Sunday, 24 October 2010

Penjelasan Tentang Wahdatul-wujud II

Oleh: Gujiks

Untuk memahami aqidah wahdatul wujud ini wajar kita memahami maksud sebenar setiap satu perkataan tersebut agar ia tidak tersesar daripada maksud sebenar istilah berkenaan. Ia disebutkan begitu agar tidak dimanipulasikan dengan pengertian yang lain agar ia agak dimurnikan dgn aqidah yang sebenarnya.

Dalam pengajian tauhid, wujud itu hanya terbahagi kepada dua; Wajibul-wujud (yang pasti, iaitu wajib ada = Allah) dan Mumkinun wujud (sama ada ada atau tiada adanya = makhluk ) atau pengertian yang lebih mudah - wajib wujud itu adalah Khaliq dan mumkinul-wujud, iaitu makhluk.

Tiada wujud yang lain selain DUA wujud di atas.

Baitullah adalah qiblatku... ini janji yang akan dijawab dalam kubur nanti

Dalam sifat 20, sifat wujud itu adalah sifat yg pertama disenaraikan dan ia terkelompok dari satu-satu sifat yang tidak dikongsikan dengan sifat-sifat Allah yang lain, iaitu sifat nafsiah dan wujudnya nafsiah ini kembali kepada zat Allah yang menyendiri - tidak menumpang pada yang lain dan tidak ditumpangi dengan yang lain pula.

Sekiranya sifat nafsiah ini (wujud) menumpang atau ditumpangi oleh yang lain maka ia boleh mendatangkan maksud yang Allah 'memerlukan jihah' (arah) dan makan (tempat) yang 7 yang mendatangkan maksud dalam isitilah yang kerap kali diulang-ulang dalam perbahasan sifat 20 sebagai 'memenuhi ruang'.

Sedia maklum bahawa sifat nafisah (wujud) Allah ini adalah bersifat Qadim dan Azali yang tiada permulaan dan tiada penghabisan di mana istilah permulaan dan penghabisan itu memang tiada dalam kamus Allah kerana Allah tidak tertakluk dengan 'masa' kerana masa itu diciptakan oleh Allah dengan perantaran matahari dan bulan.

Ada matahari; ada pagi dan petang; ada siang dan malam kemudian hari mendatang minggu kepada bulan merentasi tahun, dekad, kurun dsb di mana Allah tidak langsung tertakluk dengan 'masa' kesan ciptaan matahariNya itu. Iai disebabkan antara tanda kiamat di dunia ini ialah apabila peraturan perjalanan matahari songsang dengan terbitnya matahari dari arah barat - maka dunia akan kiamat.

Sifat nafsiah (menyendiri) ini bersifat 'mustaqil' dari segala bentuk dan rupa 'kejadian hadis' (baharu /makhluk). Maka ciri-ciri sifat wujud inilah yang membezakan Allah berbanding dengan sifat-sifat wujud tuhan-tuhan ciptaan makluk yang lain.

Ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w yang membawa maksud “Dan adalah Allah itu Esa dan tiada menyertaiNya sesuatu yang lain”.

Maksud menyertaiNya itu boleh difahami bahawa Allah bersifat mustaqil dan ia terpisah dari yang lain. Hatta sifat mustaqil inilah yang memisahkan penyatuan antara Khaliq dan makhluk - dan tidak akan berlaku sama sekali atas nama 'tanzih' (suci) Allah daripada sifat-sifat yang lain.

Soalnya, bagaimana pula dengan pergerakan tubuh badan kita, perkembangan alam sekitar, tumbuh-tumbuhan, binatang, peredaran bumi dan bintang  - bukankah Allah yang ada di situ untuk menunjukkan qudrahNya - membuktikan 'syuhud' kepada Allah?

Itu adalah di antara sifat-sifat Allah yang lain, iaitu sifat Qudarah, Iradah, Ilmu Allah Taala yang terkandung padanya itu dalam kelompok sifat 'maani' yang terdiri padanya itu 7 sifat.

Sifat 'ma`ani' ini berbeza dgn sifat 'nafsiah' (satu-satunya sifat, iaitu wujud). Ia disebabkan sifat ma`ani ini ada padanya perbahasan tentang perkongsian yang mendatangkan perbincangan Af`alLah dan Af`alibad. Perbincangan ini adalah jauh dari perbincangan sifat Wujud Allah Taala dan kita bentangkan dari kalam Imam Alqoni dalam kitab susunan mutiara kalamnya ke-45 di kitab 'Jauhar Tauhid' yang dikafirkan oleh golongan Wahhabi!

فخالق لعبده وماعمل ... موفق لمن أراد أن يصل

Ia bermaksud: "Maka Dialah (Allah), Pencipta hamba-hambaNya dan tindak-tanduk mereka (perbuatan)(Dialah) yang memberi taufiq (iaitu kuasa untuk beramal) kepada hamba yang dia kehendaki untuk memberi rahmatNya serta keredhaanNya."

Dalam kalimah yang pertama فخالق ini, Imam Baijuri rahmatullah alaihi menjelaskan Allah bersifat dengan sifat 'Ijad' (menjadikan) kepada makhluk dan kekuasaanNya dan inilah yang dkenali oleh golongan arifin sebagai بوحدة الأفعال bukan وحدة الوجود seperti yang kita bincangkan sebelum ini.

Hasilnya, maka ASWJ menetapkan yang dimaksudkan dengan wahdatul Af`al ini mendatangkan maksud... sesungguhnya yang mendatangkan bekas المؤثر itu adalah Allah dan yang dijadikan dengan perantaraan sebab dan musabab yang lazim secara kebiasaannya (spt pisau tajam yang sifatnya memotong, dan api yang terbakar ) dan ia juga boleh menyalahi kebiasaannya (kes dalam perkara-perkara mukjizat ).

Adalah difahami bahawa perbuatan Allah adalah bersifat mutlak yang mana ia tidak tertakluk pada sekian perbuatan makluk ... dan perbuatan makluk pula tertakluk kepada perbuatan Allah - dan inilah yang dikenali dalam pengajian sifat 20 sebagai بوحدة الأفعال bukan وحدة الوجود.

No comments:

Post a Comment