Sunday, 28 March 2010

Aliran Pegangan Ahli Sufi

Ahli-ahli suffah merupakan satu golongan fakir muhajirin dan ansar yang tidak punya barang dan harta. Namun hati mereka kaya-raya; ingat akan Allah siang dan malam. Mereka menghafal ayat-ayat al-Quran sebanyak-banyaknya sambil lidahnya tidak sunyi daripada memuji Allah dan mengulangi ayat al-Quran sebagai kalam Allah. Nabi saw telah menempatkan mereka ini di hujung mesjid baginda di Madinah.

Ahli suffah ini merupakan satu kaum yang berpada dengan sedikit sahaja habuan dan keperluan. Mereka tidak mahu tergoda dengan merebut harta-benda dunia yang sentiasa memperdayakan manusia. Mereka menjadi imam kaum fuqara', tidak punya harta, juga keluarga yang mungkin boleh melalaikan mereka daripada mengingati dan memuji Allah siang dan malam. Tidak pernah terkeluar dari kata-kata mereka akan rasa kesal kerana tidak memiliki dunia ini walau sedikit pun.

Mereka lebih senang dengan keadaan begitu, yang selalu ingat akan akhirat.

Rasulullah Diperintahkan Hidup bersama Ahli Suffah

Ahli suffah adalah pelopor utama dari kalangan tasauf. Hidup mereka hanya untuk berinadat dengan ibadat yang tulen. Kehidupan mereka sedemikian rupa menjadi tauladan bagi sekelian pengikut tasauf sepanjang zaman. Ini memandangkan kisah ahli suffah ini disebutkan di banyak tempat dalam al-Quran. Malah Nabi diminta hidup bersama mereka dan jangan berpaling daripadanya.

Setiap ahli sufi tetap berpegang kepada al-Quran dalam setiap pekerjaan. Mereka berpegang dengan intinya sama ada dari segi perkembangan fikiran ataupun filsafat ibadatnya.
Dalam Surah an-Anfaal: 17 Allah memperkatakan tentang perang Badar di mana Rasulullah saw telah melepaskan lebih 1,000 anak panah pada hari itu. Dan Allah menerangkannya;

"Dan tiada engkau memanah (melempar) tatkala engkau memanah, tetapi Allah la yang memanah itu."

Ertinya Nabi memanah dan melepaskan panahannya, sedangkan yang sebenarnya memanah itu adalah Allah swt. Nabi tahu dan akur. Sebab menurut perhitungan biasa pasukan Nabi yang tiga kali jauh lebih kecil daripada musuh tidak akan bisa menang. Ia berlaku sebaliknya. Daripada ayat tersebut Allah menyatakan bahawa segala perbuatan adalah datang daripada-Nya. Kalah dan menang adalah daripada-Nya.

Kedudukan manusia seumpama batang kalam yang berada dalam tangan si penulis. Kalam itu cuma hamba dan yang empunya tangan itu adalah Tuhan. Kita manusia ini bukan tangan, tetapi kalam itu. Maka Allah swt berhak mengatakan;

"Dan tiada engkau yang melempar sewaktu engkau melempar itu, akan tetapi Allah yang melempar."

Maka demikian juga ketika memahami Surah an-Nur: 35 yang bermaksud; "Allah cahaya langit dan bumi."

Sebenarnya, Allah jua yang menerangi seluruh langit dan bumi.
"Ke mana saja kamu hadapkan mukamu maka di sana ada wajah Allah."

Bagi kaum sufi, kedua-dua ayat ini dan lain-lain ayat sepertinya telah dijadikan tiang-tiang mazhab sufi dalam acara tajalli Allah pada seluruh makhluk-Nya dengan erti tajalli di sini Allah mengetahui, Allah meliputi dan Allah yang melakukan dan memberikan seluruh rahmat di atas dunia ini.

Allah berfirman dalam Surah al-Maiidah: 57;

"Hai sekelian orang yang telah percaya, siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, maka nanti Allah akan mendatangkan satu kaum yang dicintai-Nya dan mereka pun akan menyintai-Nya, kaum-kaum itu merendahkan diri kepada sesama orang mukmin dan keras sekali terhadap sekelian orang yang kafir, mereka melakukan jihad pada jalan Allah, dan mereka tidak akan menakuti cerca orang yang mencerca; demikian kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada yang dikehendaki-Nya."

Dengan demikian sifat orang sufi itu adalah sifat orang mukmin yang tersebut pada ayat itu. Pertama, sifat-sifat mereka sampai ke taraf Allah menyintai mereka. Kedua, mereka pun menyintai Allah. Ketiga, lemah-lembut terhadap sesama orang Islam. Keempat, keras dan penuh kekuatan terhadap semua orang kafir. Kelima, melakukan jihad fi-sabilillah dengan erti yang sebenar. Keenam, dalam melakukan amal dan perintah Allah tidak takut pada cacian orang. Pedomannya, asal saja meredhakan Allah semata-mata.

Ayat-ayat inilah yang menjadi dasar mazhab sufi dalam menyintai Allah dan menyintai sesama manusia mukmin dalam melakukan taat dan jihad; sama ada kecil atau besar. Jihad kecil adalah melawan musuh yang bersenjata dan nampak kelihatan; sedangkan jihad besar ialah melawan nafsu dan syaitan yang memakai senjata rahsia dan tidak kelihatan. Kemudian untuk melakukan jihad umum, iaitu menegakkan kalimatullah sampai kalimah itu berdiri tinggi, dihormati dan dipatuhi oleh seluruh umat manusia.


Nota: Petikan daripada Ilmu Tasauf ini didasarkan kepada tulisan Hj Zainal Ariffin Abbas (Pustaka Aman Press Sdn Bhd) terbitan 1979. Semoga segala kebaikan yang terpancar daripadanya agar dirahmati Allah swt dan meredhai usahanya yang tidak ternilai. Amin.

No comments:

Post a Comment