Monday, 30 May 2011

Asal-usul Kejadian Manusia

Manusia diciptakan dari Nabi Allah Adam a.s. dan Adam pula dijadikan oleh Allah s.w.t dari tanah. Hanya Adam a.s dijadikan daripada hakikat tanah manakala manusia dijadikan daripada air mani yang terpancar daripada dua tulang sulbi manusia.

Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah Shad: 71-74;

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfiman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah. Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan roh (ciptaan) Ku: Hendaklah kamu bersyukur dengan bersujud kepadanya. Lalu seluruh malaikat bersujud, kecuali Iblis. Dia menyombongkan diri dan dia termasuk orang-orang yang kafir"

Didalam Surah At-Thariq : 5-7;

"Maka hendaklah manusia memikirkan: daripada apakah ia diciptakan? Dia diciptakan dari air (mani) yang memancar (ke dalam rahim). Yang keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan"

Nabi bersabda;

"Semua kamu berasal dari Nabi Adam dan Adam dijadikan daripada tanah."

Menurut riwayat, ketika Allah swt menitahkan kepada malaikat Jibril a.s supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah untuk mencipta Adam a.s, bumi tidak membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam kerana bumi khuatir Adam akan melakukan kemungkaran kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Allah memberitahu bahawa dia tidak dapat berbuat apa-apa apabila mendengar sumpah bumi.

Setelah itu, Allah memerintah malaikat Mikail pula turun ke bumi bagi mendapatkan tanah sebagaimana malaikat Jibril. Jawapan bumi tetap sama sebagaimana Jibril lalu Allah memerintahkan pula kepada malaikat Israfil dan jawapan bumi masih tidak berganjak. Masing-masing kembali dengan jawapan yang sama.

Akhirnya, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi. Allah berfirman;

"Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjamu atas perintah dan atas namaKu."

Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah ia ke hadrat Allah swt.

Lalu Allah swt berfirman lagi;

"Ya Izrail, pertama engkau yang Kutugaskan mengambil tanah, dan di kemudian hari nanti akan Aku tugaskan engkau mencabut roh manusia."

Maka Izrail berasa amat khuatir kerana bimbang akan dibenci oleh umat manusia. Allah berfirman lagi;

"Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu. Aku yang mengaturnya, dan Aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya terbunuh, terbakar, sakit dan sebagainya."


Jenis-jenis tanah yang digunakan dalam penciptaan Nabi Adam a.s

Menurut riwayat tanah yang diambil dan digunakan untuk menjadikan Adam a.s mempunyai lima jenis warna iaitu putih, hitam, kuning, coklat, dan merah. Oleh yang demikian manusia memiliki berbagai warna kulit. Tanah yang digunakan untuk menjadikan Adam a.s itu ialah sebagaimana berikut;
-  tanah tapak Baitul Maqdis;

-  tanah dari Bukit Tursina;

-  tanah Iraq;

-  tanah Aden;

-  tanah Al-Kautsar;

-  tanah tapak Baitullah;

-  tanah Paris;

-  tanah Khurasan;

Babylon

-  tanah (Babylon);

-  tanah India;

-  tanah syurga;

-  tanah Tha'if;

Menurut Ibnu Abbas;

Kepala Adam dari tanah Baitul-Muqaddis kerana di situlah berada otak manusia, dan di situlah tempatnya akal.

Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.

Dahinya dari tanah Iraq kerana di situ tempat sujud kepala.

Mukanya dari tanah Aden kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.

Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar di mana tempat menarik perhatian.

Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat memanis-manis.

Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.

Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.

Perutnya dari tanah Babylon . Di situlah tempat seks (berahi) dan tipu-daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.

Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.

Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.

Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana di situlah iman, keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.

Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap syahadat, bersyukur dan berdoa kepada Tuhan.


Proses kejadiannya;

Ketika Allah jadikan Adam, tanah-tanah tersebut dicampur dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api sehingga menjadi tanah liat kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Kemudian Allah resapkan Nur (cahaya) kebenaran ke dalam diri Adam dengan berbagai macam "sifat".

Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat Allah.

Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air "Kudral-Izzah-Nya" . Lalu terciptalah tubuh Adam yang sempurna.

Demikian pula roh, ketika itu diperintah masuk ke dalam tubuh Adam, ia merasa malas dan enggan, lalu ia berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar. Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk. Akhirnya mahu tidak mahu roh itupun masuk dan menyerah kepada Izrail.

Menurut riwayat ketika Adam a.s masih berada di syurga, ter sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit manusia. Apabila Adam telah diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai pengetahuan, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Oleh itu, meskipun orang kulitnya hitam, tetapi warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan.

Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang dikepala, dan dua buah liang di bawah badan letaknya.

Tujuh buah letaknya adalah; di kepala ialah dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut. Di bawah ialah sebuah liang kemaluan dan liang dubur.

Pada tubuh itu juga dijadikan lima buah pancaindera;

-  Mata alat penglihatan

-  Hidung alat penciuman

-  Telinga alat pendengaran

-  Mulut alat merasa manis, masin dan sebagainya.

-  Anggota tubuh lainya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.

Setelah Roh masuk ke dalam tubuh Adam, lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun.

Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam. Setelah roh meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya dan seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik ke kiri, ke kanan dan ke bawah di mana pada masa itu bahagian badannya masih merupakan tanah keras. Dilihatnya ke kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dirinya. Ketika itu dia telah dapat mendengar para malaikat yang mengucapkan tasbih dengan suara yang merdu dan mengasyikkan.

Kemudian ketika roh sampai ke hidungnya lalu ia terbersin, serta mulutnya terbuka. Ketika itulah Allah ajarkan padanya ucapan 'Alhamdulillah'. Itulah ucapan Adam a.s yang pertama kalinya ke hadrat Allah swt. Allah pun berfirman, 'Yarhamukallah' yang membawa erti 'semoga engkau diberi rahmat Allah'. Oleh itu jika seseorang itu bersin, menjadi sunat kita mengucapkan 'Alhamdulillah' dan orang yang mendengarnya disunatkan mengucap 'Yarhamukallah'. Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja dia mahu bangun. Padahal bahagian bawah badannya itu masih tanah dan keras.

Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar).

Maka ketika roh itu sampai di bahagian perutnya, maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Seketika itu Adam a.s terasa lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang. Urat-urat berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian lama kian cantik dan halus.

Begitulah proses kejadian tubuh Adam. Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik, semua malaikat berasa kagum melihat Adam yang begitu menawan. Kemudian baginda diarak oleh para malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah ke langit yang ketujuh sebelum dibawa ke syurga sebagai tempat mula-mula Adam a.s. tinggal.

Siti Hawa telah dijadikan oleh Allah swt dari tulang rusuk kiri nabi Adam ketika berada di dalam syurga. Ketika mereka makan buah larangan atas pujukan iblis maka tertanggallah pakaian mereka dan akhirnya diturunkan oleh Allah swt ke bumi. Menurut riwayat Nabi Adam a.s turun di India. Namun mengikut sesetengah riwayat di Mekah dan terpisah dengan Siti Hawa. Akhirnya mereka bertemu di Padang Arafah, di atas bukit 'Jabal Rahmah' - di 'Padang Perkenalan'.

Umur Nabi Adam a.s menurut satu riwayat adalah 930 tahun dan mengikut riwayat yang lain 934 tahun. Ketinggiannya adalah 60 hasta dan ukuran tapak kaki Adam a.s sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Kathir ialah 11 jengkal. Siti Hawa telah melahirkan anak sebanyak 40 kali dan setiap kali beranak ia kembar lelaki dan perempuan. Oleh yang demikian mengikut syariat yang ada pada waktu itu maka dibenarkan berkahwin adik-beradik, tetapi dengan syarat bukan dengan kembar yang lahir sekali - sama-sama.

Disusun Oleh: Hj. Khairuddin bin Haiyon
PP Bahagian Dakwah
(Unit Penerangan dan Penerbitan) JAIS.

No comments:

Post a Comment