Antara kandungannya... 
 
 Penurunan Manusia ke Peringkat Paling Rendah
 
Allah Yang Maha Tinggi menciptakan roh suci sebagai ciptaan yang paling  sempurna , yang pertama diciptakan di dalam alam kewujudan mutlak bagi  Zat-Nya. Kemudian Dia berkehendak menghantarkannya kepada alam rendah.  
 
Tujuan Dia berbuat demikian ialah bagi mengajar roh suci mencari jalan  kembali kepada yang sebenar di tahap Maha Kuasa, mencari kedudukannya  yang dahulu yang hampir dan akrab dengan Allah. Dihantarkan-Nya roh suci  kepada perhentian utusan-utusan-Nya, wali-wali-Nya, kekasih-kekasih dan  sahabat-sahabat-Nya.  
 
Dalam perjalanannya, Allah menghantarkannya mula-mula kepada kedudukan  akal asbab bagi keesaan, bagi roh universal, alam nama-nama dan  sifat-sifat Ilahi, alam hakikat kepada Muhammad s.a.w. Roh suci memiliki  dan membawa bersama-samanya benih kesatuan.  
 
Apabila melalui alam ini ia dipakaikan cahaya suci dan dinamakan ‘roh  sultan’. Apabila melalui alam malaikat yang menjadi perantaraan kepada  mimpi-mimpi, ia mendapat nama ‘roh perpindahan’. Bila akhirnya ia turun  kepada dunia kebendaan ini ia dibaluti dengan daging yang Allah ciptakan  untuk kesesuaian makhluk-Nya.  
 
Ia dibaluti oleh jirim yang kasar bagi menyelamatkan dunia ini kerana  dunia kebendaan jika berhubung secara langsung dengan roh suci maka  dunia kebendaan akan terbakar menjadi abu. Dalam hubungannya dengan  dunia ini ia dikenali sebagai kehidupan, roh manusia. 
 
Tujuan roh suci dihantar ke tempat ciptaan yang paling rendah ini ialah  supaya ia mencari jalan kembali kepada kedudukannya yang asal, makam  kehampiran, ketika ia masih di dalam bentuk berdaging dan bertulang ini.  Ia sepatutnya datang ke alam benda yang kasar ini, dan dengan melalui  hatinya yang berada di dalam mayat ini, menanamkan benih kesatuan dan  menunbuhkan pokok keesaan di dalam dunia ini. Akar pokok masih berada  pada tempat asalnya.  
 
Dahannya memenuhi ruang kebahagiaan, dan di sana demi keredaan Allah,  mengeluarkan buah kesatuan. Kemudian di dalam bumi hati roh itu  menanamkan benih agama dan bercita-cita menumbuhkan pokok agama agar  diperolehi buahnya, tiap satunya akan menaikkannya kepada peringkat yang  lebih hampir dengan Allah. 
 
Allah membuatkan jasad-jasad atau tubuh-tubuh untuk dimasuki oleh  roh-roh dan bagi roh-roh ini masing-masing mempunyai nama yang  berbeza-beza. Dia bina ruang penyesuaian di dalam tubuh. Diletakkan-Nya  roh manusia, roh kehidupan di antara daging dan darah. Diletakkan-Nya  roh suci di tengah-tengah hati, di mana dibina ruang bagi jirim yang  sangat seni untuk menyimpan rahsia di antara Allah dengan hamba-Nya.  Roh-roh ini berada pada tempat yang berbeza-beza dalam tubuh, dengan  tugas yang juga berbea, urusan yang berbeza, masing-masing umpama membeli  dan menjual barang yang berlainan, mendapat faedah yang pasti berbeza.  Perniagaan mereka sentiasa membawakan kepada banyak manfaat dalam  bentuk nikmati dan rahmat Allah.  
 
“Daripada apa  yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terang,  (mereka) mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi”. (Surah Fatir, ayat 29). 
 
Layaklah bagi setiap manusia mengetahui urusannya di dalam alam  kewujudan dirinya sendiri dan memahami tujuannya. Dia mestilah faham  bahawa dia tidak boleh meminda apa yang telah dihukumkan sebagai benar  untuknya dan digantungkan dilehernya. Bagi orang yang mahu meminda apa  yang telah dihukumkan untuknya, yang terikat dengan cita-cita dan dunia  ini  
 
Allah berkata: “Tidaklah  (mahu) dia ketahui (bagaimana keadaan) apabila dibongkarkan apa-apa  yang di dalam kubur? Dan dizahirkan apa-apa yang di dalam dada?” (Surah ‘Aadiyat, ayat 9).  
 
“Dan tiap-tiap manusia Kami gantungkan (catatan) amalannya pada tengkuknya.” (Surah Bani Israil, ayat 13).

 
No comments:
Post a Comment