Sunday, 31 October 2010

Hadis Tentang Perlu Solat Berjemaah

Raudhah di Mesjid Nabawiyah, Madinah


Hadis 1
Abdullah Bin Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesiapa mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solah berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya(uzur) daripada menyertai solah berjemaah maka solah yang dikerjakannya itu tidak akan diterima." Para sahabat bertanya, "Apakah uzur itu?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Takut atau sakit."  -  Riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Hibban.

Hadis 2
Diriwayatkan daripada Muaz bin Anas r.a daripada Rasulullah s.a.w bahawa Baginda s.a.w telah bersabda, "Sungguh-sungguh zalim, kufur dan nifaq bagi mereka yang mendengar penyeru Allah s.w.t yakni muazzin yang menyeru kepada solah, tetapi mereka tidak pergi menyertai solah berjemaah. - Riwayat Imam Ahmad dan Tabarani.

Hadis 3
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya aku benar-benar berhasrat untuk menyuruh anak-anak muda mengumpul kayu api untukku, kemudian aku ingin pergi kepada mereka yang bersolah di rumah tanpa sebarang keuzuran lalu membakar rumah mereka." - Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Tirmizi.

Hadis 4
Daripada Abu Darda r.a bahawa beliau berkata aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, "Sekiranya terdapat tiga orang di sebuah kampung atau padang pasir dan mereka tidak mendirikan solah berjemaah maka pasti syaitan akan menguasai mereka. Oleh itu, hendaklah kamu mengambil berat tentang solah berjemaah kerana sesungguhnya kambing yang bersendirian akan dimakan oleh serigala."  -  Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasai.

Hadis 5
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.a bahawa beliau telah ditanya mengenai seorang yang berpuasa sepanjang hari dan beribadat sepanjang malam, tetapi tidak pergi mengerjakan solah berjemaah dan solah Jumaat. Beliau menjawab, "Dia ialah penghuni neraka."  -  Hadith Riwayat Imam Tirmizi.

Selain daripada ini ada banyak lagi amaran kerana meninggalkan solat berjemaah. Bagi orang Islam, sebenarnya tidak perlu kepada satu ancaman pun, berupa perintah Allah s.w.t dan RasulNya adalah yang paling berharga bagi mereka. Bagi mereka yang tidak menghargai perintah-perintah Allah s.w.t dan RasulNya maka ribuan bentuk ancaman pun tidak memberi sebarang kesan. Apabila sampai waktu akan menerima azab barulah mereka akan menyesal, tetapi sudah tidak berguna lagi.



Nota Peringatan:

"Sumber penetapan hukum atau permasalahan Islam bergantung kepada Al-Quran dan Sunnah. Dalam masa yang sama kita jangan lupa pada Ijma', Qiyas, Masalih Mursalah, Uruf, Istishab dsb."

Saturday, 30 October 2010

Sikap Orientalis terhadap Tasauf

Tasauf mempunyai kedudukan yang hebat di kalangan ulama Islam sendiri. Namun di kalangan para orientalis, tasauf merupakan wajah buruk yang amat digeruni. Namun ia tetap memberikan keuntungan kepada aliran tasauf - apabila banyak kajian dibuat terhadapnya. Ia menjadi lebih terbuka dan mendatangkan faedah besar kepada kaum muslimin sekelian - apabila dapat menilai harga tasauf dan ilmunya.

Namun bagi para orientalis, kajian yang dibuat terhadap tasauf tidak sedikit pun memberikan munafaat kepada gerakan mereka. Puncanya, sebab mereka lebih berminat akan sisi gelap - mencari kelemahan dan kesilapan yang boleh mencacatkan rupa wajah Islam di mata ramai. Ini memang diketahui apabila pihak gereja melarang keras mana-mana pengikutnya daripada menulis tentang Islam KECUALI jika tulisan dan kajian itu boleh mendatangkan keraguan terhadap Islam, atau pihak gereja mendapat munafaat dan keuntungan daripadanya.

Pada dasarnya, ilmu tasauf mempunyai kekuatan tersendiri dalam gerakan Islam; di mana kalau terjadi peperangan orang-orang yang kuat berpegang kepada tasauf akan rela mati dan paling keras mempertahankan saf Islam. Kesannya, para orientalis terpaksa bekerja keras mencari fakta untuk merosakkan fikiran ramai terhadap tasauf.

Namun pada ulama Islam, usaha pihak orientalis tidak sedikit pun merugikan Islam walaupun serangan dan tujuannya jahat sekali. Ia berpunca apabila ilham-ilham suci yang ada dalam Al-Quran itu tidak meresap masuk ke dalam nubari mereka. Ia dipelajari bukan sebagai ubat penawar, tetapi sekadar mencari apa yang belum tentu benar dan selari dengan pendapat mereka.

Jadi, mereka akan jauh daripada jiwa Islam apatah pula untuk memahami tasauf. Dan perlu diingat, jiwa dan ruh yang terdapat dalam tasauf tidak mungkin masuk ke dalam kalbu mereka. Mereka jelas tidak dapat merasai zauk tasauf tanpa mengetahui tujuan sebenar tasauf. Secara umum dilihat, mereka bersentuh kulit pun tidak - apatah lagi untuk mendapat ilham atau kasyaf hati dalam ilmu tasauf.

Dalam meneroka tasauf, puak orientalis sekadar berpegang kepada logik mereka yang biasa. Mereka menulis atau berbicara melalui tanggapan biasa - melalui jalan tegang dan bertahkim kepada filsafat kebendaan, iaitu dari skop materialisme yang menjadi 'agama' mereka. Jadi, mana mungkin mereka akan sampai kepada hakikat tasauf - sedangkan tasauf terdiri daripada empat sekawan; zauk, ilham, ibadat dan iman.

Sifat sangsi terlalu besar dalam menguasai diri mereka terhadap sesuatu yang berkait dengan Islam. Contohnya, Masinion - seorang Perancis yang mengatakan bahawa ilmu tasauf itu datangnya dari luar - "Tasauf Islam adalah pindahan dari agama Majusi, agama Parsi dan agama Hindu". Dan akan lebih baik jika dikatakan juga bahawa tasauf berpunca daripada filsafat Yunani!

Sedangkan mereka lupa - mana mungkin ilmu tasauf berlandaskan agama Majusi, Parsi, Hindu atau Yunani yang kesemuanya adalah agama wassani, animisme dan menyembah Tuhan yang lebih daripada satu. Mana mungkin sumber dua-tiga tuhan boleh melahirkan Tuhan Yang Maha Esa? Sesuatu yang datang dari sumber nan kotor boleh membenihkan hasil yang jernih dan suci bersih!

Dia beranggapan bahawa ulama-ulama Islam dari kalangan Ahlus-Sunnah wal-Jamaaf masih bingung dengan ilmu tasauf yang diimport dari luar itu - tanpa menyebut pun siapakah ulama berkenaan? Inilah propaganda. Walaupun ia tidak benar, tetapi jika diulang-ulang selalu, kelak orang ramai akan mempunyai tanggapan bahawa yang dusta itu benar manakala sesuatu yang benar, tetapi tidak diulangi maka ianggap sebagai palsu belaka.

Bagi Marx pula, ilmu tasauf adalah berasal daripada pendeta Syria yang diambil daripada jiwa rahib-rahib agama Masehi. Ia disebabkan Marx sejak awal beranggapan bahawa Islam merupakan satu kepercayaan yang tegang, materialis dan jauh daripada berjiwa keruhanian. Sedangkan apabila ditelusurinya, ilmu tasauf penuh dengan soal kejiwaan.

Johns pun sama juga. Dia mengatakan bahawa "Ilmu tasauf Islam itu berasal daripada filsafat Plato Yunani Baru, iaitu berasal daripada agama Zoroaster Parsi Kuno." Jelasnya, bahawa tasauf Islam itu berlandaskan konsep animisme sebagaimana yang disepakati oleh ahli-ahli agama tentang filsafat Yunani.

Tabah dan teguh hati mereka dalam penghambaan di bawah cuaca sejuk
 yang bukan kepalang; kalaulah hal sebegini berlaku di Malaysia -
adakah sesiapa yang sanggup?

Inilah kesilapan besar para orientalis. Mereka lupa bahawa segala agama yang dibawa oleh para nabi dan rasul adalah benar belaka. Acuan agama yang mereka bawa adalah jelas, iaitu membawa manusia kepada Allah swt. Cuma cara dan bentuknya agak berubah mengikut kesesuaian masa, kaum setempat namun dengan maksud yang tetap satu.

Tasauf: Alam Misali

Sengketa besar yang selalu timbul antara kaum fuqaha dan kaum sufi ialah tentang hal keramat dan alam misali. Alam misali merupakan suatu nilai daripada alam yang tertinggi sucinya. Kaum sufi percaya ada satu alam lagi di antara alam jasad dan alam ruh. Alam ini ialah alam misali atau alam khayal. Ia disandarkan pada firman Allah swt dalam Surah Maryam, "Fa tamassala lahaa basyaran sawi" yang bererti, "Maka menjelma kepada Maryam seorang lelaki yang sempurna."

Sebenarnya, yang menjelma kepada Maryam itu adalah malaikat Jibril sendiri kerana dia biasa turun kepada nabi-nabi dalam bentuk jelmaan atau asli. Biasanya, pada taraf pertama dia menjelma dalam bentuk rupa seorang badwi atau rupa Dihyah bin Khalilah Al-Kalbi dsb. Penjelmaan itulah yang dinamakan alam misali.

Jin juga dapat menjelma dengan pelbagai rupa, juga dapat lahir dalam pelbagai bentuk, besar, kecil dalam pelbagai berat timbangan - dengan warna yang pelbagai juga. Kaum sufi mengatakan sifat-sifat menjelma ini benar ada pada malaikat dan jin. Namun manusia yang taat akan Allah adalah lebih utama daripada malaikat dan jin.

Iman yang telah mencapai ke darjat ta'abbudi yang fana pada Zat

Apabila iman seseorang itu telah sampai ke suatu darjat ta'abbudi yang fana pada zat Allah maka ingatannya karam tenggelam dalam lautan menyembah dan mencintai Allah. Ruhnya akan menjadi besar yang akan dapat memberikan ketentuan kepada jasadnya yang ada. Ruhnya juga dapat memelihara jasad tersebut lalu dapat mengubahnya menurut bentuk, rupa, gambar dan warna yang dikehendaki.

Pendapat ini menjadi pegangan orang sufi di mana dasar kepercayaan mereka - iaitu percaya dengan ruh bahawa ruh lebih atas dan berkuasa ke atas tubuh jasmani. Dengan tidak berasa ragu - ruh manusia itu dapat menguasai tubuhnya dalam erti kata yang sempurna, dan semakin kuat ruh manusia itu, maka semakin besar kekuasaan dan tekanannya ke atas jasmani manusia.

Bukti lain - apabila seseorang manusia itu marah atau berdukacita serta dalam ketakutan - di mana ini berkait dengan hal yang berhubung dengan ruhani, maka sekelian sifat itu bisa mempengaruhi akan jasadnya - dari lemah dan gaya gerak tubuhnya. Ini menandakan kerja-kerja ruhaniah itu mempengaruhi jasad manusia.

Maka sifat-sifat yang terjadi pada alam misali itu menjadi ukuran bagi kesucian jiwa orang-orang yang berhubungan dengan hal tersebut.

Sunday, 24 October 2010

Di Rantauan-13: Sekolah Sessi Petang

Teman agak beruntung kerana mengajar waktu petang. Jadi apabila berpindah tinggal di Kota Bharu maka ada la masa senggang dan lapang - tidak terburu-buru untuk sampai seawal pagi jika mengajar sessi biasa. Bukan apa, pada mulanya mungkin Guru Besar dan Guru Penolong Kanan belum begitu percaya dengan kemampuan cikgu baru - baru datang dan baru nak belajar mengajar.

Mereka mungkin fikirkan latihan amali yang teman peroleh di kolej dulu tidakkan sama dengan mengajar dalam suasana sebenar. Apa tidaknya, kolejnya di Johor Bahru - latihan mengajar di SMK Gelang Patah - dekat tempat kapal terbang meletup di udara, kemudian di SMK Masai. Inikan pula mengajar di SMK Seri Gunung - sebuah sekolah nun jauh di Kelantan - kawasan 'buang' daerah bagi orang pantai barat! Pada orang Kelantan sendiri pun Gunung pada masa itu masih dikira ceruk atau orangnya masih 'daghat', bagi orang tempatan.

Mungkin benar, sebab kambing-lembu masih boleh merayau hingga ke pintu bilik darjah. Ramai muridnya yang terpaksa jalan lecak dan naik batas sejauh 7km entah dari kampung terpencil mana?

Anak kecil orang kampung

Apa pun teman hargai di atas ketidak-percayaan itu. Untungnya ada - boleh tidur sampai ke lewat pagi... bangun baru bersiap-siap untuk pergi ke sekolah dengan 'mood' yang malas dan tidak bermaya. Entah macam mana sejak kes Jamilah itu riuh diperkatakan, teman tiba-tiba saja ditukarkan ke sessi petang. Teman hanya dapat mengajar di Tingkatan I dan II itupun kelas yang corot; bodo piang! Kelas Tingkatan IIIA dan B serta Tingkatan IV sudah tidak merasa lagi.

Tingkatan V belum ada lagi. Maklumlah sekolah baru.

"Kau pi sekali dengan kitaorang la," jelas Azraei sambil mengupar tuala masam di kepalanya. Dia baru lepas mandi di bilik belakang.

Aku menjeling pada Cikgu Samad - yang masih macam orang bodo di ruang tamu. Jam sudah pun pukul 10.00pagi. Baru bangun tidur tanpa sekor pun yang solat (kena panggil sekor. Klu orang, dia tau tanggungjawab terhadap Khaliq, Pencipta dirinya!). Teman pun sama juga - solat celum-celam mana yang sempat. Kalau tidak perlu... kalau tiada hal lain yang mendesak baru solat. Itupun solat cara ekspres!

Cikgu Hassan, yang berasal dari Teluk Intan sudah lama keluarnya - mengajar sessi pagi di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat - 20km dari situ. Dia satu-satunya cikgu yang ada Mini Cooper S warna beige dengan bumbung warna petak dam; hitam-putih - top di seluruh pekan Kota Bharu. Ia menjadi kegilaan gadis dan janda muda! Satu lagi Cikgu Roshidi yang jarang-jarang balik ke situ. Dia guru yang hebat - mengajar di Sekolah Menengah Sains Pengkalan Chepa. Hebatnya sebab dia pakai Volvo 122S warna biru - mengalahkan Guru Besar sekolahnya sendiri.

Seorang lagi Cikgu Shuhaili - pun mengajar sessi pagi. Dia mengajar agak jauh dari bandar ibu negeri itu. Awal-awal lagi dia sudah bertolak naik kereta sewa (teksi la tu) menuju ke Bachok. Dialah satu-satunya cikgu yang tidak pernah naik bas! Dia mengajar di Sekolah Kebangsaan. Dialah cikgu muda yang kesemua bajunya mesti dari jenama 'Arrow' - masa tu harganya RM12, RM16 atau RM18. Paling mahal RM24 berbanding baju biasa RM7.50/helai yang teman pakai. Jadi, dia mesti sentiasa smart bergaya. Rajin pakai sunglass 'Ray-ban' warna coklat.

Sama gayanya dengan seorang lagi teman serumah - Cikgu Fatah misai tebal mengalahkan pelakon top Indonesia - Rahmat Kartolo. Matanya agak sepet dihiasi bibir seksi yang sentiasa berair - lapar. Handsome orangnya, tetapi tidak pernah mengaku selalu celok baju 'Arrow' Shuhaili. Fatah juga mengajar di Bachok, tetapi di sekolah menengah. Dia pun mengajar di sessi petang juga. Itupun pergi ke sekolah dengan menaiki kereta sewa.

"Untung juga kau kena ngajar petang... tak berebut macam Hassan sama Shuhaili tu," jelas Azraei lagi sambil mundar-mandir. Sesekali teman menjeling pada dada keringnya - agak melengkung. Dia seakan menjadi jurucakap kepada Cikgu Samad yang masih mengelamun.

"Ahh... watpe nak rebut-rebut? Releks la," Azraei singgah di tepi tiang sebelah teman. Ada cermin muka di situ. Dia masih mengesat-ngesatkan kepalanya sambil melihat di cermin.

Teman mengangguk-ngangguk tanda setuju sambil mengelak sedikit. Apa tidaknya, kawasan perumahan itu sah berada jauh dari pekan Kota Bahru. Seingat teman, dari jalan besar di simpang ke Kota Bahru - dari Kubang Kerian pun kami melencong agak jauh ke kiri menghala ke Kuala Krai. Mungkin di kawasan Ketereh, agaknya. Dan sebaik masuk ke kawasan perumahan itu pun banyak sekali beloknya - untuk sampai di barisan paling belakang berdekatan dengan kampung tradisi yang penuh dengan semak dan hutan.

Apa pun teman bersyukur, sekurang-kurangnya ada pelawaan dari teman baru itu untuk sama-sama naik kereta sports MG Midget milik Cikgu Samad. Jika tidak, teman kena berjalan kaki ke luar dari kawasan perumahan itu - satu fasal. Kemudian tunggu bas atau kereta sewa di tepi Jalan Kuala Krai itu untuk sampai ke bandar Kota Bharu - pun satu fasal. Dari situ naik pula kereta sewa atau bas menuju ke Gunung - sejam perjalanan duduk melahu sahaja di atas bas; lagi satu fasal!

Keadaan agak sunyi... semua tingkap belum berbuka dan dengan tidak semena-mena teman terperasan ada dua orang wanita dalam rumah itu. Ada kedengaran suara wanita bercakap sesama mereka - dengan loghat tempatan. Kemudian seorang daripadanya keluar dari bilik belakang menuju ke bilik mandi - pakai kain batik dan berbaju kebaya. Teman kehairanan sambil tertoleh ke sana-sini; tercari-cari kot ada jawapan yang dapat diberi. Namun Azraei hanya berlagak biasa di depan cermin.

"Err... kawan Fatah tu," bisiknya sambil lalu membelakangkan teman. Dia pergi duduk berhadapan Cikgu Samad di ruang tamu. "Semalam... diaorang tak sempat balik."

Teman menarik nafas panjang. Tidak mengerti. Sebentar kemudian Cikgu Fatah pulang dengan dua bungkusan di tangan. Pintu yang terbuka luas menerjahkan cahaya terang dari luar. Mata teman silau dibuatnya.

"Hahh... ingatkan tak bangun lagi," Cikgu Fatah menegur.

Tiada jawapan. Dia masuk terus ke belakang meletakkan bungkusan di tangannya ke atas meja makan di dapur. Ia bungkusan nasi berlauk - melihat daripada cara bungkusannya itu. Kemudian kedengaran suara wanita lain menegurnya di sana - yang tidak jelas buah butir percakapannya. Ada seorang lagi yang baru keluar dari bilik belakang itu.

Teman menjeling - ternampak seorang wanita berbaju kebaya dengan kain berbelah di depan. Dia nampak bersahaja meninjau ke atas meja.

"Ooi... demo mandi ko wat gapo tuu?" dia bersuara menghala ke bilik air kepada kawan yang sedang mandi.

"Ooo... gegei demo weiii!" kedengaran suara dari dalam itu menyahut.

Kemudian dia masuk ke dalam bilik itu semula bersama dengan Cikgu Fatah yang mengekorinya dari belakang.

Kalangan Ahli Tarikat - Majzub

Oleh: Jaketkulit

Tasawuf yang sebenar ialah berusaha untuk memilih akhlak sepertimana akhlak RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam dalam amalan, percakapan dan segala tindakan serta berpegang teguh dengan apa yang disampaikan oleh syarak, iaitu dengan cara mematuhi segala perintah, menjauhi segala larangan dan menyerah diri kepada ketentuan qadha' dan qadar. Ahli tasawuf yang benar ialah seorang yang tidak beramal dengan sesuatu yang bercanggah dengan aula (utama) di samping menjauhkan diri daripada perkara haram dan makruh.

Dan ahli tasawuf juga tidak menjadikan tasawuf sebagai sumber rezeki dan kehidupan serta tidak menggunakan helah atau mengeluarkan kata-kata melebihi had yang dibenarkan oleh syarak. Dia juga tidak berhasad dengan dan membenci melainkan kerana ALLah dan menghadapi kejahatan dengan kebaikan.

Sekiranya sesuatu tariqat bersifat seperti di atas maka ia dikira termasuk dalam syariat kerana ia berakhlak dengan akhlak dan adab-adab Islam. Sekiranya ia bercanggah dengan apa yang disebut tadi contohnya: ahli tariqat itu mengeluarkan kata-kata yang tidak diperakui oleh syariat atau berlebih-lebih atau menyifatkan imam-imam tasawuf dengan sifat yang berlebihan seperti menganggap mereka itu sehingga melebihi taraf sebagai seorang manusia, atau mengambil kesempatan daripada tasawuf untuk mengaut harta dan sumber pendapatan hidup atau malas untuk bekerja sehingga dia bergantung kepad orang ramai, maka tasawuf seperti itu adalah satu kejahilan. Adakala ia membawa kepada kesesatan dan bukannya tasawwuf yang digariskan oleh syarak.
Di antara syarat-syarat yang mesti dimiliki oleh ahli tariqat adalah seperti berikut;

i) Ahli tariqat mestilah 'alim (pakar) dengan ilmu fiqh dan syariat Islam atau sentiasa belajar dengan alim ulama.

ii) Dia hendaklah beramal dengan ilmunya.

iii) Dia hendaklah melazimi adab-adab Islam

iv) Dia sentiasa mendampingi orang-orang soleh untuk mencontohi mereka.

Sekiranya dia tidak memiliki satu sahaja daripada syarat-syarat di atas, maka dia bukanlah seorang sufi yang sebenar.

... memasuki jalan suluk!

Kalangan Majzub 

1) Majzub jenis pertama adalah orang yang dibawa oleh Tuhan kepada beberapa pengalaman kerohanian yang berkait dengan ketuhanan dan mencapai beberapa makam yang tinggi dalam temph singkat serta mendapat keasyikan terhadap Allah s.w.t tanpa berguru dengan sesiapa dalam hidup mereka. Jazbah merombak keperibadian mereka secara menyeluruh. Mereka menjadi orang yang sangat berlainan daripada keadaan mereka sebelum kedatangan jazbah.

Jazbah (Jazbah adalah hal yang dialami oleh hati berhubung dengan aspek ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh akal. Hijab diangkat dan mata hati mereka menyaksikan perkara ghaib dan kenyataan tentang Tuhan. Suasana jazbah itu berbeza bagi seorang dengan seorang yang lain).

Mereka tidak suka bergaul dengan orang ramai. Mereka lebih merasakan kedamaian dan kebahagiaan jika bersendirian dalam keasyikan dengan Allah s.w.t. Apa yang berlaku di sekeliling, baik atau buruk tidak menarik minat mereka. Kegoncangan yang berlaku dalam masyarakat dan keluarga tidak mampu menarik mereka keluar daripada keasyikan tersebut. Mereka hanya gilakan Allah s.w.t. Setiap detik mereka teringatkan Allah s.w.t. Mereka tidak suka mendengar cerita yang selain Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t dan yang mengenai Allah s.w.t sahaja yang dapat menembusi hati mereka. Apabila mereka dikuasai oleh jazbah hilanglah kesedaran, fikiran, penglihatan, pendengaran dan pergerakan mereka.

Orang majzub tidak sedarkan diri mereka dan alam maujud sekaliannya. Dalam keadaan demikian mereka mengalami berbagai-bagai hal atau pengalaman kerohanian. Mereka berpindah dari satu makam ke satu makam yang lain dengan cepat. Orang majzub seperti ini dikasihi oleh Allah s.w.t. Dia melindungi mereka daripada orang jahil yang jahat perangai. Oleh kerana mereka sudah hilang kesedaran dan sifat kemanusiaan, maka hilang juga keupayaan mereka untuk membezakan yang baik daripada yang buruk. Majzub yang seperti ini tidak boleh dijadikan pembimbing orang ramai kerana adab sopan dan peraturan masyarakat tidak ada dalam kesedaran mereka.

Maka majzub ini ialah yang dikehendaki oleh al-Imam ar-Rabbani asy-Syeikh Muhammad Abil Mawahib asy-Syazili Rahimahullah Ta' ala dengan katanya:السالك يسلك على صراط مستقيم والمجذوب عند القوم عقيم.

Ertinya: "Bermula murid itu berjalan ia atas jalan yang lurus dan majzub itu pada sisi kaum shufiyah itu mandul ia".

2) Majzub jenis kedua, setelah dilenyapkan akal dan kesedaran seperti jenis pertama, mereka dikembalikan semula kepada kesedaran kemanusiaan sedikit demi sedikit. Mereka diturunkan dari satu makam kepada makam yang lain. Penurunan tersebut mengurangkan kesan jazbah sehingga akhirnya mereka sampai kepada penetapan dan kesedaran sepenuhnya. Ketika menaik kesedaran mereka terhadap yang selain Allah s.w.t hilang dengan cepat dan dalam keadaan demikian mereka ‘menemui’-Nya. Ketika penurunan kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya tidak kembali dengan cepat. Mereka mengambil masa yang agak lama sebelum kesan jazbah hilang sepenuhnya daripada kesedaran mereka. Ada sebahagian daripada mereka yang kesan jazbah tidak hilang sampai ke akhir hayat.

Bagi majzub kumpulan kedua ini jazbah berperanan sebagai ‘kuasa pemaksa’ yang mengheret mereka keluar daripada alam kelalaian dan memasukkan mereka ke jalan yang memperadabkan mereka dengan Tuhan. Rahmat Tuhan yang menarik mereka kembali kepada jalan yang lurus. Perubahan yang berlaku kepada mereka terjadi dengan pantas. Mungkin dalam masa kurang daripada dua bulan mereka sudah melalui semua stesen kerohanian dan mengalami hal ketuhanan yang mencukupi untuk mereka mengenal Tuhan secara hakiki. Setelah kembali kepada sifat kemanusiaan semula mereka meneruskan kehidupan menurut jalan kenabian, menurut sunnah Rasulullah s.a.w dan menjadikan kehidupan nabi-nabi dan wali-wali sebagai iktibar. Proses penurunan majzub jenis kedua ini merupakan kebalikan kepada proses menaik orang salik.

Maka majzub ini yang dikehendaki pada kat as-Syeikh Muhammad Abil Mawahib asy-Syazili yang tersebut:لكن من المجاذيب من يرد إلى طريق التأديب فهذا الذي في تدليه يلاقى السالك في ترقيه

Ertinya: "Tetapi setengah daripada segala orang yang majzub mereka yang dikembalikan dia kepada jalan memperadabkan, maka majzub inilah yang pada ketika terturunnya menjumpai ia akan orang yang salik pada ketika ternaiknya”.

Bagi majzub yang kedua ini juga belum ada dalil yg menyatakan dia boleh memimpin murid.

3) Majzub jenis ketiga tidak hilang akal fikiran dan kesedaran mereka. Perubahan kerohanian berlaku dalam sedar dan jaga. Tidak ada perpisahan dengan sifat kemanusiaan, tidak ada fana dan bersatu dengan Tuhan. Mereka menetap dalam kehambaan, tidak terbalik pandangan, tidak mengalami mabuk dan tidak mengeluarkan ucapan latah yang menyalahi syariat. Orang yang di dalam kesedaran ini didatangkan jazbah kepada mereka sebagai kurniaan Tuhan untuk memperkenalkan mereka kepada Yang Hakiki kerana ilmu dan amal mereka tidak berupaya menyampaikan mereka kepada yang demikian. Kaum sufi umumnya berpendapat majzub yang menetap dalam kesedaran dan kehambaan lebih baik daripada majzub yang mengalami kefanaan dan mabuk. Majzub yang di dalam kesedaran boleh menjauhkan diri mereka daripada perkara-perkara yang mendatangkan fitnah.

4) Majzub jenis keempat adalah orang yang memasuki jalan suluk terlebih dahulu. Ketika bersuluk itulah akal fikiran dan kesedaran mereka dihapuskan. Majzub jenis ini mengenali alam terlebih dahulu sebelum mengenal Tuhan (mengalami hakikat ketuhanan). Bimbingan guru yang mursyid membuat perjalanan jazbah mereka teratur. Mereka meningkat dari satu makam kepada makam yang lain dengan bersistematik. Mereka melalui stesen-stesen kerohanian dengan bimbingan yang benar.

Guru yang telah melalui semua stesen kerohanian, memperolehi makam-makam, mengetahui suasana kefanaan, kebaqaan dan Kebenaran Hakiki sesudah fana dan baqa, diperlukan bagi membimbing salik yang didatangi jazbah. Guru yang demikian dapat menyapu kekeliruan daripada mengelabui pandangan hati muridnya. Murid itu dapat maju ke matlamat terakhir dengan selamat dan teratur. Bimbingan guru membuat salik mengalami dan mengetahui pengalaman mereka. Pengenalan melalui pengalaman yang diterangi oleh pengetahuan mempercepatkan salik menjadi orang arif. Majzub jenis inilah dipersetujui oleh kaum sufi.

Penjelasan Tentang Wahdatul-wujud II

Oleh: Gujiks

Untuk memahami aqidah wahdatul wujud ini wajar kita memahami maksud sebenar setiap satu perkataan tersebut agar ia tidak tersesar daripada maksud sebenar istilah berkenaan. Ia disebutkan begitu agar tidak dimanipulasikan dengan pengertian yang lain agar ia agak dimurnikan dgn aqidah yang sebenarnya.

Dalam pengajian tauhid, wujud itu hanya terbahagi kepada dua; Wajibul-wujud (yang pasti, iaitu wajib ada = Allah) dan Mumkinun wujud (sama ada ada atau tiada adanya = makhluk ) atau pengertian yang lebih mudah - wajib wujud itu adalah Khaliq dan mumkinul-wujud, iaitu makhluk.

Tiada wujud yang lain selain DUA wujud di atas.

Baitullah adalah qiblatku... ini janji yang akan dijawab dalam kubur nanti

Dalam sifat 20, sifat wujud itu adalah sifat yg pertama disenaraikan dan ia terkelompok dari satu-satu sifat yang tidak dikongsikan dengan sifat-sifat Allah yang lain, iaitu sifat nafsiah dan wujudnya nafsiah ini kembali kepada zat Allah yang menyendiri - tidak menumpang pada yang lain dan tidak ditumpangi dengan yang lain pula.

Sekiranya sifat nafsiah ini (wujud) menumpang atau ditumpangi oleh yang lain maka ia boleh mendatangkan maksud yang Allah 'memerlukan jihah' (arah) dan makan (tempat) yang 7 yang mendatangkan maksud dalam isitilah yang kerap kali diulang-ulang dalam perbahasan sifat 20 sebagai 'memenuhi ruang'.

Sedia maklum bahawa sifat nafisah (wujud) Allah ini adalah bersifat Qadim dan Azali yang tiada permulaan dan tiada penghabisan di mana istilah permulaan dan penghabisan itu memang tiada dalam kamus Allah kerana Allah tidak tertakluk dengan 'masa' kerana masa itu diciptakan oleh Allah dengan perantaran matahari dan bulan.

Ada matahari; ada pagi dan petang; ada siang dan malam kemudian hari mendatang minggu kepada bulan merentasi tahun, dekad, kurun dsb di mana Allah tidak langsung tertakluk dengan 'masa' kesan ciptaan matahariNya itu. Iai disebabkan antara tanda kiamat di dunia ini ialah apabila peraturan perjalanan matahari songsang dengan terbitnya matahari dari arah barat - maka dunia akan kiamat.

Sifat nafsiah (menyendiri) ini bersifat 'mustaqil' dari segala bentuk dan rupa 'kejadian hadis' (baharu /makhluk). Maka ciri-ciri sifat wujud inilah yang membezakan Allah berbanding dengan sifat-sifat wujud tuhan-tuhan ciptaan makluk yang lain.

Ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w yang membawa maksud “Dan adalah Allah itu Esa dan tiada menyertaiNya sesuatu yang lain”.

Maksud menyertaiNya itu boleh difahami bahawa Allah bersifat mustaqil dan ia terpisah dari yang lain. Hatta sifat mustaqil inilah yang memisahkan penyatuan antara Khaliq dan makhluk - dan tidak akan berlaku sama sekali atas nama 'tanzih' (suci) Allah daripada sifat-sifat yang lain.

Soalnya, bagaimana pula dengan pergerakan tubuh badan kita, perkembangan alam sekitar, tumbuh-tumbuhan, binatang, peredaran bumi dan bintang  - bukankah Allah yang ada di situ untuk menunjukkan qudrahNya - membuktikan 'syuhud' kepada Allah?

Itu adalah di antara sifat-sifat Allah yang lain, iaitu sifat Qudarah, Iradah, Ilmu Allah Taala yang terkandung padanya itu dalam kelompok sifat 'maani' yang terdiri padanya itu 7 sifat.

Sifat 'ma`ani' ini berbeza dgn sifat 'nafsiah' (satu-satunya sifat, iaitu wujud). Ia disebabkan sifat ma`ani ini ada padanya perbahasan tentang perkongsian yang mendatangkan perbincangan Af`alLah dan Af`alibad. Perbincangan ini adalah jauh dari perbincangan sifat Wujud Allah Taala dan kita bentangkan dari kalam Imam Alqoni dalam kitab susunan mutiara kalamnya ke-45 di kitab 'Jauhar Tauhid' yang dikafirkan oleh golongan Wahhabi!

فخالق لعبده وماعمل ... موفق لمن أراد أن يصل

Ia bermaksud: "Maka Dialah (Allah), Pencipta hamba-hambaNya dan tindak-tanduk mereka (perbuatan)(Dialah) yang memberi taufiq (iaitu kuasa untuk beramal) kepada hamba yang dia kehendaki untuk memberi rahmatNya serta keredhaanNya."

Dalam kalimah yang pertama فخالق ini, Imam Baijuri rahmatullah alaihi menjelaskan Allah bersifat dengan sifat 'Ijad' (menjadikan) kepada makhluk dan kekuasaanNya dan inilah yang dkenali oleh golongan arifin sebagai بوحدة الأفعال bukan وحدة الوجود seperti yang kita bincangkan sebelum ini.

Hasilnya, maka ASWJ menetapkan yang dimaksudkan dengan wahdatul Af`al ini mendatangkan maksud... sesungguhnya yang mendatangkan bekas المؤثر itu adalah Allah dan yang dijadikan dengan perantaraan sebab dan musabab yang lazim secara kebiasaannya (spt pisau tajam yang sifatnya memotong, dan api yang terbakar ) dan ia juga boleh menyalahi kebiasaannya (kes dalam perkara-perkara mukjizat ).

Adalah difahami bahawa perbuatan Allah adalah bersifat mutlak yang mana ia tidak tertakluk pada sekian perbuatan makluk ... dan perbuatan makluk pula tertakluk kepada perbuatan Allah - dan inilah yang dikenali dalam pengajian sifat 20 sebagai بوحدة الأفعال bukan وحدة الوجود.

Saturday, 23 October 2010

Permulaan Kejadian Makhluk

Oleh: Syeikh Abdul Qadir al-Jilani (Sirul Asrar)

Semoga Allah s.w.t memberikan kamu kejayaan di dalam amalan-amalan kamu yang disukai-Nya dan Semoga kamu memperolehi keredaan-Nya.

Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan fahamkan apa yang aku katakan. Allah Yang Maha Tinggi pada permulaannya menciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya suci Keindahan-Nya.

Dalam hadis Qudsi Dia berfirman: "Aku ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya wajah-Ku".

Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sabdanya: "Mula-mula Allah ciptakan ruhku. Pada permulaannya diciptakan-Nya sebagai ruh suci". "Mula-mula Allah ciptakan qalam". "Mula-mula Allah ciptakan akal".

Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan permulaan itu ialah ciptaan hakikat kepada Nabi Muhammad s.a.w, iaitu kebenaran tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi nama yang indah-indah. Dia dinamakan nur, cahaya suci, kerana dia dipersucikan dari kegelapan yang tersembunyi di bawah sifat jalal Allah.
Janin ketika berusia 24 minggu dalam kandungan;
8 minggu selepas roh ditiupkan

Allah Yang Maha Tinggi berfirman: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan". -  Al-Maaidah: ayat 15

Dia dinamakan akal yang meliputi (akal universal) kerana dia telah melihat dan mengenali segala-galanya. Dia dinamakan qalam kerana dia menyebarkan hikmah dan ilmu dan dia mencurahkan ilmu ke dalam huruf-huruf.

Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda s.a.w menyatakan hal ini dengan sabdanya, "Aku daripada Allah dan sekalian yang lain daripadaku".

Allah Yang Maha Tinggi menciptakan sekalian roh daripada roh baginda s.a.w di dalam alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik. 'Muhammad' adalah nama kepada sekalian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal-usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya. Empat ribu tahun selepas diciptakan cahaya Muhammad, Allah ciptakan arasy daripada cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan makhluk yang lain daripada arasy.

Kemudian Dia hantarkan roh-roh turun kepada peringkat penciptaan yang paling rendah, kepada alam kebendaan, alam jirim dan badan.

"Kemudian Kami turunkan ia kepada peringkat yang paling rendah". -  Surah Tin: ayat 15

Dia hantarkan cahaya itu daripada tempat ia diciptakan, dari alam lahut, iaitu alam kenyataan bagi Zat Allah, bagi keesaan, bagi wujud mutlak, kepada alam nama-nama Ilahi, kenyataan sifat-sifat Ilahi, alam bagi akal asbab kepunyaan roh yang meliputi (roh universal).

Di sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya. Roh-roh ini dinamakan 'roh pemerintah'. Dengan berpakaian cahaya mereka turun kepada alam malaikat. Di sana mereka dinamakan 'roh rohani'. Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada alam kebendaan, alam jirim, air dan api, tanah dan angin dan mereka menjadi 'roh manusia'. Kemudian daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh yang berdaging, berdarah.

"Kemudian Kami jadikan kamu dan kepadanya kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu akan dibangkitkan sekali lagi". -  Surah Ta Ha: ayat 55

Selepas peringkat-peringkat ini Allah memerintahkan roh-roh supaya memasuki badan-badan dan dengan kehendak-Nya mereka pun masuk.

"Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya roh-Ku.". -  Surah Shad: ayat 72

Sampai masanya roh-roh itu terikat dengan badan, dengan darah serta daging dan lupa kepada asal-usul kejadian dan perjanjian mereka. Mereka lupa tatkala Allah ciptakan mereka pada alam arwah Dia telah bertanya kepada mereka: "Adakah aku Tuhan kamu? Mereka telah menjawab: "Iya, bahkan!." Mereka lupa kepada ikrar mereka itu. Mereka lupa kepada asal-usul mereka, lupa juga kepada jalan untuk kembali kepada tempat asal mereka.

Penjelasan Tentang Wahdatul-wujud I

Oleh: Getzer

Perbahasan berkenaan "Wahdatul-wujud" ini ada dua golongan yang memahaminya secara berbeza iaitu:

Pertama: Kefahaman yang Salah Tentang Wahdatul-Wujud:

Golongan yang memahami "Wahdatul-wujud" dengan bermaksud: Allah dan makhluk adalah satu. Iaitu, makhluk bersatu dengan Allah. Mereka memahami Wahdatul-wujud sebagai fahaman hulul (Allah bergabung dalam makhluk) dan ittihad (Allah dan makhluk adalah satu pada zat).

Hasil daripada kefahaman yang salah berkenaan Wahdatul wujud ini, melahirkan dua golongan:

Golongan yang menolak Wahdatul-wujud ini lalu menghukum sesat orang-orang yang berpegang dengan Wahdatul-wujud ini. Golongan ini benar dari satu sudut, tetapi salah dari satu sudut yang lain. Mereka benar dari satu sudut kerana menolak Wahdatul-wujud dengan makna hulul dan ittihad ini kerana hulul dan ittihad adalah kesesatan yang nyata.

Namun, mereka salah dari sudut menyesatkan seluruh golongan yang berpegang dengan Wahdatul-wujud ini kerana majoriti para sufi dan ahli tasawwuf yang benar, yang bercakap tentang Wahdatul-wujud ini tidak memahami Wahdatul-wujud ini dengan fahaman yang salah, iaitu dengan maksud hulul dan ittihad.

Kedua: golongan yang berpegang dengan Wahdatul-wujud yang bermakna hulul dan ittihad ini, lalu mereka ini memperjuangkan ketuhanan diri mereka sendiri dengan mengaku tuhan dan sebagainya. Mereka adalah golongan yang sesat lagi menyesatkan. Mereka lebih mendakwa diri mereka sebagai golongan hakikat. Namun, golongan sufi dan ahli tasawwuf yang benar, yang bersuluhkan Al-Qur'an dan As-Sunnah, berlepas tangan daripada golongan ini.

Kedua: Kefahaman yang Benar Tentang Wahdatul-Wujud

Diri yang wujud selepas tidak wujud,
maka dia menyedari bahawa dirinya adalah hamba

Seluruh makhluk yang wujud, pada asalnya tidak wujud (adam). Mereka akhirnya wujud apabila Allah s.w.t. mewujudkan mereka. Maka, seluruh makhluk pada hakikatnya wujud dengan sebab kewujudan Allah s.w.t. kerana kalau tanpa kewujudan Allah s.w.t., tanpa izin dan bantuan Allah s.w.t., nescaya tiada makhluk pun yang wujud ataupun meneruskan kewujudannya.

Inilah maksud sebenar Wahdatul-wujud yang dihayati oleh orang-orang arif dari kalangan para sufi. Mereka menghayati dan merasai kewujudan mereka, bahkan seluruh kewujudan makhluk Allah s.w.t. adalah daripada Allah s.w.t. yang telah menciptakan mereka daripada tiada. Jadi, mereka tidak merasakan wujud mereka tersendiri (mustaqil), tetapi kewujudan mereka denganNya (dengan bantuan dan izinNya).

Dengan kefahaman ini, tiada seorang pun yang beraqidah yang murni, mampu menafikannya. Kalau ada orang yang menafikan Wahdatul-wujud dengan makna ini, maka dialah pada hakikatnya seorang yang sesat, kerana tiada yang wujud secara mustaqil (tersendiri), kecuali Allah s.w.t. kerana hanya Allah s.w.t. sahaja yang bersifat dengan qiyamuhu binafsihi (berdiri dengan diriNya sendiri) sedangkan seluruh makhluk berdiri dengan Allah s.w.t. (dengan bantuan dan izin Allah s.w.t.).
Orang-orang yang mengingkari bahkan menyesatkan golongan arif billah (seperti Sheikh Ibn 'Arabi, Sheikh Al-Jili dan sebagainya) dan para sufi yang mengetengahkan Wahdatul-wujud ini, hanya mengingkari mereka kerana jahil dengan maksud Wahdatul-wujud di sisi para sufi itu sendiri, lalu salah faham dengan memahami Wahdatul-wujud sebagai hulul dan ittihad. Maka, mereka sebenarnya mengingkari khalayan mereka sendiri tentang kaum sufi, padahal kaum sufi yang benar berlepas tangan daripada pengingkaran mereka dan khayalan orang-orang yang mengingkari.

Hakikatnya, Wahdatul-wujud ialah, apabila seseorang sudah menghayati rasa kewujudan dirinya dan seluruh perbuatan dirinya serta yang berlaku dalam alam ini adalah daripada Allah s.w.t.. maka seluruh pergerakan makhluk termasuklah perbuatan manusia, sebenarnya dengan Allah s.w.t., iaitu dengan kewujudan, kekuasaan, bantuan dan izin Allah s.w.t.. Kalau ini bukan aqidah Islam, bagaimana pula aqidah Islam itu? Adakah setiap makhluk ada kuasa dirinya sendiri yang mutlak? Tentu tidak sama sekali!

Jika kita singkap buku-buku ahlus-sunnah wal-jamaah, sudah pasti kita akan dapati, mereka berbincang tentang sifat-sifat yang wajib bagi Allah s.w.t., sifat-sifat yang mustahil bagi Allah s.w.t. dan yang harus bagi Allah s.w.t.. Dalam perbahasan mereka, seseorang pasti mendapati perbahasan tentang tauhid af'aal, iaitu setiap perbuatan yang berlaku, dalam makhluk itu, hakikatnya kembali kepada Allah s.w.t..
Seluruh alam ini bergerak di bawah kekuasaan Allah s.w.t. Bahkan, seluruh makhluk wujud dengan penciptaan Allah s.w.t.. Semua makhluk meneruskan kewujudan mereka dengan penjagaan Allah s.w.t. melalui nikmat imdaad (bantuan Allah s.w.t.). Inilah hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh setiap orang Islam. Maka, seluruh makhluk adalah daripada perbuatan Allah s.w.t. yang mana perbuatan tersebut daripada sifat qudrah Allah s.w.t.. Ia (penciptaan dan penjagaan Allah s.w.t.) dikenali dengan sifat af'al Allah s.w.t. (sifat perbuatan-perbuatan Allah s.w.t.).

Tiada yang bergerak di dalam kerajaan Allah s.w.t. tanpa kehendak daripadaNya. Inilah hakikat sifat iradah dan qudrah Allah s.w.t.. Dari sinilah timbulnya tauhid af'al, di mana segala yang berlaku dalam alam ini daripada kehendak Allah s.w.t. dan dengan kekuasaanNya.

Wahdatul-wujud pula ialah, suatu penyaksian dalam lubuk hati terdalam manusia (sirr) terhadap tauhid af'al ini pada permulaannya (seterusnya kepada tauhid sifat dan tauhid zat), dan penghayatan kepada makna tersebut dalam seluruh kehidupannya. Hal ini hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang sudah meleburkan hawa nafsunya yang sentiasa mengajak kepada kejahatan, sehingga nafsu itu tenang dalam ketaatan kepadaNya, dan tenang dengan merasai kebersamaanNya dalam ketaatan tersebut (mutma'innah).

Adapun secara teori, seseorang yang lalai daripada Allah s.w.t. pun boleh menghafal sifat dua puluh yang wajib bagi Allah s.w.t. tersebut seperti qudrah (kekuasaan), iradah (kehendak) dan sifat-sifat lain bagi Allah s.w.t., namun tidak mampu merasainya dalam bentuk penghayatan dalam segenap kehidupannya. Oleh kerana itulah, kita dapati betapa ramai dari kalangan orang-orang Islam itu yang menghafal sifat-sifat bagi Allah s.w.t., lalu mengetahui bahawasanya Allah s.w.t. itu wujud, Maha Berkuasa dan sebagainya namun masih sanggup menderhakaiNya? Bagaimanakah seseorang yang mengetahui Allah s.w.t. itu wujud dan Maha Berkuasa, dalam masa yang sama sanggup menderhakai Allah s.w.t? Bagaimana seseorang masih sanggup menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tuhu bahawa seluruh kehidupan dan tenaganya adalah daripada Allah s.w.t? Bagaimana seseorang sanggup mengunakan tenaga dan keupayaannya untuk menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tahu bahawa semua tenaga, nyawa dan segala-galanya adalah daripada Allah s.w.t?

Hal ini kembali kepada penghayatan seseorang itu terhadap sifat-sifat Allah s.w.t. Hal ini (ketaatan mutlak kepadaNya) tidak akan berlaku dengan cara menghafal sifat-sifat Allah s.w.t. semata-mata, tetapi perlu kepada proses melawan hawa nafsu juga (mujahadah An-Nafs).

Proses menuju penghayatan terhadap kewujudan Allah s.w.t. dalam kehidupan seseorang manusia, dimulai dengan proses mujahadah an-nafs (melawan hawa nafsu) dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan maksiat terhadapNya, seterusnya diiringi oleh proses zikir yang berpanjangan sehingga nama-nama Allah s.w.t. tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk penghayatan dalam hati hamba tersebut.

Proses mengukir nama Allah s.w.t. dalam hati seseorang melalui zikir yang diambil secara talqin daripada seseorang mursyid yang kamil, yang bersambung sanad zikir tersebut sehingga kepada Rasulullah s.a.w. merupakan suatu proses perjalanan kerohanian ke arah menghayati kewujudan Allah s.w.t. di sebalik kehidupan hamba tersebut.

Dengan zikir hati yang berpanjangan - dengan izin Allah s.w.t. seseorang akan lebur daripada merasai kewujudan dirinya sendiri. Hal ini dikenali sebagai fana' (lebur), iaitu penyaksian hatinya tenggelam dalam menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. sehingga tidak menyedari lagi kewujudan dirinya sendiri. Ini suatu keadaan di mana seseorang itu sibuk dalam menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. sehingga tidak menyedari lagi akan kewujudan dirinya. Dia tenggelam dalam musyahadah Allah s.w.t. dan tidak lagi diselaputi oleh kekotoran selain daripada Allah s.w.t.. Hatinya sentiasa fokus kepada Allah s.w.t..

Ada dari kalangan mereka yang fana' ini terus dikekalkan dalam keadaan fana' oleh Allah s.w.t. dan ada dari kalangan mereka yang dikembalikan kesedaran diri mereka sehingga dia menyedari semula kewujudan dirinya dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. yang Maha Esa dalam bentuk penghayatan yang berkekalan.

Namun, mereka yang dikembalikan kesedaran diri dalam masa yang sama menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. di sebalik kewujudan alam ini, lalu menghayati bahawa seluruh alam ini, termasuklah kewujudan dirinya merupakan kewujudan dengan Allah s.w.t. Di mana dia menghayati dan menyaksikan dengan mata hatinya, secara tahqiq, bahawa seluruh makhluk wujud dengan pentadbiran, kekuasaan dan izin Allah s.w.t.. Pada ketika ini, si hamba tersebut baqo' (kekal) dengan keabadian Allah s.w.t. kerana sentiasa menyaksikan kewujudan Allah s.w.t. yang Maha Kekal dalam mata hatinya.

Hatinya kekal dalam penyaksian kepada Allah s.w.t. dan jasadnya bersama dengan makhluk. Hatinya bersama dengan Allah s.w.t. dan menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t. dalam masa yang sama jasadnya dalam kehambaan kepadaNya, dengan melaksanakan seluruh syariatNya.

Penyaksian terhadap hakikat bahawa segala makhluk wujud dengan bantuan Allah s.w.t. dan terus wujud dalam kekuasaanNya inilah yang dikenali di sisi kaum sufi sebagai Wahdatul-wujud (kesatuan-wujud), bukan seperti prasangka orang-orang yang mengingkarinya. Hakikatnya, Wahdatul-wujud dalam erti kata sebenar adalah wihdatus-syuhud, iaitu menyaksikan hanya Allah s.w.t. sahaja yang wujud secara mustaqil (terasing) dan hakiki. Adapun selain daripadaNya, wujud dengan Allah s.w.t. bukan dengan diri mereka sendiri!

Wednesday, 20 October 2010

Apabila Tasawwuf Cuba Dinafikan

Oleh:  rafie1357

Kita sering mendengar dakwaan sesetengah orang yang dangkal ilmunya dan dangkal aqalnya bahawa dia cuma akan ikut Qur'an dan hadis Nabi. Ilmu-ilmu tasawwuf dan tariqat tidak perlu sebab Nabi saw dan sahabat tidak pun mengamalkan.

Ada yang lebih lancang mulut dan tangannya yang menulis bahawa tasawwuf dan tariqat kononnya mengikut ideologi Hindu, ideologi syiah yang sesat dan lain-lain. Wal Iyazubillah! Mudah-mudahan Allah tidak mengunci mati hati mereka.

Perkara ini telah lama berlaku di kalangan umat Islam yang jahil dan juga yang alim fiqh - sesetengahnya memliki ijazah dari universiti!

Saya masih ingat lagi ketika bermuzakarah dengan 'golongan wahhabi' pada tahun 1980 di salah sebuah universiti, di mana mereka tidak menerima Tasawwuf dan tariqat kerana ia bukan amalan Nabi saw, kononnya. Kata mereka "Kami hanya ikut Al-Qur'an dan hadis Nabi."

Saya berkata, "Sekarang kamu kata ikut Al-Qur'an dan hadis Nabi saja. Kamu tak pakai ijtihad ulama tasawwuf sebab kononnya itu semua rekaan para ulama. Baik sekarang saya tanya satu bab mudah dalam Islam. Cuba kamu ceritakan bagaimana kamu mengerjakan solat. Bagaimana kamu mengambil wudhu' Berapa rukun wudhu, dan berapa rukun solat? Apa sah dan batalnya solat? Cuba huraikan.

Mereka semua terdiam sejenak. Kemudian salah seorang 'wahhabi' menjawab dengan berani, "Apa soalan ni, rukun solat tentulah 13 perkara?"

Dek kerana beriman, sanggup tunduk-sujud
biar di mana pun jua?

Saya bertanya, "Mana kamu dapat rukun yang 13 tu? Cuba tunjukkan saya di mana dalam Al-Qur'an atau hadis Nabi menyebut tentang rukun 13 itu secara syummul dan tafsil?"

Dia menjawab : "Oh ya tentulah dari dalam kitab fiqh."

"Kitab fiqh karangan siapa?"

Dia menjawab: "Ijtihad ulama fiqh."

"Jadi kamu ikut ulama fiqh. Kenapa mesti ikut ulama fiqh.? Kenapa merujuk kitab fiqh? Adakah Nabi saw mengamalkan fiqh? Adakah di zaman Nabi saw terdapat ilmu fiqh?"

"Jika kamu mendakwa hanya mahu merujuk kepada Al-Qur'an dan hadis Nabi, saya bertanya berapa banyak ayat Qur'an yang kamu hafal, berapa banyak pula hadis Nabi yang kamu ingat? Ayat Al-Qur'an adalah Kalamullah, mengandungi makna-makna yang sangat tersembunyi. Macamana kamu boleh membezakan mana ayat Al-Qur'an yang muhkamat atau mutashabihat?"

"Demikian dengan hadis-hadis Nabi itu mempunyai ribuan periwayatan. Macamana kamu dapat tahu mana hadis yang sahih dan yang palsu?"

Semua mereka terdiam. Sesetengahnya mengangguk-angguk.

Saya lanjutkan pertanyaan, "Kamu mahu dalil Al-Qur'an dan hadis bagi setiap persoalan. Kalau tak ada dalil qat'ie kamu tak pakai. Ijtihad ulama/perkataan ulama kamu tak terima. Baik sekarang saya nak tanya bagaimana kamu membaca Al-Qur'an? Kamu pasti akan menjawab, dengan bertajwid. Siapa yang ajarkan kamu tajwid? Cuba tunjukkan saya satu dalil di dalam Al-Qur'an yang mengajarkan kaifiyyat membaca 'mad arif li-sukun'? Atau cuba sebut di dalam hadis mana ada menyebut hukum cara membaca 'isymam' mengkut hukum tajwid?"

Semua terdiam lagi.

Hukum-hukum tajwid adalah ijtihad ulama kiraat yang 7. Ulama-ulama kiraat seperti Al-Asim mengijtihadkan kaifiyyat membaca Al-Qur'an menurut sebutan dan tajwid yang betul untuk memudahkan umat Islam mengamalkannya.

Demikian halnya dengan ilmu tasawwuf dan tariqat. Semua amalan itu adalah bersumberkan Al-Qur'an dan hadis Nabi. Ulama-ulama tasawwuf menghimpunkannya menjadi satu disiplin ilmu yang tersusun untuk memudahkan umat Islam mengamalkannya. Sebagaimana juga nama ilmu fiqh yang juga tiada pada zaman Nabi. Ia adalah ijtihad ulama fiqh seperti Imam Shafie dll.

--------------
Kisah ini berlaku di tahun 1980an. Zaman itu sudah berlalu. Sebahagian yang berpegang pada ajaran Wahhabi elah bertaubat dan kembali kepada pegangan Ahlus-Sunnah (sebagaimana juga Ibnu Taimiyyah).

Namun zaman berulang. Yang lama sudah tua! Sekarang timbul generasi muda, dengan setengahnya memegang segulung ijazah di tangan, sekadar hafal beberapa hadis, sudah cuba mencabar ulama-ulama  Ahlus-Sunnah!

Adakah mereka akan sedar? Dan siapa yang akan sedarkan mereka itu?

Kewajipan Mengamalkan Tasawwuf & Bahaya Jika Ditinggalkan

Susunan: Tok Kelana

1.0 MUQADDIMAH

Berdasarkan pegangan Ahlus-Sunnah wal-Jamaah, menuntut ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf serta mengamalkannya adalah fardhu 'ain atas setiap mukallaf lelaki dan wanita.

Ilmu fiqh adalah berkaitan perlakuan serta ibadah dan muamalah zahir. Ilmu tauhid adalah berkaitan keimanan dan kepercayaan kepada Allah dan segala yang ghaib. Ilmu tasawwuf adalah berkaitan penyucian hati, aqal dan ruh daripada segala kekotoran yang berunsur nafsu, dunia dan syaitan.

Kebanyakan kita sedia maklum tentang ketiga-tiga ilmu ini. Tetapi apa yang ingin kita paparkan dalam kesempatan ini adalah kelemahan ummat Islam pada zaman ini yang kebanyakannya mengabaikan ilmu tasawwuf yang menjadi nadi kesucian dan kekuatan diri. Dalam ertikata penyempurnaan kepada kepada sifat-sifat mu'min itu telah diabaikan.
... dengan tujuan yang satu: tunduk menghambakan diri!

Mulai dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah dan akhirnya ke peringkat universiti kita diajar dengan berbagai bidang ibadah solat, puasa, zakat dll. Alhamdulillah. Tetapi malang sekali sangat sedikit atau tiada langsung diajar tentang ilmu tentang sifat-sifat nafsu, kebinasaan yang dihasilkan oleh nafsu kejahatan, kaedah-kaedah memerangi nafsu dan syaitan yang merosakkan jiwa. Sedangkan penyucian jiwa ini adalah yang paling penting dalam kehidupan seorang yang beriman kepada Allah Ta'ala berdasarkan Firman Allah Ta'ala;

يَوْمَ لاَ يَنفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ - إِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
"Pada hari itu tiada berguna harta dan anak-pinak kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)".  -  Ash-Shuara 26: 89 

Dan Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalb (hati).  -  Riwayat Bukhari.

Apa yang disebut di dalam ayat-ayat di atas adalah berkenaan hati yang sejahtra, hati yang suci, hati yang bebas dari syirik dari semua bentuk mazmumah. Hanya hati yang suci ini sahaja yang akan selamat dunia dan akhirat. Hanya hati yang suci ini mampu menghadapi sakratul maut yang sangat dahsyat. Hanya hati yang sejahtera ini dapat ketenangan di dalam kuburnya. Hanya hati yang tenang ini akan memperoleh keampunan dan rahmat Ilahi di perhimpunan mahsyar nanti.

Untuk mendapat hati yang sejahtera daripada syirik khafi, bebas dari mazmumah - (sifat-sifat kekejian) dan memperoleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seseorang wajib menuntut ilmu tasawwuf dan mengamalkannya.

2.0 PENTINGNYA TASAWWUF DALAM IBADAH DAN KEHIDUPAN

Sebagaimana kita bicarakan sebelum ini bahawa menuntut ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf menjadi kewajipan: fardhu ain atas setiap mukallaf lelaki dan wanita. Serta mengamalkannya dalam kehidupan tanpa memisah-misahkannya. Semua hukum yang terkandung di dalam fiqh, tauhid dan tasawwuf adalah bersumberkan Al-Qur’an kitabullah dan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم

Mari kita lihat satu contoh bagaimana hubungan-hubungan ini berlaku. Iaitu ibadah solat yang dikerjakan setiap hari.

Apabila seseorang melakukan solat dengan mematuhi syarat-syarat dan rukun solat dengan sempurna sebagaimana terkandung dalam ilmu fiqh, maka sah solatnya dari sudut fiqh dan terlepas dia dari taklif syara’. Tetapi dia belum terlepas dari hukum-hukum yang menyentuh batinnya; iaitu adakah dia benar-benar khusyu’ di dalam solatnya? Adakah dia riya’ ketika solatnya? Adakah dia ‘ujub selepas solatnya? Semua ini tidak diketahui oleh manusia lain - dari sudut fiqh dia selamat, tetapi pada pandangan Allah swt yang melihat pada hati dia belum entu lagi selamat.

Dalam ertikata lain seseorang wajib menyempurnakan syarat-syarat fiqh dan pada masa yang sama wajib berusaha sedaya upaya memenuhi syarat-syarat batin. Mengapa kita kata “wajib berusaha sedaya upaya”? Ini kerana kebanyakan kita akan menghadapi gangguan hati ketika solat. Gangguan ini adalah daripada nafsu dan syaitan. Maka wajib bagi seseorang itu berusaha membenteras gangguan ini dengan berbagai cara yang diajarkan oleh ulama-ulama tasawwuf.

Ini bermakna seseorang yang melakukan solat dengan sempurna pada fiqh, tetapi pada masa yang sama riya’ ketika solatnya, iaitu perasaan riya’ yang dikekalkan di dalam hati (ikhtiari) maka binasa solatnya! Ia berpunca riya’ itu adalah syirik khafi (syirik yang tersembunyi) yang wajib disingkirkan/dibuang dari hati.

Demikian juga seseorang yang mengerjakan solat wajib mesti berusaha sedaya upaya agar khusyu' di dalam solatnya. Ia memandangkan khusyu dalam solat adalah isi kepada batin solat tersebut. Seseorang yang mengerjakan solat sedangkan hatinya langsung lalai dari awal sampai ke akhir, maka ini juga termasuk orang yang diancam dengan “neraka wail”.

Sebagaimana kata Imam Hasan Basri, “Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai adalah ia lebih dekat kepada neraka”.

Maksudnya adalah wajib bagi seseorang itu berusaha sungguh-sungguh agar tidak termasuk ke dalam golongan yang lalai dalam solatnya. Walaupun ia bukan perkara mudah, tetapi wajib kita berusaha sedaya upaya agar khusyu’ dalam ibadah tersebut.

Di sini kita lihat betapa pentingnya kita menuntut ilmu tasawwuf dan mengamalkannya di samping ilmu fiqh agar segala ibadah tidak menjadi sia-sia. Jangan pada zahir kita nampak cantik, sedangkan batin kita hodoh dan tercemar. Ia memandangkan Allah Ta’ala tidak memandang kepada kecantikan rupa paras zahir, tetapi Dia melihat pada batin yang tersembunyi. Di sisi Allah tiada erti segala kecantikan rupa, tetapi kecantikan yang menjadi tempat jatuh pandangan Allah adalah di hati mansusia.

3.0 DALIL-DALIL WAJIB AMALKAN TASAWWUF

Kita dapati pada zaman ini kebanyakan ummat Islam hanya mengambil fiqh, sedangkan tasawwuf diabaikan. Apakah puncanya?

Sebahagian besar ummat Islam masih keliru atau telah dikelirukan oleh fahaman bahawa tasawwuf adalah untuk orang-orang tertentu. Ada juga yang mengatakan tasawwuf hanya sebagai amalan sampingan untuk mendapat kelebihan, bukan sebagai satu kewajipan. Berbagai pendapat ini dan banyak lagi pendapat lain adalah bertentangan sama sekali dengan apa yang dinyatakan oleh seluruh ulama-ulama mu'tabar.

i) Kewajipan menyucikan hati dari berbagai penyakit syirik, nifaq dan sifat-sifat mazmumah serta menghiasinya dengan iman, taqwa dan sifat-sifat mahmudah sebagaimana yang dihuraikan dalam tasawwuf adalah berdasarkan banyak bukti di dalam Al_Qur'an dan hadis Nabi. Di antaranya; Firman Allah:

يَوْمَ لاَ يَنفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ - إِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
"Pada hari itu tiada berguna harta dan anak-pinak kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)." - Ash-Shuara 26: 89 

Dan Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalb (hati). -  Riwayat Bukhari.

ii) Ilmu tasawwuf adalah sebahagian daripada syariat Nabi yang dihimpunkan oleh ulama-ulama berdasarkan Al-Qur'an dan Sunnah. Ia mengandungi hukum-hukum haram dan halal yang menyentuh batin/kelakuan hati manusia.

Contohnya: Hasad, jahat sangka, takabbur, ujub, ria' adalah termasuk perkara-perkara yang diharamkan pada hati. Sesiapa yang ada sifat-sifat ini, wajib membuangnya segera bukan sebagai sunnat atau menuntut kelebihan. Hal ini didasarkan kepada perintah Allah dan hadis-hadis Nabi yang soheh. Umpamanya takabbur adalah antara sifat iblis yang sangat tercela dan diharamkan.

Rasulullah shalallahu صلى الله عليه وسلم bersabda:
"Tidak akan masuk syurga barang siapa di dalam hatinya terdapat setitik kesombongan." - Muslim

Maka wajib bagi setiap mukallaf menyucikan batinnya daripada sifat takabbur ini. Demikian halnya sifat-sifat kekejian yang lain menjadi wajib atas kita menyucikannya. Ia disebabkan kesemua sifat ini bukan saja merosakkan amal bahkan lebih buruk daripada itu menjadi punca kepada kemurkaan Allah Ta'ala serta menjadi sebab untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

iii) Seluruh ulama mu'tabar telah bersepakat bahawa menuntut dan mengamalkan tasawwuf adalah wajib aini atas setiap mukallaf lelaki dan wanita. Di sini kita kemukakan beberapa keterangan ulama-ulama mu'tabar.

Kata Imam Malik رضي الله عه :
"Fiqh tanpa tasawwuf adalah fasiq. Tasawwuf tanpa fiqh adalah zindiq. Menghimpun antara keduanya itu yang haq."

Kata-kata ini telah disepakati oleh seluruh ulama arifin walaupun dengan makna yang berbeza-beza, tetapi membawa kepada maksud yang sama. Iaitu wajib menghimpunkan kedua-dua fiqh dan tasawwuf. Jika mengamalkan fiqh semata-mata tanpa disertai tasawwuf boleh membawa seseorang itu kepada menjadi fasiq. Wal Iyazubillah.

Berkata Imam Ghazali رضي الله عه :
“Sedangkan ilmu tentang qalbu dan mengenal penyakitnya, berupa iri dengki, ujub, dan riya’ serta semisalnya, adalah fardu ‘ain”.

Kata Ibnu Abidin dalam catatannya :
“Mengenal ikhlas, ujub, riya’, dengki, adalah fardlu ‘ain, begitu juga mengenal penyakit-penyakit jiwa seperti sombong, dendam, menipu, marah, membuat permusuhan, dendam, tamak, bakhil, boros, pengkhianatan dan wah-wahan, sombong terhadap kebenaran, pengkhianatan, keras hati dan panjang angan-angan, dan sebagainya merupakan penyakit hati, yang dibedah dalam seperempat kitab bab perilaku yang menghancurkan, oleh Al-Ghazaly dalam kitab Al-Ihya’ disebutkan, “Sudah tidak ada alasan lagi untuk menolak, seharusnya siapa pun mempelajari penyakit-penyakit itu sebagai kewajipan.” -  Hasyiyah Ibnu Abidin

Berkata Shaikh Abdul Wahab Asy-Sya'rani :
"Telah diketahui bahwasanya tiap-tiap orang yang tidak mengambil daripada sheikh ahli sufi yang menunjukkan kepada jalan yang mengeluarkannya daripada segala sifat tercela, yakni segala maksiat yang batin seperti riya', ujub takbur, hasad, kasih kepada dunia, bakhil dan barang sebagainya, maka adalah dia melakukan maksiat kepada Allah Ta'ala dan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam kerana dia tidak akan mendapat petunjuk bagi mengubati segala penyakit batin itu melainkan dengan syeikh walaupun dia menghafaz kitab di dalam ilmu yang lain daripada ilmu tasawwuf itu sekalipun." -  Masyariq Al-Anwar Al-Qudsiyyah

Banyak lagi kata ulama mu'tabar yang kesemuanya telah menunjukkan akan kewajipan mengamalkan tasawwuf dan larangan daripada meninggalkannya.

Nota:
Awal agama mengenal Allah, untuk mengenal Allah kenalilah siapa diri kita dahulu sama ada kita ini hamba atau tuan? Selaku hamba adakah tingkah laku kita selayak hamba atau cuma bermain di bibir sahaja? Ikhlas yang banyak tingkatannya itu akan meletakkan kita di tahap mana kedudukan. Tiada tuhan melainkan Allah zikir kita, benarkah begitu? Nabi Muhamad saw pesuruh Allah, bagaimana bentuknya iman kita dalam mengenal dan mentaati saranan baginda? Al-Quran sebagai panduan... adakah benar kita berpandukannya secara keseluruhannya? Hidup ini kerana Allah (dikeranakan Allahlah kita dapat hidup) fahamilah maksud 'kerana Allah' itu dengan mendalam berdasarkan tauhid. Ini didasarkan bahawa tiada sedikit pun kekuatan walaupun sebesar zarah pada makhluk melainkan dengan kehendak Dia.

Sunday, 17 October 2010

Ciri-ciri Ahlus-Sunnah wal-Jamaah

Susunan: Tok Kelana

1.0 Siapakah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah?

Seluruh Ummat Islam sudah tahu istilah Ahlus-Sunnah wal-Jamaah. Semua berharap dan mengaku mereka Ahlus-Sunnah. Namun siapakah sebenarnya Ahlus-Sunnah wal-Jamaah? Adakah ia merupakan jamaah atau kumpulan tertentu? Apakah ciri-ciri mereka?

Ahlus-Sunnah wal-Jamaah adalah satu-satunya golongan yang mendapat jaminan dari junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم sebagai golongan yang selamat!

Mereka adalah yang berpegang kepada Nabi saw dan sunnah khalifah baginda serta bersatu dalam jamaah muslimin. Sementara golongan-golongan yang lain telah tersesat dan terkeluar dari jamaah muslimin atau jamaah Rasulullah ini - iaitu mereka terkeluar dari jamaah yang diwariskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم .

Dari Abu Hurairah Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda;
"Bangsa Yahudi telah terpecah menjadi 71 golongan, kaum Nasrani telah terpecah menjadi 72 golongan, dan Ummatku akan terpecah menjadi 73 golongan. Semuanya masuk neraka kecuali satu". Kemudian para sahabat bertanya, "Siapa mereka Ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Mereka yang mengikutiku dan sahabat-sahabatku." -  Hakim, Ibnu Majah

Dalam sebuah hadis lain pula;
Daripada 'Irbad bin Sariyah katanya, bahawa pada suatu hari selepas sembahyang pagi (iaitu lepas subuh) Nabi Salla Allahu 'Alaihi WaSallam menyampaikan pengajaran yang cukup maksudnya, maka dari itu keluarlah air mata orang ramai, dan hati mereka pun menjadi takut, maka (dalam hal itu) berkatalah seorang lelaki,

"Sesungguhnya nasihat itu adalah seperti nasihat mengucap selamat tinggal, apakah yang tuan hamba ingin mewasiatkan kepada kami wahai Rasulullah?"

Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

"Aku berwasiat kepada kamu sekelian supaya bertaqwa kepada Allah, supaya mendengar dan taat, walaupun dia seorang hamba abdi bangsa Habsyi (yang diangkat menjadi ketua kamu sekelian); maka sesungguhnya sesiapa dari kalangan kamu yang hidup (bila sampai masanya) dia akan melihat berlaku perselisihan yang banyak, dan bendaklah kamu berjaga-jaga daripada (mengadakan) perkara-perkara baru (dalam urusan agama), maka sesungguhnya itu adalah kesesatan; maka sesiapa di kalangan kamu yang mendapat perkara demikian itu hendaklah dia mengikuti sunnahku dan sunnah para khulafa' ar-rasyidin yang mendapat hidayat daripada Allah, dan hendaklah kamu berpegang kepada sunnah itu dengan gigi geraham kamu". -  Riwayat Tirmizi - Hadith hasan sahih

Berdasarkan pemerhatian ulama billah Nabi saw telah memberikan beberapa petunjuk yang jelas di dalam hadis-hadis yang di atas, berkenaan dengan ciri-ciri umum golongan yang selamat, di antaranya;

Kunci pertama : Mereka yang mengikuti sunnahku;

Kunci kedua : Mereka yang mengikuti sunnah sahabatku.

Kunci ketiga : Tinggalkan bid'ah

Kunci Keempat : Golongan atau Jamaah

Sunnah Nabi sebahagian besarnya sudah pun jelas, dan semua golongan mengakui akan kebenarannya. Salah satu perkara yang menjadi pokok perselisihan adalah berkenaan wasiat Nabi saw, "sunnah khalifahku" Di sinilah bermulanya perpecahan. Hanya orang-orang yang terbuka hati akan melihat siapa yang sebenarnya yang dimaksudkan Nabi saw dengan "sunnah sahabatku."

Sementata kebanyakan orang melihat makna "sahabat Nabi" sebagai umum; ahli ma'rifat melihatnya sebagai pewaris Nabi yang menerima ilmu sahabat nabi secara musyafahah dari satu generasi ke generasi berikutnya tidak putus hingga ke akhir zaman ini,

Apa yang dimaksudkan dengan bid'ah (mengada-ngadakan perkara baru) dalam agama yang tersebut di dalam hadis di atas adalah isyarat Nabi saw kepada golongan-golongan yang memisahkan diri jamaah kaum muslimin dan membuat bid'ah fahaman sendiri yang sesat. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain.

Golongan yang pertama sekali memisahkan diri jamaah kaum muslimin adalah kaum Khawarij, kemudian diikuti oleh kaum Jabariyah. Kemudian timbul Mu'tazilah, Mujassimah, Rafidah dll yang kesemuanya berjumlah semuanya 72 golongan yang memisahkan diri. Inilah golongan-golongan bid'ah, iaitu golongan yang mengadakan fahaman-fahaman yang menyimpang dari fahaman Ahlus-Sunnah.
Bukanlah maksud "bid'ah" tersebut sebagaimana kupasan sesat kaum wahabbiyah di zaman ini mengatakan tawassul, ziarah kubur dsb sebagai bid'ah, sedangkan semua amalan tersebut adalah bersandarkan hadis Nabi saw.

Sementara itu yang dimaksudkan dengan "jamaah" bukanlah bermakna satu-satu jamaah tertentu, tetapi ia umum jamaah muslimin yang berpegang kepada ciri-ciri ummat Islam yang disebutkan oleh ulama2-ulama  Mu'tabarah dahulu.
Raudhah: di antara taman-taman syurga...

2.0 Bagaimana mengenali golongan yang selamat ini?

Bagaimana mengenali Ahlus-Sunnah wal-Jamaah? Apakah ciri-ciri mereka?

Pada zaman ini banyak pihak mendabik dada konon merekalah Ahlus-Sunnah wal-Jamaah sedangkan perbuatan dan ucapan mereka menyimpang jauh dari pegangan Ahlus-Sunnah wal-Jamaah. Ini termasuklah puak Wahabbiyyah, Talafiyah, Takrifiyah. Pada hakikatnya golongan ini adalah 'penjelmaan' semula daripada  fahaman sesat mujassimah.

Orang awam yang tiada ilmu akan mudah terpengaruh dengan dakwaan dan hujjah-hujjah batil mereka. Kesesatan tersebut disemarakkan lagi dengan terbitnya golongan pelajar-pelajar muda lulusan agama. Dengan hanya membekalkan Iilmu syari'ah atau beberapa hadis yang mereka pelajari di bilik-bilik kuliah, mereka mula mencabar ilmu ulama-ulama mu'tabarah terdahulu.

Jadi bagaimana cara untuk menyelamatkan iman dari "kuman bahaya wahabbiyyah" dan juga fahaman sesat yang lain? Jadi kita perlu mentelaah secara saksama dari perkataan-perkataan ulama mu'atbarah yang diakui oleh seluruh ummat Islam seperti Imam Jailani, Shaikh Ibnu Ata'illah, Imam Al-Ghazali, Imam Hanbali, Imam Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan lain-lainnya.

Berikut adalah himpunan ciri-ciri penting pendirian Ahlus-Sunnah wal-Jamaah yang dipetik dari Kitab Al-Ghunyah Li Talibil Haqq dan Ihya Ulumuddin serta kitab-kitab mu'tabar yang lain. Mudah-mudahan bermanafaat.


1. PENGERTIAN IMAN

Iman adalah meyakini dengan hati, mengucapkan dengan lisan dan memanifestasikannya dengan amal perbuatan. Iman bererti pembenaran oleh hati yang disertai pengetahuan tentang apa yang dia benarkan itu.

Sedangkan menurut syari'at, iman bererti pengetahuan tentang Allah dan sifat-sifatNya disertai ketaatan atas semua hal yang wajib dan yang sunnat dan menghindari berbagai larangan dan maksiat. Atau iman bererti agama, syari'at dan millah, kerana agama bererti suatu yang dianuti disertai dengan ketaatan dan penghindaran dari larangan dan segala yang haram. Itu merupakan sifat iman.

Islam juga termasuk dalam iman. Setiap iman adalah Islam, tetapi bukan setiap Islam itu iman, kerana Islam bererti penyerahan diri dan ketundukan. Setiap mukmin pasti menyerahkan diri dan tunduk kepada Allah, tetapi tidak setiap yang berserah diri beriman kepada Allah. Kerana dia menyerahkan diri kerana takut pedang. Dengan demikian iman merupakan nama yang mencakup berbagai sebutan, baik dalam wujud perbuatan mahupun ucapan, sehingga mencakup segala bentuk ketaatan.


2. IMAN DIPERKUAT DENGAN ILMU DAN DIPERLEMAH OLEH KEBODOHAN.

Firman Allah :

فَأَمَّا الَّذِينَ ءامَنُواْ فَزَادَتْهُمْ إِيمَـناً وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

"Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). -  At-Taubah, 9 :124


3. IMAN DAPAT BERTAMBAH DAN BERKURANG.

Ahlus-Sunnah berpendirian iman bertambah dengan ketaatan dan menjauhi segala larangan Allah. Sementara ia berkurang dengan berkurangnya ketaatan dan bertambahnya maksiat seseorang.

Firman Allah :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَـناً وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. -  Al-Anfal, 8 : 2

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Abu Hurairah serta Abu Darda' , mereka berkata : "Iman itu dapat bertambah dan berkurang."


4. IMAN BUKAN MAKHLUK

Berdasarkan kata Imam Ahmad Bin Hambal apabila ditanya orang, apakah iman itu makhluk? Beliau menjawab, "Barangsiapa mengatakan bahawa iman itu makhluk bererti dia telah kafir, kerana demikian bererti dia telah menentang Al-Qur'an"

Iman adalah cahaya Ilahi yang melimpah ke dalam hati seseorang hamba. Wadah yang menanggung iman, iaitu hati adalah makhluk, tetapi zat iman bukan makhluk.


5. DILARANG BERKATA : "AKU PASTI MU'MIN"

Seorang mu'min tidak boleh mengatakan "Aku pasti mu'min". Tetapi katakanlah : "Aku ini orang mu'min InsyA Allah." Ini akan menolak pendapat Mu'tazilah yang mengatakan, "Aku pasti mu'min".

Pendapat kami berdasarkan kata-kata Sayyidina Umar, "Barangsiapa mengaku dirinya mu'min (yakni pasti mu'min), bererti dia telah kafir!

6. PENGERTIAN ISLAM

Islam merupakan ungkapan dari dua kalimat syahadat yang disertai dengan ketenangan hati dan diiringi menjalani semua kewajipan. Perintah Allah yang wajib dikerjakan dengan sungguh-sungguh dan sempurna. Segala tegahan Allah yang haram ditinggalkan tanpa rasa berbelah bahagi.

Kewajipan asas adalah;  Mendirikan rukun Islam yang lima: i) Mengucapan dua kalimah syahadat dengan keyakinan; ii) Mendirikan solat; iii) Berpuasa di bulan Ramadhan; iv) Menunaikan zakat; v) Mengerjakan haji bagi yang bekuasa.

Selain daripada kewajipan asas tersebut, banyak lagi kewajipan lain yang perlu ditunaikan mengikut ukuran dan tingkatan tuntutannya; iaitu
-  Berbakti kepada ibu-bapa
-  Berkhidmat kepada guru atau ulama pewaris Nabi
-  Berda'wah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran
-  Berjihad fisabilillah dan lain-lain.

Kemudian wajib pula menjauhi segala yang diharamkan; iaitu
-  Berzina
-  Minum arak
-  Berjudi
-  Bertenung nasib
-  Membunuh jiwa tanpa hak
-  Menipu
-  Merampas harta tanpa hak
-  Menganiaya atau menzalimi makhluk Allah
-  Mengumpat
-  Khianat dan banyak lagi.


7. PENGERTIAN IHSAN

Ihsan adalah penghambaan yang tulus ikhlas kepada Allah yang tiada sedikitpun syirik di dalam penyembahannya. Ibadahnya semata-mata kerana Allah, kerana kasihnya, kerana cintanya; bukan kerana menuntut atau mengaharap sesuatu sama ada duniawi atau ukhrawi.

Dalam tasawwuf, maqam ihsan dilihat sebagai maqam tertinggi bagi seseorang hamba Allah dalam penghampirannya kepada Allah. Ini berdasarkan Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :

"Hendaklah engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau." -  riwayat Bukhari

Hadis ini tidak dapat ditafsirkan dengan pengetahuan akal semata-mata. Ia adalah penghayatan hati dan ruh yang terhasil daripada mujahadah di jalan Allah sebagaimana yang ditunjukkan oleh para imam, sheikh toriqat Sufiyyah!


8. WAJIB BERPEGANG KEPADA SALAH SATU MAZHAB FIQH

Pendirian Ahlus-Sunnah wal-Jamaah adalah: Wajib bagi seseorang yang belum sampai ke taraf mujtahid, berpegang kepada salah satu mazhab fiqh yang diakui oleh ulama-ulama Ahlus -Sunnah. Sebaik-baiknya berpegang kepada salah satu daripada mazhab fiqh yang masyhur, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Shafie atau Hanbali.

Seseorang yang belum bertaraf mujthaid, hanya boleh berpegang kepada salah satu mazhab pada suatu masa dalam mengerjakan ibadahnya. Dan disyaratkan dia mesti mengetahui, iaitu telah mempelajari selok-belok mazhab tersebut. Apa yang cuba disampaikan adalah:  Harus seseorang berpindah kepada mazhab lain dengan syarat dia mengetahui selok-belok hukum di dalam mazhab tersebut; bukan kerana ikut-ikutan sahaja.

Mujtahid adalah; Seseorang yang alim di dalam ulmul Qur'an, mengetahui nasikh-mansuh, alim dalam hadis Nabi, mengetahui hadis sahih - hadis maudhu', ilmu usul, berbagai lughah bahasa Arab dan banyak lagi disiplin ilmu yang berkaitan sehingga melayakkan dia untuk menerbitkan hukum untuk dirinya sendiri.
Beberapa kemusyklian:
Ada golongan yang mendakwa mereka hanya merujuk al-Qur'an dan hadis Nabi dan tidak berpegang kepada mazhab fiqh. Alasan mereka ialah Nabi tidak bermazhab, di mana sahabat juga tidak bermazhab.

Jawapan:
(i) Sahabat Nabi hidup bersama Nabi, semua kemusykilan mereka ajukan kepada Nabi untuk penjelasan. Tiada perbezaan pendapat kerana sumbernya satu, iaitu kata-kata Nabi. Apabila zaman berlalu, sahabat-sahabat telah bertebaran di seluruh dunia, ilmu yang sampai kepada generasi berikutnya berbeza-beza di sebabkan adanya perbezaan periwayatan sahabat. Inilah yang menjadikan berlakunya perbezaan pendirian imam-imam mazhab, iaitu ijtijhad mereka sesuai dengan apa yang mereka terima menurut pandangan masing-masing.

(ii) Al-Qur'an adalah kalamullah yang suci. Setiap perkataannya mengandungi makna-makna yang jelas dan mudah difahami dan juga makna-makna yang tersembunyi. Ada ayat-ayat yang bersifat umum, ada yang bersifat khusus, ada ayat-ayat muhkamat dan ada ayat-ayat mutasyabihat. Untuk memahami semua jenis ayat-ayat Allah yang suci ini, seseorang perlu memiliki ciri-ciri penting yang melayakkan dia untuk mentafsirkannya; Di antara yang paling penting ialah bersifat taqwa, telah hafal seluruh Al-Qur'an dan hafal juga hadis-hadis Nabi berkaitan, mengetahui berbagai lugah bahasa Arab dan lain-lain lagi.

(iii) Hadis-hadis Nabi berjumlah ratusan ribu bahkan mungkin mencecah sampai juta hadis. Untuk menerbitkan sesuatu hukum, seseorang perlu memahami hadis-hadis Nabi yang banyak dari berbagai periwayatan. Orang awam yang jahil tidakkan dapat melakukannya.

(iv) Semua Mazhab yang masyur dan diakui adalah pada hakikatnya pancaran Al-Qur'an dan hadis Nabi juga. Para imam cuma menghimpunkannya menjadi satu disiplin ilmu yang tersusun agar orang-orang awam dapat mengamalkan Islam dengan mudah tanpa tercari-cari akan hukumnya. Sebagai contoh yang mudah -  untuk mengerjakan solat kita hanya perlu merujuk kepda kitab fiqh dalam bab solat. Di sana ada dijelaskan hukum halal haram, sah batal dsb.

(v) Kita cuba tanya orang-orang mendakwa bahawa mereka cuma rujuk Al-Qur'an dan hadis Nabi dan tidak mahu mengikut mazhab - bagaimana agaknya mereka melakukan wudhu? Bagaimana mereka mengerjakan solat? Cuba tunjukkan di manakah dalam Al-Qur'an atau hadis Nabi yang menunjukkan tentang rukun solat yang 13 dan wudhu yang 6 itu? Cuba tunjukkan di mana sah dan batalnya solat? Cuba keluarkan hukum-hukum tersebut dengan sendiri. Boleh?

Jika perkara-perkara asas agama seperti solat pun, mereka tidak dapat keluarkan hukum dengan sendiri, maka akurlah dengan pegangan dan anjuran ulama Ahlus-Sunnah. Jangan terpedaya oleh tipu-daya syaitan dan nafsu sendiri!


9. WAJIB MENGAMALKAN TASAWWUF

Seluruh ulama AhlusSunnah berpendirian wajib bagi setiap muslim mengamalkan tasawwuf. Tasawwuf adalah ilmu yang membicarakan tentang ehwal hati, segala penyakit hati, sifat-sifat tercela dan sifat-sifat terpuji, sekalian syirik khafi serta menunjukkan jalan membaiki hati tersebut melalui zikrullah dan mujahadah. Seluruh ilmu ini adalah bersumberkan Al-Qur'an dan Hadis Nabi صلى الله عليه وسلم

Ilmu tasawwuf yang wajib diamalkan ada diterangkan dalam kitab-kitan ulama Ahlus-Sunnah seperti Ihya Ulumuddin, Minhajul Abidin, I'anatut-Talibin, Sirrus-Salikin dan Hidayatus-Salikin.

Berkata Imam Ghazali رضي الله عه :
"Bermula ilmu tentang qalbu dan mengenal penyakitnya berupa iri hati, riya' dan semisalnya adalah fardhu 'ain."

Seseorang muslim tidak akan dapat menjadikan dirinya sebagai hamba Allah dengan hanya mengamalkan ilmu fiqh semata-mata. Adalah wajib baginya menghimpunkan kedua-duanya; iaitu ilmu fiqh dan ilmu tasawwuf untuk kesejahteraan zahir dan batin.

Seperti kata Imam Malik رضي الله عه :
"Sesiapa yang mengamalkan fiqh tanpa tasawwuf, maka dia fasiq. Sesiapa mengamalkan tasawwuf tanpa fiqh, maka dia zindiq. Mengimpun keduanya itu yang haq."

Saturday, 16 October 2010

Tasauf: Alam-alam Suci

Pada masa yang sama timbul pula persengketaan besar antara kaum fuqaha dan kaum sufi berkait dengan soal keramat dan alam misali.

Alam keramat merupakan hal-hal luar biasa yang terjadi pada diri orang-orang yang takut kepada Allah - dari segi perkataan dan perbuatannya - dengan tidak menyalahi satu pun zahir syariat. Menurut orang sufi, keramat itu adalah suatu pekerjaan dari kehidupan biasa di kalangan orang sufi. Keramat itu termasuk kurnia dan pemberian hadiah daripada Allah swt.

Dalil mereka ialah tentang kisah ahli gua (ashabul-kahfi) di mana mereka itu tinggal selama 300 tahun lebih dalam keadaan hidup, tetapi tidur tanpa mengalami apa-apa kerosakan setelah tidak makan atau apa sahaja. Sedangkan mereka itu bukannya nabi - sekadar orang yang 'mencari' akan Tuhannya; mencari dalil akan adanya Tuhan.

Dalil yang lain bagi orang sufi ialah tentang Siti Mariam, ibu Isa a.s. sewaktu hendak bersalin telah menerima firman Allah swt seperti yang tersebut dalam Surah Mariam: ayat 25 - "Dan tariklah batang tamar itu, nanti akan jatuh kepada engkau buah-buah tamar yang sedang masak."

Demikian rahmat Tuhan kepada Siti Mariam, sedangkan dia bukannya nabi.

Demikian dengan kisah Asif bin Barkhaya yang telah memindahkan istana Balqis kepada Nabi Sulaiman dari hujung Yaman ke Palestin dalam sekelip mata. Sedangkan jin ifrit yang paling kuat itupun meminta tempoh separuh hari untuk melakukan kerja yang sama!

Demikian juga dengan kisah tiga orang lelaki yang terkurung di dalam gua oleh sebuah batu besar. Sahih Bukhari ada menceritakannya. Masing-masing berkata sesama sendiri, supaya berdoa kepada Allah agar dengan berkat amalan yang telah pernah mereka lakukan agar Allah mengubah ketulan batu yang menutup pintu gua tersebut.

Masing-masing berbicara, "Ya Tuhanku, jika amalyang telah kulakukan itu ikhlas dan Engkau terima maka lepaskanlah kami daripada bahaya batu besar ini." Lalu terangkatlah sepertiga daripada batu itu. Kemudian berdoa pula lelaki yang kedua dengan permintaan yang sama. Ketulan batu itupun terangkat sebahagian. Kemudian berdoa pula lelaki yang ketiga dengan maksud yang sama. Dan dengan takdir Allah swt, batu itu terangkat sepenuhnya dan mereka itu dapat keluar dari dalam gua berkenaan dengan selamat.

Peristiwa di Tak Bai, Thailand

Semua itu adalah kerana berkat amalan yang ikhlas. Ini adalah sebahagian daripada keramat (kemuliaan) yang diberikan Allah kepada hamba-hambaNya yang ikhlas beramal.

Demikian juga dengan kisah Juraij, seorang pendeta yang dituduh seorang wanita sebagai ayah kepada anak yang dikandungnya. Sedangkan, ayah anak itu yang sebenar adalah seorang penggembala kambing. Apabila anak itu lahir, wanita itu menyerahkan anaknya kepada pendeta tersebut di khalayak ramai. Maka pendeta itu lalu menjadi sasaran dan mangsa fitnah! Penduduk marah dan tempat ibadatnya pun dirosakkan. Dia dihukum tanpa usul periksa.

Juraij memohon bantuan daripada Allah swt. Dia bertanyakan anak yang baru lahir itu, "Siapakah ayah engkau yang sebenarnya, wahai si anak?" Anak itu terus berbicara dengan berkata, "Ayahku adalah si folan, si penggembala kambing." seperti yang tersebut dalam hadis soheh Bukhari dan soheh Muslim.

Maka nama baik Juraij dapat dibersihkan dan tempat ibadatnya yang telah rosak digantikan dengan tempat yang lebih baik lagi. Namun Juraij enggan menerimanya. Dia mahukan mereka meruntuhkannya sama seperti tempatnya yang asal.

Peristiwa ini cukup terkenal dan disebut dalam al-Quran. Sebahagiannya diungkapkan dengan hadis Nabi saw. Semua orang yang melakukannya bukan nabi dan bukan juga rasul. Mereka itu hanya mukmin yang abid.

Kemudian apa yang disebut keramat itu kepada mereka bukanlah darjat. Keramat itu cuma satu istilah yang menyatakan kelebihan mereka yang bukan pun berstatus untuk ditunjukkan kelebihan atau bertujuan untuk mencuba dan menguji. Al-Junaid Al-Baghdadi pernah berkata; "Beberapa orang yang berjalan kaki di atas air, tetapi orang yang mati kehausan lebih utama daripada diri mereka sendiri.

Jadi, tidaklah selama-lamanya orang yang telah berjaya lakukan sesuatu hal yang ganjil itu sebagai benar. Ada juga hal yang didapati palsu.

Tuesday, 12 October 2010

Kitab Hakikat Insan - Sesat ke?

MH menulis:

Kalau nak kenal tuhe (tuhan) kena jadi tuhe (tuhan) - Mat Laksamana dan sila rujuk ayat: Innalillahi wa-inna ilaihi-rooji'uun yang bermaksud kita datang dari Allah dan akan kembali kepada Allah.

Maksud katanya; Kita dijadikan dari Zat Allah swt atau cobek Zat Allah swt dan apabila mati - kembalila cobekan itu kepada Zat Allah swt. Apabila sudah kembali maka jadi Allah swt kembali. Apabila dah jadi Allah kembali, maka barulah kenal akan Allah.

Itu kata muridnya kepada ana: sebagaimana yang tuk guru mat ajarkannya.

Mangkuk menulis:

Itulah sebabnya Pak Ngah mengaku salah dan menerima fatwa sesat kerajaan sebab dalam hal ini beliau memang sedar yang beliau telah salah. Ini berlaku kerana salah mentafsir dapatan beliau ketika melaksanakan muraqabah ahdiatuzzat dan muraqabah la ta'yin.

Pada tahun 2007 ketika mangkuk dan masraden bermuzakarah dengannya, beliau telah mengaku dalam hal itu beliau silap. Mangkuk ingat lagi akan kesimpulan yang kami capai dan ungkapan Pak Ngah; Pak Ngah silap dalam mentafsir dapatan berkaitan Zat - dan patutlah almarhum atuk "diam"...lantas beliau berkata;

"Kita tak akan mampu mencapai Zattullah hatta kalau setakat nurullah pun kalau dah sampai kita sudah binasa. Akan jadi seperti Nabi Uzair yang fana fiz-Zat, tetapi zat kita yang binasa kerana sirna dengan nurullah atau nur Zat Allah - belum pun tersentuh akan Zat.

Dulu Pak Ngah ingat itu Zatullah.

Paling jauh kita mampu sampai dan "sedar" hanya di nur Muhammad. Itu pun setakat nampak 'laut' dan apa yang dipancarkan darinya. Jadi apa yang dihukumkan itu adalah sepatutnya...dan Pak Ngah redha.

Begitulah kurang lebih pengakuan beliau hatta kesedaran itu telah pun lama beliau capai, cuma tidak berpeluang untuk memperbetulkan kerana kitabnya sudah tersebar luas. Beliau hanya memohon agar tiada sesiapa yang berpegang dengan kata-katanya berdasarkan kitab tersebut.

Itu sebab mangkuk betul betul respek beliau kerana jujur dan berani mengaku salah. Jadi, sudah-sudahlah jika nak menghukum beliau. Sebaliknya, doakan beliau dan doakan agar kita pun tidak buat silap macam beliau. Siapa tahu, kita pun mungkin buat kesilapan yang lebih besar, tambahan pula orang alim semacam MH yang ghairah ulas itu ini dalam hal-hal kasyaf dan ghaib. Jadi berhati-hati: mungkin boleh tersalah juga. Kalau tidak salah dalam akidah pun mungkin ujub atau riak atau sum'aah yang halus-halus. Jadi berhati-hati. Itulah nasihat mangkuk buat diri sendiri, MH dan semua yang lain.

Mengenai yang lain seperti huruf aliff dan HA, pada mangkuk dari segi kias tidaklah salah, tetapi kurang sopan (kurang ajaq la senang cakap). Namun itupun Pak Ngah kata agak dia salah kerana tidak sepatutnya dikiaskan begitu.

Untuk makluman semua, Tuan Syeikh Ahmad Laksamana sendiri telah meninggalkan fahaman itu. Jadi, jangan dipegang fahaman dalam kitab tersebut. Beliau sendiri telah kembali ke fahaman ahli Sunnah wal-Jamaah Asyaairah dan Maturudiyah serta bertugas sebagai pemangku mursyid dalam memimpin suluk di bawah mursyid Naq Kholidiyah di sebuah markas suluk di Klang dari cawangan Bukit Tinggi Sumatera.

Untuk maklumat lanjut silalah berziarah ke sini: http://www.bicarasufi.com/bsc/viewtopic.php?t=18925


jaketkulit menulis:

Aku suka dengan kupasan begini di mana ada maklumat yang aku minta dan ada keputusan serta jawapan kepada persoalan.  Cuma aku agak jengkel dengan I_W bukan kerana dia tidak suka kitab ini, tetapi sikap pengikut tarikat tak bersanad yang suka memandang rendah kepada orang lain.

Kalau kita belajar kitab Hikam atau kitab-kitab tasauf yang tinggi sedikit, di mana kita akan sampai kepada perbincangan mengenai makam syuhud.

Kesilapan penulis mungkin kerana menyamakan sifat/zat manusia dengan sifat Allah. Maksud katanya; Kita dijadikan daripada Zat Allah swt atau cobek, Zat ALLAH swt. Apabila mati, iaitu kembali COBEKAN itu kepada Zat Allah swt. Apabila sudah kembali maka jadilah Allah swt kembali. Apabila sudah jadi Allah kembali, maka barulah kenal akan ALLAH.

Quote:

Sepatutnya kita melihat bahawa Allah la punca segalanya makhluk, sedangkan makhluk dahulunya ada di dalam ilmu Allah. Sifat ilmu itu sendiri qadim (dan ahli tasuf melihat apabila segala perancangan dari ilmu Allah yang qadim maka makhluk pun termasuk sekali di situ).

Ini adalah sebelum Allah zahirkan ilmu Allah dengan sifat qudrat Allah yang mencipta manusia dan makhluk sebagaimana dalam perancangan ilmu Allah. Maka apabila mazhar ilmu Allah maka jadilah ia mumkin terpisahlah alam ketuhanan dan alam mumkin.

Jadi kefahaman ahli-ahli sufi bahawa yang wujud hakiki adalah zat dan sifat Allah, sedangkan mumkin adalah bayangan kepada ilmu Allah yg dizahirkan. Maka wujud mumkin tidak lah wujud yang hakiki. Jadi apabila wujud mumkin maka terpisahlah ia dari alam ketuhanan dan apabila balik kepada Allah bukan bereti balik kepada sifat yang qadim tadi (ilmu).

Adapun analogi mumkin di dalam ilmu Allah itu analoginya ibarat setitis air milo dititikkan ke dalam lautan, maka tidak air yang terbentang luas itu dinamakan air milo bahkan orang memanggil air laut jua. Namun kalau diteliti secara halus maka air milo itu tetap milo dan air laut tetap laut.

Allah tetap Allah

Dan mumkin tetap mumkin walaupun ia pernah bersatu dahulu di dalam ilmu Allah. Jadi kalau ini yang dibawakan tentu sahaja dikatakan kesilapan dalam penulisan oleh penulis kitab, tetapi tentang analogi zakar dan faraj itu aku yakin tuan thread tak mengerti bahasa yang digunakan akibat kurangnya mengaji.

Mangkuk menulis:

Jika MH nak baca dengan serius kenalah berjumpa dengan penulisnya. Saudara tua, sahabat serta seorang yang mangkuk anggap sebagai guru - Syekh Mohd Sazali bin Abdul Wahi @ Ahmad Laksamana @ Pak Ngah. Hakikat Insan ditulis berdasarkan dapatan/warid beliau dalam suluk Naqsyabandiyah Kholidiyah (markas Bukit Tinggi Sumatera) dan ditulis berdasarkan perintah almarhum datuknya Syeikh Othman.

Semuanya ada 4 jilid, tetapi yang tersebar ke merata Malaysia itu hanya satu jilid sahaja...malah itupun sebenarnya baru mukadimah. Sementara isinya yang detail adalah dalam jilid ke-3 dan segala rahsia hingga jalan mati ada dalam jilid ke-4. Murid murid dan beberapa rakan terdekat pun tidak pernah ditunjukkan kitab berkenaan.

Mangkuk kira ini sebagai rezeki la. Itu pun pasai mangkuk tak berminat. Jadi apabila "datang" perintah daripada Pak Ngah suruh bagi kat Mangkuk, tetapi barokahnya sahaja, sedangkan fizikal kitabnya Mangkuk tak minat pun nak membacanya.

Bila siap menyalin pengalaman beliau (ketika itu beliau masih muda sekitar lewat 20-an), datuknya suruh beliau bercampur dengan orang ramai, khasnya ahli maksiat atas dua sebab, iaitu

i)  untuk melatihnya bersabar dalam musyahadah; dan

ii) agar dapat menarik mereka bertaubat kembali ke jalan yang benar.

Malangnya apabila baru satu jilid dibuka (jadi masyhur dan ramai pengikut ketika itu) - melalui teknik bertaklim secara informal..ada "murid" yang tidak amanah dan menyebarkannya sehingga Pak Ngah serta kitabnya terkenal satu Malaya!

Inipun ujian untuk Pak Ngah dan "musibah" padanya jua, namun itulah laluannya dengan kehendak Allah swt hingga 1,000 orang alim mengatakan beliau sesat (dan hikmahnya, inilah darjat yang datuknya nak beliau capai! ALLahu-akhbar).

Jadi itulah rumusan penulis dan kitab Hakikat Insan yang mangkuk bisa kongsikan jika MH nak baca secara serius pergilah berjumpa dengan beliau dan minta kesemua jilid itu khasnya lagi 3 jilid itu). Kemudian baru betul-betul serius serta 'adil' jika MH nak membaca dan menghukumnya.

Bagi Pak Ngah - dihukum sesat adalah makanannya selama ini. Namun bagi Mangkuk beliau adalah salah seorang guru buat Mangkuk dunia akhirat.