Bila malam baginda mengalihkan perhatian pada langit luas yang dipenuhi bintang berkerelipan. Baginda memerhatikan perhubungan kesatuan alam ini antara satu sama lain; tanpa puas-puas mencari fakta untuk mendapatkan keimanan yang lebih mesra terhadap Tuhan pencipta alam ini. Baginda tidak henti-henti mencari jalan yang lebih dekat dan mesra dengan al-Khaliqul A'zam.
Kemudian kita akan mendapati baginda tenggelam dalam memuliakan dan mensucikan Allah swt. sehingga baginda tidak dapat melebihkan yang lainnya daripada kecintaan baginda itu walaupun tidak pernah leka dengan urusan rumahtangga dan keluarga.
Alangkah hebatnya rahsia di sebalik perulangan-alik baginda selama 5 tahun ke Gua Hira' dan tinggal di sana seorang diri sehingga 5 hari 5 malam baru pulang ke rumah mengambil bekal dan naik semula untuk tempoh yang sama lagi. Anak dan isteri baginda, Khadijah tidak pernah berasa sangsi dengan perubahan besar dalam sikap baginda itu. Mereka tidak pernah bertanya atau cuba mengendurkan kecenderungan itu. Kalangan masyarakat di kota Mekah pun begitu - banyak pihak menyatakan bahawa, "Muhammad sedang asyik kepada Tuhannya."
Dr. Muhammad Hussein Heikal, pengarang besar yang pernah menziarahi Gua Hira' itu menulis;
"Bagi orang yang mengerjakan haji, Ka'abah dan Mesjid-il Haram adalah tujuan perhatiannya yang pertama dan utama. Apabila mereka telah menyelesaikan syiar-syiar haji seperti tawaf dan sa'i, maka perhatian mereka tetap tertumpu kepada Ka'abah dan Tanah Haram. Mereka menziarahi kubur-kubur permakaman anggota keluarga baginda. Mereka menghargai perjuangan keluarga Nabi, malah Allah swt sendiri mensucikan mereka seperti yang tersebut dalam Surah al-Ahzaab: 33.
Sayang apabila orang-orang Nejed menguasai Mekah dengan menggunakan nama pemerintah Sa'udi - langkah utama mereka ialah menafikan pandangan bersejarah sekelian kaum muslimin; seolah-olah bersalah dan berdosa kerana memuliakan anggota keluarga baginda! Maka mereka runtuhkan segala binaan dan tanda-tanda sejarah yang dibangunkan sejak zaman awal Islam di atas kuburan tersebut - sama ada dalam bentuk qubah ataupun mesjid. Semuanya diratakan di samping meletakkan anggota polis buat mengawal kunjungan orang ramai yang datang menziarah - tidak boleh hampir!
Penulis sendiri pernah kena halau oleh polis yang menjaga kuburan Saidina Hamzah di Uhud. Sedangkan jarak saya dengan bahagian kuburan yang telah diratakan itu masih terlalu jauh. Mereka mengira bahawa iman dan 'iktiqad kita sama dengan nilai iman mereka - yang mahu menyembah kuburan! Pada hal tidak mungkin bagi mana-mana para hujjaj yang akan menyembah kuburan. Mereka datang untuk melihat sejarah, mengucapkan salam kepada Saidina Hamzah - untuk berziarah sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah saw. Dengan menziarahi kubur itu akan segera mengingatkan kita akan mati.
Segala macam taktik politik yang dikenakan oleh pemerintah Sa'udi, namun ia tetap tidak dapat menghalang penziarah daripada memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar mengampuni dan merahmati anggota keluarga baginda Rasulullah saw. Mereka melahirkan rasa terhutang budi pada sekelian anggota keluarga yang banyak berjasa dalam mengembangkan agama bersama baginda; di samping melahirkan rasa marah terhadap kebiadaban penguasa Sa'udi yang mengawal tempat-tempat berkenaan.
Apabila ini telah selesai maka perhatian para hujjaj akan tertumpu kepada Gua Hira' yang terletak 3km di utara kota Mekah. Ia terletak dalam perjalanan ke Arafah dan Mina. Mereka yang pergi ke al-Ma'ala pun bisa melihatnya. Kunjungan ramai juga telah sangat berkurangan apabila pemerintah Sa'udi meruntuhkan kubah yang terdapat di atas gua tersebut. Dulu ada kedai kopi di atas sana, berhampiran mata air yang mengalir dari himpunan kumpulan hujan dan embun dari puncak gunung berkenaan. Namun ia telah pupus akibat kunjungan orang yang terlalu berkurangan.
Para penyelidik sejarah dan pencinta Nabi Muhammad saw berpendapat bahawa ziarah mereka ke Mekah dan Madinah belum sempurna tanpa menziarahi Gua Hira'; tempat suci yang penuh dengan segala rahsia - tempat turunnya wahyu yang pertama, tempat baginda mencari hakikat 5 tahun sebelum kenabian. Selepas 14 abad tempat itu baginda tinggalkan, tiada apa-apa perubahan pada gua tersebut. Ia masih tetap seperti keadaan di zaman baginda.
Sebenarnya, sesiapa juga yang melihat Gua Hira' dari jauh pasti akan merasai dalam kalbunya akan timbul banyak persoalan. Dengan ketinggiannya kita akan dapat menancap betapa kuat dan gigihnya jiwa baginda mendaki gunung itu berkali-kali - ratusan banyaknya. Sedangkan turunnya wahyu adalah sesuatu yang amat besar maknanya. Sebab ia datang daripada Allah swt. Apabila di situ turunnya wahyu yang pertama, dengan sendirinya ia memaparkan betapa istimewa dan mulianya gunung tersebut.
Bagi sang muslim yang arif tetap berasakan bahawa ia sebuah tempat suci yang pertama dalam Islam. Tanpa Gua Hira', al-Quran mungkin tidak turun dan segala yang lainnya juga tidakkan ada. Oleh itu pada setiap pencinta Nabi Muhammad saw pasti akan merindui tempat yang sangat dicintai oleh baginda itu. Ia tempat Nabi berkunjung waktu demi waktu sebelum menerima tanggungjawab kerasulan.
Inilah fakta pertama tentang ilmu tasauf daripada pekerjaan yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah saw.
No comments:
Post a Comment