Friday, 19 March 2010

Tasauf: Apakah Tujuan Hidup Kita?

Sebelum kita pergi jauh, teman nak tanya 'Apakah tujuan hidup kita?'

Adakah sekadar mengisi perut dengan segala jenis makanan/minuman, kemudian membalut tubuh dengan pakaian indah-indah pelbagai warna. Ada hubungan kelamin, tidur, mencari nafkah kemudian sekadar menunggu mati. Sebenarnya, ramai orang yang sudah sampai ke tahap ini, tetapi masih belum ketemu maksud hidup sebenar.

Lebih baik nampaknya jika kita melihat orang-orang sederhana - golongan fakir yang abid yang berasa senang dengan sedikit habuan dunia yang diperoleh. Fikiran dan himbauan keinginannya cuma diarahkan kepada kemajuan ibadat terhadap Tuhannya. Dia hanya gembira apabila melihat mesjid-mesjid yang semakin besar dan indah didirikan di mana-mana.

Keinginannya, jangan ada satu bangunan atau gedung yang lebih indah dan besar daripada rumah ibadat di mana-mana kampung atau bandar. Jangan ada manusia yang kepingin mendirikan gedung-gedung yang lebih hebat daripada rumah Allah. Dia mahukan rumah-rumah ibadat itu ada di setiap jalan, kampung dan tempat yang memerlukan. Hendaknya dalam setiap jiwa itu tergantung hatinya di pintu mesjid di sekitar tempat tinggalnya.

Jika sebuah tempat mempunyai penduduk 100,000 orang Islam lelaki dan wanita, hendaknya segala mesjid yang ada di situ mesti dengan keluasan 100,000 meter persegi luasnya. Ia diandaikan sekiranya sekelian orang Islam itu hendak mendirikan solat idilfitri atau solat fardu secara serentak, mereka sudah ada tempat dalam mesjid.


Jika di Puchong - dengan pengundi parlimen seramai 70,000 di mana Islamnya 53%, iaitu seramai 37,100 orang. Mesjid as_Salam cuma boleh menempatkan 2,000 orang; Mesjid al-Istiqomah 700 orang, mesjid Kg Tengah 400 orang, mesjid Kg Kenangan 500 orang, mesjid Batu 12 cuma 300 orang; mesjid Batu 14 cuma 800 orang; mesjid Kinrara 1,000 orang; Mesjid UPM Serdang 3,000 orang. Keseluruhannya dapat menempatkan tidak sampai pun 9,000 kapasiti.

Ada kira-kira 28,000 orang lagi yang tidak punya tempat untuk solat. Jika keadaan seperti ini amat mendukacitakan hati kita, apatah lagi jika hendak dikira dengan perhitungan Allah swt. Jauh. Ini bermakna bagi seluruh parlimen Puchong ini kena ada lagi tiga kali ganda mesjid yang ada sekarang bagi memuatkan baki 28,000 penduduk itu.

Mesjid- il-Haram Mekah mampu menampung 3 juta jemaah untuk solat bersama pada waktu puncak, termasuk di kawasan sekitarnya. Jadi, keadaan di Puchong ini amat-amat mendukacitakan pada pandangan ahli tasauf dan pencinta agama, apatah lagi di sisi Allah swt.

Demikian, perkembangan akal fikiran manusia akhirnya akan sampai ke tahap menilai harga hidup di atas dunia ini berapa dan sampai ke mana? Semuanya terus bergerak dan kemudian hancur. Hanya yang akan tinggal tetap cuma langit dan bumi. Manakala Tuhan yang menjadikan langi dan bumi itu akan lebih kekal lagi. Maka dengan sendirinya fikiran terarah dan dikerah untuk mempelajari kesukaan dan keinginan-Nya. Akhirnya, seluruh pemikiran dikerah untuk mempelajari apakah yang amat disukai Tuhan dan bagaimana kehidupan duniawi kita ini akan dapat membawa kita hidup kekal dengan senang di kemudian hari?

Jangan setakat mempelajari sifat dan kebesaran Allah swt, tetapi carilah keredhaan dan kesenangan Tuhan dengan segala gerak-geri kita, perbuatan jasmani dan perkembangan jalan fikiran kita. Lantaran telah banyak pun jalan yang telah dilalui, namun jalan-jalan yang dirintis oleh ahli tasauf adalah yang paling baik. Ia bukan saja terang dan jelas, tetapi tidak banyak berliku. Ia tidak juga pendek, sebab tidak kesemua jalan yang baik itu pendek. Pada masa-masanya ia harus panjang dan sukar untuk menempuhnya juga.

Manusia yang ingin mendapatkan hidupnya yang sebenar-benar hidup, akan melihat yang setiap manusia itu asalnya tidak ada, menjadi ada - hidup dan kemudian mati. Setiap hari matahari terbit dan terbenam. Pokok kayu tumbuh daripada biji benihnya dan segala haiwan dengan telur dan anaknya bercambah dan menetas lalu membesar kemudian layu dan akhirnya hilang lenyap seperti yang mula-mula.

Adakah manusia pun demikian juga?

Apabila diselidiki manusia dan haiwan serta tumbuhan itu tidak sama. Selain daripada manusia, setelah ia ada lalu lenyap dan tiada lagi kembali. Namun manusia adalah sebaliknya - daripada ada tidak akan lenyap kembali. Apa yang lenyap cuma jasmani. Sedangkan ruhaninya yang ditiupkan Allah swt itu tidak akan lenyap. Ia akan kekal buat selama-lamanya.

Dan kita tahu bahawa ruh itu akan dikekalkan. Maka timbullah di akal fikiran bagaimana ruh itu dapat dibela supaya ia dapat hidup senang selama-lamanya? Sedangkan membela kehidupan duniawi kita yang pendek ini supaya jangan susah dan menempuh bahaya pun sering kecundang; ibarat menanam padi yang tumbuhnya lalang. Ikan dipanggang pun sering tinggal tulang, bagaimana pula untuk membela dan merawat ruhani kita yang aneh dan mistik seluruhnya?

Namun dengan petunjuk Tuhan, akhirnya kita tahu juga kehendak dan keinginan ruhani kita itu. Kita tahu apa yang akan terjadi di kemudian harinya? Apa pula pekerjaan yang merosakkan dan apa pula kerja yang menguntungkan?

Kita juga melihat bagaimana bangsa manusia penghuni bumi ini sejak zaman purbakala, biar seberapa berkuasa dan besarnya namun ia tidak pernah berjaya melawan mati. Semua manusia itu telah mati; ada yang secara baik dan ada yang dengan secara paksa. Semuanya gagal mempertahankan keduniaannya.

Zat yang kekal hanya Allah swt. Kekalnya Dia sama dengan kekalnya penyampaian daripada tertib pengutusan 121,000 orang nabi dan 313 rasul. Bagaimanakah cara untuk mengatur kehidupan kita biar diredhai Tuhan dan ruh ini akan mendapat kehidupan kekal yang menyenangkan, tidak menakutkan dan tidak pula menyusahkan.

Perkembangan akal manusia mempelajari keadaan manusia dan alam sekeliling sebelum lahir, mempelajari keadaan selepas lahir, riwayat hidup sekelian manusia besar dan kecil, yang berkuasa dan yang terjajah di atas dunia ni. Kemudian dia mempelajari bagaimana keadaan manusia sewaktu berpisah ruh daripada jasadnya, bagaimana dia di dalam kubur serta bagaimana mengatasi segala kesepian dan kesusahan di dalam kubur itu.

Apa dan bagaimana pula yang akan terjadi pada hari berbangkit - di mana sekelian manusia yang telah mati itu dibangkitkan dan bergerak lalu berkumpul di padang mahsyar yang sangat luas lamanya seribu tahun dunia!

Di sana diadakan perhitungan amal baik dan buruk dengan cara paling adil. Kemudian menentukan nasib dan tempat manusia buat selama-lamanya; tanpa diketahui berapa lama? Kemudian manusia itu mempelajari akan syurga dan neraka serta kesukaan dan kedukaan kedua-duanya; siapa pengisi neraka serta dengan sifat-sifat yang harus ada bagi calon neraka. Dan apa pula sifat yang harus ada pada calon syurga.

Perkembangan pandangan lahir dan pandangan mata hati ini bukan sekadar ciptaan ahli tasauf. Sedangkan, kita telah melihat  bagaimana Tuhan Yang Maha Esa telah meminta setiap orang yang percaya kepada-Nya agar melihat kepada masa depan; apakah yang telah disediakan untuknya buat hari-hari yang tersangat panjang itu. Ini dapat dilihat pada Surah al-Hasyir: 18-19;

"Hai sekelian orang yang telah percaya, takutlah kamu akan Allah, dan hendaklah setiap jiwa melihat apa yang telah didahulukannya untuk hari esok; dan takutlah kamu sekelian kepada Allah, kerana Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan."

"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang telah melupakan Allah dari dalam dunia lalu mereka dilupakan oleh dirinya sendiri; merekalah orang yang fasik."

Jadi setiap kita harus melihat terus kepada hari-hari depan sejak dia masih hidup di atas muka bumi, nanti di dalam kubur, di padang mahsyar dan seterusnya sampai ke neraka, syurga dan seterusnya. Dan jangan sekali-kali dilupakan Allah swt. Jika melupakan Allah akan membawa kita lupa untuk melihat semua yang akan terjadi di esok hari yang tiada lagi hari di kemudiannya.

Hidup inilah yang diminta oleh Allah swt kepada kita. Hidup inilah yang diucapkan selamat kepada Nabi Yahya dan Isa as. Dalam Surah Maryam ayat 15, Tuhan mengucapkan selamat kepada Nabi Yahya yang beroleh kitab sejak dia masih kanak-kanak, yang mempunyai sifat penyantun, mensucikan diri dan sangat takwa serta sentiasa berbuat bakti kepada kedua-dua orang tuanya. Inilah yang dikatakan Allah;

"Dan selamatlah atasnya (Yahya) pada hari ia dilahirkan, pada hari ia akan mati dan pada hari ia akan dibangkitkan sekali lagi."

Ringkasnya, ucapan selamat daripada Allah swt kepada Yahya itu mencakup tiga kehidupan; selamat lahir, selamat mati dan selamat hidup sekali lagi. Hendaknya setiap orang Islam melihat ketiga-tiga hidup ini berantaian - jangan terpisah. Amat malang jika pandangan kita tidak menembus ke ketiga-tiga hayat ini. Kalau hayat dunia saja, ia adalah untuk dunia saja. Sedangkan setiap mukmin harus mengetahui yang dia akan hidup pada tiga tempat; dunia, kubur dan sekali lagi pada hari kiamat.

Demikian juga waktu Isa lahir, Allah swt menceritakan bahawa Isa as ketika dia berdoa kepada Allah swt memohon tiga keselamatan; iaitu selamat waktu lahir, selamat waktu mati dan selamat waktu hidup sekali lagi. Inilah yang disebut dalam surah Maryam, ayat 23;

"Dan selamatlah atasku pada hari aku dilahirkan, pada hari aku akan mati dan hari aku akan dibangkitkan hidup sekali lagi."

Doa untuk tiga keselamatan ini menunjukkan pandangan hidup untuk masa depan yang harus dimiliki setiap orang yang cintakan keselamatan dirinya. Jika pandangan itu tidak sampai ke sana sudah tentu persiapan pun tidakkan ada. Sedangkan jika ada pandangan ke sana pun belum tentu lagi segala keperluannya dapat diadakan. Jadi, seharusnya ketiga-tiga alam ini patut sentiasa bermain di ruang mata dan jangan terpisah oleh apa jua dinding penghalang.

Dan para ahli tasauf bekerja keras membuka jalan-jalan itu untuk ke sana.

Sebenarnya, ada banyak cara untuk ke sana. Namun setiap pencinta Tuhan yang berpengalaman dan telah menyelidiki pengalaman-pengalaman mereka yang terdahulu, mengambil satu pendekatan - iaitu menempuh dengan apa yang dinamakan pengetahuan tasauf. Ia adalah hasil penyelidikan praktik sejumlah besar manusia dalam mengatasi kesusahan hidup dalam merawat ruhani ini pada masa silam.

No comments:

Post a Comment