Thursday, 1 July 2010

Di Rantauan-8: Jadi Cikgu Penuh Dedikasi

Saya pun mula ditugaskan mengajar.

Walaupun subjek asasnya Sains Pertanian, Seni Lukis dan Pekerjaan Tangan saya turut kena menjadi guru kelas - Tingkatan 3C yang mana separuh daripadanya tidak tahu menulis dan membaca. Nakalnya macam hantu. Guru orang Kelantan sendiri pun tidak sanggup untuk mengajar anak-anak kaum sendiri; konon budak-budak itu selayak 'kayu api' - bahan tarak guna selain daripada dibakar untuk memasak.

Budak-budak itupun sengih saja apabila Cikgu Awang Hamat memanggil mereka kayu api. Sengih cara budak nakal.

Saya tiada masalah untuk mengajar murid di tingkatan tiga yang lain. Murid-murid di tingkatan dua dan satu pun tiada apa yang dirunsingkan. Masalah besarnya, murid 'kayu api' itu memandangkan mereka akan menghadapi peperiksaan SRP pada bulan September/Oktober. Mereka adalah anak Melayu yang bukan setakat dahagakan ilmu, tetapi sebagai pendidik kita yang kena sedarkan mereka. Mereka mesti diberitahu bahawa ilmu itu penting untuk kehidupan yang lebih bermakna pada masa hadapan.

Di antara contoh murid yang paling baik!

Mula sahaja masuk kelas... pengalaman pertama adalah bising. Murid-muridnya berkelahi dan bergurau sambil kejar-mengejar di seluruh kelas. Kalau tidak sempat berlari di bawah, ada yang terus naik atas meja - lompat dari satu meja ke satu meja yang lain. Nak dimarahi, ada murid lelaki yang saiznya sama dengan cikgu. Lihat pada lengannya, lebih berulas daripada lengan cikgu - siap berparut lagi. Muka ganas macam 'Mail Kerbau' yang bawa lari isteri tuan D.O!

Anak murid yang manja pun ada - manis dan lawa! Namanya Nik Norma, tetapi giginya dua batang takde. Dia anak Mek Yam, yang berniaga kedai kopi di Cabang Empat Gunung. Apabila manja, tentulah dia yang paling kuat merengek bila diusik dek Ramli - murid paling lasak dalam kelas. Tegap badannya.

"Cikgu! Budak gege nih...," Ramli mengadu, sedangkan dia baru sahaja berkejar dengan Nik Norma.

Apabila seminggu berlalu, baru saya sedar cikgu lain semua tidak mahu masuk kelas 3C. Mereka lebih selesa membuang masa dengan berbual dalam bilik guru. Kadang-kadang mereka tidur sambil menyangga dagu di tepi meja. Cikgu perempuan pun tidur sama. Mereka enggan berhadapan dengan kerenah anak-anak murid 'kayu api' yang nakal tidak bertempat itu.

Jadi, saya terpaksa memenuhi masa berkenaan dan mengajar juga. Akhirnya, saya ambil kesemua subjek di Tingkatan 3, termasuk matematik, sains, bahasa, pengetahuan Islam, pendidikan jasmani, malah tatarakyat juga; main pukul borong. Cuma urusan ekonomi rumahtangga sahaja yang saya tidak berkemampuan. Mana saya tahu anak ajar mereka memasak, sedangkan saya sendiri pun cuma pandai menanak nasi dan goreng ikan. Itupun selalu juga ikan yang digoreng itu terus menjadi rentung sebelah; tak tau nak adjust api daripada kayu yang cukup kering itu (masa itu mana ada dapur gas lagi!).

Hasilnya, sepanjang masa saya bersama murid-murid berkenaan. Kami pun menjadi kawan. Nakal mereka tetap tidak juga dapat dikawal. Maka saya terpaksa 'apply' motivasi tahap tertinggi; manaikkan semangat mereka untuk belajar.

"Kamu la satu-satunya harapan bangsa - mak ayah kamu untuk merobah Gunung ni jadi sebuah bandar ternama," nasihat saya dengan nada lembut dan penuh psiko. "Mak-ayah kamu kerja kuat semata-mata untuk cari duit bagi kamu belajar. Depa nak kamu agar jangan masuk ke sawah lagi macam mereka."

"Duit tu gapo, cikgu?" Nik Norma mengganggu tumpuan kelas.

"Hooo... mu gegeh teh!" tegur yang lain dan kelas mula menjadi semakin bising apabila timbul sampuk-meyampuk.

"Suko kawe deh... bakpo mu nok ghoyat ke kawenyo?" murid yang lain pula mencelah. Dan kelas menjadi gegak-gempita tidak tentu kalu.

Saya agak cepat mengecam murid yang paling nakal, jahat dan murid dari jenis kain reput. Nik Norma nakal, tetapi dia juga murid dari jenis kain reput itu. Dia kuat merengek dek kerana manjanya itu. Kuat menjeling.


Apabila ditegur tidak berkesan - bising dan berkelahi tetap berterusan, saya mula bangun mencari mangsa. Mana yang nakal itu saya tumbuk di lengan bahu mereka; tak kira murid lelaki ataupun perempuan. Saya tumbuk kuat-kuat.

"Aduh! Nate cikgu!" ada yang menyumpah.

"Apa? Nak lagi?" saya beralih nak bagi sedas lagi.

Dia menggeleng. Nasib baik la kamu, bisik dalam hati. Kelas pun diam. Masalah bising dapat dikawal. Baru saya faham, murid nakal tidak boleh main dengan psikologi. Setelah nasihat tidak berkesan... cara keras harus di'apply'kan. Hampir kesemuanya miskin; baju buruk dan kasuk koyak-rabak.

Apabila murid nakal, biasanya berpunca apabila mereka bodoh. Kemiskinan juga turut menjadi penyumbang. Bodoh membuatkan mereka tiada tumpuan terhadap pelajaran. Apa yang hendak ditumpukan jika mereka tidak faham 'sepatah habuk'. Jadi, saya terpaksa mengajar mereka dari 'A-Z' semula dalam kesemua subjek. Alat bantuan mengajar kena banyak disediakan. Kalau mengajar bab rumput, saya kena cari 35 jenis/pohon rumput untuk diberikan kepada setiap murid - biar mereka fahami erti 'akar serabut' dan 'bunga sambau'.

Sebenarnya, dalam hati itu berkenan juga dengan murid lain di kelas yang lain. Mariam dan Naemah ada di kelas Tingkatan 3A. Agak malang, saya cuma dapat mengajar satu 'masa' sahaja di kelas berkenaan. Saya juga ditugaskan mengajar Seni Lukis di Tingkatan 4. Di sini, saya lebih tertumpu kepada Jamilah - di antara murid yang paling kuat 'dreaming'.

Dia sering khayal dalam kelas. Tumpuannya tidak ada, selain asyik memerhatikan cikgu dengan renungan penuh makna. Senyumannya menawan sambil jelingan yang tajam menusuk itu. Bentuk badannya lengkap dan perlu diingat, waktu itu murid-murid hanya mengenakan skirt singkat. Selalulah cikgu lelaki yang nakal terpaksa menelan liur kering saban masa. Haru juga saya dibuatnya.

Hasilnya, tidak hairanlah jika ada seorang cikgu bangsa India di SMK Bachok yang 'date' anak muridnya sendiri pada setiap hujung minggu di bandar Kota Baru. Kami tahu apa yang dilakukan, tetapi ia seakan-akan tidak ada apa-apa! TST saja.

Masa terus berlalu. Seminggu. Dua. Tiga. Sebulan. Dua bulan, tiga bulan dan seterusnya kehadiran saya di sekolah itu mulai diterima. Saya telah mengajar mereka secara bersungguh-sungguh. Dan oleh kerana ada murid yang miskin, termasuk Natrah - jadi saya terpaksa belikan buku untuk mereka. Ia termasuk buku latihan dan buku tambahan.

Keadaan kampung yang masih dikira terlalu cantik!

"Kenapa kamu tak mau buku yang saya belikan?" saya menyoal Natrah apabila dia keberatan untuk menerimanya. Dia diam.

"Umah dio jauh, cikgu... nun denun Kampung Bongor...," jelas Nik Norma dengan peramah.

"Err... umah jauh pun, apa masalahnya?" saya masih tidak faham.

"Pukul 5.30pagi dia dok keno jale kaki mai sekolah, cikgu," jawab yang lain sambil Natrah menundukkan mukanya. Memang... sebab kampungnya terletak 7 batu dari sekolah melalui batas sawah dan hutan juga.

Ibu dan ayahnya susah, sekadar bekerja kampung. Basikal cuma satu... dan dengan basikal itu ayahnya gunakan untuk bekerja di sawah orang lain. Dengan basikal itu juga ayahnya menghantar dia separuh jalan. Dia hanya berjalan kaki bersama dengan kawan-kawan dari kampung yang paling dekat (itupun 5 batu juga jauhnya).

Saya terkedu. Lama wajah kecut itu saya perhatikan.

No comments:

Post a Comment