Sunday, 14 March 2010

Solat Bukan Sekadar Ibadat

Di pagi-pagi hari begini, elok rasanya kita bercakap mengenai perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri kita dengan Allah sw. Jika nak berbicara mengenai hal keduniaan, sudah terlalu banyak idea yang hebat-hebat dilontarkan. Tengok sajalah blog CheDet - yang menjadi buruan itu. Blog PM yang lebih kepada usaha memprojekkan diri agar dapat bertahan jangan menerima nasib seperti Dolah Badawi. Klu nak yang menyengat, pergilah ke Malaysia Today atau yang terkini - Malaysiakini.

Sedangkan, di dalam al-Quran dipaparkan kira-kira 80% kisah-kisah keduniaan yang menghancurkan. Ia kisah bagaimana umat-umat terdahulu membinasakan diri mereka dek kebejatan dan kemungkaran. Kisah iblis - bapa kepada segala kejahatan; kisah Fir'aun-Hamman, kaum  Bani Israel @ Yahudi yang dilaknatkan serta kaum-kaum terdahulu - 'Aad, Thamud, Madyan, kaum Noh, kaum Lut yang sudah takde pun benihnya lagi pada hari ini. Adakah kita pun ingin menjejaki nasib mereka?
Jadi, apabila Allah swt sendiri yang menjemput kekasihNYA Muhammad saw datang untuk menerima kefarduan solat bermakna ia sesuatu yang cukup bermakna dan besar natijahnya. Yalah, Dr Mahathir ketika menjadi PM pun sanggup membayar sehingga RM64juta kepada pelobi Yahudi sekadar ingin bertemu dengan Presiden Amerika, George Bush. Begitu juga ketika mahu melanyak Iraq, Presiden dan Setiausaha Negara Amerika berkunjung ke serata dunia menemui para pemimpin utama - buat mendapatkan persetujuan bagi tujuan melenyapkan kebangkitan Islam Sunnah di sana.

Demikianlah dengan solat.

Lidah membaca dengan sebutan-sebutan huruf yang betul dan jelas. Sedangkan akal dan jiwa menghidupi bacaan itu dengan meneliti pengertian dan maksud-maksudnya yang tinggi. Sementara itu badan pula membongkok rukuk dan menyembam sujud melambangkan kerendahan diri dan kehambaan yang luhur dan tulus sesuai dengan pengakuan lisan itu.

Solat bukan sekadar menyegarkan badan. Ia menyegarkan akal dan jiwa. Di samping itu ia membebaskan jiwa manusia daripada kongkongan dan keinginan tunduk kepada kuasa-kuasa makhluk yang tidak benar. Ia bebas daripada sebarang tekanan ketakutan, kebimbangan, kegelisahan atau keraguan yang mengganggu ketenteraman hidup.

Dalam perhubungan yang singkat dan harmonis itu, seseorang Muslim mempersembahkan setinggi-tinggi sanjungan dan puji-pujian kepada Allah s.w.t.; menyatakan azam dan tekad untuk hidup-mati di atas keimanan dan agama yang benar, mengakui kesilapan dan kesalahan dalam hidup sebelum itu. Di samping mengharap keampunan dan seboleh-bolehnya kesilapan itu hendaknya tidak berulang lagi.

Di dalamnya, dia dapat memohon agar Allah s.w.t. sentiasa menunjukkan jalan yang benar dan lurus. Dia dapat memohon agar diberikan rezeki yang sebaik-baiknya, mengangkat darjat kehidupan, mengurniakan kesihatan, rahmat dan kasihan belas.

Di akhir perhubungan tersebut, ikrar dibuat bahawa seluruh penghormatan yang tinggi serta penyembahan yang tulus itu hanya terpulang kepada Allah s.w.t. Kemudian dia berselawat menyatakan rasa terhutang budi kepada Rasulullah s.a.w. serta keluarga baginda yang telah berjuang dengan gigih sekali dalam menegakkan agama yang benar ini. Seterusnya, dia mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada seluruh umat Islam dan hamba-hamba yang soleh dan berjasa.

Hubungan yang sepakat dan harmonis ini tidak terdapat di mana-mana amalan lain, selain daripada solat. Dan sebagai lambang keindahannya, maka peristiwa tersebut telah disaksikan oleh sekelian penghuni langit dan para nabi. Mereka menyaksikan pengiktirafan Allah s.w.t. akan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai hamba dan Pesuruh-Nya (dengan menjemput baginda datang dan menerima sendiri kefarduan solat).


Dan mereka kemudian berselawat ke atas baginda serta ahli keluarga baginda. Mereka turut menyatakan penghargaan kepada ahli keluarga dan Nabi Ibrahim a.s sendiri.

Berkat dengan dorongan ini apakah kita tidak betah untuk bangun bersolat malam, selain daripada solat fardu yang dibuat setiap hari itu? Sebenarnya, ramai di luar sana yang mampu bersolat sepanjang malam sebagaimana yang dilakukan oleh hamba-hamba Allah yang zuhud dan tunduk kepada kebesaran Ilahi, Tuhan Pencipta sekelian alam. Dengan kekuatan itu kelak kita akan berjaya mengelak daripada keinginan-keinginan keduniaan yang membuak - dan hanya bisa menjerumuskan manusia ke kancah kebinasaan.

No comments:

Post a Comment