Mereka mungkin fikirkan latihan amali yang teman peroleh di kolej dulu tidakkan sama dengan mengajar dalam suasana sebenar. Apa tidaknya, kolejnya di Johor Bahru - latihan mengajar di SMK Gelang Patah - dekat tempat kapal terbang meletup di udara, kemudian di SMK Masai. Inikan pula mengajar di SMK Seri Gunung - sebuah sekolah nun jauh di Kelantan - kawasan 'buang' daerah bagi orang pantai barat! Pada orang Kelantan sendiri pun Gunung pada masa itu masih dikira ceruk atau orangnya masih 'daghat', bagi orang tempatan.
Mungkin benar, sebab kambing-lembu masih boleh merayau hingga ke pintu bilik darjah. Ramai muridnya yang terpaksa jalan lecak dan naik batas sejauh 7km entah dari kampung terpencil mana?
Anak kecil orang kampung
Apa pun teman hargai di atas ketidak-percayaan itu. Untungnya ada - boleh tidur sampai ke lewat pagi... bangun baru bersiap-siap untuk pergi ke sekolah dengan 'mood' yang malas dan tidak bermaya. Entah macam mana sejak kes Jamilah itu riuh diperkatakan, teman tiba-tiba saja ditukarkan ke sessi petang. Teman hanya dapat mengajar di Tingkatan I dan II itupun kelas yang corot; bodo piang! Kelas Tingkatan IIIA dan B serta Tingkatan IV sudah tidak merasa lagi.
Tingkatan V belum ada lagi. Maklumlah sekolah baru.
Tingkatan V belum ada lagi. Maklumlah sekolah baru.
"Kau pi sekali dengan kitaorang la," jelas Azraei sambil mengupar tuala masam di kepalanya. Dia baru lepas mandi di bilik belakang.
Aku menjeling pada Cikgu Samad - yang masih macam orang bodo di ruang tamu. Jam sudah pun pukul 10.00pagi. Baru bangun tidur tanpa sekor pun yang solat (kena panggil sekor. Klu orang, dia tau tanggungjawab terhadap Khaliq, Pencipta dirinya!). Teman pun sama juga - solat celum-celam mana yang sempat. Kalau tidak perlu... kalau tiada hal lain yang mendesak baru solat. Itupun solat cara ekspres!
Cikgu Hassan, yang berasal dari Teluk Intan sudah lama keluarnya - mengajar sessi pagi di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat - 20km dari situ. Dia satu-satunya cikgu yang ada Mini Cooper S warna beige dengan bumbung warna petak dam; hitam-putih - top di seluruh pekan Kota Bharu. Ia menjadi kegilaan gadis dan janda muda! Satu lagi Cikgu Roshidi yang jarang-jarang balik ke situ. Dia guru yang hebat - mengajar di Sekolah Menengah Sains Pengkalan Chepa. Hebatnya sebab dia pakai Volvo 122S warna biru - mengalahkan Guru Besar sekolahnya sendiri.
Seorang lagi Cikgu Shuhaili - pun mengajar sessi pagi. Dia mengajar agak jauh dari bandar ibu negeri itu. Awal-awal lagi dia sudah bertolak naik kereta sewa (teksi la tu) menuju ke Bachok. Dialah satu-satunya cikgu yang tidak pernah naik bas! Dia mengajar di Sekolah Kebangsaan. Dialah cikgu muda yang kesemua bajunya mesti dari jenama 'Arrow' - masa tu harganya RM12, RM16 atau RM18. Paling mahal RM24 berbanding baju biasa RM7.50/helai yang teman pakai. Jadi, dia mesti sentiasa smart bergaya. Rajin pakai sunglass 'Ray-ban' warna coklat.
Sama gayanya dengan seorang lagi teman serumah - Cikgu Fatah misai tebal mengalahkan pelakon top Indonesia - Rahmat Kartolo. Matanya agak sepet dihiasi bibir seksi yang sentiasa berair - lapar. Handsome orangnya, tetapi tidak pernah mengaku selalu celok baju 'Arrow' Shuhaili. Fatah juga mengajar di Bachok, tetapi di sekolah menengah. Dia pun mengajar di sessi petang juga. Itupun pergi ke sekolah dengan menaiki kereta sewa.
"Untung juga kau kena ngajar petang... tak berebut macam Hassan sama Shuhaili tu," jelas Azraei lagi sambil mundar-mandir. Sesekali teman menjeling pada dada keringnya - agak melengkung. Dia seakan menjadi jurucakap kepada Cikgu Samad yang masih mengelamun.
Teman mengangguk-ngangguk tanda setuju sambil mengelak sedikit. Apa tidaknya, kawasan perumahan itu sah berada jauh dari pekan Kota Bahru. Seingat teman, dari jalan besar di simpang ke Kota Bahru - dari Kubang Kerian pun kami melencong agak jauh ke kiri menghala ke Kuala Krai. Mungkin di kawasan Ketereh, agaknya. Dan sebaik masuk ke kawasan perumahan itu pun banyak sekali beloknya - untuk sampai di barisan paling belakang berdekatan dengan kampung tradisi yang penuh dengan semak dan hutan.
Apa pun teman bersyukur, sekurang-kurangnya ada pelawaan dari teman baru itu untuk sama-sama naik kereta sports MG Midget milik Cikgu Samad. Jika tidak, teman kena berjalan kaki ke luar dari kawasan perumahan itu - satu fasal. Kemudian tunggu bas atau kereta sewa di tepi Jalan Kuala Krai itu untuk sampai ke bandar Kota Bharu - pun satu fasal. Dari situ naik pula kereta sewa atau bas menuju ke Gunung - sejam perjalanan duduk melahu sahaja di atas bas; lagi satu fasal!
Keadaan agak sunyi... semua tingkap belum berbuka dan dengan tidak semena-mena teman terperasan ada dua orang wanita dalam rumah itu. Ada kedengaran suara wanita bercakap sesama mereka - dengan loghat tempatan. Kemudian seorang daripadanya keluar dari bilik belakang menuju ke bilik mandi - pakai kain batik dan berbaju kebaya. Teman kehairanan sambil tertoleh ke sana-sini; tercari-cari kot ada jawapan yang dapat diberi. Namun Azraei hanya berlagak biasa di depan cermin.
"Err... kawan Fatah tu," bisiknya sambil lalu membelakangkan teman. Dia pergi duduk berhadapan Cikgu Samad di ruang tamu. "Semalam... diaorang tak sempat balik."
Teman menarik nafas panjang. Tidak mengerti. Sebentar kemudian Cikgu Fatah pulang dengan dua bungkusan di tangan. Pintu yang terbuka luas menerjahkan cahaya terang dari luar. Mata teman silau dibuatnya.
"Hahh... ingatkan tak bangun lagi," Cikgu Fatah menegur.
Tiada jawapan. Dia masuk terus ke belakang meletakkan bungkusan di tangannya ke atas meja makan di dapur. Ia bungkusan nasi berlauk - melihat daripada cara bungkusannya itu. Kemudian kedengaran suara wanita lain menegurnya di sana - yang tidak jelas buah butir percakapannya. Ada seorang lagi yang baru keluar dari bilik belakang itu.
Teman menjeling - ternampak seorang wanita berbaju kebaya dengan kain berbelah di depan. Dia nampak bersahaja meninjau ke atas meja.
"Ooi... demo mandi ko wat gapo tuu?" dia bersuara menghala ke bilik air kepada kawan yang sedang mandi.
"Ooo... gegei demo weiii!" kedengaran suara dari dalam itu menyahut.
Kemudian dia masuk ke dalam bilik itu semula bersama dengan Cikgu Fatah yang mengekorinya dari belakang.
No comments:
Post a Comment