikatakan pekat juga bahasa peghoknya. Ada campur sedikit bahasa orang utara sebab berketurunan dari Sungai Limau Dalam. Emak dan abah tetap bercakap loghat Kedah, tetapi kawan di sekolah dan sekampung kesemuanya orang Perak yang loghatnya 'ate', 'ape ke bende' dan 'mengape'.

Seminggu kemudian, Cikgu Awang Hamat sudah kenalkan saya dengan seorang 'cikgu luar' yang mengajar di sekolah lain. Mereka tinggal serumah tidak jauh dari situ. Itulah Cikgu Azra'e dari Kedah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Jelawat, kira-kira 7 batu dari situ. Melaluinya, saya mula kenali cikgu-cikgu dari luar yang lain.

"Engkau kat sini kena jaga sikit," pesan Cikgu Azra'e sambil menyengih. "Silap-silap nanti kahwin dengan anak murid."

"Aiks... kenapa pula?" saya kehairanan. "Anak murid mana boleh kahwin?"

"Hah... nanti kamu tau la camne," dia mula menyeringai sambil melarikan pandangannya. "Err... aku dah kena. Ada satu pakcik tu datang 'offer' anaknya.

"Aii... biar betul!"

"Dia kata apa tau... senang cikgu nanti; ada orang masak nasi. Ada orang tolong basuh baju. Err... ada orang tolong jaga cikgu. Semua senang," jelas Cikgu Azra'e.

"Abis tu awat hang tak mau terima?" Kami sekejap cakap kamu, sekejap panggil 'hang'.

"Huhh... nak mampuih. Tak tengok Cikgu Seman tu... dah dapat tukar balik ke Batu Pahat pun, dan setahun aje minta tukar balik ke sini."

"Pasei apa?" saya kehairanan.

"Haa... ni la penangan orang Kelantan. Depa tak sama dengan orang kita di sana," jelasnya sambil menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. "Takpe... nanti hang pun akan tau juga. Klu hang kahwin orang sini pun orait juga, kan!"

Azra'e sinis, dalam cara nak mengena.

Tup... tup seminggu kemudian pakcik itu datang lagi menawarkan Azra'e anaknya. Tak payah buat hantaran dan upacara apa-apa. Cukup sekadar menyediakan maskahwin dan jumpa tuk imam nikah. Beres.

Saya terkebil-kebil dibuatnya. Begitu mudah!

Beza umur yang tidak banyak dengan cikgu

Tuesday, 22 June 2010

Negara Siam Thailand

Negara Siam asalnya bukanlah hak kerajaan Raja Rama Buddha. Mereka berasal dari puak Sukho Thai yang menyerang dan menawan negeri Siam Islam dalam tahun 1767. Kewujudan bangsa mereka jauh terkemudian. Mereka adalah penjajah - yang menjajah Benua Siam Islam dari keturunan Raja Merong Mahawangsa, Kedah. Negara Siam adalah hak mutlak Sultan Rijaluddin Muhammad Shah III Kedah 1424–1491 yang bergelar Paramewara di Melaka yang juga terkenal dengan gelaran Rama Tibodi II Dinasti Ayut’ia Ke-10 (sila rujuk senarai Dinasti di dalam buku DGE Hall,’A History Of South East Asia’,1955).

Negara Siam bukan hak Raja Buddha Chakri Sukho Thai yang berasal dari Burma (Myanmar). Negara Siam berasal dari Benua Siam Islam Kedah. Nama raja-raja Siam Islam Kedah ada tercatat di dalam buku Undang-Undang Kedah. Di dalam buku tersebut terdapat manuskrip bertulisan jawi tentang kesultanan Benua Siam Islam Kedah.

Terdapat pelbagai bukti yang nyata tentang negara Siam ini; contohnya terjemahan daripada 'the Portuguese MS in the Bibliotheque de la Chamber des Deputes, Paris, and edited by ARMANDO CORTESAO, “THE SUMA ORIENTAL OF TOMES PIRES AN ACCOUNT OF THE EAST, FROM THE RED SEA TO JAPAN, WRITTEN IN MALACCA AND INDIA”,TOM PIRES,1512-1515'.

Peta 1851 ini menyebut SIAM bukan Thailand.
Kedah disebut sebagai Quedah.

“The land of Malacca is called a land of Siam, and the whole of Siam, Champa and thereabouts called China”.

Dari bukti bukti tersebut (Burma @ Myanmar) adalah Hak Raja Siam Toung Oo Maha Dammaiyaza Syarif Yang Dipertuan Yang Maha Mulia Benua Siam Kedah. Ia telah dirampas oleh Raja Buddha Aluang Phraya Burma pada tahun 1752 berikutan kemangkatan Boromokot Sultan Muhiyuddin Mansur Syah, Marhum Kota Palas, Pulau Langkawi.

Thailand adalah hak Raja Siam terakhir Dinasti Ayut’ia 1767 Masihi Boromoraja V Ekataat Syarif Yang Dipertuan Yang Maha Mulia Benua Siam Kedah. Benua Siam Kedah dirampas oleh Raja Buddha Aluang Phraya Burma Lanna Chakri Sukho Thai pada tahun 1767. Dia bertindak melantik Jeneral Rama I Chakri Sukho Thai untuk menjadi Raja Thai pertama yang beragama Buddha pada tahun 1782 Masihi.

Kemboja juga adalah hak Raja Siam Pho Chan Koya Long Sultan Mudzafar Shah III Kedah. Beliau ialah putera Raja Siam Dinasti Ayut’ia Boromoraja V Ekataat Syarif Yang Dipertuan Yang Maha Mulia Benua Siam Kedah. Kemboja dirampas oleh raja Buddha Aluang Phraya Lanna Thai pada tahun 1758 Masihi.

Raja Benua Siam Kedah ialah raja melayu keturunan cucu Merong Maha Wangsa Saiyiddina Ali Wa Maulana Paduka Seri Sultan Jamalul Alam Badrul Munir. Rujuk Buku Undang-undang Kedah Manuskrip tulisan jawi di muka surat 171 lampiran 65.

.Perkataan Siam adalah dari bahasa Arab ‘Sumu ul Amir’ yang bermakna satu bangsa raja darjat yang tinggi mulia. Apa yang dimaksudkan perkataan Sumu ul Amir itu ialah Raja Iskandar Zulkarnain, Maharaja China yang membina tembok besar negeri China yang pertama dahulu. Nama Raja Iskandar Zulkarnain ada disebut dalam undang-Undang Kedah.

Kebanyakan fakta sebenar salasilah Kesultanan Kedah telah diselewengkan oleh sama ada ahli-ahli sejarah yang tidak berpengetahuan tentang sejarah sebenar. Mereka pun tidak tahu bahasa Siam (bukan bahasa Thai), atau dari kalangan penulis upahan pihak tertentu. Oleh itu semua pihak perlu memperbetulkan perkara sebenar demi memelihara kesucian dan keagungan agama islam.

Tariqat: Sentiasa dalam Taharah

Setiap murid dan mereka yang berhasrat menuju salik hendaklah sentiasa berada dalam keadaan taharah (wudhu'). Jelasnya, setiap kali dia berhadas, hendaklah bersegera untuk wudhu' lalu solat dua rakaat. Sekiranya dia mempunyai isteri dan bersetubuh, maka hendaklah dia segera mandi janabah pada waktu itu juga supaya dia tidak terus-menerus berada dalam keadaan junub.

Sentiasa mencari jalan untuk kebaktian

Untuk memastikan seseorang itu sentiasa dalam keadaan taharah, maka dia hendaklah mengurangi makan. Orang yang banyak makan akan sering berhadas. Kesannya, akan menyukarkannya untuk mengekalkan diri agar sentiasa dalam taharah. Selain daripada itu, mengurangkan makan juga akan membantunya bangun di waktu tengah malam untuk beribadat.

Sedangkan amalan di tengah malam itu amat-amat dituntut dan digalakkan.

Seseorang murid, hendaklah tidak makan kecuali apabila lapar. Dia tidak akan tidur melainkan apabila mengantuk. Dia tidak berbicara kecuali apabila perlu. Dan dia tidak akan bercampur dengan orang ramai, kecuali dalam percampur-gaulan yang mendatangkan faedah.

Sesiapa yang suka banyak makan, hatinya akan menjadi keras seperti batu - benak. Pada waktu itu segala anggotanya serasa berat dan malas untuk beribadat.

Banyak makan juga akan menarik seseorang itu untuk berbanyak tidur dan banyak cakap. Apabila tidur dan banyak cakap, menjadikan segala kehendak dan cita-citanya sekadar gambaran sahaja (omong-omongan). Ia jauh daripada menjadi hakikat.

Dalam sebuah hadis baginda bersabda; "Tiada satu tempat yang dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya melainkan perut. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya (untuk menahan kelaparan). Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah dibahagi tiga; sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan."


Bersambung... (Memperbanyak yang dianjurkan)

Monday, 21 June 2010

Tariqat: Memelihara Anggota drp Maksiat

Seseorang yang ingin berjinak dengan ilmu tariqat perlu berusaha untuk mencegah seluruh anggotanya daripada melakukan maksiat dan dosa. Setiap anggota badan perlu dikerah untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah swt semata-mata. Ia tidak digerakkan untuk membuat apa jua selain daripada yang mendatangkan munafaat pada dirinya di hari akhirat.

Sentiasa bermuhasabah diri... Allahu-rabbi!

Bencana Lisan

Dalam hal ini seseorang itu perlu bersungguh-sungguh memelihara lisan, iaitu lidah. Biarpun ia nampak kecil, tetapi bencana dan kesan yang bakal ditimbulkan teramat berat. Kerana pulut santan binasa; kerana mulut badan merasa, kata orang tua-tua. Jadi, lisan itu perlu dicegah daripada membuat dusta (berbohong), ghibah (mengumpat) dan segala kata-kata yang dilarang oleh agama.

Hendaklah seseorang itu mengelakkan diri daripada menuturkan percakapan yang cabul dan kotor, caci-maki, mencarut dsb. Malah cuba dielakkan daripada melibatkan diri dengan segala yang tidak bersangkut-paut dengan diri sendiri. Memang ia tidak diharamkan, namun ia akan mengeraskan hati dan mensesiakan masa tanpa sebarang faedah.

Seterusnya, seseorang murid tidak akan menggerakkan lisannya, kecuali untuk membaca al-Quran atau berzikir. Jika tidak pun dia akan menyampaikan nasihat kepada saudara-saudaranya yang muslim; menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah daripada berbuat munkar (kejahatan). Dia juga mungkin menuntut kepada sesuatu hajat keduniaan yang akan dapat membantunya untuk mendapatkan kepentingan akhirat.

Nabi saw bersabda; "Setiap bicara anak Adam dikira atasnya, kecuali berzikir kepada Allah, ataupun menyuruh berbuat makruf (kebaikan) dan melarang daripada berbuat munkar (kejahatan)".

Bencana Telinga dan Mata

Perlu diingat, pendengaran dan penglihatan itu merupakan dua pintu yang sentiasa terbuka terus menuju kepada hati. Apa sahaja yang masuk melalui kedua-dua pancaindera itu akan sampai ke hati untuk dirakam dan disimpan. Betapa banyak perkara yang didengar dan dilihat oleh manusia akan hal-hal yang tidak sewajarnya akan tetap sampai kesannya terhadap hati.

Dan perlu diingat, kesan itu pula terlalu sukar untuk dihapuskan begitu sahaja. Sebab hati itu akan segera terpengaruh dengan segala yang datang menghampirinya. Apabila hati telah terpengaruh dengan sesuatu perkara, nescaya amat sukar untuk memadamkan kesan itu daripada muka dan mata hatinya.

Seseorang murid atau mereka yang berminat mendalami ilmu ini perlu berhati-hati dalam memelihara pendengaran dan penglihatannya daripada perkara-perkara yang tidak wajar. Dia perlu berusaha secara bersungguh-sungguh untuk membenteng seluruh anggotanya daripada maksiat dan dosa; dan daripada campurtangan luar dalam urusan-urusan yang tiada kena-mengena dengan diri sendiri.

Jangan sekali-kali sampai memandang kepada bunga kehidupan dunia dan keindahannya dengan pandangan yang memikat hati. Sesungguhnya, zahir keindahan dunia yang dilihat itu adalah fitnah yang penuh dengan bencana. Kemudian batinnya pula adalah tauladan yang penuh dengan makna.

Mata sentiasa memandang kepada keindahannya yang zahir semata-mata, sementara hati akan memandang kepada tauladan atau inti pati yang ada di dalam atau di sebalik sana. Sudah berapa ramai murid dan peminat ilmu tariqat yang terbabas apabila memandang kepada sesuatu daripada kelazatan dan keindahan dunia, lalu hatinya pun terus terpikat kepadanya. Maka dia akan terus menyintainya serta berusaha untuk mendapatkan, mengumpul dan menyimpannya.

Hati yang mereka-reka kerana menurutkan nafsu... bila dan macam mana
mau mendapatkannya? Kebetulan ada pula peluang dan ruang untuk makan haram - rasuah!

Seseorang murid perlu memandu penglihatannya kepada segala ciptaan Ilahi di atas muka bumi. Tujuannya supaya seseorang itu tidak melihat akan sesuatu itu melainkan dengan pandangan penuh insaf dan iktibar. Jelasnya, apabila melihat kepada sesuatu ciptaan hendaknya dia akan segera teringat bahawa ciptaan itu akan binasa, lenyap dan tidak akan kembali lagi.

Sebelumnya, ciptaan itu tidak ada... lalu Allah swt mengadakannya. Lihat sahaja bagaimana sekian ramai anak Adam yang telah terpikat dan terpengaruh dengan segala ciptaan itu. Sedangkan kesemua anak Adam telah pergi. Mereka itu hilang lenyap entah di mana? Binasa. Sedangkan ciptaan-ciptaan Allah swt itu masih tinggal untuk diwarisi oleh generasi terkemudian yang bermula daripada orang-orang terdahulu.

Oleh itu, kamu atau sesiapa jua sebagai murid dan peminat ilmu ini lihatlah keada segala ciptaan Allah yang ada sekarang dengan pandangan seseorang yang mengaku akan kesempurnaan kuasa Zat yang mencipta dan mengadakannya - iaitu Allah swt.

Sebenarnya, semua ciptaan Allah swt yang ada di atas muka bumi ini sentiaa menyeru dengan lidahnya, didengar oleh orang-orang yang bercahaya hatinya. Mereka yang dapat melihat sesuatu dengan nur Allah swt - bahawa tiada Tuhan yang lain, melainkan Allah - Tuhan yang Maha Kuasa lagi Bijaksana.

Bersambung... (Sentiasa dalam Taharah)

Sunday, 20 June 2010

Ratapan Si Pemuda Fasiq

Dari kalangan kaum Bani Israil pada zaman dahulu ada seorang lelaki fasiq yang terus-menerus melakukan kejahatan. Dan penduduk negeri itu tidak mampu mencegahnya, hingga di akhirnya mereka berdoa kepada Allah swt mengadukan hal.

Selang beberapa hari kemudian Allah swt mewahyukan kepada Nabi Musa a.s bahawa di kalangan Bani Israil itu ada seorang pemuda yang sering berbuat jahat, maka usirlah dia agar negeri itu tidak nanti ditimpa musibah!

Apabila menerima wahyu, maka Nabi Musa a.s. pun segera menghalau pemuda fasiq itu ke tempat lain. Ditakdirkan tempat pengasingan itu tersangat sepi apabila tidak terdapat manusia, burung ataupun binatang buas.

Pada suatu hari si pemuda itu jatuh sakit. Tiada sesiapa pun yang tahu untuk menolongnya. Akhirnya, dia menggelupur seorang di atas tanah sambil meratap dalam sakitnya itu,

Walaupun berada di mana jua... tunduk dan sujud menyembah-Nya

"Wahai Tuhanku, seandainya ibuku berada di samping, tentu dia akan menyayangiku di atas kehinaan yang kualami ini. Dan andai kata ada pula ayahku tentu dia akan menolong di atas kehinaan yang kualami ini - dengan memandikan atau mengenakan pakaian terhadapku. Andai kata ada isteriku di samping tentu dia akan menangis kerana berpisah denganku apatah pula dengan keadaan sunyi dan sepi ini.

"Dan andainya ada anak-anakku di samping, tentu mereka juga akan menangis dan tentu akan berkata di samping jenazahku; "Ya Allah, ampunilah ayah kami yang asing lagi lemah, pendurhaka dan berbuat kejahatan. Dia yang terusir dari tempat tinggalnya ke tempat pengasingan yang akhirnya menuju ke tanah lapang. Dan dia keluar dari dunia menuju akhirat dalam keadaan yang putus-asa dari segala sesuatu kecuali rahmat-Mu ,ya Allah."

Pemuda itu berkata, "Ya Allah, jika Engkau memutuskan hubunganku dengan ibuku, isteriku, serta anak-anakku maka janganlah aku sampai putus dengan rahmat-Mu. Dan Engkau telah membakar hatiku dengan memisahkan mereka daripadaku, maka janganlah sampai aku terbakar dengan api-Mu sebab kemaksiatan yang telah kukerjakan."

Selang beberapa hari Allah swt telah mengirimkan bidadari yang telah menyerupai ibu, isteri serta anak-anaknya dan juga malaikat yang menyerupai wajah ayahnya. Mereka semua menangis di sampingnya seakan-akan mereka itulah ibu, isteri dan anak serta ayahnya. Apabila melihat keadaan demikian, hatinya terasa amat tenang lalu berkata, "Ya Allah, janganlah Engkau putuskan aku daripada rahmat-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Akhirnya pemuda itu meninggal dunia dalam keadaan suci dan diampuni segala dosanya. Allah swt lalu mewahyukan kepada Nabi Msa a.s, "Pergilah engkau ke tanah lapang di tempat yang telah meninggal dunia seorang wali-Ku - maka mandikan, kafanilah dan solatkan dia."

Dan sesampai sahaja ke tempat tersebut, Nabi Musa a.s. teringat kembali bahawa pemuda itulah yang telah diusirnya sebelum itu dengan perintah Allah swt. Di samping itu baginda melihat pula para bidadari yang sedang menangisinya.

Nabi Musa a.s. berkata, "Wahai Tuhanku, bukankah ini adalah pemuda fasiq yang Engkau telah suruh aku usirkan tempohari?"

Allah swt menjawab, "Benar, wahai Musa, tetapi Aku berasa kasihan kepadanya dan telah memaafkannya disebabkan ratapan beliau dalam sakitnya, serta berjauhan dengan kampung halaman dan kedua-dua orang tuanya, isteri serta anak-anak sehingga Kukirimkan bidadari yang menyerupai ibunya, isteri dan anak-anaknya. Kemudian Kukirimkan malaikat yang menyerupai akan ayahnya. Sebab Aku berasa kasihan akan kehinaan dalam pengasingan yang dialaminya."

"Oleh sebab itu bagaimana Aku tidak mengasihinya, sedang Aku adalah Zat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang di antara sekelian para penyayang."

Nabi saw bersabda, "Apabila orang mukmin itu sakit, Allah swt menyuruh para malaikat; "Tuliskan hamba-Ku amal yang baik sama seperti yang dikerjakannya sewaktu dia sihat dan sejahtera."

Friday, 18 June 2010

Apa Dengan Hayat Kita?

Dalam TKO pada hari itu ada dicatatkan bagaimana saya berusaha untuk berhijrah secara peribadi pada setiap 10 tahun umur berlalu. Saya berhijrah untuk menjadi lebih baik, dan alhamdulillah setakat itu agak berjaya. Penghijrahan ini saya dasarkan kepada hadis Qudsi di bawah ini;

Berkata Usman bin Affan r.a bahawa Rasulullah saw telah bersabda; Allah swt berfirman;

"Apabila hamba-Ku mencapai usia 40 tahun, Aku jauhkan daripadanya tiga macam bencana, iaitu gila, kusta dan sopak. Dan apabila dia mencapai usia 50 tahun, Aku akan menghisabnya dengan hisab yang ringan. Dan apabila dia mencapai usia 60 tahun, Aku akan dorongkannya supaya suka bertaubat. Dan apabila dia mencapai usia 70 tahun, Aku akan jadikannya dicintai oleh para malaikat. Dan apabila dia mencapai usia 80 tahun, Aku akan catatkan kebajikannya semata-mata, dan Aku akan tutup mata terhadap kesalahan-kesalahannya.

"Dan apabila dia mencapai usia 90 tahun, akan berkatalah para malaikat: Orang ini sebagai tawanan Allah di bumi-Nya, maka diampunkanlah segala dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian; dan dibenarkan dia mensyafaatkan. Dan apabila dia mencapai usia tua ganyut, Allah mencatatkan baginya semua pahala amalan yang pernah dilakukan sewaktu sihatnya dahulu, dan kalau dia melakukan kesalahan, tiadalah dicatatkan ke atasnya lagi."  Riwayat at-Termidzi.

Huraiannya;

Setiap manusia yang hidup pasti akan mati. Namun jangka matinya itu tiadalah sesiapa pun yang tahu, melainkan Allah swt. Oleh sebab itu ada kalanya seorang pesakit yang tersangat teruk, sampai ke peringkat doktor sendiri pun berputus-asa namun dia sembuh serta dipanjangkan Allah usianya dan dapat hidup bertahun-tahun lagi selepas itu. Demikian sebaliknya pula.

Hadis ini menerangkan tentang peringkat usia manusia, dan keadaannya di sisi Allah swt. Akan tetapi khitab, iaitu bicara ini tidaklah umum melainkan ditujukan kepada orang-orang yang dikategorikan sebagai 'Hamba-Ku'. Untuk mendapatkan pangkat ini, seseorang itu mestilah mukmin yang penuh ketaqwaannya terhadap Allah swt; mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Kaum Uighur, di antara mereka yang paling awal menerima Islam

Hadis ini juga membawa bisyarah, iaitu sebuah berita gembira kepada manusia yang mendapat kehormatan sebagai 'Hamba-Ku' atau hamba Allah swt di mana dia akan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah swt setiap usianya meningkat - bermula dari usia 40 tahun ke atas. Ia merupakan satu kurnia yang cukup istimewa, atau ia satu jaminan yang amat menggembirakan.

i)  Apabila sampai ke usia 40 tahun, Allah selamatkan seseorang itu daripada sakit kronik; gila, kusta dan sopak.

ii)  Apabila sampai ke usia 50 tahun, Allah akan menghisabnya dengan hisab yang ringan (apabila matinya nanti), yakni banyak tolak-ansur dan mungkin juga Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang kecil.

iii)  Apabila sampai ke usia 60 tahun, Allah bukakan pintu hatinya untuk gemar bertaubat dan menggandakan amalan-amalan kebajikannya. Kebaktiannya menjadi lebih nyata dan lebih banyak daripada kerja yang sia-sia - lantaran fikirannya telah lebih terarah kepada menuju mati.

iv)  Apabila sampai ke usia 70 tahun, tentulah dia sudah menjadi seorang yang soleh dan jiwanya telah semakin hari semakin suci sehingga dia dikasihi oleh sekelian para malaikat. Hasilnya, mereka akan mendoakan agar Allah swt mengampunkan segala dosa dan merahmatinya pada baki umur yang masih tinggal.

v)  Apabila sampai ke usia 80 tahun, Allah swt tidak akan menghitung lagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan, sebaliknya hanya kebajikan sahaja yang diambil kira untuk dicatatkan.

vi)  Apabila sampai ke usia 90 tahun, apa lagi yang tinggal buat dirinya tentang dunia ini, selain ingatannya asyik tertumpu kepada mati yang sedang ditungguinya untuk bersegera kembali menemui Tuhannya. Tenaganya sudah lemah, fikirannya buntu sementara pandangan dan pendengaran pun sudah tidak jelas lagi.

Pada waktu itu dia sudah menjadi tawanan Allah swt di bumi ini. Oleh itu kesemua dosanya sama ada yang terdahulu atau yang terkemudian diampunkan. Di samping itu dia diberikan hak untuk memberikan syafaat pada hari kiamat. Itulah pangkat yang paling tinggi pernah diberikan Allah swt kepada seorang hamba-Nya.

vii)  Apabila sampai ke usia melebihi 90 tahun, atau di usia tua ganyut maka diangkat qalam daripadanya apabila berkemungkinan dia sudah nyanyuk dan jadi seperti kanak-kanak kecil. Sudah tiada apa lagi yang akan diperhitungkan ke atasnya.

Allah hanya akan mencatatkan baginya semua pahala amalan yang pernah dilakukan sewaktu sihatnya dahulu. Kalau pun dia melakukan maksiat dosa dan kesalahan, sudah tidak dikira lagi.

Unjuran hadis ini seolah-olah mengajak kita memerhatikan peringkat-peringkat umur ini sambil merenungkan diri kita sesudah itu - berada di peringkat umur yang mana sekarang? Apakah kehidupan kita menepati apa yang dijangkakan oleh hadis berkenaan? Jika tidak, bersegeralah kita mengubah sikap dan perjalanan hidup kita supaya tergolong di kalangan hamba-hamba Allah yang diberikan penghormatan sebagai 'Hamba-Ku' itu. Dengan harapan kita akan memperoleh janji Allah seeperti yang diesbutkan itu. InsyaAllah.

Wednesday, 16 June 2010

Serangan Kaum Fuqaha Terhadap Ahli Tasauf

Dalam hal serangan kaum fuqaha terhadap ahli sufi, banyaknya berkait dengan soal hawa-nafsu, dengan maksud-maksud tertentu yang tersembunyi. Jelasnya, ia berkait dengan perjuangan untuk hidup duniawi dan merebut pengaruh. Sedangkan perjuangan dan permintaan kaum sufi cuma; "Orang yang sebenar-benarnya faqih pertama sekali adalah 'abid', iaitu banyak menyembah akan Allah. Kemudian dia punya ilmu berkait dengan batas-batas yang ditetapkan oleh Allah dan syariat-Nya."

Pada kaum sufi, beribadat adalah syarat bagi ilmu agama. Lantaran, pada pandangan ahli tasauf, golongan fuqaha tidak mungkin mencapai syarat tersebut. Dan oleh yang demikian mereka menolak golongan tersebut. Contoh, seperti yang kita dapat lihat bagaimana golongan agama boleh terjebak dengan kumpulan yang jelas menentang hukum Tuhan. Terkadang-kadang mereka pula yang berlebih, terutama dalam memerangi ekstremis agama dan militan (kononnya!).

Sedangkan kita semua tahu mana ada ekstremis dalam Islam? Kita cuma dikehendaki bertegas dengan segala yang berkait dengan hak Allah swt. Adakah itupun sudah dikira militan? Neraca pertimbangan mana yang kita gunakan? Kafir atau Islam!

Lebih berbahaya lagi pada masa akan datang di mana ulama-ulama tasauf dapat menentukan sikap mereka terhadap peribadi kaum fuqaha - mana yang benar dan mana pula yang mengarut! Mereka boleh menentukan kepada pihak ramai mana di antara kaum fuqaha yang boleh diterima-pakai. Selalunya, pendapat mereka ini akan diterima ramai. Sedangkan kaum fuqaha tidak mungkin akan dapat berbuat demikian. Sebaliknya, mereka pula yang mungkin akan tersisih dan tidak mendapat sokongan.

Ahli tasauf biasanya dapat mencuri perhatian orang ramai, khalifah dan penguasa negeri lebih daripada yang dapat dibuat oleh kaum fuqaha. Dan dalam keadaan demikian, kesannya usah terperanjat jika kaum fuqaha sendiri yang melancarkan serangan terhadap ahli tasauf dengan pelbagai cara - semata-mata kerana mahu mendapatkan kedudukan di mata dunia.

Mesjid lama Baluchistan

Malah mereka tidak akan teragak-agak sedia mengganggu-gugat kalangan ahli tasauf demi memastikan kelangsungan penerimaan ramai terhadap mereka. Ia menjadi lebih mudah kerana kaum fuqaha mempunyai kelebihan melalui kedudukan mereka dalam masyarakat. Lebih jahat apabila mereka adalah sebahagian daripada pemerintah. Sedangkan bagi ahli tasauf dan kaum sufi walaupun masih tidak mencukupi syarat, namun mereka suka beribadat walaupun tanpa mempelajari hukum-hukum agama dengan lebih mendalam.

Adalah lebih mudah untuk beribadat sahaja daripada belajar bertahun-tahun dengan penuh tekun. Kita tidak menafikan ada kalangan ahli tasauf yang palsu, belum berstatus ulama malah ada yang berlebih-lebih dalam peraturan syariat sesuai dengan pertimbangan senddiri-sendiri. Ada yang terpedaya dengan pelbagai cara malah melewati batasan Islam pun ada. Dan tidak kurang pula yang berasakan diri mereka telah melewati segala tatatertib syariat dan akhlak Islam.

Jelasnya, ulama sufi mampu melakukan apa yang tidak boleh dibuat oleh kaum fuqaha. Ada juga kalangan ahli sufi yang tidak menjaga akhlak dan adab sebagaimana sepatutnya, lantaran mereka beranggapan ia hanya perlu buat oleh mereka yang belum mencapai taraf sufi!

Sebenarnya, ilmu tasauf yang hakiki tidak pula mengakui kedudukan ulama-ulama tasauf seperti yang berlaku di akhir-akhir ini. Neraca akhlak begitu sebenarnya tidak ada dalam kamus ilmu tasauf. Ilmu tasauf yang sebenar keberatan malah akan menentang ahli sufi dari kalangan yang bermudah-mudah itu.

Oleh itu adalah perlu untuk kita semua mengikuti ajaran tasauf yang sebenar, tetapi... apa dia?

Kesyumulan Ilmu Tasauf

Di kalangan kaum sufi, sebenarnya terdapat juga orang-orang yang sebenarnya bukan sufi. Mungkin ada yang benar, tetapi mereka tidak sampai ke tahap yang sepatutnya, sama ada kerana sesuatu gangguan atau tiada rahmat Ilahi buat dirinya. Atau ada yang sengaja masuk ke alam sufi kerana ingin mengacau.

Ia disebabkan orang-orang munafiq sudah berada di segenap ceruk dan bidang agama termasuk alam tasauf yang tersangat halus itu. Ia menjadi satu lapangan hidup yang cukup baik untuk menjadi pengacau agama. Jika ini berlaku maka mereka inilah orang-orang sufi yang perkataan dan amalannya bukan sufi. Malah tidak sesuai langsung dengan jalan-jalan yang telah ditempuh oleh ulama sufi.

Biar hebat setara mana pun seseorang yang mengaku dirinya sufi, syarat mutlak untuk menilai kebenaran mereka ataupun pendustaan yang cuba disembunyikan ialah; Seharusnya jangan ada satu pun daripada perbuatan mereka, atau perkataan mereka yang keluar menyalahi zahir syariat Islam! Jika ada, mereka itu jelas bukan ahli sufi.

Jika pun berlaku sesuatu peristiwa yang menghairankan, menyalahi adat, luar biasa itu tandanya bukan keramat, tetapi istidraj - keizinan Allah yang berpunca bukan kerana keredhaan-Nya. Demikian pesanan daripada imam besar ahli sufi, iaitu Muhyiddin Ibnu Arabi.

Bertindak meninggalkan segala kemewahan hidup; tinggal di kawasan
Pergunungan Hindukush yang ekstrim cuaca sejuk-panas pada malam dan siangnya
bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui oleh kalangan fuqaha.

Bagi tasauf yang hakiki, mereka tidak mengakui ulama-ulama yang tidak beramal dengan ilmunya. Mereka tidak menyukai kalangan fuqaha yang kurang ibadatnya. Kalau sekadar banyak-kurang ibadatnya maka itu tidaklah sampai mencela akan kefaqihan, tetapi tarafnya dikira sebagai kurang baik.

Namun kaum sufi berusaha agar setiap manusia itu pada setiap waktu mesti bertambah ibadatnya dan cintanya pada Allah. Apa jalannya, bagi kaum sufi mereka sudah mempelajarinya dan telah pun melaksanakannya secara terus-menerus. Selalunya, ini masalah yang sering berlaku di mana kaum fuqaha terus menyerang dan mencaci.

Namun begitu pada imam-imam fuqaha atau faqih yang benar-benar berilmu tidak pula bersikap demikian terhadap kaum sufi. Contoh terbaik ialah imam besar asy-Syafie dan Ahmad bin Hanbal ikut bermuzakarah melalui surat dengan imam-imam sufi yang ada pada zaman mereka. Tidak pun terkeluar daripada mulut mereka cacian atau sesuatu yang tidak sepatutnya.

Dengan kesediaan bermuzakarah dan memberikan penghargaan oleh kedua-dua tokoh berkenaan, menandakan bahawa kedudukan ilmu tasauf adalah baik dan mulia. Jadi, sekiranya berlaku juga tentangan kaum fuqaha yang terkemudian terhadap ilmu tasauf, berkemungkinan disebabkan mereka itu kekurangan ilmu, atau disebabkan ilmu tasauf yang dibawa oleh sekelian ahli sufi itu menyeleweng seperti yang biasa berlaku.

Setiap serangan atau tohmahan terhadap ilmu tasauf mestilah dibuat melalui pemerhatian dan penyelidikan yang rapi. Pada prinsipnya, ilmu ini merupakan ilmu yang berasal daripada perbuatan dan perkataan Nabi saw di kalangan para sahabat. Ia adalah intisari daripada kelakuan baginda.

Tuesday, 15 June 2010

Di Rantauan-6: Tiada Apa Lagi Yang Diharapkan?

Malam itu saya tidak makan. Sebaik bilik dikemaskan oleh adik lelaki Cikgu Tin saya berihat sambil berbaring. Bagi orang yang lurus bendul dan simple minded, saya sudah tidak fikirkan lagi segala yang dihamburkan oleh Cikgu Tin dalam kereta; di sepanjang perjalanan kami dari Segamat.

Ketika tiba di rumah itu, dia pun sudah berlagak asing; pun saya tak kisah. Cuma dalam kepala otak itu dok asyik terfikirkan berapa harikah saya akan berada di rumah itu? Kolej, tentu masih belum dibuka lagi. Dan pada malam itu saya tidak makan; takde sesiapa pun yang panggil untuk makan. Dan memang tidak kedengaran sesiapa pun yang makan.

Sekitar jam 8.30 malam kedengaran suara Cikgu Tin bercakap entah dengan siapa sambil masuk ke bilik air - meletakkan segala sabun, ubat gigi, ubat pencuci yang dibawanya ke Kuala Kangsar.

Esoknya, pagi lagi dia sudah keluar - ke sekolah, kononnya. Saya makan nasi lemak yang dipelawa oleh adik Cikgu Tin. Pada tengahari itupun saya makan bersama dengan adiknya. Seterusnya pada malam itu kami makan bersama ahli keluarga. Jelas Cikgu Tin mengasingkan diri. Dia sudah tidak pedulikan saya lagi. Cuma agak pelik, kenapa pada masa itu saya tidak punya perasaan... yeah, yang orang sudah tidak suka! Berambus aje la....

Berkurung seorang dalam bilik....


Hari berganti... namun Cikgu Tin tetap dengan keadaan yang sama. Cuma sesekali saya berbual dengan adik lelakinya itu. Dia pun aktif bersukan, jadi pabila petang dia sering tiada di rumah; meninggalkan saya seorang berkurung di dalam bilik itu. Lewat petang Cikgu Tin pulang... pun dengan keadaan yang sama. Saya masih tidak mampu untuk menganalisa da merasainya lagi.

Masuk hari yang keenam, saya mula merisik daripada adik cikgu tentang bas-bas yang lalu di situ untuk ke bandar JB. Dari JB saya sudah biasa memilih bas mana yang akan dapat menyampaikan saya ke kolej. Yeah... bas ada masuk ke situ, sejam satu dan ia lalu di jalan sebelah kanan rumah. Ada nampak pondok menunggu pun.

Masuk hari yang ketujuh, selepas bersalam dengan adik Cikgu Tin saya terus mengangkat beg ke perhentian bas. Seperti biasa, saya tidak tahu di mana Cikgu Tin lagi. Hati saya cuma bulat untuk berada di kolej; biarlah tiada orang sekalipun. Makan... saya boleh pergi mencarinya di Jalan Larkin, bertempat tidak jauh di sebelah belakang kolej; ada gerai dan juga kedai. Cuma kena pusing agak jauh ikut pintu pagar belakang.

Sampai di kolej, saya seakan-akan menyesal sebab teman dari Sarawak itu tidak pun pergi ke mana-mana? Ada dua orang mereka yang kekal tinggal di kolej. Bebal pun terasa juga. Kenapa tidak sejak mula saya kembali ke situ dan tinggal bersama dengan mereka. Kelakarnya sepanjang 20 hari itu mereka cuma makan maggi. Dan sejak itu... kisah Cikgu Tin pun termati di situ sahaja.

NOTA:  Pada saya ada tiga persfektif yang dilihat daripada kehidupan yang dilalui selepas itu. Ia merupakan sebahagian daripada ketentuan takdir dan adun Allah swt. Di dalamnya mungkin ada unsur 'kifarah' kerana telah memutuskan harapan orang. Saya tidak berminat dengan Cikgu Tin sebab usianya lebih 8thn, tetapi Allah temukan saya tiga tahun kemudian dengan seorang wanita yang lebih tua 8thn juga, tetapi punya anak dua! Sedangkan Cikgu Tin seorang dara - yang tak punya anak!

Maka di sini Allah swt mengajar kita erti redha. Ia jodoh yang ditentukan - walaupun ia tidak selari dengan kehendak dan keinginan sendiri.

Dengan Watee pun tiada jodoh antara kami, apabila saya yang tersilap faham. Beberapa bulan selepas bertugas di Kelantan, saya menulis surat kepadanya; bertanya tentang kahwin. Jawabnya, dia belum memikirkannya lagi! Pada sangkaan saya, dia tidak mahu. Ya la... apabila dia aktif dengan persatuan kebudayaan sehingga menjelajah ke seluruh dunia membuat persembahan - khusus dalam bidang tarian. Kesannya, hidup saya menjadi kosong di rantauan dan cukup tidak bermaya. Dek kerana penangan seorang wanita!

Dan dugaan Allah swt pun mendatang apabila selepas berpisah, Watee dipertemukan kembali 25 tahun kemudian apabila dia menghadapi masalah dengan suaminya. Rasa terkilan di antara kami ada terluahkan dalam novel 'BUNGA BUKAN SEMUSIM'. Selepas itu kami terputus lagi... hingga kini.

                                                          *    *    *    *

Jadi, apabila berada di Kelantan itu, sekali lagi saya bakal menempuh satu-dua pengalaman baru. Guru Besar pun masih belum memberikan tugas. Cuma Cikgu Mohammed tu baik orangnya. Dia bawakan saya serta mengenalkan lagi dengan guru-guru yang tidak saya temui sebelumnya. Agak berbeza dengan guru-guru berijazah - ada tiga atau empat orang sahaja, tetapi lagak mereka - kata orang Kelantan 'agah' sikit. Cakap banyak dan nak selit bahasa omputih sahaja; bahasa omputih 'slank' Kelantan!

Cikgu Mohammed bawa saya ke kantin sambil dikenalkan dengan makcik kantin yang ada dua anak gadis - manis juga! Kemudian dia bawa saya ke padang, tempat untuk senaman. Dia bawa saya ke satu kawasan lapang di belakang kantin juga.

Di hadapan bilik guru SMK Seri Gunung

"Di tepat ni seksok kalu demo nok ngajar nanem ke gapo... leh guno la," jelasnya. Saya faham itulah kawasan untuk latihan praktikal pertanian - subjek utama saya di kolej. Encik Khairuddin Asha'ari yang mengajarnya. Satu lagi subjek adalah Art & Craft. Pengajarnya ialah Encik Baharuddin Mion (yang kemudiannya anak gadis beliau di tahun dua Universiti Malaya 'dihilangkan' oleh kumpulan Arqam untuk buat bini), Encik Ismail Ibrahim dan Lee Joo For.

Dan setiap kali saya lalu, hampir kesemua murid menjenguk ikut tingkap. Entah apa yang istimewanya saya tidak tahu. Apa yang pasti cuma saya dan ada seorang lagi cikgu India  - Navanethan dari Sungai Petani sahaja sebagai orang dari luar Kelantan yang mengajar di sekolah itu.

Dalam sukan, saya agak bersyukur sebab Cikgu Mohammed itu guru pendidikan jasmani. Dan di dalam setor ditunjukkannya peralatan sukan dan di antara yang menarik ialah bola besi untuk 'shot put' dan cakera. Kedua-duanya adalah sukan minat saya ketika di kolej. Malah dalam acara melempar cakera saya pernah menyertai sukan kakitangan kerajaan bagi seluruh negeri Johor yang berlangsung di Johor Baru. Ada seorang itu jaguh acara melempar cakera kebangsaan. Namun boleh tahan juga la saya kalau mendapat tempat keenam!

Sebagai orang yang aktif bersukan - itu adalah di antara nyawa sepanjang berada di rantauan. Sebab segala yang lain, saya belum tahu lagi. Apa yang pasti tempat itu masih boleh dikira asing - sebagai kawasan kampung; jadi saya pun nanti akan kena jadi orang kampung juga.

Dan di sepanjang hari itu saya masih memikirkan - keadaan yang masih belum menentu.