Tauhid yang khalis ini harus bersumberkan ayat-ayat al-Quran yang memperkatakan tauhid pada pelbagai tempat di seluruh al-Quran, ditambah dengan nur Muhammad yang memberikan gambaran lahir dan praktikal terhadap tauhid-tauhid yang tulen. Contoh, bagaimana mengesakan Allah swt dengan hati, akan diperlihatkan dengan ucapan-ucapan dalam tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan lelainnya. Ia ditambah dengan membaca ayat-ayat yang menyatakan keesaan Allah swt.
Kemudian semua itu dibesarkan gambarannya oleh ibadat dan praktik ibadat Nabi, yang tidak ada contohnya pada mana-mana agama; yang menyatakan ketauhidan Allah swt. Kemudian ia ditambah jelas dengan bentuk masyarakat Islam yang telah dipraktikkan Nabi saw dengan sekelian para sahabat.
Mereka lalu berdiri menghormati Nabi. Penghormatan ini baik. Akan tetapi sedikit sebanyak bakal menimbulkan hati besar kepada yang dihormati, dan hati kecil kepada yang menghormati. Oleh sebab itu Nabi saw melarang sahabat-sahabat supaya jangan memuliakan baginda seperti orang-orang Parsi.
Banyak pengajaran dan perbuatan Nabi yang menggambarkan bagaimana tauhid khalis kepada Allah swt itu harus dipelihara. Bukan sahaja tauhid khalis itu harus disuburkan dalam ingatan dan perbuatan kita, tetapi praktik-praktik lainnya yang mungkin akan menjadi lawan kebesaran Allah swt dan harus ditiadakan dalam masyarakat.
Tauhid seperti ini yang timbul daripada kecintaan yang penuh dan meluap-luap daripada orang mukmin kepada Tuhannya, akan membuka banyak lapangan lain, dan inilah yang menyebabkan filsafat-filsafat Islam itu berbeza dan mempunyai corak tersendiri yang melebihkannya daripada tasauf yang lain.
Pada permulaan dan pertengahan jalan masih ada hubungan antara tasauf Islam dan tasauf yang lain, tetapi pada tingkat-tingkat tertinggi dan posisi terakhir Islam mempunyai acara dan cara-cara sendiri. Dan ini yang akan diperkatakan seterusnya.
No comments:
Post a Comment