Itulah saat yang paling melegakan hati saya. Dunia serasa lapang bercahaya tidak bertepi. Betapa tidak, dengan keluarnya saya dari Gunung bererti satu beban besar telah dapat dielakkan. Saya cukup fobia jika ditakdirkan berkahwin dengan pompuan Kelantan. Entah kenapa? Sedangkan rata-rata mereka manis belaka. Hati ini tidak dapat ditipu melihat kepada beberapa orang gadis Che' Siti Wan Kembang ketika di kolej tempohari. Rohani yang putih melepak - anak seorang tauke garam di Kota Baru. Nik Zanariah, yang kecil molek - cukup lawa apabila mengenakan baju kebaya pendek.
Err... Jamilah tu pun lawa juga.
"Kami duduk ramai di situ," jelas Azra'ei ketika dalam perjalanan. "Nanti ko kenal la Fatah... dia tu macam Rahmat Kartolo sikit."
"Err... yang macam pelakon Siam pun ada," Samad yang sejak mula diam bersuara sambil menoleh.
"Ko kata kat sape tu, Mad?" Azra'ei menyeringai sambil menoleh kepada saya di belakang. "Hassan yeak!"
"Ha... ha...," gelak Samad yang tidak pernah kering dengan seringainya sejak kali pertama saya temuinya di sekolah mereka sebelum itu. "Remos mesti kasi betul selalu...."
Saya cuma ikut sengih - tidak kenal lagi siapa Fatah dan Hassan? Puas benak ini melakarkan wajah mereke daripada watak yang digambarkan itu. Kalau Rahmat Kartolo memang mudah saya bayangkan; misai bertaring, tampan dan menarik gaya personalitinya. Lebih diingat lagi, dia di antara pelakon Indonesia yang paling macho dan digilai - tidak seperti Dicky Zulkarnaen yang heboh diperkatakan terlibat dalam kematian pelakon terkenal Hong Kong; Bruce Lee. Dia menjurus ilmu batin pada pelakon biadab Cina itu.
"Ada satu lagi geng kita... Rosidi, tapi dia datang jarang-jarang je," jelas Azra'ei. "Dia orang Kuala Kangsar."
Kalau dia datang jarang-jarang, di mana pula dia tinggal.
"Dia mengajar di Sekolah Menengah Sains - ada asrama," jelas Azra'ei yang berasal dari Kedah tanpa dipinta. "Haa... dia tu serius sikit."
"Kamu akan lebih selamat jika duduk dengan kitaorang," jelas Samad serius. "Kat sini kamu jangan main-main; silap aje nanti jadi oghe Kelate - mu pakai semutar deh... pakai kain batik. Mau kamu?"
"Minggu ari tu, err... pakcik tu datang ke sekolah; pelawa anak dia lagi," jelas Azra'ei. "Ari tu dia datang umah - berapa kali? Nasib ada Cikgu Awang Hamat - tolong selamatkan."
Kenapa ya? Saya mula melakar lamunan sendiri. Apa sangatlah yang kami ada? Guru lepasan maktab - gaji pun kecil, tetapi menjadi perhatian ibu-bapa sibuk nak menjodohkan anak gadis mereka dengan cikgu - orang luar. Mereka tidak berminat dengan orang tempatan - walaupun cikgu.
"Cikgu orang tempatan ni dah kira sah ada mata air depa sejak belum masuk kolej lagi," jelas Samad masih dengan seringainya. Seringai orang yang tiada masalah. Al-maklumlah dia anak seorang Pak Imam dari Batu Pahat. Jika tidak masakan dia boleh mampu pakai kereta MG Sports, sedangkan baru saja jadi cikgu tiga tahun? Cikgu di sekolah rendah pula.
"Kalau tidak pun depa tak percayakan kejujuran lelaki Kelantan - nombor satu sebab rajin ke Golok," sahut Azra'ei. "Pastu lelaki Kelantan ni pemalas sikit... rajin lepak di kedai kopi dengan membiarkan isteri depa cari nafkah."
Hang... kalau orang Kelantan dengar siap kena jadi kerabu! Macam la dia tu baik sangat!
Saya tidak banyak bersuara. Saya lebih suka mendengar sambil mencerap suasana baru yang akan dilalui tidak berapa lama selepas itu. Daripada gaya percakapan mereka, saya yakin cikgu-cikgu itu semua bukan sembarangan. Cikgu Rosidi itu adalah jurulatih terkemuka dalam sukan ragbi. Namanya top di Kota Baru. Cikgu Samad, ahli dalam sukan hoki dan sepak takraw. Azra'ei pula memang hebat dalam permainan badminton.
"Lagi satu kawan kita... Shuhaili, pun orang Telok Intan," tambah Azra'ei lagi. "Haa... dia ni mat smart. Baju mesti jenama 'Arrow'. Kering aje orangnya."
Saya mengangguk tanda bersetuju.
"Nanti... kamu berulang tak payah naik bas la. Berapa jam nak sampai?" kata Azra'ei dengan lagak serius. "Err... aku boleh kenalkan dengan satu cikgu tu - dia pun berulang dari KB ni ke Gunung. Dia ada Mini Cooper."
Ada juga gerai menjual daging lembu segar
"Mai la...," Azrai mempelawa saya masuk. "Usah segan-segan.... ni semua orang yang senasib. Bujang belaka.
Kebetulan semua ahli rumah ada belaka - sudah siap bergaya untuk keluar pergi makan. Jam sudah pun menunjukkan hampir ke pukul 2.00 petang. Sulaiman, Fatah dan Shuhaili datang melihat kami, kemudian aku bersalam sebaik Azra'ei memperkenalkan aku kepada mereka.
"Kawan baru kita," jelasnya.
"Haa... duduk kat sini kena cekap dan cermat - jangan mudah terpedaya," Samad bersuara terus menghilangkan dirinya ke dalam.
"Yeah... good luck ti you," Fatah bersuara sambil membetulkan lipat bajunya yang dimasukkan ke dalam. Gaya Rahmat Kartolo; pun berbaju jenama 'Arrow' juga.
"Bawa masuk la beg tu... nak duduk kat mana-mana bilik pun takpe," jelas Azra'ei sambil menjeling kepada Shuhaili yang masih asyik di depan cermin muka. "Ko duduk aje la... puak-puak ni bukan reti tidur pun...."
Aiks... saya kehairanan; tak reti tidur? Depa dok buat apa pulak? Jenis apa pula mereka ni?
Saya ditinggalkan dalam dilemma. Sah ini akan ada satu pengalaman baru yang akan terukir.
No comments:
Post a Comment