Antara kandungannya.. 
 
TABIR CAHAYA DAN KEGELAPAN
 
Allah berfirman: “Sesiapa yang buta di dunia buta juga di akhirat”. (Surah Bani Israil, ayat 72). 
 
Bukan buta mata yang di kepala tetapi buta mata yang di hati yang menghalang seseorang daripada melihat cahaya hari akhirat.  
 
Firman Allah: “Bukan matanya yang buta tetapi hatinya yang di dalam dada”. (Surah Hajj, ayat 46). 
 
Hati menjadi buta disebabkan oleh kelalaian, yang membuat seseorang lupa  kepada Allah dan lupa kepada kewajipan mereka, tujuan mereka, ikrar  mereka dengan Allah ketika masih berada di dalam dunia. Sebab  utama kelalaian adalah kejahilam terhadap hakikat (kebenaran)  undang-undang dan peraturan Tuhan. Apa yang menyebabkan seseorang itu  berterusan di dalam kejahilam ialah kegelapan yang menyeluruh menutupi  seseorang dari luar dan sepenuhnya menguasai batinnya.  
 
Sebahagian daripada nilai-nilai itu yang mendatangkan kegelapan ialah  sifat-sifat angkuh, sombong, megah, dengki, bakhil, dendam, bohong,  mengumpat, fitnah dan lain-lain sifat keji. Sifat-sifat yang keji itulah  yang merendahkan ciptaan Tuhan yang sangat baik sehingga jatuh kepada  tahap yang paling rendah laksana haiwan. 
 
Untuk membebaskan seseorang daripada kejahatan itu dia perlu menyuci  dan menyinarkan cermin hatinya. Penyucian ini dilakukan dengan  mendapatkan pengetahuan, dengan beramal menurut pengetahuan itu, dengan  usaha dan keberanian melawan ego diri, menghapuskan yang banyak pada  diri, mencapai keesaan. Perjuangan ini berterusan sehingga hati menjadi  hidup dengan cahaya keesaan – dan dengan cahaya keesaan itu mata bagi  hati yang suci akan melihat hakikat sifat-sifat Allah di sekeliling dan  pada dirinya. 
 
Hanya selepas itu baru kamu ingat akan kediaman kamu yang sebenar yang  darinya kamu datang. Kemudian kamu akan ada rasa kerinduan dan  keinginan untuk kembali kepada rumah kediaman yang sebenar, dengan  pertolongan Yang Maha Mengasihani roh suci pada diri kamu akan menyatu  dengan-Nya. 
 
Bila sifat-sifat kegelapan terangkat cahaya mengambil-alih tempatnya dan  orang yang memiliki mata rohani akan melihat. Dia mengenali apa yang  dia lihat dengan cahaya nama-nama sifat Ilahiah. Kemudian dirinya  dibanjiri oleh cahaya dan bertukar menjadi cahaya. Cahaya ini masih lagi  hijab menutupi cahaya suci Zat, tetapi masanya akan sampai bila ini  juga akan terangkat, yang tinggal hanya cahaya suci Zat itu sendiri. 
 
Hati mempunyai dua mata, satu yang sempit dan satu lagi yang luas.  Dengan mata yang sempit seseorang boleh melihat kenyataan sifat-sifat  dan nama-nama Allah. Penglihatan ini berterusan sepanjang perkembangan  kerohaniannya. Mata yang luas melihat hanya kepada apa yang dijadikan  kelihatan oleh cahaya keesaan dan yang esa. Hanya bila seseorang sampai  kepada daerah kehampiran dengan Allah dia akan melihat, di dalam alam  penghabisan bagi kenyataan Zat Allah, Yang Esa dan Mutlak. 
 
Bagi mencapai makam-makam ini ketika masih di dalam dunia, di dalam  kehidupan ini kamu mestilah membersihkan diri kamu daripada sifat-sifat  keduniaan, yang ego dan keegoan. Jarak yang kamu mengembara di dalam  kenaikan kamu ke arah makam-makam tersebut bergantung kepada sejauh mana  kamu mengasingkan diri daripada hawa nafsu yang rendah dan ego diri  kamu. 
 
Pencapaian kamu kepada matlamat yang kamu inginkan bukanlah seperti  barang kebendaan sampai ke tempat kebendaan. Ia juga bukan ilmu yang  membawa seseorang kepada sesuatu yang menjadi diketahui (daripada tidak  tahu), juga bukan pertimbangan yang memperolehi apa yang difikirkan,  bukan juga khayalan yang menyatu dengan apa yang dikhayalkan. Matlamat  yang kamu ingin capai ialah kesedaran tentang ketiadaan (kekosongan)  kamu daripada segala sesuatu kecuali Zat Allah.  
 
Pencapaian ini adalah perubahan suasana yang terjadi, bukan perubahan  pada sesuatu yang nyata. Di sana tiada jarak, tiada dekat atau jauh,  tiada kesampaian, tiada ukuran, tiada arah, tiada ruang. 
 
Dia Maha Besar, segala puji untuk-Nya. Dia Maha Pengampun. Dia menjadi  nyata dalam apa yang Dia sembunyikan daripada kamu. Dia menyatakan  Diri-Nya sebagaimana Dia melabuhkan tirai di antara Dia dengan kamu.  Pengenalan tentang Diri-Nya tersembunyi di dalam ketidakupayaan  mengenali-Nya.
Komen:  Dengan cahaya keesaan mata bagi  hati yang suci akan melihat hakikat sifat-sifat Allah di sekeliling dan  pada dirinya. Selepas itu baru kita teringat akan kediaman yang sebenar yang  darinya kita datang. Kemudian akan ada rasa kerinduan dan  keinginan untuk kembali kepada rumah kediaman yang sebenar, dengan  pertolongan Yang Maha Mengasihani roh suci pada diri kita itu akan menyatu  dengan-Nya.  

 
No comments:
Post a Comment