Sejak peristiwa Jamilah itu heboh diperkatakan, saya berasakan ia seolah-olah satu 'insult' pada erti sebuah kejujuran. Ia bukan sahaja setakat soksek liar di belakang, tetapi telah menjadi isu; seolah-olah ada perlakuan sumbang antara seorang cikgu dengan anak muridnya. Betapa tidak, Guru Besar yang biasa bertindak profesional itupun memanggil saya mengadap sebelumnya. Tidak banyak yang diperkatakan beliau apabila saya jelaskan tindakan menghantar Jamilah balik hingga ke muka jalan.
"Err... itupun salah ke cikgu? Lain la kalau saya masuk hingga ke rumahnya dan bercengkerama di balik gelap," saya menjelaskan dalam keadaan menanyakan soalan.
"Takdok la... ogheng dok kecek sapai ke telinga ambo nih," katanya lagi. Dia terkebil-kebil kemudiannya.
"Hok aloh... utung demo ni gak," budak pejabat yang berbadan besar itupun sempat perli ketika saya keluar dari bilik Guru Besar.
Kerani wanita yang mendengarnya turut menjeling kemudian menyeringai tanda setuju. Yeah... betapa benak dan sontot persepsi masyarakat di kawasan sejauh pedalaman itu (Nota: Gunung tu dikira pedalaman ke? Sape tau?). Tetapi pelik juga, mereka tidak pula ambil peduli pada seorang cikgu India yang mengajar di SMK Bachok - yang bertindak mengangkut anak murid pompuan hampir setiap minggu ke bandar Kota Baru! Kami cikgu-cikgu dari luar semuanya tahu; sakit hati juga sebab ia melibatkan seorang bangsa asing, walaupun dia seorang cikgu!
Cikgu Hassan masih merenung saya yang duduk agak terasing dari sudut bilik guru itu. Di antara kesemua guru di sekolah itu, Cikgu Hassan ini boleh dikatakan agak liberal persepsinya. Dia pernah menjadi guru terlebih dahulu sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Maka dengan kelulusan itu melayakkan dia jadi Guru Penolong Kanan yang dikira berwibawa. Dia jauh berbeza daripada guru-guru lain yang masih gemar bergosip macam orang kampung bila berada di bilik guru.
Hasil daripada pertemuan itu kemudian kedengaran ada ura-ura Guru Besar untuk membuka sebuah bilik guru lain, bersebelahan dengan bilik simpanan buku-buku teks skim bantuan kementerian. Sayalah orang yang paling gembira... dan pastinya sayalah orang yang pertama akan pindah ke sana. Saya tidak pasti kenapa, ekoran daripada tanggapan buruk masyarakat sekolah, kemudian menjalar ke luar - di kalangan orang kampung hingga menjadi perbualan di kedai-kedai Cabang Empat, Gunung.
Tukang beca pun turut menjadi medium penyebar berita.
Aduiii... ia membuatkan saya teringat pada Watee yang tidak diketahui di mana? Adakah dia sedang sibuk dengan pelajarannya atau sedang berada di luar negara kerana pertunjukan kebudayaannya? Dengan gadis yang hati saya tersisip rasa indah dan asyik itu tidak pernah menimbulkan apa jua kemelut. Malah dengan Cikgu Atin... biarpun kami selalu 'date' di serata Pantai Lido, Johor Baru - tiada apa gosip yang melanda.
"Err... nothing! Takde apa, cikgu!" jawab saya dengan lagak biasa. Jauh berbeza.
Hati di dalam mula menggerutu. Aii... cikgu ni dah mula nak bantai saya ke?
"Mu... toksoh dok ghoyat lagu tu lar; kawe tau demo... kawe ado berlanar saing cam mu tuh," dia seakan tidak puas hati dengan jawapan bermuslihat tu. "Mu keno pehem... ni kapung. Every single thing you do... people will focus on you - alone!"
Cikgu Hassan duduk di pinggir meja. Dalam hati saya, bukan nak dengar sangat maksud ungkapan beliau. Saya tertarik dengan bahasa Inggerisnya itu - ada yang broken, satu hal! Pastu kelakarnya, dia punya pronounciation tu... sebiji telor Kelantan-Inggerisnya. Namun pada orang-orang di sana, ia dikira sebagai taraf ada 'standard' punya kaki. Cikgu Zizah dan suaminya Ghazi yang baru keluar 'u' itupun tak betah kecek dalam bahasa berkenaan.
Kesemua guru perempuan diam; tiba-tiba segala gosip rancak mereka terhenti; mungkin kerana isu menarik yang akan diperkatakan - oleh Guru Penolong Kanan. Saya sedar, ada juga kalangan cikgu lain yang tidak senang dengan gelagat saya - ya la, stail orang dari pantai barat dengan gaya tersendiri (tak macam stail kampung pedalaman, macam cikgu-cikgu tu semua). Kemudian, saya aktif dengan kegiatan sukan.
Seterusnya, saya mula menjadi perhatian murid-murid kerana sifat terbuka dan mudah memahami perasaan dan masalah mereka. Tentunya populariti itu kerana gosip sesama murid pula... yang kononnya cikgu muda ini adalah 'hok kawe' belaka, cam Jamilah tu.
Ia bisa menjemput rasa cemburu dan iri hati juga. Ia menjadi lebih parah apabila cuka dan perasanya ditambah dengan timbulnya peristiwa si Jamilah. Gosip bertambah meliar menular... terutama di kalangan cikgu pompuan yang suka mengular. Kelas saya, 3C langsung mereka tidak pernah masuk mengajar!
"Apa yang saya buat pun, cikgu? Tak boleh ke nak berbakti sikit?" emosi saya mula agak terusik. Saya menjangkakan dia juga seakan bersama dengan mereka yang jadi tukang sampai-menyampai.
"I knew you very-very well, Lias. I was young at your age before," rungut bahasa Inggeris-Kelantannya menagih perhatian.
"Apa masalahnya, cikgu?"
"Nothing!" katanya pula lalu bangun dari pinggir meja itu.
Sejak itu saya mula mengerti betapa Cikgu Hassan begitu prihatin. Dia bukan menentang saya, tetapi bersimpati dengan apa yang telah dilalui oleh seorang guru muda dari luar. Kemudian baru saya tahu bahawa dia... walaupun telah berumur; kira-kira 38tahun, tetapi isterinya masih muda - 24 tahun sahaja. Kisah kahwin lambat juga.
"Abih tu... gapo tindakan demo?" dia mengadap ingin tahu selanjutnya perancangan saya.
Saya menggeleng sambil bibir berdecit. "Saya pindah...."
"Err... demo nok gi mano? As a new teacher, they won't allow you to go anywhere!"
"Ooo... bukan gitu! Saya cuma nak pindah tempat tinggal; dah tak boleh tinggal di kampung camni."
"Demo nok gi pindah mano?" Cikgu Hassan kehairanan.
"Saya takkan tinggal di kampung ni lagi...."
Kesian juga dengan Jamilah... yang teruk dilanda cemuhan dari kalangan teman-temannya, murid sekolah. Ia dapat dilihat, apabila saya masuk ke kelasnya dia mula tidak ambil perhatian pada pelajaran yang saya ajarkan. Dia masih 'dreaming', tetapi ke sektor dunia lain. Ah, biarkan sebab masalah saya semakin memberat.
Petang itu... sejak mula saya memang tahu Cikgu Azra'ei mengajar di sebelah petang, maka saya mengambil keputusan naik bas menuju ke pekan Jelawat. Yeah... waktu rihat saya sampai ke sana ketika dia masih sedang mengajar.
"Hang tunggu sat... dah nak sampai waktu rihat, aku tengah mengajar ni," katanya sebaik diberitahu oleh kerani sekolahnya akan kedatangan saya mencari. "Dahsyat hang ni no...."
Aiiiks... Cikgu Azra'ei pun tahu juga kisah saya - sempat bergosip juga.
"Heh... heh.... aku faham," jelasnya sambil menjeling penuh makna. "Anak murid pun lawa, kan!"
Saya tidak membalas. Apa yang penting biar dia dapat menolong kali itu... buat menghindari fitnah dan gosip yang bukan-bukan.
"Definitely... you will have to face the problem," masih tergiang-giang peringatan dari Cikgu Hassan. "Kota Baru is 25 miles away from here. Quite a distance, you know! Bila waktunya demo nok sapai sekolahnyo?
Yeah... sementara Azra'ei menamatkan pengajarannya sebelum waktu rihat, saya berjalan sekitar taman sekolah yang cantik berhias dengan pokok bunga yang berwarna-warni itu. Dalam hati terus mengharap... dapatlah kiranya Azra'ei menolong saya dalam keadaan tertekan itu. Nun di penjuru sana saya ternampakkan sebuah kereta MG sports tidak berbumbung. Ada canvas yang berlipat. Huhh... ada cikgu yang pakai kereta MG sports! Hebat.
Tidak lama kemudian, Azra'ei menggamit saya dari jauh.
"Kat Kelantan ni memang lagu tu... bila berkait dengan pompuan je, depa dah tak ingat lain... ke situ aje la," rungut Cikgu Samad. "Err... buat sungguh-sungguh, takpe la pulak!"
Saya tidak mengerti.
Saya akan temui kemeriahan ini di Bandar Kota Baru
"Err... macam mana kamu nak ikut? Kereta tu boleh naik dua orang saja," jelas Cikgu Azra'ei sambil menoleh kepada temannya yang berasal dari Pontian itu. Anak tuk imam. "Camne nak bawa barang lagi?"
Aiiks... kereta MG sports itu milik Cikgu Samad. Huuu... bersemangat saya jadinya.
"Takpe la... hujung minggu ni la pindah, tapi kat sana pun ramai juga. Duduk sebilik dengan Hassan pun boleh," jelas Cikgu Samad sambil menoleh kepada Azra'ei di sebelah. Mereka berbincang.
"Tak kisah. Janji semua orang luar saja kat rumah tu... senang kita nak mengelak dengan benda-benda macam ni," keluh Cikgu Azra'ei. Takpe la... kamu pun ada Shuhaili dan Hassan. Fatah duduk sebilik sorang dia."
Saya hanya mendengar nama-nama yang disebutkan. Itulah kawan baru mungkin sekiranya saya berpindah untuk tinggal di bandar Kota Baru. Masalahnya, saya kena berulang setiap hari - dengan tambang kereta sewa 80 sen satu perjalanan. Bas pun ada, 60 sen tambang, tetapi sejam satu baru jalan. Dari pekan Kota Baru ia mengambil masa satu jam tiga puluh minit untuk sampai.... sebab, orang kampung akan bawa segala khazanah mak nenek naik bas sama; termasuk sepanjang-panjang batang tebu dan ubi kayu siap seperdu, tanpa guni. Pisang pun ada.
Saya sudah nekad. Gosip tentang Jamilah akan semakin saya jauhkan. Lupakan kemudiannya.
No comments:
Post a Comment