Wednesday, 20 October 2010

Kewajipan Mengamalkan Tasawwuf & Bahaya Jika Ditinggalkan

Susunan: Tok Kelana

1.0 MUQADDIMAH

Berdasarkan pegangan Ahlus-Sunnah wal-Jamaah, menuntut ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf serta mengamalkannya adalah fardhu 'ain atas setiap mukallaf lelaki dan wanita.

Ilmu fiqh adalah berkaitan perlakuan serta ibadah dan muamalah zahir. Ilmu tauhid adalah berkaitan keimanan dan kepercayaan kepada Allah dan segala yang ghaib. Ilmu tasawwuf adalah berkaitan penyucian hati, aqal dan ruh daripada segala kekotoran yang berunsur nafsu, dunia dan syaitan.

Kebanyakan kita sedia maklum tentang ketiga-tiga ilmu ini. Tetapi apa yang ingin kita paparkan dalam kesempatan ini adalah kelemahan ummat Islam pada zaman ini yang kebanyakannya mengabaikan ilmu tasawwuf yang menjadi nadi kesucian dan kekuatan diri. Dalam ertikata penyempurnaan kepada kepada sifat-sifat mu'min itu telah diabaikan.
... dengan tujuan yang satu: tunduk menghambakan diri!

Mulai dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah dan akhirnya ke peringkat universiti kita diajar dengan berbagai bidang ibadah solat, puasa, zakat dll. Alhamdulillah. Tetapi malang sekali sangat sedikit atau tiada langsung diajar tentang ilmu tentang sifat-sifat nafsu, kebinasaan yang dihasilkan oleh nafsu kejahatan, kaedah-kaedah memerangi nafsu dan syaitan yang merosakkan jiwa. Sedangkan penyucian jiwa ini adalah yang paling penting dalam kehidupan seorang yang beriman kepada Allah Ta'ala berdasarkan Firman Allah Ta'ala;

يَوْمَ لاَ يَنفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ - إِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
"Pada hari itu tiada berguna harta dan anak-pinak kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)".  -  Ash-Shuara 26: 89 

Dan Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalb (hati).  -  Riwayat Bukhari.

Apa yang disebut di dalam ayat-ayat di atas adalah berkenaan hati yang sejahtra, hati yang suci, hati yang bebas dari syirik dari semua bentuk mazmumah. Hanya hati yang suci ini sahaja yang akan selamat dunia dan akhirat. Hanya hati yang suci ini mampu menghadapi sakratul maut yang sangat dahsyat. Hanya hati yang sejahtera ini dapat ketenangan di dalam kuburnya. Hanya hati yang tenang ini akan memperoleh keampunan dan rahmat Ilahi di perhimpunan mahsyar nanti.

Untuk mendapat hati yang sejahtera daripada syirik khafi, bebas dari mazmumah - (sifat-sifat kekejian) dan memperoleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seseorang wajib menuntut ilmu tasawwuf dan mengamalkannya.

2.0 PENTINGNYA TASAWWUF DALAM IBADAH DAN KEHIDUPAN

Sebagaimana kita bicarakan sebelum ini bahawa menuntut ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf menjadi kewajipan: fardhu ain atas setiap mukallaf lelaki dan wanita. Serta mengamalkannya dalam kehidupan tanpa memisah-misahkannya. Semua hukum yang terkandung di dalam fiqh, tauhid dan tasawwuf adalah bersumberkan Al-Qur’an kitabullah dan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم

Mari kita lihat satu contoh bagaimana hubungan-hubungan ini berlaku. Iaitu ibadah solat yang dikerjakan setiap hari.

Apabila seseorang melakukan solat dengan mematuhi syarat-syarat dan rukun solat dengan sempurna sebagaimana terkandung dalam ilmu fiqh, maka sah solatnya dari sudut fiqh dan terlepas dia dari taklif syara’. Tetapi dia belum terlepas dari hukum-hukum yang menyentuh batinnya; iaitu adakah dia benar-benar khusyu’ di dalam solatnya? Adakah dia riya’ ketika solatnya? Adakah dia ‘ujub selepas solatnya? Semua ini tidak diketahui oleh manusia lain - dari sudut fiqh dia selamat, tetapi pada pandangan Allah swt yang melihat pada hati dia belum entu lagi selamat.

Dalam ertikata lain seseorang wajib menyempurnakan syarat-syarat fiqh dan pada masa yang sama wajib berusaha sedaya upaya memenuhi syarat-syarat batin. Mengapa kita kata “wajib berusaha sedaya upaya”? Ini kerana kebanyakan kita akan menghadapi gangguan hati ketika solat. Gangguan ini adalah daripada nafsu dan syaitan. Maka wajib bagi seseorang itu berusaha membenteras gangguan ini dengan berbagai cara yang diajarkan oleh ulama-ulama tasawwuf.

Ini bermakna seseorang yang melakukan solat dengan sempurna pada fiqh, tetapi pada masa yang sama riya’ ketika solatnya, iaitu perasaan riya’ yang dikekalkan di dalam hati (ikhtiari) maka binasa solatnya! Ia berpunca riya’ itu adalah syirik khafi (syirik yang tersembunyi) yang wajib disingkirkan/dibuang dari hati.

Demikian juga seseorang yang mengerjakan solat wajib mesti berusaha sedaya upaya agar khusyu' di dalam solatnya. Ia memandangkan khusyu dalam solat adalah isi kepada batin solat tersebut. Seseorang yang mengerjakan solat sedangkan hatinya langsung lalai dari awal sampai ke akhir, maka ini juga termasuk orang yang diancam dengan “neraka wail”.

Sebagaimana kata Imam Hasan Basri, “Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai adalah ia lebih dekat kepada neraka”.

Maksudnya adalah wajib bagi seseorang itu berusaha sungguh-sungguh agar tidak termasuk ke dalam golongan yang lalai dalam solatnya. Walaupun ia bukan perkara mudah, tetapi wajib kita berusaha sedaya upaya agar khusyu’ dalam ibadah tersebut.

Di sini kita lihat betapa pentingnya kita menuntut ilmu tasawwuf dan mengamalkannya di samping ilmu fiqh agar segala ibadah tidak menjadi sia-sia. Jangan pada zahir kita nampak cantik, sedangkan batin kita hodoh dan tercemar. Ia memandangkan Allah Ta’ala tidak memandang kepada kecantikan rupa paras zahir, tetapi Dia melihat pada batin yang tersembunyi. Di sisi Allah tiada erti segala kecantikan rupa, tetapi kecantikan yang menjadi tempat jatuh pandangan Allah adalah di hati mansusia.

3.0 DALIL-DALIL WAJIB AMALKAN TASAWWUF

Kita dapati pada zaman ini kebanyakan ummat Islam hanya mengambil fiqh, sedangkan tasawwuf diabaikan. Apakah puncanya?

Sebahagian besar ummat Islam masih keliru atau telah dikelirukan oleh fahaman bahawa tasawwuf adalah untuk orang-orang tertentu. Ada juga yang mengatakan tasawwuf hanya sebagai amalan sampingan untuk mendapat kelebihan, bukan sebagai satu kewajipan. Berbagai pendapat ini dan banyak lagi pendapat lain adalah bertentangan sama sekali dengan apa yang dinyatakan oleh seluruh ulama-ulama mu'tabar.

i) Kewajipan menyucikan hati dari berbagai penyakit syirik, nifaq dan sifat-sifat mazmumah serta menghiasinya dengan iman, taqwa dan sifat-sifat mahmudah sebagaimana yang dihuraikan dalam tasawwuf adalah berdasarkan banyak bukti di dalam Al_Qur'an dan hadis Nabi. Di antaranya; Firman Allah:

يَوْمَ لاَ يَنفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ - إِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
"Pada hari itu tiada berguna harta dan anak-pinak kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)." - Ash-Shuara 26: 89 

Dan Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalb (hati). -  Riwayat Bukhari.

ii) Ilmu tasawwuf adalah sebahagian daripada syariat Nabi yang dihimpunkan oleh ulama-ulama berdasarkan Al-Qur'an dan Sunnah. Ia mengandungi hukum-hukum haram dan halal yang menyentuh batin/kelakuan hati manusia.

Contohnya: Hasad, jahat sangka, takabbur, ujub, ria' adalah termasuk perkara-perkara yang diharamkan pada hati. Sesiapa yang ada sifat-sifat ini, wajib membuangnya segera bukan sebagai sunnat atau menuntut kelebihan. Hal ini didasarkan kepada perintah Allah dan hadis-hadis Nabi yang soheh. Umpamanya takabbur adalah antara sifat iblis yang sangat tercela dan diharamkan.

Rasulullah shalallahu صلى الله عليه وسلم bersabda:
"Tidak akan masuk syurga barang siapa di dalam hatinya terdapat setitik kesombongan." - Muslim

Maka wajib bagi setiap mukallaf menyucikan batinnya daripada sifat takabbur ini. Demikian halnya sifat-sifat kekejian yang lain menjadi wajib atas kita menyucikannya. Ia disebabkan kesemua sifat ini bukan saja merosakkan amal bahkan lebih buruk daripada itu menjadi punca kepada kemurkaan Allah Ta'ala serta menjadi sebab untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

iii) Seluruh ulama mu'tabar telah bersepakat bahawa menuntut dan mengamalkan tasawwuf adalah wajib aini atas setiap mukallaf lelaki dan wanita. Di sini kita kemukakan beberapa keterangan ulama-ulama mu'tabar.

Kata Imam Malik رضي الله عه :
"Fiqh tanpa tasawwuf adalah fasiq. Tasawwuf tanpa fiqh adalah zindiq. Menghimpun antara keduanya itu yang haq."

Kata-kata ini telah disepakati oleh seluruh ulama arifin walaupun dengan makna yang berbeza-beza, tetapi membawa kepada maksud yang sama. Iaitu wajib menghimpunkan kedua-dua fiqh dan tasawwuf. Jika mengamalkan fiqh semata-mata tanpa disertai tasawwuf boleh membawa seseorang itu kepada menjadi fasiq. Wal Iyazubillah.

Berkata Imam Ghazali رضي الله عه :
“Sedangkan ilmu tentang qalbu dan mengenal penyakitnya, berupa iri dengki, ujub, dan riya’ serta semisalnya, adalah fardu ‘ain”.

Kata Ibnu Abidin dalam catatannya :
“Mengenal ikhlas, ujub, riya’, dengki, adalah fardlu ‘ain, begitu juga mengenal penyakit-penyakit jiwa seperti sombong, dendam, menipu, marah, membuat permusuhan, dendam, tamak, bakhil, boros, pengkhianatan dan wah-wahan, sombong terhadap kebenaran, pengkhianatan, keras hati dan panjang angan-angan, dan sebagainya merupakan penyakit hati, yang dibedah dalam seperempat kitab bab perilaku yang menghancurkan, oleh Al-Ghazaly dalam kitab Al-Ihya’ disebutkan, “Sudah tidak ada alasan lagi untuk menolak, seharusnya siapa pun mempelajari penyakit-penyakit itu sebagai kewajipan.” -  Hasyiyah Ibnu Abidin

Berkata Shaikh Abdul Wahab Asy-Sya'rani :
"Telah diketahui bahwasanya tiap-tiap orang yang tidak mengambil daripada sheikh ahli sufi yang menunjukkan kepada jalan yang mengeluarkannya daripada segala sifat tercela, yakni segala maksiat yang batin seperti riya', ujub takbur, hasad, kasih kepada dunia, bakhil dan barang sebagainya, maka adalah dia melakukan maksiat kepada Allah Ta'ala dan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam kerana dia tidak akan mendapat petunjuk bagi mengubati segala penyakit batin itu melainkan dengan syeikh walaupun dia menghafaz kitab di dalam ilmu yang lain daripada ilmu tasawwuf itu sekalipun." -  Masyariq Al-Anwar Al-Qudsiyyah

Banyak lagi kata ulama mu'tabar yang kesemuanya telah menunjukkan akan kewajipan mengamalkan tasawwuf dan larangan daripada meninggalkannya.

Nota:
Awal agama mengenal Allah, untuk mengenal Allah kenalilah siapa diri kita dahulu sama ada kita ini hamba atau tuan? Selaku hamba adakah tingkah laku kita selayak hamba atau cuma bermain di bibir sahaja? Ikhlas yang banyak tingkatannya itu akan meletakkan kita di tahap mana kedudukan. Tiada tuhan melainkan Allah zikir kita, benarkah begitu? Nabi Muhamad saw pesuruh Allah, bagaimana bentuknya iman kita dalam mengenal dan mentaati saranan baginda? Al-Quran sebagai panduan... adakah benar kita berpandukannya secara keseluruhannya? Hidup ini kerana Allah (dikeranakan Allahlah kita dapat hidup) fahamilah maksud 'kerana Allah' itu dengan mendalam berdasarkan tauhid. Ini didasarkan bahawa tiada sedikit pun kekuatan walaupun sebesar zarah pada makhluk melainkan dengan kehendak Dia.

No comments:

Post a Comment