Tuesday, 9 November 2010

'Luka HATI Siapa?' - 7

Gadis ini bukan Nur Anita, tetapi seorang gadis Kyrgystan yang akan kami
temui dalam siri pemanduan solo 'kl-enroute: ROAD TO GAZA' pada pertengahan Feb 2011 nanti.


7


BERBETULAN harinya Ahad, 14 Februari. Ia merupakan hari yang paling ditunggu-tunggukan oleh pasangan kekasih. Dengan tidak mengambil kira sama ada mereka itu Islam atau tidak, masing-masing tetap merayakannya. Ia merupakan hari kejayaan Kaisar Valentino menghapuskan saki-baki Islam yang masih ada di Sepanyol pada waktu itu.

Sebagai menghargai jasanya, orang-orang Kristian merayakan kejayaan tersebut dengan melibatkan wanita lawa serta nun-nun yang cantik jelita. Ia bertukar kemudiannya menjadi hari perayaan bagi pasangan kekasih pula. Jadi bersempena dengan hari ini pihak keluarga Kamarul Izzat datang untuk menetapkan hari perkahwinan mereka. Nur Anita tidak pasti berapa orang yang datang kerana dia asyik berkurung dalam bilik. Nurul Asyira, Sarah dan beberapa orang kawan lain turut menemaninya.

Hatinya asyik berdebar-debar sepanjang tengah hari itu. Nur Anita tahu dengan kedatangan rombongan tersebut bererti dia sudah benar-benar pasti akan menjadi milik seorang lelaki bertuah, Kamarul Izzat. Nur Anita bakal menjadi isteri seseorang yang mana hati dan perasaannya masih bersimpang-siur; belum pasti. Nur Anita asyik berperang dengan perasaan sendiri apabila wajah Roy dan Jeff datang menerpa silih berganti. Dia asyik terbayangkan mereka yang datang itu menagih kasih dan simpati, sedangkan Nur Anita bakal menjadi hak orang lain.

Nur Anita mula terbayangkan wajah Roy yang muram. Ia diselangi dengan Jeff yang mencemuh dek sikapnya yang tidak berpendirian. Air matanya mengalir apabila mengenangkan nasib mereka berdua. Ibu-ibu saudara serta kawan-kawannya nampak gembira melihat Nur Anita dalam keadaan begitu. Mereka menyangkakan Nur Anita menangis kegembiraan. Cuma Kak Bedah sahaja yang nampak tidak pasti setiap kali memerhatikan tingkah dan gelagat adiknya itu.

“Memang ni la saat yang paling ditunggu-tunggukan buat seorang gadis,” seru Nurul Asyira sambil memegang tangan teman sekerja itu. Sarah pun datang hampir buat menenteramkan.

“Siapa yang takkan gembira. Kau pasti menjadi miliknya... kau akan disatukan jua,” jelas Sarah pula.

Nur Anita hanya menggeleng. Sementara mereka yang hadir terlalu gembira melihat Nur Anita yang akan memasuki ke gerbang perkahwinan tidak berapa lama sahaja lagi.

“Kau masih muda dah dapat menempuh saat ni,” seru Nurul Asyira lagi. “Kau patut bersyukur, Nita.”

Benar katanya, di usia yang masih terlalu muda Nur Anita telah disunting orang. Nur Anita bakal menjadi seorang isteri. Cuma sayang mereka tidak tahu pun perasaan hatinya yang berkecamuk dan bergelojak di dalam. Nur Anita sudah benar-benar berada di persimpangan.

Namun apalah daya untuk mengelakkan keadaan yang dia sendiri telah menentukannya. Ayah dan ibu sejak mula menyangka bahawa Nur Anita sendiri yang telah merelakannya untuk menerima. Di mana setahu Nur Anita pula, kedua-dua ibu-bapanya juga telah ada pilihan mereka sendiri. Dengar-dengar, anak sebelah keluarga ayah di Jugra sana. Oleh kerana mereka ingat Kamarul Izzat adalah pilihan hatinya sendiri, jadi mereka pun mengalah. Mereka ikut gembira apabila mengenangkan anak gadis mereka itu sudah cukup bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya dan mempunyai pilihan hati sendiri.

Yalah memang itupun salah Nur Anita jua kerana dengan mudah membenarkan rombongan dari Ipoh itu datang meminang. Lantaran pada mulanya dia sendiri pun menyangka bahawa Kamarul Izzat hanya sekadar bergurau!



ERR... KITA tetapkan sebulan selepas raya puasa ni nanti,” kata Pak Jali yang ketika majlis pertunangan dahulu menyatakan bahawa biar pihak keluarga sahaja yang menetapkan tarikh disatukan ini. Mungkin Abang Leman yang menjemputnya buat memeriahkan. Jadi Chor Lanan yang mewakili pihak lelaki pun dapat bertemu lagi.

“Awal bulan Zulqaedah, sebelum orang bertolak pergi haji,” kata Chor Lanan. “Hari Sabtu di pihak wanita, dan Ahadnya di rumah pengantin lelaki.”

“Tak ke berebut sangat tu?” Pak Jali bersuara. "Dekat sangat arinya..."

“Apa yang nak direbutkan? Semua persiapan dah dibuat. Bukan tuan rumah yang buat kerja...,” tegas Chor Lanan. “Lagi pun tak nak le orang di sana tengok pengantin yang dah layu basi.”

Pak Jali serta ahli keluarga mereka tersipu-sipu. Masing-masing berpandangan.

“Ya tak iya juga,” celah Pak Jali.

“Nanti sampai ke sana, pengantin asyik dok mengantuk aje,” gurau Chor Lanan. "Kita pula yang dok tengok kelaku deme..."

“Aii... kalau kat sini pun pada malam pertama bukannya depa nak tidur sangat,” Pak Jali mencebik.

“Hahh... tak pe le lagi sebab masih ada segan malu. Ada juga maafnya tu,” terjah Chor Lanan.

“Aii... macam kisah sendiri aje,” Pak Jali mengangguk sambil menoleh kepada Pak Bandar, kemudian beralih kepada Abang Leman.

“Alaa... kita pun takkan tak biasa muda. Dah lama tempuh malam pengantinnya...,” Chor Lanan masih belum berkurang galaknya. “Klu mak encik teman tu tak gaduh mau juga nak rasa balik zaman memuda."

"Err... maksudnya lagu mana tu? Ada cadang nak buka cawangan ke?" Pak Jali serius.

Chor Lanan tersipu-sipu sambil menjeling isterinya yang duduk di sebalah Mak Cik Baiti. "Aii... kalau diizinkan apa salahnya. Rasa-rasa cam teman ni boleh lagi nampaknya."

"Orang lelaki yeak! Klu bab itu muda memanjang...," tegur Pak Jali sambil menyerongen.

Chor Lanan menjeling pada isterinya yang nampak 'sporting'.

"Haa... tengok tu, suka je isteri teman, macam setuju aje," Chor Lanan mengusik. "Baik la... mai kita mulakan la.”

"Err... pihak kami ikut saja," jelas Pak Jali sambil Pak Bandar mengangguk.

Kemudian Chor Lanan juga yang membacakan doa selamat. Selepas segala-galanya selesai, rombongan pihak lelaki makan tengah hari di rumah. Mereka dengan ramah-tamah berkenal mesra, berbual-bual dan mengusik Nur Anita juga. Semua mata tertumpu kepadanya apabila bakal penganti bersama rakan-rakannya turut makan bersama di ruang tengah.

“Yang dua orang tu pun kosong juga tak!” Chor Lanan mengangkat kepalanya.

Nur Anita menjeling kepada Nurul Asyira dan Sarah. Nur Anita tersenyum sambil beralih memandang kepada pihak lelaki.

“Kosong juga tu, agaknya,” sahut Pak Jali. “Gaya senyum tu pun kita dah boleh kenal.”

Chor Lanan seakan-akan lupakan Sarah yang juga merupakan anak buah mereka di Kampung Tanjung.

"Err... teman ni pun orang belah sana," tegas Sarah tidak malu. "Sepupu abang Ijat, cucu arwah Pak Tan."

"Ooo... gitu ke. Anak sedara Baiti la ni, yeak!" Chor Lanan berhenti menyuap. "Err... Pak Tan yang mana?"

"Arwah yang duduk di Kampung Kepayang... ayah Che' Pa tu."

"Ooo... Pak Tuk yang baru tu. Err... anak Wan Teh. Teman ingat ya, teman ingat...," sahut Chor Lanan sambil mengangguk-ngangguk.

“Orang-orang yang ada kat Selangor ni memang ramai yang masih kosong. Ia jadi macam kolam takungan, err... tempat tumpuan orang,” sahut Abang Leman yang masih belum menemui jodohnya.

Nur Anita dapat merasakan betapa mereka begitu gembira. Mereka terus berbual dan bergurau mesra. Banyaklah kisah lama yang timbul. Sesetengahnya tanpa segan-silu membangkitkan kisah bagaimana mereka menempuh gerbang perkahwinan. Kebanyakannya kisah lucu cara orang dulu-dulu bertemu jodoh. Kisah Mak Teh Izzat yang tidak pernah bertemu dengan Pak Teh pun timbul dan mereka kekal hingga sekarang, beranak dan bercucu.

Nur Anita faham, mereka berbuat begitu sebagai pedoman dan tauladan. Mereka mahu orang-orang muda sekarang berkahwin dan kekal sama seperti mereka juga. Agak mengejutkan apabila laporan terbaru yang dikeluarkan mendapati orang Melayu mengalami kadar perceraian paling tinggi dalam dunia. Ia berpunca daripada keadaan lepas bebas yang tidak terkawal, ditambah pula dengan ilmu agama yang menipis. Mereka tidak memahami kehendak dan falsafah perkahwinan itu dalam Islam.

“Jangan jadi seperti artis tu... kahwin-cerai ni macam main tengok wayang saja,” tempelak Chor Lanan sambil menyeringai. Songkok sengetnya dibetulkan. “Huhh... macam mana deme berlakon dalam drama tu, macam tu juga la bila kat luar... tak abis berlakon juga!”

“Err... kalau tak berlakon pun, dia orang main tukar-tukar pasangan,” celah Pak Jali pula. "Depa boleh tukar-tukar selera. Malam ni aku dengan bini kamu, malam esok kita bertukar...."

"Alaa... yang beranak tak berbapa pun berlambak," Abang Leman pula menambah. "Kalau nak tau bila ada artis yang tengah-tengah top... selalu keluar berita, pastu hilang."

"Hah... pergi ke mana deme?" Chor Lanan tidak sabar.

"Cuti berlakon sebab perut dah besar nak beranak."

"Ooo... patut la, tup-tup keluar aje cerita dah pun artis si anu-anu tu ambil anak angkat," celah Pak Jali. "Engkuhnya anak deme sendiri."

“Nak ikut contoh orang putih la tu... bila kau suka kat dia dah boleh diajak pergi makan malam,” rungut Pak Bandar, ayah Nur Anita serius.

“Kemudian bila balik dah boleh terus ke ranjang...,” Sambung Pak Jali sambil tersengih.

“Kata orang, tabiat macam tu... ibarat tandas awam,” Abang Leman mencelah. Dia seakan-akan terlupa akan dirinya yang masih juga mabuk bersama-sama anak India di kedai belakang rumah. Dia sendiri pun ada teman wanita anak orang India.

“Itu sebab agama kita melarang zina,” Chor Lanan mencelah. "Kesan zina tu macam-macam boleh berlaku... tu la anak luar nikah. La ni dipanggil anak tidak sah taraf."

"Huhh... kalu zaman kita dulu-dulu, deme panggil anak haram aje...," Pak Bandar menyampuk sambil menjeling Abang Leman. Dia menjeling kerana ada sampai ke telinganya kisah tentang anak India itu yang pernah mengandung. Cuma dia tidak pasti akan cerita seterusnya.

"Sedih... anak luar nikah ni pun dah melarat ke 100,000 orang jumlahnya. Tu yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kalau yang depa dok sorok... yang main nikah cara emergency tu berapa banyak pula?" Chor Lanan mengerutkan wajahnya.

"Yeah... anak yang akan menjadi saksi kebejatan dan kemungkaran 'ibu' dan 'ayah'nya di hadapan Rabbul-Jalil apabila di padang mahsyar nanti. Panjang la bicaranya tu... ya Allah!"

Abang Leman nampak tunduk, sambil menjeling pada ibunya di tepi pintu menghala ke dapur. Lama Kak Bedah merenungnya sambil berkata sesuatu pada Leita di dapur.

Nur Anita menjeling Abang Leman, dan dia pun masih tidak pasti akan masa depannya dengan Kamarul Izzat. Dia masih berada dalam dilema kerana masih dan sedang memujuk hatinya!

Dia sebenarnya sedang dalam keadaan keliru. Fikirannya pun tidak menentu.

No comments:

Post a Comment