Thursday, 19 May 2011

'Luka Hati Siapa?' - 15

Pengantin Arab...

Seminggu kemudian maka tibalah giliran Nur Anita untuk bertanggah ke rumah mertuanya di Kampung Kepayang, dekat Ipoh. Belum pun hilang penat mereka diayak ke sana ke mari, kini giliran kenduri menyambut pengantin pula bakal diadakan di pihak lelaki.

Sejak pagi hatinya berdebar-debar. Berbagai-bagai lamunan yang menerjah dan bermain dalam benak. Walaupun Izzat puas cuba meyakinkan, namun sesekali Nur Anita cemas. Dia cemas tentang penerimaan keluarga di pihak suaminya pula. Dia akan bertandang ke sana, di tempat yang pernah Nur Anita membesar dan bersekolah juga.

Biarpun mereka telah menerimanya, tetapi sebagai orang jauh Nur Anita masih tetap akan berasa kekok. Dia perlu bijak dan betah untuk cepat menyesuaikan diri. Apatah pula banyak adat-istiadat orang Perak yang harus ditempuhi dan dipelajari.

Hampir ke waktu tengah hari baru rombongan mereka tiba rumah tol di Simpang Pulai. Oleh kerana rumahnya bersebelahan rumah tol itu, jadi rumah penanggahnya pun hanya terletak bersebelahannya sahaja. Ada sepuluh buah kereta dalam rombongan mereka, termasuk kereta pengantin. Ramailah saudara-mara dan kawan di pihak pengantin perempuan yang ikut sama. Di situ, adik Izzat menjadi penghubung dan penjaga kebajikan mereka. Shahirah menjadi pengelola mereka di pihak pengantin perempuan.

Sementara berihat menanti majlis seterusnya, mereka dijamu. Ada-ada sahaja jamuan yang dihidangkan. Puaslah rombongan mereka makan pelbagai jenis kuih-muih, halua dan maskat. Cuma Nur Anita yang tiada selera. Selain daripada penat, dia masih mengantuk. Maklum sahajalah apabila malamnya dia tidak cukup tidur. Setiap kali teringatkan upacara-upacara yang harus dilalui nanti, hatinya terus berdebar-debar.

Nur Anita akan bersanding lagi dengan berbagai-bagai jenis persalinan yang bakal dikenakan. Tidak cukup bersanding di dalam rumah tentu mereka akan diarak pula ke halaman. Melihat daripada jumlah khemahnya sahaja, dia yakin sambutannya pasti akan hebat. Ada sepuluh buah khemah kesemuanya, hingga ke pinggir jalan besar. Pastinya akan adalah persembahan silat pulut, tarian dabus, rodat dan entah apa lagi?

“Bio pape asekan bergaye,” kedengaran Nurul Asyira yang berasal dari Manong itu merungut.

“Bukan harte kite,” sambung si Sarah sambil menutup mulut, kemudian tersengih sebab loghatnya tidak menjadi. Dia orang Tikam Batu.

“Harte pak mentue,” sambung pula Sharmaine, anak jati Kuala Lumpur sambil tertawa.
“Cemas deme tertusukkan pahe, kalu terkena mate, hahh... bute keme!” kedengaran suara lelaki menyampuk di luar bilik.

Mereka berpandangan sesama sendiri, tertanya-tanya. Kemudian kelihatan seseorang sedang membawa masuk kipas angin ke dalam bilik.

“Skru drebar ni hah...,” rungutnya seorang bagai menghilangkan keraguan. “Nak dicucukkan lubang plug tu tadi tercucukkan pahe....”

Mereka tertawa geli hati mendengar loghat pekatnya itu. Memang ada sebuah plug di tepi pintu sebelah luar bilik tempat mereka berkumpul.

“Kalu terkenekan mate... heh, bute mengkeme!” jelasnya lagi.

Sementara itu dalam bilik selain daripada kawan-kawan, Maheran dan Leita, Cik Khalidah, penyelia mereka pun ada juga. Nur Anita mengintai dari balik tingkap, memang ramai tetamu yang mula berkunjung ke rumah pengantin. Berderet-deret kereta diletakkan di tepi jalan hingga ke simpang jalan baru menuju Cameron Highlands. Orang ramai berbondong-bondong dengan hadiah di tangan, terus dibawa ke balai buat menjamu selera.

Memang benar sebagaimana debaran yang melanda di hati. Majlis bersanding itu turut diserikan dengan adat merenjis. Selain daripada keluarga terdekat, ada beberapa orang pembesar negeri dan kenamaan juga yang turut melakukan. Jurugambarnya sahaja sudah ada empat orang, tidak termasuk dua anak muda wakil tuan rumah. Entah berapa banyak sudut dan gaya dibuat untuk merakamkan gambar-gambar di sekitar peristiwa tersebut?

Badannya mula berpeluh-peluh kerana pakaian kain songket yang tebal dan memberat itu. Kemudian tibalah masa untuk mereka diiringi ke halaman rumah. Ada persembahan silat, dabus dan rodat sebelum upacara makan pengantin diadakan. Terasa juga jerannya di hati apabila pengantin yang keletihan itu diraikan. Tidak ada apa pun yang menarik kerana mereka hanya menurut apa yang hendak dilakukan - sesuai dengan adat orang tempatan.

“Gini la cara orang Perak,” bisik Kamarul Izzat di telinga ketika mereka mengambil tempat untuk makan pengantin. Ada seorang yang dipanggil Pak Engku duduk di sebelah Kamarul Izzat, sementara isterinya pula berada di sebelah Nurul Asyira yang menjadi pengapit.

Di sebelahnya, ada seorang wanita anggun bergaya - mungkin sahabat tuan rumah yang dijemput khas. Hanya wanita yang kedengaran dipanggil 'Engku' itu dan tiga orang anaknya sahaja yang kelihatan. Suaminya, konon seorang raja bergelar sedang mabuk cinta dengan seorang artis tersohor tanah air. Sudah hampir setahun dia menghilang - tinggal serumah dengan artis berkenaan di Bukit Ukay, Hulu Klang.

Puncanya bermula apabila mereka bergaduh besar pada malam itu apabila si isteri menegur gelagat suaminya yang sedang menggila dengan artis tanah air itu.

"You ni tak habis-habis dengan pompuan... ni entah dengan artis janda mana pulak!" rungut Tengku Noor sambil merenung gelagat suaminya. yang tidak tinggal diam. Dia mula gelisah untuk keluar - menemui artis yang telah ditempatkan di sebuah hotel terkemuka di tengah bandar. Artis itu bersdama rombongannya datang ke bandar itu untuk membuat persembahan bersempena dengan ulang tahun parti totok keris telanjang.

"Abis tu apa yang you nak?" si suami membengkeng.

"Nak apa... you tu yang tak abis-abis. Bila nak sedar pun ntah?"

"Aahh... blah la!" si suami membentak, menghempaskan daun pintu terus keluar dari situ. Dan dia tidak pulang-pulang ke rumah itu dan hingga ke saat itu sudah hampir setahun lamanya.

Nur Anita mengangguk sambil memerhatikan orang kenamaan lain mengambil tempat di meja utama. Walaupun letih, dia terpaksa melakarkan wajah ceria dan banyak tersenyum. Itupun kelebihannya setiap yang berkait dengan orang ramai. Nabi kita pun memberitahu bahawa senyum itu merupakan satu sedekah. Biar orang berasa senang dengan gelagat dan tindak-tanduk kita.

“Err... biasa ke dengan adat orang Perak ni?” kedengaran Mak Engku bersuara dekat Nurul Asyira, tetapi menjeling kepada Nur Anita di sebelah.

Nur Anita sedar pertanyaan itu ditujukan kepadanya.

“Biasa juga, sebab dulu pernah bersekolah di Ipoh,” jawabnya apabila Nurul Asyira menoleh kepadanya untuk jawapannya.

“Ooo... sekolah kat mana tu?” Mak Engku semakin peramah.
“Sekolah Raja Perempuan Takyah.”

“Ooo... ada ngaji agama le ye!”

“Ya. Sikit-sikit aje, Mak Engku.”

Mereka mula menjamu selera apabila semua tetamu mengambil tempat. Nurul Asyira yang sediakan segala-galanya; melayani pengantin yang masih serba malu.

“Err... pengantin tak boleh malu-malu...,” Mak Engku berceloteh lagi. "Nanti kang lapar...."

Sebenarnya, Nur Anita pun tidak pasti siapa sebenarnya Mak Engku dan suaminya itu. Melihat daripada cara pihak penanggah dan wakil tuan rumah melayan, mereka mungkin kerabat diraja yang terkenal juga. Jika tidak pun mungkin wakil tuanku sultan yang tidak dapat hadir.

Nur Anita nampak Chor Lanan yang paling sibuk mengarahkan penanggah. Pantang hidangan luak, terus ditambah. Ramah sekali dia melayannya. Sementara di bahagian lain khemah, tetamu masih mencurah-curah datang. Semuanya bergaya belaka. Anak-anak dara dan anak muda yang kaki melaram pun ramai tidak terhingga.

“Kau tu apa lagi, Asyira,” tegurku di telinganya. “Hahh... tengok la mana yang berkenan buat calon.”

“Ooo... yang ni pun belum berpunya lagi, ye?” Mak Engku menoleh.

Nurul Asyira tersipu-sipu mendengar teguran orang tua yang cukup bergaya itu. Kalung dan loketnya berkerawang dengan lambang negeri. Sah orang besar, fikirnya.

Nurul Asyira menoleh.

“Ni pun masih kosong, Mak Engku!”

“Bagus la. Tengok le mana yang berkenan.”

Nurul Asyira yang nampak anggun dengan berbaju kebaya itu mencubit paha Nurul Anita dari bawah meja. “Tolonggg... sikit!”

Nurul Anita tersenyum sambil memerhatikan para tetamu yang ghalib sedang menjamu selera. Mak Engku itu pun nampak berselera juga, sambil sesekali Nur Anita menjeling suaminya di sebelah.

“Kalau di zaman kesultanan Melayu dulu-dulu...,” jelas Pak Engku seakan-akan berbisik, “... ada pesta sambutannya. Berbulan-bulan juga lama rakyat bersuka-ria.”

Kamarul Izzat kelihatan mengangguk. Kalaulah majlis mereka diadakan sambutan begitu, hah sudah tentu ia mengalahkan majlis kenduri anak raja. Alangkan, majlis sehari itu pun sudah cukup memenatkan. Tidurnya pun tidak pernah cukup. Jerapnya berkurang kerana sering diusik dan dikejutkan.

Adat bagi orang-orang yang baru ketemu hajat di hatinya. Nur Anita akur, sebab dia pun begitu juga. Setelah puas memendam rasa, apa salahnya ia dilampiaskan sekehendak hati yang membara? Hinggakan solat subuhnya pun ikut terbabas sekali - kebiasaan di kalangan para pengantin yang kurang imannya. Dan ia menyatakan betapa lemahnya iman bagi pasangan di zaman millenium ini. Pertimbangan perasaan yang menguasai, bukannya dengan pertimbangan akal lagi. Jadi, mana mungkin keberkatan akan menjengah di muka pintu dengan limpah rahmat Tuhan Yang Satu? Apabila terpisah berkat dan rahmat, akan caca-marbalah kehidupan ummat. Dan... iblislah yang menggantikan tempat datang menggelodak.

“Mak Engku dengan Pak Engku kamu tu dulu, hah mau tiga hari tiga malam juga,” jelas Mak Engku masih mahu bernostalgia.

Nur Anita mengangguk.

“Dah puas berarak, siap dengan rodat dan menoranya... pada malamnya, diadakan keramaian pula siap dengan nyanyian dan lakonan bangsawan,” jelas Mak Engku.

Nur Anita mengangguk lagi sambil tersenyum. Nurul Asyira menjeling, melihat pada matanya yang semakin kuyu. Silau cahaya siang yang terang-benderang itu membuatkan kantuknya menjadi-jadi. Dia menyigung lengan pengantin, membuatkan Nur Anita tersedar. Dia menyuapkan makanan yang semakin tidak serasa itu. Kamarul Izzat di sebelah masih nampak ceria sambil menjamu selera sambil berbual dengan Pak Engku di sebelah.

Malam itu ada pula upacara yang lain. Mereka bersanding lagi mengikut cara barat. Ada persembahan pancaragam, siap dengan penyanyinya. Sebelum pergi makan mereka diperkenalkan kepada para tetamu undangan khas. Kebanyakannya adalah dari kalangan ahli perniagaan, kaum Cina dan India yang menjadi rakan taulan keluarga sebelah Kamarul Izzat.

Masing-masing nampaknya kagum dan melahirkan rasa bertuah kepada anak lelaki tuan rumah itu. Dia berjaya mendapat seorang isteri yang jelita seperti itu, kata mereka. Sejauh mana kebenarannya Nur Anita pun tidak pasti? Dia masih melayan kepenatan, sebenarnya.

Permainan pancaragamnya pula berlanjutan sepanjang malam. Ia turut dimeriahkan oleh beberapa orang penyanyi tempatan yang tidak kurang hebatnya. Mereka membuat persembahan di samping ucapan selamat yang tidak putus-putus; di mana mereka terus juga diperkenalkan kepada tetamu yang hadir dan meraikan.

Nur Anita berasa lega kerana upacara mandi sampat tidak jadi diadakan. Kalau tidak sudah pasti dia kesejukan dimandikan orang pada waktu tengah malam. Mandiannya siap dengan ramuan pelbagai jenis bunga; sebagai  adat turun-temurun orang Perak yang mahukan pengantin dapat tidur dengan selesa selepas itu. Maklumlah apabila badan segar dan kesejukan, ia mendatangkan rangsangan.

Seperkara yang Nur Anita tidak boleh lupa ialah tentang keluarga Kamarul Izzat. Rupa-rupanya mereka mempunyai keluarga sebelah ibu dan ayah yang sungguh besar. Ibu dan ayah saudaranya tidak putus-putus datang menemui beramah-tamah. Mereka sungguh mesra dan ramah belaka. Nur Anita begitu terhibur dengan keramahan mereka. Pasti akan dapat banyak wang apabila bertandang ke rumah mereka itu nanti, detik di hatinya. Nakal.

Keesokan paginya, kesemua ahli keluarga dan mereka yang datang mengiringi Nur Anita sudah pulang. Mereka kembali ke Klang. Nurul Asyira dan Sarah pun pulang juga meninggalkan Nur Anita bersendirian.

Oleh kerana cuti mereka masih panjang, jadi Kamarul Izzat membawa isterinya itu pergi berbulan madu. Ia suatu rancangan yang nampak menarik.

Dari Ipoh mereka bertolak ke Pulau Pinang. Itulah destinasinya kerana Nur Anita tidak mengharapkan lebih lagi. Dia tidak termimpikan untuk pergi jauh walaupun Kamarul Izzat pernah mencadangkan. Dia mahu mereka pergi ke Pulau Phuket atau ke Danau Toba sahaja. Namun baginya Batu Feringgi itupun sudah cukup baik asalkan mereka dapat berdua-duaan dan jauh daripada gangguan sesiapa.

Bilik hotel tempat mereka menginap itu menghadap ke laut. Ia memberi keseronokan dan suasana indah yang tidak mungkin dapat dilupakan. Dengan langsir yang terbuka luas Nur Anita begitu asyik menikmati keindahan di luar pulau mutiara, terutama pada waktu malam.

Kamarul Izzat datang hampir seraya memeluknya dari belakang. Dengan gaya nakal dia memberikan ciuman yang begitu mengasyikkan. Erotiknya meremangkan bulu roma. Nur Anita menggeliat tidak tertahan... dan mereka melalui babak-babak romantis Romeo dan Juliet, seperti Uda dan Dara.

“Nita, I gembira sekali, sayang?” Kamarul Izzat bersuara perlahan di tepi telinga. Ditiupnya perlahan di tepi cuping telinga isterinya itu.

Nur Anita kegelian lagi. Dia hanya mampu memejamkan mata sambil dibuai rasa yang penuh asyik. Dia membalas lembut pelukannya itu.

"Mmm...," rungutnya penuh syahdu.

"Nita err... tidak sangsi pada abang?”

“Mmm... tak!” Nur Anita menggeleng.

“Sampai bila-bila?”

“Mmm... selagi abang tidak sia-siakan Nita.”

“Abang janji, sayang....”

Dan Nur Anita lemas dengan kata-kata bermadu itu. Pada saat itu baginya Kamarul Izzat adalah permata hati, gunung payung dan tumbuh azam yang jitu bahawa dia akan berlebih lagi dalam membalas kasih sayangnya itu. Sama seperti sebelumnya Nur Anita tetap merelakan segala-galanya. Mereka kembali melayari bahtera impian nun jauh di tengah lautan. Dia menikmati segala yang didam-idamkan dengan satu kepuasan yang tidak terperikan. Sehingga ke akhir Nur Anita yang sering tersadai di tepian.

“I luv you so much...,” kata hatinya sambil tersenyum sendiri. Akhirnya, dia terlena dalam pelukan suaminya.

Di mana mereka dibuai dengan seribu keindahan.

No comments:

Post a Comment