Oleh: IkangDukang
"Bagi ahli ibadah mereka mampu berjaga malam untuk sesi solat tahajud, berzikir dan bermunajat. Melalui sesi tersebutlah mereka melakukan perjalanan rohani dalam mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Perjalanan rohani ialah perjalanan diri dalam mengenali kekerdilan diri di samping memuja dan memuji kebesaran al-Khaliq.
Melalui perjalanan diri inilah terbentuknya apa yang dinamakan cinta hakiki iaitu cinta kepada Allah. Kita akan dapat rasakan betapa kasih Allah dan kasih kita terjalin erat. Bukankah tidak sempurna iman seseorang melainkan cintanya kepada Allah dan Rasul mengatasi kasihnya terhadap yang lain? Persoalannya ialah bagaimanakah perasaan cinta ini bukan hanya sedap sebut di mulut bagi orang awam yang kebanyakannya bukan ahli ibadah ini?
Setiap orang mestilah berusaha mencapai tahap ahli ibadat yang khusyuk dan pasrah. Setiap orang mestilah berusaha melazimi situasi ‘khauf dan rojab’ yakni ‘takut dan harap’. Khusyuk, pasrah, takut dan harap adalah proses untuk merealisasikan cinta akan Allah yang hakiki.
Namun begitu, mari kita berkongsi pengalaman ini. Sebelum kita mencapai tahap ahli ibadah yang terpuji di atas, marilah kita menjadi orang awam yang sedang ‘mencari’. Syarat asasnya ialah kita jangan tinggal solat lima waktu disusuli wirid dan doa yang lazim dilakukan. Ini adalah amalan biasa bagi orang kebanyakan macam kita. Aktiviti yang tak sampai 15 minit ini memadai sebenarnya untuk mencapai rasa cinta kepada Allah. Tetapi tanyalah diri sendiri, siapa yang terbentuk cinta hakikinya dalam amalan 15 minit setiap solat fardhu ini? Jawapannya tahulah sendiri. Mengapa?
Rahsianya ialah kita sebenarnya menjadi ‘pencuri’ tanpa kita sedari, ya tanpa kita sedari. Masa 15 minit yang kita khususkan untuk kewajipan solat dan diikuti wirid serta doa selepasnya sebenarnya kita curi daripada Allah. Bukankah masa 15 minit itu untuk Allah tetapi mengapa kita ambil lagi masa yang memang pendek itu untuk melayarkan hati kita kepada urusan dunia yang pelbagai ragamnya. Ketika solat kita tak khusyuk. Ketika wirid kita tak khusyuk dan ketika berdoa pun kita tak khusyuk. Lain yang kita sebut di mulut, ke destinasi lain pula hati dan minda kita belayar. Bukan dekatkan diri kepada Allah. Sudah duduk dalam majlis Allah pun, batin kita sanggup lari darinya. Ya kita sanggup lari dan memang kita melarikan diri daripada berhadapan dengan Allah. Memang jahat kita. Kita lari dari Allah dalam majlisnya. Kita curi masa bersama Allah.
Maaf saudara-saudari para pembaca yang budiman sekalian. Maaf kalau perkongsian saya ini bertolak daripada riak dan takabbur yang berselindung dalam batin saya. Yang utamanya saya mohon ampun dari Tuhan saya. Sekali Allah temukan saya dengan pengalaman batin hanya melalui proses 15 minit itu. Antara sekali-sekala saya terlalai dan terlepas daripada khusyuk, saya dapat menjalankan batin saya kepada Tuhan yang saya kasihi. Saya rasa bersalah betul, hina betul, kerdil betul dan saya zahirkan cinta saya kepada Allah. Saya merasakan tali cinta saya, saya sambungkan dengan tali cinta Allah. Saya ingat makna-makna bacaan, saya rasa nampak kebesaran Tuhan. Saya baca dan wirid dengan suara yang lembut. Oh alangkah bagusnya kalau kita sentiasa dapat melalui proses itu dalam setiap solat 5 waktu.
Pengajarannya ialah kita jangan curi masa yang memang telah kita peruntukkan untuk bersama Kekasih. Jangan kita larikan hati dan minda dari majlis bersama Kekasih. Cukup baik bagi kita orang awam sekiranya 15 minit yang singkat itu jiwa kita kekal bersimpuh dalam majlis bersama Kekasih. Usahakanlah wahai sahabat sekalian.
Ada pihak yang mengatakan perbuatan ini bid'ah - biarkan si Luncai itu
terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan....
p/s Jazakallahu-khair....
No comments:
Post a Comment