Saturday, 27 March 2010

Mati Tragis @ Penuh Celaka

Apabila berlaku sebarang kecelakaan banyak pihak yang terus meletakkannya sebagai takdir. Ia berlaku dengan ketetapan Allah swt bagi menunjukkan kebesaran dan adun iradah-Nya.

Kebalikan kepada mereka yang singkat fikiran mungkin akan beranggapan bahawa Allah swt memang sukakan sesuatu kecelakaan itu menimpa ke atas hamba-hamba-Nya. Sedangkan selama ini kita diajarkan bahawa Allah swt itu bersifat dengan segala sifat terpuji, iaitu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemurah, Maha Lemah-lembut dsb.

Ke manakah sifat-sifat tersebut berikutan satu demi satu tragedi dan kengerian yang berlaku di depan mata?


Buat merongkaikannya, adalah elok kita kembali kepada pokok persoalan di sebalik penetapan takdir Allah swt di atas setiap kejadian.

"Berkata iblis: Hai Tuhanku, demi sebab Engkau menyesatkanku akan kuhiaskan kepada mereka (kejahatan yang ada) di bumi (sehingga mereka pandang baik) dan demi, akan kusesatkan mereka itu semuanya.

"Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas."

Ini sumpah iblis dengan Allah swt daripada Surah al-Hijr: 39-40. Ia berpunca apabila iblis dilaknatkan Allah swt sebaik sahaja dia enggan tunduk kepada Nabi Adam a.s. yang dilantik menjadi khalifah Allah swt di atas muka bumi. Dia menyanggah perintah Allah kerana berasakan asal kejadian dirinya (daripada api) itu lebih baik, berbanding dengan Adam a.s. (yang dijadikan daripada tanah hitam yang dipijak-pijak orang!).

Seterusnya, dia beranggapan bahawa keturunan itu begitu suka menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), sedangkan keturunan jin dan malaikat begitu tunduk mensucikan Zat-Nya. Dengan angkuh iblis berasakan dirinya adalah hamba yang terbaik!

Iblis masih belum berpuas hati seperti yang disebut dalam surah Al-A'raaf: 17;

"Kemudian aku akan datang kepada mereka (memperdayakan) dari  muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. (Sehingga) kebanyakan mereka, tiada berterima kasih kepada Engkau."

Agak malang apabila ramai di antara tuk-tuk guru yang terus meletakkan setiap kejadian celaka itu pada kehendak takdir Allah swt semata-mata tanpa merujuk kepada persoalan asas tersebut (kaitan dengan ayat).

Perlu diingat, setiap kecelakaan, hatta serangan penyakit dalam badan oleh serangan setan virus yang bernama umil meldam atau segala yang merosakkan itu datangnya daripada iblis terlaknat sesuai dengan sumpahnya. Iblis nakkan seramai mungkin pengikut dari kalangan manusia biar berbondong-bondong masuk ke neraka sama seperti dia. Jadi, sejak saat kedurhakaan itu dia tidak pernah lepa dan berputus asa memohon dan memohon agar kecelakaan dijatuhkan ke atas anak-cucu Adam a.s.

Dan jangan lupa... Allah swt pula membenarkan. Lihat ayat ke-42 ini;

"Sesungguhnya, hamba-hamba-Ku tidak ada bagi engkau kekuasaan atas mereka, kecuali orang yang mengikut engkau di antara orang-orang yang sesat."
Orang-orang yang sesat itu menjadi pertaruhan - sebagai habuan iblis dan syaitan.

Perlu diingat, iblis adalah hamba Allah swt. Kita orang mukmin pun hamba Allah swt juga. Namun Allah swt itu bersifat adil terhadap sekelian hamba dalam adun pemerintahan-Nya. Maka doa iblis bisa dimakbulkan, sekiranya manusia si hamba itu lupa akan Tuhannya- lalu cenderung untuk menuju sesat! Contoh lupa - terlalu asyik dengan hal keduniaan - mencari rezeki secara melampau sehingga tidak solat; minat dan leka dengan apa pun jenis hiburan; makan terlalu banyak, makan yang haram dan mengikut nafsu; seks yang keterlaluan dan tanpa batas termasuk zina; asyik dengan kereta atau motosikal yang konon hebat lalu membazir. Kereta yang mahal dan terkini dibeli untuk berbangga dan riak sambil menunjuk-nunjuk - sambil memaparkan wajah sebenar sang iblis - iaitu angkuh!

Sebagaimana biasa, iblis akan mengobarkan lagi rasa asyik dan riak itu (menjadi terburu-buru dan leka - leka ni berpunca daripada sikap tidak ingatkan Allah swt - zikir jauh sekali; pun termasuk juga). Dalam keadaan leka dan dibuai angkuh itulah secara tiba-tiba terlanggar bontot lori yang sedang berhenti di tepi jalan! Tidak kiralah sama ada ia Proton Perdana yang meremukkan seluruh anggota pegawai besar polis ataupun BMW 525i yang tersepit lalu terbakar dan mengorbankan satu keluarga - mati tanpa tinggal satu benih pun! Ada si mat rempit yang langsung terjerembab ke bawah perut lori atau terlanggar pokok lalu putus leher, pecah kepala, terburai perutnya, menggelupur dan mati di situ serta-merta; tanpa sempat ingat (jauh sekali daripada mengucap!) akan Allah swt sebagai pengakhiran kalam.

Maka sebab menjadikan musabbab.

Takdir memang sudah ditentukan; pada sekian masa akan berlaku kemalangan di sesuatu tempat. Itu takdir. Namun sekiranya si hamba bisa dan sentiasa ingat akan Tuhannya, walaupun dia terlibat dengan kemalangan di situ - akan masih ada helah daripada Allah swt buat memelihara dan mengelakkan kecelakaan itu daripada menimpa sang hamba. Si hamba itu akan selamat, takde apa-apa cedera? Contoh, runtuhnya Highland Towers di Hulu Klang sedikit masa dulu - seorang bayi dan amah terselamat di mana pada amah itu terpegang naskah al-Quran. Rupa-rupanya dia sedang mengaji pada waktu kejadian di waktu tengahari itu. Sedangkan 48 orang yang lain hancur berkecai menjadi habuan sang iblis atas pelbagai sebab!

"Sesungguhnya, syaitan itu tiada mempunyai kekuasaan atas orang-orang yang beriman serta bertawakkal kepada Tuhannya." - surah An-Nahl: 99

Ini adalah jaminan Allah swt.


Ataupun satu cara lagi Allah swt selamatkan si hamba ialah dengan melewatkan ketibaannya ke tempat yang telah ditakdirkan. Contohnya, tertinggal kunci sewaktu nak bertolak. Ada orang yang menyapa dan mengajaknya berbual seketika. Itu sebab dalam agama dianjurkan supaya kita JANGAN kelam-kabut atau terburu-buru dalam sebarang tindakan, sebab dalam setiap musabbab itu ada hikmahnya. Lagipun terburu-buru itu adalah angkara pekerjaan syaitan.

Pun begitu sebagai sifat Rahim-Nya, Allah swt masih membenarkan takdir itu dihindari (agar tidak berlaku) melalui doa - doa keselamatan. Kemudian ikhtiar (tidak kelam-kabut dan sembrono - megah dengan kereta high-torque, laju dan penuh aksi) dan sentiasa zikir (ini proses mengingat Allah swt di samping menghindari iblis terlaknat).

Allah swt bersifat Penyantun, Pengasih dan Penyayang. Adalah zalim dan kejam bagi zat-Nya jika sewaktu lahir si hamba itu didatangkan (lahir ke alam dunia ini) cantik molek tanpa sebiji pun parut di badan, tetapi sewaktu mengambilnya kembali (mati) dengan segala cacat-cedera, terlenyek, putus leher dan terburai perutnya penuh ngeri! Belum lagi dikira akan penderitaan daripada kesakitannya.

Takdir yang ditetapkan pasti akan berlaku, tetapi ingat ia bukan dengan restu dan keredhaan-Nya!

Sebaliknya, kengerian dan kecelakaan itu adalah dengan (permohonan dan) kehendak sang iblis - biar dia dapat makan darah... di samping dapat menyesatkan sang hamba Allah swt itu agar menjadi pengikutnya masuk ke neraka Allah swt. (Sakit hatinya dengan kekhalifahan Nabi Adam a.s. itu masih membekas....).

Ia berbeza dengan jihad fi-sabilillah; iaitu mati syahid. Dalam jihad, niat memang telah disertakan (itu pun ada banyak syaratnya juga untuk layak berjihad - ada yang tidak diterima pun jihad mereka!). Namun apabila pergi berjihad Allah swt tidak terus mematikan seseorang hamba-Nya sebaik tiba di medan perang. Si hamba akan diberi peluang berjuang - membunuh seramai mungkin musuh-Nya dan apabila tiba waktunya, maka Allah swt pun 'mengambil'nya kembali dengan hanya satu libasan pedang atau tembusan peluru musuh.

Maka si hamba pun ikut meredhainya sambil merasai nikmat kesakitan itu (jika ada rasa sakit!) dengan syahdahnya lalu 'kembali' dengan aman serta dengan penuh nikmatnya sekali. Dan Allah swt jua meredhainya. Redha dengan persembahan jiwa raga si hamba-Nya. Itu sebab maka setiap mujahid tidak perlu dikafankan sebab Allah swt akan berbangga dengan darah pengorbanannya itu di hari akhirat nanti. Dia akan berbangga kepada sekelian para malaikat, termasuk setan iblis yang mempertikaikan kekhalifahan Adam a.s. 

Peristiwa di Tat Bai, Thailand:
Ada bezanya antara mati syahid dan mati celaka!

                                              

Nota: Guru tasauf kami dari kalangan pejuang Melayu mengajar kefahaman ini dalam menghadapi musuh yang nyata, iaitu iblis laknatullah. Itu sebab mereka tegar dalam perjuangan - tidak pernah berasa gentar  terhadap apa jua rintangan dan musuh. Maka Inggeris pun mula memberikan tauliah (kebenaran berpilih) agar ilmu ini tidak tersebar luas. Hanya orang-orang tertentu (dibaca bar*a) saja yang bertauliah boleh mengajar agama - maka sifat 20 itulah yang diulang-ulang hingga ke tua bangka dan mati dalam kejahilan!

No comments:

Post a Comment