Antara kandungannya... 
 
Ilmu Pengetahuan dan Perkembangan Kerohanian 
 
Ilmu pengetahuan zahir mengenai benda-benda yang nyata dibahagikan  kepada 12 bahagian dan ilmu pengetahuan batin juga dibahagikan  kepada 12 bahagian. Bahagian-bahagian tersebut dibahagikan di  kalangan orang awam dan orang khusus, hamba-hamba Allah yang sejati,  menurut kadar keupayaan dan kebolehan mereka. 
 
Bagi tujuan yang berkaitan dengan kita pembicaraan ilmiah mengenai ini dibuat dalam empat bahagian.  
 
Pertama melibatkan  peraturan agama , mengenai kewajipan dan larangan berhubung dengan  perkara-perkara dan peraturan-peraturan di dalam dunia ini.  
 
Kedua menyentuh soal pengertian  atau maksud dalaman serta tujuan kepada peraturan-peraturan tersebut dan  bahagian ini dinamakan bidang kerohanian yaitu pengetahuan mengenai  perkara-perkara yang tidak nyata.  
 
Ketiga mengenai hakikat  kerohanian yang tersembunyi yang dinamakan kearifan. 
Keempat mengenai  hakikat dalaman kepada hakikat, iaitu mengenai kebenaran yang  sebenar-benarnya. Manusia yang sempurna perlu mempelajari semua bidang  atau bahagian tersebut dan mencari jalan ke arahnya. 
 
Nabi s.a.w bersabda, “Agama  ialah pokok, kerohanian adalah dahannya, kearifan (makrifat) adalah  daunnya, kebenaran (hakikat) adalah buahnya. Quran dengan ulasannya,  keterangannya, terjemahannya dan ibarat-ibaratnya mengandungi semuanya  itu” . 
 
Di dalam buku al-Najma perkataan-perkataan tafsir, ulasan dan takwil  serta terjemahan melalui ibarat dimengertikan sebagai: ulasan terhadap  Quran adalah keterangan dan perincian bagi faedah kefahaman orang awam,  sementara terjemahan melalui ibarat adalah keterangan tentang maksud  yang tersirat yang boleh diselami melalui tafakur yang mendalam serta  memperolehi ilham sebagaimana yang dialami oleh orang-orang beriman yang  sejati.  
 
Terjemahan yang demikian adalah untuk hamba-hamba Allah yang khusus lagi  teguh, berterusan di dalam suasana kerohanian mereka dan teguh dengan  pengetahuan yang membolehkan mereka membuat pertimbangan yang benar.  Kaki mereka teguh berpijak di atas bumi sementara hati dan fikiran  mereka menjulang kepada ilmu ketuhanan. Dengan rahmat Allah keadaan  berterusan begini yang tidak bercampur dengan keraguan ditempatkan di  tengah-tengah hati mereka. Hati yang teguh dalam suasana ini bersesuaian  dengan bahagian kalimah tauhid “La ilaha illa Llah” , pengakuan terakhir keesaan. 
 
“Dia jualah  yang menurunkan kitab kepada kamu. Sebahagiannya adalah ayat-ayat yang  menghukum, iaitu ibu bagi kitab, dan (sebahagian) yang lain adalah  ayat-ayat yang perlukan takwil. Adapun orang-orang yang di hati mereka  ada kesesatan mencari-cari apa yang ditakwil daripadanya kerana hendak  membuat fitnah dan kerana hendak membuat takwilnya sendiri padahal tidak  mengetahui takwilnya melainkan Allah dan orang-orang yang teguh kuat di  dalam ilmu berkata, ‘Kami beriman kepadanya (kerana) semua itu daripada  Tuhan kami’, dan tidak mengerti melainkan orang-orang yang mempunyai  fikiran”. (Surah Imraan, ayat 7) 
 
Jika pintu kepada ayat ini terbuka akan terbuka juga pintu-pintu kepada alam rahasia batin. 
 
Hamba Allah yang sejati berkewajipan melaksanakan perintah-perintah-Nya  dan menjauhkan diri daripada larangan-Nya. Dia juga perlu menentang ego  dirinya dan membendung kecenderungan jasad yang tidak sihat. Asas  penentangan ego terhadap agama adalah dalam bentuk khayalan dan gambaran  yang bercanggah dengan kenyataan.  
 
Pada peringkat kerohanian ego yang khianat itu menggalakkan seseorang  supaya memperakui dan mengikuti sebab-sebab dan rangsangan yang hanya  hampir dengan kebenaran (bukan kebenaran yang sejati), walaupun ia  risalat nabi dan fatwa wali yang telah diubah, juga mengikuti guru yang  pendapatnya salah. Pada peringkat makrifat ego cuba menggalakkan  seseorang supaya memperakui kewalian dirinya sendiri malah ego juga  mengheret seseorang kepada mengakui ketuhanannya – dosa paling besar  menganggapkan diri sendiri sebagai bersekutu dengan Allah.  
 
Allah berfirman: “Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan.” (Surah Furqaan, ayat 43). 
 
Tetapi peringkat kebenaran sejati adalah berbeza. Ego dan iblis tidak  boleh sampai ke sana. Malah malaikat juga tidak sampai ke sana.  Sesiapa sahaja kecuali Allah jika sampai ke sana pasti terbakar.  
 
Jibrail berkata kepada Nabi Muhamamd s.a.w pada sempadan peringkat ini, “Jika aku mara satu langkah lagi aku akan terbakar menjadi abu”.
 
Hamba Allah yang sejati bebas daripada perlawanan egonya dan iblis kerana dia dilindungi oleh perisai keikhlasan dan kesucian. 
 
“Ia (iblis)  berkata: Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku akan sesatkan mereka semuanya,  kecuali di antara mereka hamba-hamba-Mu yang dibersihkan”. (Surah Shad, ayat 82 & 83). 
 
Manusia tidak dapat mencapai hakikat kecuali dia suci murni kerana  sifat-sifat keduniaan tidak akan meninggalkannya sehinggalah hakikat  menjadi nyata dalam dirinya.  
 
Ini adalah keikhlasan sejati. Kejahilannya cuma akan meninggalkannya bila dia menerima pengetahuan tentang Zat Allah.  
 
Ini tidak dapat dicapai dengan pelajaran; hanya Allah tanpa pengantaraan  boleh mengajarnya. Bila Allah Yang Maha Tinggi sendiri yang menjadi  Guru, Dia kurniakan ilmu yang daripada-Nya sebagaimana Dia lakukan  kepada Khaidhir. Kemudian manusia dengan kesedaran yang diperolehinya  sampai kepada peringkat makrifat di mana dia mengenali Tuhannya dan  menyembah-Nya yang dia kenal. 
 
Orang yang sampai kepada suasana ini memiliki penyaksian roh suci dan  dapat melihat kekasih Allah, Nabi Muhamamd s.a.w. Dia boleh bercakap  dengan baginda s.a.w mengenai segala perkara daripada awal hingga ke  akhirnya dan semua nabi yang lain memberikannya khabar gembira  tentang janji penyatuan dengan yang dikasihi.  
 
Allah menggambarkan suasana ini: “Kerana  Barangsiapa taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka mereka beserta  orang-orang yang diberi nikmat daripada nabi-nabi, siddiqin, syuhada dan  salihin dan alangkah baiknya mereka ini sebagai sahabat rapat”. (Surah Nisaa’ ,ayat 69). 
 
Orang yang tidak boleh menemui pengetahuan ini di dalam dirinya tidak  akan menjadi arif walaupun dia membaca seribu buah buku. Nikmat yang  boleh diharapkan oleh orang yang mempelajari ilmu zahir ialah syurga; di  sana semua yang dapat dilihat adalah kenyataan sifat-sifat Ilahi dalam  bentuk cahaya.  
 
Tidak kira bagaimana sempurna pengetahuannya tentang perkara nyata yang  boleh dilihat dan dipercayai, ia tidak membantu seseorang untuk masuk  kepada suasana kesucian dan mulia, iaitu kehampiran dengan Allah, kerana  seseorang itu perlu terbang ke tempat tersebut dan untuk terbang perlu  kepada dua sayap. Hamba Allah yang sejati adalah yang terbang ke sana  dengan menggunakan dua sayap, iaitu pengetahuan zahir dan pengetahuan  batin, tidak pernah berhenti di tengah jalan, tidak tertarik dengan apa  sahaja yang ditemui dalam perjalanannya.  
 
Allah berfirman melalui rasul-Nya: “Hamba-Ku,  jika kamu ingin masuk kepada kesucian berhampiran dengan-Ku jangan  pedulikan dunia ini ataupun alam tinggi para malaikat, tidak juga yang  lebih tinggi di mana kamu boleh menerima sifat-sifat-Ku yang suci”.
 
Dunia kebendaan ini menjadi godaan dan tipu daya syaitan kepada orang  yang berilmu. Alam malaikat menjadi rangsangan kepada orang yang  bermakrifat dan suasana sifat-sifat Ilahi menjadi godaan kepada orang  yang memiliki kesedaran terhadap hakikat. Sesiapa yang berpuas hati  dengan salah satu daripada yang demikian akan terhalang daripada  kurniaan Allah yang membawanya hampir dengan Zat-Nya.  
 
Jika mereka tertarik dengan godaan dan rangsangan tersebut mereka akan  berhenti, mereka tidak boleh maju ke hadapan, mereka tidak boleh terbang  lebih tinggi. Walaupun matlamat mereka adalah kehampiran dengan  Pencipta mereka tidak lagi boleh sampai ke sana. Mereka telah  terpedaya, mereka hanya memiliki satu sayap. 
 
Orang yang mencapai kesedaran tentang hakikat yang sebenar, menerima  rahmat dan kurniaan dari Allah yang tidak pernah mata melihatnya dan  tidak pernah telinga mendengarnya dan tidak pernah hati mengetahui  namanya. Inilah syurga kehampiran dan keakraban dengan Allah. Di sana  tidak ada mahligai permata juga tidak ada bidadari yang cantik sebagai  pasangan.  
 
Semoga manusia mengetahui nilai dirinya dan tidak berkehendak, tidak  menuntut apa yang tidak layak baginya. Saidina Ali r.a berkata, “Semoga  Allah merahmati orang yang mengetahui harga dirinya, yang tahu menjaga  diri agar berada di dalam sempadannya, yang memelihara lidahnya, yang  tidak menghabiskan masanya dan umurnya di dalam sia-sia”. 
 
Orang yang berilmu mestilah menyedari bahawa bayi roh yang lahir dalam  hatinya adalah pengenalan mengenai kemanusiaan yang sebenar, iaitu insan  yang sejati. Dia patut mendidik bayi hati, ajarkan keesaan melalui  berterusan menyedari tentang keesaan – tinggalkan keduniaan kebendaan  ini yang berbilang-bilang, cari alam kerohanian, alam rahsia di mana  tiada yang lain kecuali Zat Allah.  
 
Dalam kenyataannya di sana bukan tempat, ia tidak ada permulaan dan  tidak ada penghujung. Bayi hati terbang melepasi padang yang tiada  berkesudahan itu, menyaksikan perkara-perkara yang tidak pernah dilihat  mata sebelumnya, tiada sesiapa bercerita mengenainya, tiada sesiapa  boleh menggambarkannya. Tempat yang menjadi rumah kediaman bagi mereka  yang meninggalkan diri mereka dan menemui keesaan dengan Tuhan mereka,  mereka yang memandang dengan pandangan yang sama dengan Tuhan mereka,  pandangan keesaan.  
 
Bila mereka menyaksikan keindahan dan kemuliaan Tuhan mereka tidak ada  apa lagi yang tinggal pada mereka. Bila dia melihat matahari dia tidak  dapat melihat yang lain, dia juga tidak dapat melihat dirinya sendiri.  Bila keindahan dan kemurahan Allah menjadi nyata apa lagi yang tinggal  dengan seseorang? Tidak ada apa-apa! 
 
Nabi s.a.w bersabda, “Seseorang perlu dilahirkan dua kali untuk sampai kepada alam malaikat”.  
 
Ia adalah kelahiran maksud daripada perbuatan dan kelahiran rohani  daripada jasad. Kemungkinan yang demikian ada dengan manusia. Ini adalah  keanehan rahsia manusia. Ia lahir daripada percampuran pengetahuan  tentang agama dan kesedaran terhadap hakikat, sebagaimana bayi lahir  hasil daripada percampuran dua titik air. 
 
“Sesungguhnya  Kami telah jadikan manusia daripada setitik (mani) yang bergiliran,  yang Kami berikan percubaan kepada mereka, iaitu Kami jadikan dia  mendengar dan melihat”. (Surah Insaan, ayat 2). 
 
Bila maksud menjadi nyata dalam kewujudan ia menjadi mudah untuk  melepasi bahagian yang cetek dan masuk ke dalam laut penciptaan dan  membenamkan dirinya ke dasar hukum-hukum peraturan Allah. Sekalian alam  kebendaan ini hanyalah satu titik jika dibandingkan dengan alam  kerohanian.  
 
Hanya bila semua ini difahami maka kuasa kerohanian dan cahaya  keajaiban yang bersifat ketuhanan, hakikat yang sebenar-benarnya,  memancar ke dalam dunia tanpa perkataan tanpa suara.

 
No comments:
Post a Comment