Perbahasan berkenaan "Wahdatul-wujud" ini ada dua golongan yang memahaminya secara berbeza iaitu:
Pertama: Kefahaman yang Salah Tentang Wahdatul-Wujud:
Golongan yang memahami "Wahdatul-wujud" dengan bermaksud: Allah dan makhluk adalah satu. Iaitu, makhluk bersatu dengan Allah. Mereka memahami Wahdatul-wujud sebagai fahaman hulul (Allah bergabung dalam makhluk) dan ittihad (Allah dan makhluk adalah satu pada zat).
Hasil daripada kefahaman yang salah berkenaan Wahdatul wujud ini, melahirkan dua golongan:
Golongan yang menolak Wahdatul-wujud ini lalu menghukum sesat orang-orang yang berpegang dengan Wahdatul-wujud ini. Golongan ini benar dari satu sudut, tetapi salah dari satu sudut yang lain. Mereka benar dari satu sudut kerana menolak Wahdatul-wujud dengan makna hulul dan ittihad ini kerana hulul dan ittihad adalah kesesatan yang nyata.
Namun, mereka salah dari sudut menyesatkan seluruh golongan yang berpegang dengan Wahdatul-wujud ini kerana majoriti para sufi dan ahli tasawwuf yang benar, yang bercakap tentang Wahdatul-wujud ini tidak memahami Wahdatul-wujud ini dengan fahaman yang salah, iaitu dengan maksud hulul dan ittihad.
Kedua: golongan yang berpegang dengan Wahdatul-wujud yang bermakna hulul dan ittihad ini, lalu mereka ini memperjuangkan ketuhanan diri mereka sendiri dengan mengaku tuhan dan sebagainya. Mereka adalah golongan yang sesat lagi menyesatkan. Mereka lebih mendakwa diri mereka sebagai golongan hakikat. Namun, golongan sufi dan ahli tasawwuf yang benar, yang bersuluhkan Al-Qur'an dan As-Sunnah, berlepas tangan daripada golongan ini.
Kedua: Kefahaman yang Benar Tentang Wahdatul-Wujud
Diri yang wujud selepas tidak wujud,
maka dia menyedari bahawa dirinya adalah hamba
Inilah maksud sebenar Wahdatul-wujud yang dihayati oleh orang-orang arif dari kalangan para sufi. Mereka menghayati dan merasai kewujudan mereka, bahkan seluruh kewujudan makhluk Allah s.w.t. adalah daripada Allah s.w.t. yang telah menciptakan mereka daripada tiada. Jadi, mereka tidak merasakan wujud mereka tersendiri (mustaqil), tetapi kewujudan mereka denganNya (dengan bantuan dan izinNya).
Dengan kefahaman ini, tiada seorang pun yang beraqidah yang murni, mampu menafikannya. Kalau ada orang yang menafikan Wahdatul-wujud dengan makna ini, maka dialah pada hakikatnya seorang yang sesat, kerana tiada yang wujud secara mustaqil (tersendiri), kecuali Allah s.w.t. kerana hanya Allah s.w.t. sahaja yang bersifat dengan qiyamuhu binafsihi (berdiri dengan diriNya sendiri) sedangkan seluruh makhluk berdiri dengan Allah s.w.t. (dengan bantuan dan izin Allah s.w.t.).
Orang-orang yang mengingkari bahkan menyesatkan golongan arif billah (seperti Sheikh Ibn 'Arabi, Sheikh Al-Jili dan sebagainya) dan para sufi yang mengetengahkan Wahdatul-wujud ini, hanya mengingkari mereka kerana jahil dengan maksud Wahdatul-wujud di sisi para sufi itu sendiri, lalu salah faham dengan memahami Wahdatul-wujud sebagai hulul dan ittihad. Maka, mereka sebenarnya mengingkari khalayan mereka sendiri tentang kaum sufi, padahal kaum sufi yang benar berlepas tangan daripada pengingkaran mereka dan khayalan orang-orang yang mengingkari.
Hakikatnya, Wahdatul-wujud ialah, apabila seseorang sudah menghayati rasa kewujudan dirinya dan seluruh perbuatan dirinya serta yang berlaku dalam alam ini adalah daripada Allah s.w.t.. maka seluruh pergerakan makhluk termasuklah perbuatan manusia, sebenarnya dengan Allah s.w.t., iaitu dengan kewujudan, kekuasaan, bantuan dan izin Allah s.w.t.. Kalau ini bukan aqidah Islam, bagaimana pula aqidah Islam itu? Adakah setiap makhluk ada kuasa dirinya sendiri yang mutlak? Tentu tidak sama sekali!
Jika kita singkap buku-buku ahlus-sunnah wal-jamaah, sudah pasti kita akan dapati, mereka berbincang tentang sifat-sifat yang wajib bagi Allah s.w.t., sifat-sifat yang mustahil bagi Allah s.w.t. dan yang harus bagi Allah s.w.t.. Dalam perbahasan mereka, seseorang pasti mendapati perbahasan tentang tauhid af'aal, iaitu setiap perbuatan yang berlaku, dalam makhluk itu, hakikatnya kembali kepada Allah s.w.t..
Seluruh alam ini bergerak di bawah kekuasaan Allah s.w.t. Bahkan, seluruh makhluk wujud dengan penciptaan Allah s.w.t.. Semua makhluk meneruskan kewujudan mereka dengan penjagaan Allah s.w.t. melalui nikmat imdaad (bantuan Allah s.w.t.). Inilah hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh setiap orang Islam. Maka, seluruh makhluk adalah daripada perbuatan Allah s.w.t. yang mana perbuatan tersebut daripada sifat qudrah Allah s.w.t.. Ia (penciptaan dan penjagaan Allah s.w.t.) dikenali dengan sifat af'al Allah s.w.t. (sifat perbuatan-perbuatan Allah s.w.t.).
Tiada yang bergerak di dalam kerajaan Allah s.w.t. tanpa kehendak daripadaNya. Inilah hakikat sifat iradah dan qudrah Allah s.w.t.. Dari sinilah timbulnya tauhid af'al, di mana segala yang berlaku dalam alam ini daripada kehendak Allah s.w.t. dan dengan kekuasaanNya.
Wahdatul-wujud pula ialah, suatu penyaksian dalam lubuk hati terdalam manusia (sirr) terhadap tauhid af'al ini pada permulaannya (seterusnya kepada tauhid sifat dan tauhid zat), dan penghayatan kepada makna tersebut dalam seluruh kehidupannya. Hal ini hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang sudah meleburkan hawa nafsunya yang sentiasa mengajak kepada kejahatan, sehingga nafsu itu tenang dalam ketaatan kepadaNya, dan tenang dengan merasai kebersamaanNya dalam ketaatan tersebut (mutma'innah).
Adapun secara teori, seseorang yang lalai daripada Allah s.w.t. pun boleh menghafal sifat dua puluh yang wajib bagi Allah s.w.t. tersebut seperti qudrah (kekuasaan), iradah (kehendak) dan sifat-sifat lain bagi Allah s.w.t., namun tidak mampu merasainya dalam bentuk penghayatan dalam segenap kehidupannya. Oleh kerana itulah, kita dapati betapa ramai dari kalangan orang-orang Islam itu yang menghafal sifat-sifat bagi Allah s.w.t., lalu mengetahui bahawasanya Allah s.w.t. itu wujud, Maha Berkuasa dan sebagainya namun masih sanggup menderhakaiNya? Bagaimanakah seseorang yang mengetahui Allah s.w.t. itu wujud dan Maha Berkuasa, dalam masa yang sama sanggup menderhakai Allah s.w.t? Bagaimana seseorang masih sanggup menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tuhu bahawa seluruh kehidupan dan tenaganya adalah daripada Allah s.w.t? Bagaimana seseorang sanggup mengunakan tenaga dan keupayaannya untuk menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tahu bahawa semua tenaga, nyawa dan segala-galanya adalah daripada Allah s.w.t?
Hal ini kembali kepada penghayatan seseorang itu terhadap sifat-sifat Allah s.w.t. Hal ini (ketaatan mutlak kepadaNya) tidak akan berlaku dengan cara menghafal sifat-sifat Allah s.w.t. semata-mata, tetapi perlu kepada proses melawan hawa nafsu juga (mujahadah An-Nafs).
Proses menuju penghayatan terhadap kewujudan Allah s.w.t. dalam kehidupan seseorang manusia, dimulai dengan proses mujahadah an-nafs (melawan hawa nafsu) dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan maksiat terhadapNya, seterusnya diiringi oleh proses zikir yang berpanjangan sehingga nama-nama Allah s.w.t. tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk penghayatan dalam hati hamba tersebut.
Proses mengukir nama Allah s.w.t. dalam hati seseorang melalui zikir yang diambil secara talqin daripada seseorang mursyid yang kamil, yang bersambung sanad zikir tersebut sehingga kepada Rasulullah s.a.w. merupakan suatu proses perjalanan kerohanian ke arah menghayati kewujudan Allah s.w.t. di sebalik kehidupan hamba tersebut.
Dengan zikir hati yang berpanjangan - dengan izin Allah s.w.t. seseorang akan lebur daripada merasai kewujudan dirinya sendiri. Hal ini dikenali sebagai fana' (lebur), iaitu penyaksian hatinya tenggelam dalam menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. sehingga tidak menyedari lagi kewujudan dirinya sendiri. Ini suatu keadaan di mana seseorang itu sibuk dalam menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. sehingga tidak menyedari lagi akan kewujudan dirinya. Dia tenggelam dalam musyahadah Allah s.w.t. dan tidak lagi diselaputi oleh kekotoran selain daripada Allah s.w.t.. Hatinya sentiasa fokus kepada Allah s.w.t..
Ada dari kalangan mereka yang fana' ini terus dikekalkan dalam keadaan fana' oleh Allah s.w.t. dan ada dari kalangan mereka yang dikembalikan kesedaran diri mereka sehingga dia menyedari semula kewujudan dirinya dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. yang Maha Esa dalam bentuk penghayatan yang berkekalan.
Namun, mereka yang dikembalikan kesedaran diri dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. di sebalik kewujudan alam ini, lalu menghayati bahawa seluruh alam ini, termasuklah kewujudan dirinya merupakan kewujudan dengan Allah s.w.t. Di mana dia menghayati dan menyaksikan dengan mata hatinya, secara tahqiq, bahawa seluruh makhluk wujud dengan pentadbiran, kekuasaan dan izin Allah s.w.t.. Pada ketika ini, si hamba tersebut baqo' (kekal) dengan keabadian Allah s.w.t. kerana sentiasa menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. yang Maha Kekal dalam mata hatinya.
Hatinya kekal dalam penyaksian kepada Allah s.w.t. dan jasadnya bersama dengan makhluk. Hatinya bersama dengan Allah s.w.t. dan menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t. dalam masa yang sama jasadnya dalam kehambaan kepadaNya, dengan melaksanakan seluruh syariatNya.
Penyaksian terhadap hakikat bahawa segala makhluk wujud dengan bantuan Allah s.w.t. dan terus wujud dalam kekuasaanNya inilah yang dikenali di sisi kaum sufi sebagai Wahdatul-wujud (kesatuan-wujud), bukan seperti prasangka orang-orang yang mengingkarinya. Hakikatnya, Wahdatul-wujud dalam erti kata sebenar adalah wihdatus-syuhud, iaitu menyaksikan hanya Allah s.w.t. sahaja yang wujud secara mustaqil (terasing) dan hakiki. Adapun selain daripadaNya, wujud dengan Allah s.w.t. bukan dengan diri mereka sendiri!
No comments:
Post a Comment