Thursday, 8 July 2010

Mengenal Diri: Dari Mana ke Mana?

Sabda Rasulullah saw;

"Sesungguhnya di dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging, apabila baik ia nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah, iaitu kalbu (hati!)."  Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dari keterangan tersebut jelaslah bahawa kemuncak perbicaraan dalam asal-usul manusia adalah hati (kalbu). Hati di dalam itu bak raja pemerintah yang sangat ditaati oleh sekelian rakyat - anggota tubuh badan. Jadi anggota lahir seperti kaki, tangan, mata, hidung, mulut, telinga, perut, faraj, zakar dsb bagaikan rakyat jelata. Apabila raja (hati) itu memerintah tangan supaya menampar, maka menamparlah si tangan itu ke sasarannya. Jika diperintahkan kaki itu untuk menyepak, maka menyepaklah si kaki itu; demikian seterusnya.

Hati itu dinamakan 'hakikat keakuan' - aku itu dan aku ini. Aku pergi, aku mencari, rumah aku, besarnya perniagaan aku, pandainya aku, hebatnya aku, aku menteri... dan aku yang pelbagai ibarat burung terkukur - kur... kur... kur.... Aku itulah yang sebenarnya 'hakikat insan' kerana ia ganti nama bagi roh atau kalbu seumpama tuk selampit, dalang wayang kulit yang menggerakkan tubuh kasar; iaitu belulang kering itu menjadikan sebuah cerita.

Apabila bercerai ia dari tubuh kasar itu, tinggallah tubuh itu sebatang kara (dalam mengenali sifat 20, iaitulah 'hayyat'), bak tunggul kayu yang menanti masa untuk reput! Kaki-tangan dan anggota badan itu akan reput membusuk - satu sen pun tiada guna!

'Dia' yang amat mengerti itu ada pada mana-mana jasad manusia;
termasuk Fidelma O'Leary, Prof Bio-technology US ini

Sedangkan hati (kalbu dan roh) itu tinggal untuk menerima hukuman pembalasan sama ada baik atau jahat di negeri akhirat; sebab dialah raja pembesar yang memerintah satu alam tubuh ketika hidup di atas muka dunia dahulu. Dialah yang menakluki makhluk anggota tubuh menjadi hambanya; dia yang menundukkan benda-benda jamadat, nabatat, dan hayawanat taat di bawah perintahnya. Maka kerana dialah punca hikmat jadinya alam ini - dan tanpanya tidakkan terjadi makhluk dan syurga-neraka.

Dia datang dari alam ghaib, iaitu alam al-amr dan selepas itu dia juga akan kembali ke alam yang ghaib juga. Ia wujud sebelum alam kasar atau alam syahadah (kenyataan - nyata) itu wujud. Ia ditumpangkan ke alam dunia tempat persinggahan sementara ini kerana bertujuan untuk dikenakan ujian. Ia datang dari alam kejadian Tuhan yang aneh (ruhaniah) yang tidak menerima binasa dan fana selama-lamanya.

Dialah yang akan menanggung segala rasa bahagia atau celaka di akhirat. Dia jugalah yang menerima suka-duka dunia-akhirat. Sedangkan sebelumnya dia telah pun mengenali Tuhan di alam arwah - sebelum benda atau apa jua dijadikan. Dia yang mengetahui segala hakikat dengan tanggapan ilmunya. Dia yang sudah hidup, melihat, mendengar, bercakap dan seterusnya bersifat dengan sifat-sifat ma'ani sebelum ia bercantum dengan tubuh kasar yang bermula dengan kejadian janin pada usia 120 hari itu - apabila dia, iatu roh ditiupkan.

'Dia' roh yang ditiupkan kepada janin ini apabila berusia 120 hari

Dia inilah yang dinamakan fitrah Allah (tabiat semulajadi penerimaan agama dan makrifat pada Allah) yang sudah mengenali dan mengetahui agamanya dengan tidak perlu belajar atau mentelaah kitab di alam arwah; yakni dia sudah mengenali segala-galanya sebelum dia dihantar atau dicantumkan dengan alam kasar (syahadah) ini. Malah dia yang pernah mengaku dan menyaksikan di alam arwah bahawa Tuhan Yang Esa itu adalah Allah sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran; "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab, bahkan!"

Malah kerana dialah juga maka diutuskan para nabi dan rasul-rasul ke alam dunia untuk mengawasi dan mengingatkan kembali mengenai perkara agama yang sudah manusia kenali sewaktu di alam arwah dahulu. Tujuannya, agar manusia tidak mengotorkan fitrah-Nya, malah sebaliknya terpelihara agar sentiasa bersih dari awal hingga ke akhir.

"Dialah fitrah yang Allah jadikan sesuai pada manusia, tidak dapat diubah-ubah lagi pada kejadian Allah, itulah agama Allah yang benar."

Bagi orang-orang yang tidak menerima dan tidak mempercayai akan Allah swt seperti yang disampaikan oleh nabi dan rasul-rasul di dunia ini maka itulah tanda yang mereka telah mengotorkan fitrah bersih mereka yang asli dan sudah terpesong daripada konsep kebersihannya. Mereka mendambakan dan berhak untuk mendapat gelaran 'kufur' di sisi Allah dan sewajarnyalah mereka itu kekal di dalam neraka - na'uzubillahi-minzaalik.

"Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat menyembah-Ku semata-mata."  - az-Zariaat: 56

Jadi, daripada penjelasan ringkas itu dapatlah kita mengertikan dan faham tentang;

-  siapakah kita?

-  dari mana kita datang?

-  di mana kita sekarang?

-  dan ke manakah arah tujuan kita?

Bersambung...

No comments:

Post a Comment