Di dalam hadis Qudsi yang berkait dengan peristiwa mikraj itu, Allah swt memperkatakan tentang solat yang merupakan satu bentuk perhubungan di antara hamba dan Tuhannya. Apakah tugas hamba di dalam solatnya, dan apa pula balasan Tuhan terhadap hamba yang solat itu? Maka sebab itu kata Tuhan, 'Dia telah membahagikan solat itu kepada dua bahagian; antara-Nya dengan hamba-Nya'.
Sang hamba wajib mensyukuri akan Tuhannya, sebab Dia yang telah menciptakannya, kemudian diberi-Nya pelbagai nikmat dan rezeki sehingga hamba itu hidup dalam keadaan senang dan gembira.
Nikmat kebendaan dan kesenangan yang bersifat sementara
Dalam pada itu sang hamba juga turut wajib memuji Tuhannya disebabkan Tuhan yang disembahnya itu adalah Tuhan yang bersifat ar-Rahman (Maha Pengasih) dan ar-Rahiim (Maha Penyayang). Cuba kita lihat dan kenang kembali akan nikmat dan kurnia yang telah dilimpahkan-Nya kepada kita - yang tidak terhitung banyaknya. Mana yang kita minta, sedangkan yang tidak kita minta pun diberikan-Nya juga.
Apakah bentuk nikmat berkenaan? Ia adalah nikmat iman, nikmat kehidupan dan nikmat sekelian anggota serta nikmat bagi sekelian sifat yang ada pada kita; qudrat, irodat, ilmu, hayaat, sama', basyar, dan qalam. Jika satu sahaja daripada nikmat berkenaan itu ditarik-Nya kembali, seseorang itu sudah sedia menjadi cacat! Contohnya, ditarik kembali nikmat basyar - dia akan buta dan meraba!
Sang hamba wajib mengakui kerajaan Tuhan pada hari kiamat, di mana setiap makhluk akan diadili oleh Dia Yang Maha Adil. Tiada satu usaha atau perbuatan kita di atas dunia ini yang tidak dihitung atau diambil kira - mana yang baik dibalas dengan kebaikan, dan mana yang jahat dibalas dengan kejelikan.
Maka sang hamba itu wajib menyembah akan Tuhannya dan memohon pertolongan daripada-Nya terhadap segala urusan dunia mahupun urusan akhiratnya. Segala yang terjadi, melainkan Tuhanlah yang telah mentakdirkannya. Jadi jangan lupa untuk selalu memohon bantuan daripada Allah swt, serta jangan pula lupa untuk menunaikan perintah-Nya dan menjauhkan segala larangan-Nya.
Sang hamba juga wajib meminta pimpinan dan hidayat daripada Allah swt, serta memohon jalan yang lurus (shirothal-mustaqiim) yang akan membimbing seseorang itu menuju jalan ke syurga. Di samping itu berdoalah agar Tuhan menjauhkannya daripada jalan sesat dan jalan yang dimurkai-Nya.
Sentiasa bermohon akan kasih-Nya
Kemudian Allah swt berjanji akan memberikan apa sahaja yang dipinta dan dikehendaki oleh sang hamba sebagai balasan di atas ketaatan dan kepatuhannya. Itu sebab jika seseorang itu benar-benar menghayati bacaan/solatnya, dia akan terpelihara daripada segala bentuk kebejatan/kecelakaan yang dipohonkan dek iblis. Dan sesuai dengan janji Allah itu - segalanya akan terhindar dengan rahmat-Nya jua. Maka selamatlah.
Pada dasarnya, hadis ini membawa mesej yang amat penting kepada sekelian kaum muslimin tentang rahsia surah al-Fatehah, terutama dari segi pengajarannya. Mudah-mudahan kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang memelihara pengajaran surah al-Fatehah dan mengamalkannya.
No comments:
Post a Comment