Ia sebuah rumah milik seorang kakitangan kerajaan yang tinggal di bandar Kota Baru. Rumahnya walaupun diperbuat daripada papan, tetapi cukup besar dan luas. Ada tiga bilik tidur seluas 20'x20' siap dengan ruang memasak, dapur, dan ruang tamu yang melaut. Agak kelakar, dengan sebuah beg pakaian saya tinggal di situ seorang diri.
Rumah papan yang luasnya melaut
"Mu gi sendiri la... ambo tak cekak," kata nenek itu.
Soalnya nak pergi ke Bachok - 15 batu dari situ jauhnya. Itu satu hal, kemudian takde satu dokumen pun yang ada pada tangan nenek.
"Sumo ado ke dio ke dio belako denun," jelas nenek tua itu memberitahu surat-surat itu ada pada anaknya di Kota Baru.
Ah, biarkanlah. Saya boleh gunakan pelita sahaja.
Soal makan pula... ada warung dekat tepi jalan. Itupun ia tidak menjual nasi dan lauk-pauk untuk makan malam. Cuma ada roti dan laksam. Itupun jadilah asalkan jangan lapar sementara menunggu keesokan harinya boleh makan di kantin sekolah sahaja. Namun mana mungkin bagi saya makan laksam setiap hari? Laksam itupun sudah asing buat selera di tekak ini. Untung juga pada waktu pagi ada dijual nasi berlauk di tepi jalan, dekat depan rumah.
Saya mula belajar makan masakan Kelantan - nasi berlauk.
Oleh kerana telah biasa diusik dan ditakutkan dengan hantu sejak kecil ketika di kampung dahulu - ia turut mempengaruhi emosi saya di situ. Dari dalam bayang gelap itu seakan-akan bakal muncul seekor hantu yang bermacam-macam rupa kepala otak ini bayangkan. Ada yang bertanduk, bersiung, berbulu panjang dan tidak ketinggalan mestilah yang bermata merah terjojol. Aduii mak... sekejap-sekejap serasa seram dan di belakang leher seakan mengembang dengan tidak bersebab. Bayang besar di belakang seakan hantu yang sedang hendak menerkam!
Kemudian sekitar jam 10.00 malam kedengaran tapak kaki yang lalu di tepi rumah; laluan entah ke mana? Terkadang-kadang ada kedengaran bunyi suara kanak-kanak pergi mengaji muqaddam pun entah di mana? Dalam perjalanan pulang kedengaran mereka soksek-soksek mengintai di tepi lubang dinding. Dek kerana takut, saya tidak ambil pusing sama ada benar atau tidak itu adalah suara kanak-kanak. Lebih baik saya mematikan diri di hadapan cahaya lampu yang terlalu rajin untuk meliuk-lentok itu.
Malam, sejak awal saya sudah masuk tidur. Ya la... apa yang hendak dibuat jika berjaga pun? Tv takde. Radio takde. Telefon bimbit jauh sekali - tak tau pun apa ke bendanya? Cuma kalau ada pun kerja sekolah - memeriksa buku rampaian. Itupun kalau ada peperiksaan - mengisi data dalam kad kemajuan murid.
Selalunya, saya bertindak 'smart' dengan menyiapkan segala kerja sekolah ketika masih di sekolah lagi. Paling tidak pun saya akan berada di sekolah pada waktu petang sebelum pergi ke padang untuk sukan. Ada main bola yang mana saya tidak pandai dengan permainan yang popular itu. Langkah terbaik adalah dengan menjadi penontonnya sahaja.
Kebetulan di sekolah pada minggu itu diadakan acara memasak bubur asyura. Meriahlah keadaannya sejak pagi lagi. Ia disertai oleh kesemua cikgu dan murid-murid sama bergotong-royong. Kami melihat Pak Mat si tukang kebun menggali lubang dapur memasak berhampiran dewan makan kantin. Ada yang menggunakan tungku; untuk tujuh kawah kesemuanya - mula dimasak seawal jam 5.00petang. Maka inilah peluang untuk murid dan cikgu berbual dan beramah mesra sambil bertolong-tolongan dalam proses penyediaan kas-kas, santan dan bahan utama yang lain.
Cuma saya sahaja yang tidak tahu apa yang hendak dilakukan? Ya la... kita orang baru manakan tahu budaya sedemikian? Kemudian saya berasa agak pelik apabila mendapati bubur asyura mereka dibubuh sekali dengan segala jenis rempah-ratus ke dalamnya? Aduiii... dah bau macam masak kurma dan kari pun ada.
Seperti biasa Nik Norma adalah murid yang paling nakal dan manja - dengan jelingannya. Di mana-mana jua, dia bersama teman-temannya yang lain mesti ingin berada dekat dengan saya - bertanya itu-ini. Dan pada masa yang sama nun di penjuru sana kantin Jamilah Ismail, murid dari tingkatan 4 itu asyik memerhatikan dengan gaya seribu harapan; sama seperti keadaannya yang sering melamun ketika dalam kelas apabila saya mengajar. Dreaming.
Keadaan terus meriah dan ia berlangsung hingga ke lewat malam apabila bubur yang telah masak itu diagih-agihkan sesama murid dan cikgu semua. Cuma saya yang tidak ambil sedikit pun kerana tidak biasa makan bubur asyura yang penuh dengan rempah di dalamnya. Rasanya memang sedap - manis dan lemak, tetapi baunya. Ia berbau cengih dengan segala rasa ketumbar, kulit kayu manis, jintan, lada dan sebagainya. Jadi, saya hanya melihat mereka makan dengan penuh berselera.
Ini bukan Pak Mat, tapi di sebuah mesjid dalam Selangor
Yeah... banyak perkara yang kami bualkan di meja kantin itu... dekat satu penjuru agak jauh daripada ramai. Dia banyak bertanyakan latar belakang diri saya, kampung halaman, keluarga dan sebagainya. Dalam masa yang sama kami sudah mampu untuk bergelak ketawa apabila timbul kisah-kisah lucu yang mencuit.
Keadaan semakin reda. Namun Jamaliah masih seakan tidak mahu pulang lagi. Mungkin juga sebab rumahnya yang tidaklah bagitu jauh dari sekolah. Ia hanya terletak di seberang sana jalan.
"Err... tak mau balik lagi ke?" saya bertanya sambil memerhatikan keadaan sekeliling.
Dia cuma diam sambil tunduk. Ayu sekali nampaknya. Entah bila dia menukar pakaiannya... dengan hanya berkain batik dan baju berbunga-bunga kecil. Rambutnya panjang aras bahu. Cikgu-cikgu pun nampaknya sudah ramai yang pulang. Kemudian datang Pak Mat menyerahkan satu bungkus bubur asyura untuknya.
"Cikgu tok sir ko?" tanya orang tua yang berkulit cerah itu.
"Err... tak payah la. Saya tak makan," jawab saya sambil tersenyum.
"Ooo... rugi cikgu tak maken," katanya sambil beredar.
"Err... kenapa cikgu tak makan bubur asyura?" Jamilah bertanya dengan suaranya yang manja.
"Tak lalu... tak biasa pun sama," saya berdalih, sedangkan sayalah 'hantu' kalau pasal bubur asyura itu ketika di kampung.
Dan tidak lama kemudian saya mengambil keputusan untuk mengiringi Jamilah pulang. Kebetulan rumah saya tinggal pun di laluan yang sama menghala ke arah pekan Jelawat.
"Jom!" saya bersuara dan tanpa banyak bicara Jamilah bangun dan kami berjalan seiring.
Kami melepasi pintu pagar sekolah terus menyeberangi jalan. Kira-kira lima puluh meter kami tiba di muka jalan masuk ke rumahnya.
"Boleh ke cikgu hantar sampai kat sini?" saya bertanya sambil memerhatikan gelagat Jamilah yang seakan enggan berpisah.
"Err... boleh la," jawabnya sambil berjalan masuk. Ada rumah di sebelah dalam - dengan lampu minyak tanah di beranda sedang berkelip-kelip. Liat sahaja lakunya. Kemudian sambil berjalan longlai, sesekali dia menoleh.
Saya memerhatikan lenggok Jamilah pergi dan menghilang dalam kegelapan malam itu.
"Huhh... sapo tuh?" tiba-tiba kedengaran suara menegur dari belakang. Ada beberapa orang budak lelaki yang sedang berjalan menuju sekolah.
"Ooo... saya," jawab saya sambil menoleh tanpa mengenali siapa mereka dalam keadaan yang gelap itu.
"Ooo... cikgu!" tegur mereka terus berlalu.
Dan setelah agak beberapa lama kelihatan lampu pelita di rumah itu dibawa masuk ke dalam, bererti Jamilah sudah selamat naik ke rumahnya. Saya pun bergerak pulang ke rumah.
Jamilah yang sudah tidak seperti ini lagi...
Keadaan masih macam biasa.
Namun, keadaan sudah tidak biasa lagi di sekolah sana pada keesokan harinya. Hampir kesemua cikgu perempuan menjeling dan lain macam sahaja cara mereka memandang kepada saya. Kakitangan pejabat pun begitu. Kerani sudah pandai menyindir-nyindir yang saya tidak faham apakah maksud di sebaliknya? Dan tidak ketinggalan anak murid pun sama - menjeling dengan penuh tanda tanya.
Peliknya, Nik Norma yang nakal dan manja itupun sudah ikut berubah sikap; menjeling dengan penuh prasangka. Aiks... pelik juga. Namun saya tidak hiraukan itu semua. Ya la... apa salahnya? Takde apa pun yang saya lakukan sepanjang acara memasak bubur asyura itu.
Saya masih berlagak biasa - masuk kelas dan mengajar. Cuma apabila masuk ke kelas di Tingkatan 4; kelas Jamilah di hati ini ada rasa getar yang sukar untuk dimengertikan. Debar yang tidak kunjung mengurang. Ia hanya timbul sejak pandangan serong ramai itu mula memutik.
Dan tanpa berselindung, dua hari kemudian Cikgu Mohamed mengajak saya ke sebuah bilik yang menempatkan buku-buku skim bantuan buku teks. Ada hajat, katanya.
"Apa cite demo dengan si Jamilah tu?" ujar Cikgu Mohamed tanpa berselindung.
"Cerita apa? Takde apa-apa?" saya menjelaskan setelah berfikir sejenak.
"Ni... dah gege satu sekolah pasa demo dengan Jamilah. Oghe kapung pun tau belako."
Aiiiks. Saya kehairanan, sambil cuba mengingatkan. Takde apa-apa yang asing? Pelik pun bukan... apa yang telah saya buat dengan Jamilah? Saya cuma menghantarnya pulang dan menunggu di muka jalan.
"Kalu demo ada hajat... ghoyat; ghamai yang boleh uruskan," Cikgu Mohamed serius.
"Eh, takde apa-apa la, cikgu! Saya cuma hantar dia balik kat depan tu saja."
"Ooo.. pada demo takdo apo," rungutnya seakan kesal. "Tapi pada oghe hok sini laen."
Ah, sudah. Takkan saya nak kena menikah dengan anak murid pula? Dia pun masih bersekolah di tingkatan 4. Itu yang segera terlintas dalam benak. Ah, mengarut la!
"Cer... demo ghoyat memolek pasa Jamilah tu... kawe nak dengar ni. Ramai yang dok tunggu jawapan tegas dari demo nih," Cikgu Mohamed semakin serius. Lama wajah saya ditenungnya.
"Isyy... takde apa la!" suara saya mula naik meninggi. "Takkan nak hantar anak murid sendiri balik pun tak boleh? Itu kan tanggungjawab cikgu dalam menjamin keselamatan anak murid sendiri."
"Takdo la... soksek tu... dah gegeh satu kapung. Buken setakat di sekolah ni sajo," jelas Cikgu Mohamed dalam nada kesal. "Sini ni Kelate demo dok tahu lagi... tok samo dengan tepat demo di Peghok!"
"Ah, mengarut la tu semua...," saya mula tegas.
Dan peristiwa itu tidak berakhir di situ. Sepanjang masa saya berhadapan dengan masyarakat yang mula mengenali dan memandang serta menjeling setiap kali tersua muka di mana-mana jua. Di kantin, makcik beserta anak-anak daranya pun sudah pandai memerhatikan saya kemudian berbisik sesama sendiri. Kadang-kadang mereka tertawa sendiri. Kemudian menjeling penuh makna.
"Ooo... hebat demo, cikgu!" Pak Mat si tukang kebun itupun tidak ketinggalan menyindir. "Patut la lamo dok kecek dengan si Jamilah tuh!"
Kemudian, cikgu-cikgu perempuan, terutamanya sudah mula menjauhkan diri dan sudah tidak mesra seperti selalu lagi. Dan seterusnya, saya mula dapat merasakan bagaimana keadaan menjadi agak pelik disebabkan oleh perbuatan saya pada malam itu. Bagaimana pula untuk menghadapi keadaan mendatang, terutama ketika ada program-program pada waktu petang?
Saya tidak betah untuk berlama-lama dalam keadaan tidak selesa begitu; seakan orang bersalah.
Akhirnya, saya mencari Cikgu Azra'e yang masih ditawarkan dek pakcik itu akan anak gadisnya. Menurut Cikgu Awang Hamat, teman serumahnya itupun sudah berpindah ke Kota Baru tanpa diketahui sebab dan puncanya.
Aduii... saya harus mendapatkannya juga. Mungkin dia dapat membantu dalam merongkai masalah berkenaan. Dia orang lama di rantauan - sudah 3 tahun. Yeah... saya harus mencarinya di sekolah tempat dia mengajar; Sekolah Kebangsaan Jelawat - 6 batu dari situ.
No comments:
Post a Comment