Al-Quran menjelaskan keadaan dan sifat dunia ini melalui Surah al-Hadid: 20;
"Ketahuilah oleh kamu bahawa hidup dunia ini permainan, perbuatan yang sia-sia, perhiasan-perhiasan, berlumba-lumba membanggakan diri di antara kamu, berlumba-lumba memperbanyakkan anak dan harta, ibarat hujan yang menumbuhkan banyak pohon sehingga menghairankan orang kafir melihat banyaknya yang tumbuh itu, kemudian tidak lama ia menjadi kuning, kemudian menjadi layu kering, sedang di akhirat itu ada azab yang amat hebat, dan ada maghfirah (keampunan) daripada Allah serta keredhaan-keredhaan-Nya; ada pun hayat dunia ini tiada lebih daripada kesenangan yang memperdaya jua."
Filsafat zuhud yang dianuti oleh ahli tasauf semuanya diambil daripada ayat di atas. Oleh itu mereka memandang mudah akan dunia ini. Mereka menangkap apa disebut pada akhir ayat itu - bahawa di akhirat ada azab yang amat hebat sekali dan ada pula keampunan dan keredhaan daripada Allah swt. Jadi mereka cuba hindarkan ancaman pertama itu sejak dari dalam dunia dan mencapai yang kedua itu dengan memperolehnya sejak dari dalam dunia juga.
Dalam al-Quran surah Az-Zaariyat: 54-57 Allah swt berfirman;
"Maka berilah peringatan, engkau tidak akan dicela. Berilah peringatan kerana peringatan itu bermunafaat bagi sekelian orang mukmin. Tiada Aku jadikan manusia dan jin melainkan supaya sekelian mereka menyembah akan Aku. Aku tidak meminta sesuatu rezeki daripada mereka, dan Aku tidak ingin mereka memberikan-Ku makanan."
Keinginan dan kesukaan Allah swt hanya satu, iaitu sekelian manusia dan jin menyembah-Nya, memuji dan memuja-Nya dengan tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan sebagainya terutama pada waktu tengah-tengah malam, waktu menjelang matahari terbit dan waktu hari mulai malam. Kemudian Allah swt menyatakan kepada kita bahawa seluruh langit dan bumi semuanya bertasbih memuji dan memuja-Nya. Demikian juga seluruh isi langit dan bumi, akan tetapi kita manusia tidak mengerti akan tasbih yang mereka ucapkan itu.
Dalam al-Quran surah al-Mukminun: 7 Allah swt mengatakan bahawa sekelian malaikat baik yang muqarrobin atau lainnya membaca tasbih mensucikan Allah sepanjang malam dan siang tanpa henti. Itulah tugas malaikat-malaikat yang besar dan mulia itu, dan dengan kerana itu mereka dekat dengan Allah Yang Maha Besar.
Ini jugalah maka dalam al-Quran surah al-Kahfi: 28 Allah memerintahkan Nabi-Nya suatu perintah yang memberitahukan satu hal yang sangat penting dan besar buat kita;
"Dan sabarkanlah dirimu bersama sekelian orang yang menyeru Tuhannya pagi dan petang, mereka mengharapkan keredhaan Allah dan janganlah engkau palingkan kedua-dua matamu daripada mereka kerana menghendaki perhiasan-perhiasan dunia."
Jadi Rasulullah diperintahkan Allah supaya selama-lamanya bertemankan sahabat-sahabat yang setiap saat menyebut-nyebut nama Allah, yang mengharapkan keredhaan-Nya. Jangan memalingkan mata daripada mereka dan jangan diikuti orang-orang yang siang dan malamnya asyik dengan mengumpulkan kekayaan dunia.
Mereka itu antara lain ialah ahli-ahli sufi yang hanya menyintai Allah dan Allah pun menyintai mereka.
No comments:
Post a Comment