Wednesday, 20 October 2010

Apabila Tasawwuf Cuba Dinafikan

Oleh:  rafie1357

Kita sering mendengar dakwaan sesetengah orang yang dangkal ilmunya dan dangkal aqalnya bahawa dia cuma akan ikut Qur'an dan hadis Nabi. Ilmu-ilmu tasawwuf dan tariqat tidak perlu sebab Nabi saw dan sahabat tidak pun mengamalkan.

Ada yang lebih lancang mulut dan tangannya yang menulis bahawa tasawwuf dan tariqat kononnya mengikut ideologi Hindu, ideologi syiah yang sesat dan lain-lain. Wal Iyazubillah! Mudah-mudahan Allah tidak mengunci mati hati mereka.

Perkara ini telah lama berlaku di kalangan umat Islam yang jahil dan juga yang alim fiqh - sesetengahnya memliki ijazah dari universiti!

Saya masih ingat lagi ketika bermuzakarah dengan 'golongan wahhabi' pada tahun 1980 di salah sebuah universiti, di mana mereka tidak menerima Tasawwuf dan tariqat kerana ia bukan amalan Nabi saw, kononnya. Kata mereka "Kami hanya ikut Al-Qur'an dan hadis Nabi."

Saya berkata, "Sekarang kamu kata ikut Al-Qur'an dan hadis Nabi saja. Kamu tak pakai ijtihad ulama tasawwuf sebab kononnya itu semua rekaan para ulama. Baik sekarang saya tanya satu bab mudah dalam Islam. Cuba kamu ceritakan bagaimana kamu mengerjakan solat. Bagaimana kamu mengambil wudhu' Berapa rukun wudhu, dan berapa rukun solat? Apa sah dan batalnya solat? Cuba huraikan.

Mereka semua terdiam sejenak. Kemudian salah seorang 'wahhabi' menjawab dengan berani, "Apa soalan ni, rukun solat tentulah 13 perkara?"

Dek kerana beriman, sanggup tunduk-sujud
biar di mana pun jua?

Saya bertanya, "Mana kamu dapat rukun yang 13 tu? Cuba tunjukkan saya di mana dalam Al-Qur'an atau hadis Nabi menyebut tentang rukun 13 itu secara syummul dan tafsil?"

Dia menjawab : "Oh ya tentulah dari dalam kitab fiqh."

"Kitab fiqh karangan siapa?"

Dia menjawab: "Ijtihad ulama fiqh."

"Jadi kamu ikut ulama fiqh. Kenapa mesti ikut ulama fiqh.? Kenapa merujuk kitab fiqh? Adakah Nabi saw mengamalkan fiqh? Adakah di zaman Nabi saw terdapat ilmu fiqh?"

"Jika kamu mendakwa hanya mahu merujuk kepada Al-Qur'an dan hadis Nabi, saya bertanya berapa banyak ayat Qur'an yang kamu hafal, berapa banyak pula hadis Nabi yang kamu ingat? Ayat Al-Qur'an adalah Kalamullah, mengandungi makna-makna yang sangat tersembunyi. Macamana kamu boleh membezakan mana ayat Al-Qur'an yang muhkamat atau mutashabihat?"

"Demikian dengan hadis-hadis Nabi itu mempunyai ribuan periwayatan. Macamana kamu dapat tahu mana hadis yang sahih dan yang palsu?"

Semua mereka terdiam. Sesetengahnya mengangguk-angguk.

Saya lanjutkan pertanyaan, "Kamu mahu dalil Al-Qur'an dan hadis bagi setiap persoalan. Kalau tak ada dalil qat'ie kamu tak pakai. Ijtihad ulama/perkataan ulama kamu tak terima. Baik sekarang saya nak tanya bagaimana kamu membaca Al-Qur'an? Kamu pasti akan menjawab, dengan bertajwid. Siapa yang ajarkan kamu tajwid? Cuba tunjukkan saya satu dalil di dalam Al-Qur'an yang mengajarkan kaifiyyat membaca 'mad arif li-sukun'? Atau cuba sebut di dalam hadis mana ada menyebut hukum cara membaca 'isymam' mengkut hukum tajwid?"

Semua terdiam lagi.

Hukum-hukum tajwid adalah ijtihad ulama kiraat yang 7. Ulama-ulama kiraat seperti Al-Asim mengijtihadkan kaifiyyat membaca Al-Qur'an menurut sebutan dan tajwid yang betul untuk memudahkan umat Islam mengamalkannya.

Demikian halnya dengan ilmu tasawwuf dan tariqat. Semua amalan itu adalah bersumberkan Al-Qur'an dan hadis Nabi. Ulama-ulama tasawwuf menghimpunkannya menjadi satu disiplin ilmu yang tersusun untuk memudahkan umat Islam mengamalkannya. Sebagaimana juga nama ilmu fiqh yang juga tiada pada zaman Nabi. Ia adalah ijtihad ulama fiqh seperti Imam Shafie dll.

--------------
Kisah ini berlaku di tahun 1980an. Zaman itu sudah berlalu. Sebahagian yang berpegang pada ajaran Wahhabi elah bertaubat dan kembali kepada pegangan Ahlus-Sunnah (sebagaimana juga Ibnu Taimiyyah).

Namun zaman berulang. Yang lama sudah tua! Sekarang timbul generasi muda, dengan setengahnya memegang segulung ijazah di tangan, sekadar hafal beberapa hadis, sudah cuba mencabar ulama-ulama  Ahlus-Sunnah!

Adakah mereka akan sedar? Dan siapa yang akan sedarkan mereka itu?

No comments:

Post a Comment