Monday, 5 July 2010

Mikraj: Nabi di Balai Penghadapan Allah

Baginda melepasi batasan alam - di balik sana bimasakti

Baginda dinaikkan ke langit tertinggi sehingga akhirnya tiba di batasan kaun, iaitu alam lalu sampai ke Sidrotul-Muntaha di mana letaknya Jannatul-Ma'wa. Ia merupakan nama syurga yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa dari kalangan hamba Allah. Di situ baginda menghidu udara nyaman dengan bau harum mewangi seperti minyak kasturi.

Kemudian baginda terdengar suatu suara lalu bertanya kepada Jibril a.s, "Apakah gerangan suara itu?"

"Itulah suara dari syurga yang memohon Tuhan, "Tuhanku! Berikanlah aku apa yang Engkau janjikan kepadaku, kerana sudah terlalu banyak padaku rumah-rumah yang indah, sutera tebal dan halus, sutera yang berwarna, permadani, mutiara, batu marjan, emas, perak, pinggan-mangkuk, piring, cerek, kenderaan, madu, air, susu, khamar maka berikanlah aku apa yang Engkau janjikan."

Maka berfirman Allah kepada syurga, "Akan Kuberikan kepadamu setiap muslim/muslimah, mu'min/mu'minah dan sesiapa sahaja yang mempercayai-Ku dan mepercayai para Rasul-Ku serta beramal dengan amalan soleh, tiada menyengutukan Aku dengan yang lain, tiada mengambil sesuatu yang lain daripada-Ku menjadi tuhan.

"Barangsiapa yang ikut perintah-Ku maka dia akan terselamat. Barangsiapa yang memohon kepada-Ku nescaya Aku penuhi permintaannya. Barangsiapa memberi-Ku pinjaman nescaya Kuganti dengan yang lebih baik. Barangsiapa yang berserah kepada-Ku nescaya Kucukupkan segala keperluannya. Sesungguhnya, Aku ini Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Aku tiada memungkiri janji-Ku. Maka beruntunglah orang-orang yang beriman dan Maha Berkat Tuhan, sebaik-baik Pencipta.

Apakah Yang Memeluk Sidrotul-Muntaha?

Firman Allah; "Ketika pohon teratai itu diselubungi oleh sesuatu yang menyelubungi."  an-Najmi: 16

Ayat ini penuh dengan simbolik. Sebenarnya lembaga yang datang memeluk dan menyelubungi Sidrotul-Muntaha itu ialah sesuatu yang tidak dapat ditafsirkan oleh lisan atau yang terlintas di fikiran.

Sesetengah riwayat menurut al-Hasan bahawa lembaga itu adalah nur Rabbul-Izzah atau cahaya Zat Tuhan Yang Maha Mulia sehingga menyilaukan pemandangan di sekitar Sidrotul-Muntaha.

Abu Hurairah r.a. juga telah meriwayatkan maksud yang sama, iaitu "Diselubungi oleh cahaya Tuhan Yang Maha Pencipta."

"Dari situ aku seorang diri meneruskan perjalanan ke Sidarotul-Muntaha, suatu pohon yang dedaunannya selebar telinga gajah, dan buah-buahannya berjuntaian seperti dari ata para. Apakah pohon Sidarotul-Muntaha itu ditutup dengan perintah Allah Taala, maka tiada seorang pun daripada makhluk Allah yang sanggup mensifatkan kecantikan dan keindahannya. Maka di situlah Allah mewahyukan kepadaku apa yang hendak diwahyukan. Dia telah memfardukan ke atasku sebanyak lima puluh solat pada siang hari dan malamnya."

Musyahadah

Firman Allah; "Kemudian itu Dia mendekati dan bertambah dekat, maka jaraknya hanyalah antara anak panah dengan busurnya atau lebih dekat lagi."  an-Najmi: 8-9

Hadis baginda saw telah menyebut mengenainya, "Mana Tuhan Yang Maha Tinggi, Tuhan Rabbul-Izzah telah menghampiri, dan bertambah hampir sehingga jaraknya antara anak panah dengan busurnya ataupun lebih dekat lagi daripada itu."

"Dan setiap kami ini mempunyai kedudukan yang tertentu. Dan sesungguhnya kami berbaris dengan teratur. Dan sesungguhnya kami bertasbih memuji Tuhan."  as-Shaffat: 164-166

Ayat tersebut menjelaskan bagaimana pengakuan para malaikat dengan 'ubudiyah (mengaku memperhambakan diri kepada Tuhan) sebagai bukti penghambaan. Ia bermaksud, tiada seorang daripada kami, melainkan ia mempunyai darjat yang tertentu dalam ma'rifat, dalam ibadat dan dalam kepatuhan penuh terhadap apa yang diperintah Allah swt.

Menurut Abu Abbas r.a; Tiada sejengkal tempat di petala langit melainkan di situ ada malaikat yang beribadat dan bertasbih seperti yang dinyatakan oleh ayat tersebut, sedangkan Rasulullah saw berada di Sidrotul-Muntaha maka Jibril a.s pun mula berundur. Rasulullah pun bertanya; "Apakah sampai di sini, engkau harus meninggalkan aku?"

Jibril menjawab; "Aku tidak bisa melangkah setapak pun lagi melewati tempat ini."

Ia sesuai dengan turunnya ayat tersebut bagi menceritakan tentang kedudukan para malaikat dan di situ jugalah Jibril a.s. menunggu manakala Muhammad saw terus melangkah ke balai penghadapan Allah di Qab-qausaini-aw-adnaa (baginda menghampiri di hadrat Allah swt).

"Hati tiada berdusta tentang apa yang dilihatnya."  an-Najmi: 11

Ia menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw telah melihat Tuhannya dengan maksud 'penglihatan' yang tidak diketahui caranya. Apa yang jelas bahawa baginda dapat merasa semacam perasaan yang yakin dan nyata bahawa baginda berada di hadhrat Allah swt yang bersifat meliputi segala sesuatu, sesuai dengan firman-Nya; "Tiada sesuatu yang menyerupai-Nya, Maha Halus dan bercahaya."

Mungkin perasaan itulah yang dimaksudkan dengan musyahadah atau 'penglihatan'. Lantaran sudah tiada erti lagi yang dapat digambarkan sebagaimana yang dihuraikan oleh para ulama terdahulu. Namun hampir kesemua ahli sufi mempercayaai bahawa Allah swt telah datang menghampiri Nabi saw dengan penghampiran yang sesuai dengan Zat-Nya Yang Maha Suci. Mereka juga mengatakan bahawa baginda telah melihat Tuhan dengan mata kasarnya.

Pada sesetengah ahli sufi; "Pemandangannya tidak menyimpang dan tiada melampau (an-Najmi: 17), mereka berpendapat; Pemandangan Rasulullah saw tidak pernah menyimpang dari Allah swt menoleh kepada syurga dan segala keindahannya ataupun beralih daripada neraka dengan segala kejelikannya dengan terus-menerus menumpukan pandangannya kepada Tuhan Yang Maha Benar dan tiada melampaui haluan sirotil-mustaqiim.

Solat yang diimani oleh sekelian umat biarpun di mana jua

Maka dalam keadaan itu baginda pun mengucapkan;

“Subhanakallahumma, wabihamdika, wataba-rokas muka, wataala jadduka wa Lailaha ghairuka....

Maksudnya: "Maha suci Engkau wahai Tuhanku, dengan memuji Engkau dan bertambah-tambahlah keagungan nama-Mu. Maha benarlah puji-pujian kepada Engkau dan tiadalah yang disembah selain daripada Engkau.”

Maka baginda saw pun mengangkat takbir, "Allahu-akbar." Ia sebagai tanda permulaan solat melalui ilham dan gerak hatinya.

Peristiwa mikraj yang dilalui oleh Nabi Besar ini berkait rapat dengan surah al-Fatihah, iaitu ummul Quran yang disebut dalam solat sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis Qudsi dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw bersabda; Allah telah berfirman;

"Wahai anak Adam! Aku turunkan tujuh ayat yang diulang-ulang,”

"Tiga daripadanya untuk Aku, dan tiga untuk engkau. Sementara yang satu lagi antara Aku dan engkau."

** (Penjelasan ini akan dibuat pada masa yang lain).

Allah Taala seraya menjawab pada setiap kali disebut tujuh ayat tersebut (terutama ketika dalam solat, jawapan menurut cara Zat-Nya). Apakah bentuk jawapannya itu, dari sebuah hadis yang lain?

“Dari Abu Hurairah r.a. mengikut riwayat Ahmad dan Muslim bahawa Nabi telah bersabda; Allah berfirman:

"Aku telah membahagikan solat itu kepada dua bahagian antara Aku dan hamba-Ku, dan Aku telah memberi hamba-Ku apa sahaja yang dipinta olehnya. Maka apabila seseorang hamba itu mengucapkan;

Alhamdulillahi-rabbil-’aalamin; (Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam), berkata Tuhan

“Hamdani-’abdi: "Hamba-Ku telah mensyukuri-Ku,”

Dan apabila hamba itu mengucapkan;
Ar-Rahmaan-ir Rahiim; (Maha Pengasih Maha Penyayang), berkata Tuhan

“Asna ‘alaiya ‘abdi; "Hamba-Ku memuji-Ku,”

Dan apabila hamba itu mengucapkan;

Maaliki Yaumiddiin; (Yang menguasai hari kiamat), berkata Tuhan

“Majjadani ‘abdi: "Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku,”

Dan apabila hamba itu mengucapkan; 

Iyyaka Na’budu wa-iyyaka Nasta’iin; (Hanya kepada Engkau sajalah kami menyembah, dan kepada Engkau pulalah kami meminta pertolongan), berkata Tuhan

“Haaza baini ‘abdi wa-li’abdi ma-saal: "Yang ini untuk hamba-Ku, dan Aku tetap beri apa yang dipintanya,”

Dan apabila hamba itu mengucapkan;
Ihdinasy-syirat-al Mustaqiim; (Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan....)

“Haaza li’abdi wa-li’abdi ma-saal: "Yang ini untuk hamba-Ku, dan Aku tetap beri apa yang dipintanya,”

Hingga ke akhir surah tersebut, itulah jawapan yang diulang-ulang Allah s.w.t. secara tegas. Ia sebagai jaminan bagi sekelian umat Muhammad yang bersolat. Kemudian ia diaminkan bersama oleh sekalian para malaikat dan kedengaran bergema ke segenap empat penjuru alam.

Kemudian apabila rukuk, kita memuji Allah s.w.t.; Subhana-Rabbial-aziimi-wabihamdih yang bermaksud: "Maha Suci Tuhanku lagi Maha Besar."

Hasil daripada puji-pujian ini apabila i’tidal, seolah-olah Allah s.w.t. menjawab; ‘Sami-Allahu-liman hamidah; yang bermaksud: "Allah mendengar akan hamba yang memuji-Nya."

“Rabbana walakal-hamdu; yang bermaksud: "Wahai Tuhan, dan bagi-Mu segala puji-pujian.”

Tanpa mengira tempat untuk tunduk dan sujud kepada-Nya

Ketika sujud kita ada mengucapkan, “Maha Suci Tuhanku lagi Maha Terpuji,” .

Seterusnya dalam tasyahhud terdapat dialog berupa puji-pujian terhadap Nabi Besar Muhammad s.a.w. Ucapan baginda itu dijawab dengan pengiktirafan terhadap baginda sebagai hamba dan pesuruh Allah.

Kata Nabi: “Segala kehormatan, keberkatan, dan ucapan yang baik-baik bagi Allah semata-mata";

Jawab Allah s.w.t: “Keselamatan bagimu wahai nabi, beserta dengan rahmat Allah dan berkat-Nya";

Kata Nabi seakan-akan memohon: “Keselamatan bagi kami dan bagi para hamba Allah yang soleh";

Daripada keselamatan yang dipohon oleh Nabi berserta umat-umat yang soleh itu, Allah Taala ingin tahu apakah imbalannya? Sebagai balasan...

Nabi pun berkata: “Aku bersaksi sesungguhnya, tiada yang nyata sebenar-benarnya melainkan Allah";

**  "Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya.”

(Nota: ** Bagi pengakuan ini; "Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya.” Hj Harussani Zakaria, mufti Perak menyatakan bahawa ia adalah ucapan daripada para nabi dan sekelian malaikat yang menyaksikan peristiwa berkenaan!

Maka kesan daripada pengisytiharan tersebut, sekalian para nabi dan malaikat yang menyaksikan peristiwa yang hebat dan bersejarah itu segera bersalawat ke atas baginda, keluarga dan mengucapkan terhutang budi kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya; yang bergema ke seluruh alam.

"Ya Allah, sejahterakanlah Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Nabi Muhammad";
"Sebagaimana Engkau telah sejahterakan Nabi Ibrahim";
"Demikian juga ke atas keluarga Nabi Ibrahim";
"Berilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad;
dan ke atas keluarga Nabi Muhammad";
"Sebagaimana Engkau telah beri keberkatan ke atas Nabi Ibrahim;
dan ke atas keluarga Nabi Ibrahim";
"Pada sekelian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."

Peristiwa tersebut lalu diakhiri oleh Nabi Muhammad saw dengan menoleh ke kanan sambil mengucapkan salam, memohon daripada Allah s.w.t. kesejahteraan ke atas mereka yang telah berselawat ke atas baginda.

"Assalamu-alaikum warohmatullah."

Maka Allah swt pun memerintahkan kefarduan solat sebanyak 50 waktu sehari dan semalam ke atas sekelian umat baginda.

Dari sini timbul satu peristiwa, apabila dalam keasyikan sekelian penghuni langit, para malaikat dan nabi-nabi berselawat ke atas Nabi dan keluarga baginda itu, dek kerana terlalu asyik dengan peristiwa yang besar dan hebat itu tup-tup seorang malaikat terlupa untuk berselawat sama. Maka diperintahkan oleh Jibril supaya sayapnya dipatah-patahkan.

Maka meraunglah dia kesakitan sepanjang tempoh Rasulullah s.a.w. turun-naik menemui Nabi Musa dan mengadap Allah s.w.t; apabila baginda dinasihatkan oleh Nabi Musa a.s. agar memohon jumlah kewajipan itu biar dikurangkan sebab umatnya tidakkan termampu. Lihatlah bagaimana prihatinnya Nabi Musa a.s yang meminta Muhammad saw itu kembali merundingi jumlah ketetapan awal solat yang 50 waktu itu dengan Allah swt.

Solat di atas tangga mesjid dek kerana sesak

"Aku pun pergi mengadap Tuhanku dengan memohon; "Duhai Tuhanku! Apalah kiranya dapat Engkau ringankan sedikit ke atas umatku." Rayu Muhammad saw tanpa berasa besar diri dengan saranan Musa a.s. itu.

Tuhan mengurangi sebanyak lima waktu solat itu walaupun ketetapan awalnya 50 waktu kesan daripada kasih sayang-Nya.

"Aku lalu turun dari situ hingga bertemu lagi dengan Musa, maka dia bertanya lagi, katanya;

Musa     :  Apa halmu?

Muhammad:  Dikurangi lima solat.

Musa    :  Sesungguhnya umatmu tidak sanggup menanggungnya. Kembali kamu kepada Tuhanmu, pinta dikurang lagi bagi umatmu.

Berkata Muhammad seterusnya; "Aku terus berulang-alik antara Tuhanku dengan Musa, dan setiap kali aku mengadap-Nya memohon keringanan, Dia mengurangkan lima solat sehingga akhirnya menjadi lima sahaja. Lalu Tuhan berfirman; "Wahai Muhammad! Itulah lima solat setiap siang dan malam, pada setiap satu daripadanya dikira sepuluh, jadi kesemuanya menjadi lima puluh solat.


"Barangsiapa bercita-cita membuat kebajikan lalu terhalang untuk melakukannya, dicatat baginya satu  'hasanah' (kebajikan), Jika dia melakukannya, dicatat baginya sepuluh 'hasanah'. Dan barangsiapa yang bercita-cita untuk membuat kejahatan, lalu dibatalkan cita-cita itu tidak dicatatkan apa-apa, sehingga dia melakukannya barulah dicatatkan baginya satu kejahatan."

"Aku pun turunlah hingga bertemu lagi dengan Musa dan aku memberitahunya. Musa lalu berkata pula; "Kembalilah kepada Tuhanmu, dan pohon minta diringankan lagi ke atas umatmu. Aku tahu umatmu tidakkan bisa menanggungnya.

"Tidak! Aku tidak bisa kembali lagi kepada Tuhanku. Aku malu kepada-Nya," kata Muhammad saw.

Dengan turun-naik itu, maka fardu solat dapat dikurangkan daripada lima puluh kepada lima waktu sahaja. Namun Allah s.w.t. telah menetapkan bahawa pahalanya tetap lima puluh juga.

Israk dan mikraj yang berlaku ke atas diri baginda itu terdiri daripada tiga peringkat; iaitu dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa, kemudian dari Masjidil-Aqsa ke Sidratul-Muntaha dan akhirnya, dari Sidratul-Muntaha ke Qab Qausaini Aw Adnaa (tempat yang paling hampir sekali di hadrat Allah s.w.t.).

“Sebab itu, solat juga terdiri daripada tiga peringkat. Ia bermula dengan berdiri, kemudian ruku’ dan sujud.”

Waktu sujud itulah saat dan amalan yang paling hampir dengan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam al-Alaq: 19 yang bermaksud; “Dan bersujudlah sambil mendekatkan diri.”

“Maha Suci Tuhanku lagi Maha Terpuji,” ucapan agung ketika sujud itu.

Dalam keadaan yang paling hampir itulah kemudiannya berlaku dialog seperti dalam tasyahud tersebut. Ia memaparkan keagungan syahadah bagi seseorang mukmin. Itulah peristiwa besar yang berlaku di malam mikraj yang akan dikenang dan diingati dalam sambutan mikraj pada malam 10hb Julai akan datang ini.

Di luar angkasa luas - Bimasakti - Di luar jangkauan akal insan

No comments:

Post a Comment