Friday, 12 November 2010

'Luka HATI Siapa?' - 4

4
Baru mula nak berjinak-jinak dengan tempat baru,
tetapi masih di bidang pelancongan


TIGA hari selepas pertemuan dengan Roy, Kamarul Izzat datang ke rumah. Dia meminta izin daripada ayah dan ibu untuk membawa Nur Anita keluar. Pada riak di wajah ayah, dia sedar ayah tidak begitu senang dengan cara begitu. Ibu pun nampak keberatan. Namun disebabkan Nur Anita sendiri pun telah bersedia, jadi mereka mengalah.

Itupun banyak benar pesanannya. Paling utama, jangan pulang lewat.

Semasa dalam perjalanan Kamarul Izzat memberitahu Nur Anita yang dia akan bertukar tempat kerja.

“Err... I dah dapat offer,” kata Izzat sambil menjeling.

Nur Anita menoleh. “What...  offer?”

“Sebagai seorang eksekutif di tempat kerja yang baru,” sahut Kamarul Izzat sambil menjeling. “I akan dapat sebuah kereta syarikat.”

Dia tersengih, mungkin kerana berasakan kereta yang dibawanya itu adalah kereta pinjam.

Menurut kata Kamarul Izzat, gajinya akan menjadi lebih sekali ganda daripada yang diterimanya semasa bekerja dengan syarikat luar negeri.

Ooo... my Goodness. Syukur,” ucap Nur Anita sambil menekupkan mukanya. Gembira.

Dia tumpang gembira. Sekurang-kurangnya dia akan mendapat dahan tempat bergantung yang lebih kukuh dan pokok untuk bernaung yang lebih rendang.

“Err... hadiah pertunangan kita, agaknya!” tegas Kamarul Izzat.

“Yeahh... hopefully,” Nur Anita mengangguk.

Nur Anita amat berharap dengan kerancakan ekonomi negara pada waktu itu, kedudukan bakal suaminya akan cepat meningkat. Dia tahu sebagai ketua keluarga kelak Kamarul Izzat akan mempunyai tanggungjawab yang besar dan berat. Dia harus menyediakan tempat berlindung di samping menyediakan sara nafkah yang cukup. Pada zaman ini segala-galanya tetap memerlukan wang.

Itu sebab ada sesetengah artis sebagai pihak yang sentiasa terdedah cukup mengila cari wang walaupun dengan cara yang terlarang. Ada yang mendapat cek dan duit secara ‘online’ masuk akaun daripada VIP tertentu. Atas sebab bayaran yang meragukan.... Malah ada yang secara terang-terangan sanggup menjadi perempuan murahan dan tempat serakahan lelaki berhidung belang. Adalah tidak menghairankan jika ada pula artis yang menjadi duta sesuatu jenis produk dan mendapat tajaan sehingga beratus-ratus ribu ringgit.

Namun Nur Anita yakin dengan kelulusan yang dimiliki oleh tunangannya itu. Apatah pula apabila bekerja sebagai Quantity Surveyor Kamarul Izzat akan cepat meningkat. Pembangunan hartanah semakin galak di seluruh negara. Setiap hari rumah dan bangunan dibina orang sesuai dengan kepesatan penduduk dan keperluan untuk pembangunan. Permintaan sentiasa meningkat.

“Walau apa pun, I tetap merinduimu, sayang,” kata Kamarul Izzat sambil menjeling. “Ini semua untuk kita....”

Nur Anita hanya tunduk sambil tersenyum. Ia hanya gugusan kata-kata yang tidak memberi makna. Baru sahaja pada minggu yang lalu mereka bertemu. Kemudian Kamarul Izzat cuba mencapai tangannya, tetapi Nur Anita cuba mengelak. Kemudian menjeling. Masam.

“Kenapa sayang? You tak sihat ke?” Kamarul Izzat memerhatikan. Keningnya berkerut.

Nur Anita menggeleng. “Urgh... takde apa-apa.”

Entah kenapa, Dia masih berasa tidak selesa ketika berdua dengan tunangannya itu. Hatinya masih sangsi walaupun dicuba untuk memugarkan kasih sayang biar memutik.

Namun dia tetap gagal.


Amacam BMW M3 kita? Henjut sekejap saja sampai balik ke Kg Tanjung

PADA hari itu Nur Anita seakan bersedia untuk berlama-lama dengan tunangannya. Mungkin ada banyak lagi cerita berkaitan dengan tawaran yang baru itu. Kamarul Izzat juga akan mendapat sebuah kereta syarikat. Tentunya ia sebuah kereta baru. Maka mudahlah untuk mereka pergi ke mana-mana dengan kereta itu nanti.

Mula-mula mereka pergi makan di tempat kebiasaan di Petaling Jaya walaupun hari masih awal. Selepas makan mereka pergi meronda-ronda di sekitar bandaraya dengan kereta pinjam itu, buat kali terakhir sebelum mendapat kereta syarikat yang baru. Ketika berlegar-legar di sekitar jalan Bukit Bintang Kamarul Izzat mencadangkan supaya mereka pergi ke tempat peranginan di Genting Higlands.

"Err... sesak sangat la tempat ni. Dah banyak sangat jalan sehala... lencongan lagi,” rungut Kamarul Izzat sambil berhati-hati mengekori di belakang sebuah kereta yang nampak teragak-agak. Kemudian ada sebuah kereta lain dari sebelah kanan mencelok masuk ke hadapan kereta berkenaan. Nampak breknya menyala terus berhenti.

Kamarul Izzat menggeleng. Dia menarik nafas panjang, “Kat KL ni mana ble jalan camtu... macam nak cari umah sewa. Sah orang akan celok masuk... nyusahkan orang betul la!”

Dia teragak-agak menjaga tekanan minyak dan clutch bimbangkan keretanya akan mati di situ. Ia sebuah kereta lama yang jalan enjinnya sekejap tinggi, sekejap perlahan. Nur Anita sekadar tersengih. Dia pun tidak tahu banyak hal tentang kereta dan cara-cara memandunya. Itu sebab jika dengan kengkawan pun, dia lebih selesa untuk menumpang.

“Dua tiga kereta di depan yang buat hal, orang lain kat belakang yang susah,” rungutnya lagi sambil menoleh kepada tunang di sebelah.

“Ada yang tak sabar pun...,” Nur Anita bersuara.

“Err... mana tau?”

“Tu la... kereta yang celok masuk tu tadi.”

Kamarul Izzat mengangguk. “Ya la... sebab ada kete lain di depan yang jalannya macam nak cari rumah sewa.”

Kamarul Izzat mengulanginya.

Nur Anita mengerutkan keningnya. “Cari rumah sewa?”

Kamarul Izzat mengangguk. “Haa... cari rumah sewa; kejap perlahan, kejap laju kemudian perlahan semula. Tengok lampu breknya tu... nyala, padam... nyala, padam. Aduii....”

“Mmm... gitu ke cara bawa kereta cari rumah sewa! Nur Anita berlagak bodoh. “Memang la menyusahkan orang.”

“Tu sebab kita kena belajar ‘defensive driving’, cara memandu yang tidak menyusahkan pengguna lain di jalan.”

“Ooo... yang dok kempen kat tv pasal pemanduan berhemah tu ye!”

“Err... pandai pun adik abang ni,” Kamarul Izzaat menyengih cuba mencuit hidung tunangnya itu.

Nur Anita segera mengelak. Dia menjeling, menambahkan lagi kemanisan rupa wajahnya sambil menampakkan lekuk di kedua-dua hujung bibirnya - membentuk seakan-akan lesung pipit.

Kamarul Izzat terus memandu mengambil laluan menghala ke Jalan Tun Razak, kemudian melencong ke Jalan Ampang terus ke MRR2 yang telah dua kali retak itu. Hasilnya, dua kali juga lebuhraya yang menghubungkan Subang Jaya, Bukit Jalil dengan Hulu Klang, Kepong dan Sungai Buloh itu terpaksa diperbaiki dengan belanja yang besar.

“Lebuhraya kelakar...,” Kamarul Izzat mencebik. “Kos pembinaannya RM270juta. Baru buka setahun, 31 daripada 32 tiang jejatas di sebelah Kepong sana tu retak.”

“Nape leh jadi camtu?” Nur Anita mengerutkan kening bagaikan tidak pernah mengikuti perkembangan semasa.

“Struktur tak elok la... tak ikut specs. Nak celok untung banyak sangat... so strukturnya tak sempurna.”

“Mmm... patut kecoh ari tu dalam tv,” Nur Anita mengulas tanpa mengerti hakikat sepenuhnya.

Beam structuresnya diletakkan ‘hanging’ atas tiang... pastu terus dituang simen konkrit. So apabila kena dengan gegaran lori berat yang lalu lama-kelamaan ia pun retak.”

Kos memperbaikinya mula-mula RM30juta... menterinya umumkan, tetapi apabila diluluskan ia menjadi RM51juta. Kemudian lebuhraya berjejatas itu ditutup selama sepuluh bulan dan apabila siap kontraktor Jerman yang diserahkan projek memperbaiki itu menuntut bayaran sebanyak RM70juta!

“Sepatutnya, kontraktornya yang asal mesti bertanggungjawab... sebab ia masih dalam warranty’... dia mesti tanggnung." Menterinya menggelabah apabila diasak di parlimen.

Lastnya kerajaan juga yang kena keluarkan duit RM70juta tu,” rungut Kamarul Izzat. Geram. “Ni la stail Malaysia - riuhnya bagaikan nak rak, tapi akhirnya rakyat yang tanggung beban - tersesat dalam kesesakan satu hal, pastu kena keluar duit bayar kos baiki tu satu hal yang lain.”

Nur Anita sekadar mendengar. Dia tidak mengerti apa-apa pun tentang kekecohan berkenaan. Memang dia ada menonton berita mengenainya, tetapi dia tidak faham akan politik ‘makan dalam’ itu. Semua projek mesti ada makan.... demi untuk menjadi kaya-raya secara tidak bermaruah.

Sambil berbual itu Kamarul Izaat mengajak Nur Anita terus pergi ke Genting Highlands. “Err... kita cari tempat yang sejuk sikit.”

Nur Anita tidak membantah. Lagipun suka juga dia apabila berada di tempat tinggi dan dingin itu. Mereka tentu dapat lari dari suasana bandaraya yang hiruk-pikuk dan cukup membahang.

Namun di sepanjang perjalanan ke sana Nur Anita tidak banyak bersuara. Kamarul Izzat seakan tertanya-tanya. Kenapa? Peristiwa tarik tangan ketika pertemuan mereka sebelum itu masih menghantui benak dan lamunannya.

Kali itu bukan kerana Nur Anita tidak sihat atau susah hati, tetapi dia sedikit uzur. Baru dua hari badannya kotor. Moodnya pun tidak baik, jadi dia tiada hati sangat untuk berbual-bual atau bercerita. Dia lebih senang berdiam diri sambil melayani pinggang serta perutnya yang senak dan sering berasa tidak selesa.

Lewat tengah hari mereka tiba di sana. Suasana redup dan kabus agak tebal. Udaranya nyaman sekali dan Nur Anita terpaksa menyelimutkan badannya dengan jaket Kamarul Izzat yang ada dalam kereta. Selepas duduk-duduk dan berjalan sebentar di luar kawasan bangunan mereka pun masuk ke tempat permainan. Di sana orang mulai ramai datang dengan keluarga masing-masing. Kanak-kanak adalah yang paling gembira. Mereka leka dengan berbagai-bagai jenis permainan yang ada.

“You nampak macam tak sihat,” tegur Kamarul Izzat sambil menjeling. “Baik kita masuk ke restoran tu dulu. Panaskan badan.”

Kamarul Izzat menujukan maksudnya ke restoran MacD yang mulai sesak itu untuk minum kopi panas.

“Okey...,” Nur Anita mengangguk.

Mereka terus berjalan masuk. Selepas pesanan dibuat baru terasa lega sedikit. Sejuk yang mencengkam itu semakin hilang. Namun Nur Anita masih tiada selera untuk makan walaupun Kamarul Izzat memesan kentang goreng dan MacNugget ayam. Dibiarkan tunangnya sahaja yang habiskan.

“Err... tak nak!” Kamarul Izzat mempelawa.

Nur Anita menggeleng. “You aje la yang makan. I nak minum saja.”

“Kenapa?”

“Mmm... takde selera.” Dia tidak sampai hati untuk menyatakan keraguannya tentang cara pemprosesan ayam berkenaan; dari segi kesempurnaan halalnya atau tidak. Siapakah si tukang sembelihnya? Ada mat Bangla dan Indon yang tidak pernah solat. Banyak juga tauke Cina itu sendiri yang 'sembelih' disebabkan tidak cukup kakitangan.

"Janji ada rupa lu orang punya potong maa... mutut apa?" Pernah seorang tauke proses ayam itu berkeras dengan ayahnya di pasar.

Agaknya sudah berapa banyak la orang Melayu sudah makan bangkai. Ayam mati pun satu hal juga... ke mana perginya 10% ayam mati yang dibawa dengan lori dari empat pemeliharaan yang jauh? KL dan PJ mana ada kolam ternakan buaya? Di tempat buangan sampah pun tidak pernah kelihatan bangkai ayam yang dibuang.

"Dia olang mikin itu nugget la. Lu ingat mau kasi lugi ka?" apek tauke ayam itu lurus bendul dengan Pak Bandar. Nur Anita tersengih melihat gelagat tauke ayam itu. Dia berasa loya di tekaknya.

Sekali lagi Izzat cuba mengecek. Dia mengajak Nur Anita ke Apartmen Ria, yang agak terkebawah dari situ dan menyewa biliknya. Dia ingin berihat, katanya memberi alasan. Nur Anita enggan. Bukan disebabkan keuzurannya, tetapi dia berasa tidak senang dengan sikap sedemikian.

Kenapa kaum lelaki selalunya bersikap ambil mudah dengan perasaan pasangan mereka? Adakah harga diri itu dikira terlalu murah dan mudah. Di manakah letaknya maruah seorang wanita apabila dengan mudah mengekori seorang lelaki untuk masuk ke tempat yang diragui?

Mungkin itu jua hikmahnya apabila seseorang itu biasa mandi dengan berkain. Kata orang, memakai kain basah. Apabila seseorang itu ada rasa malu apabila berseorangan, maka dia akan turut malu untuk bertelanjang di depan orang! Apatah lagi jika bertelanjang dan ‘buat hal’ dengan pasangan ajnabi, yang sah untuk dijab-kabulkan.

Dan dengan keengganannya itu membuatkan Kamarul Izzat terus menarik muka masam. Dia seolah-olah terasa hati, kononnya. Sedangkan dia tidak pula memikirkan tentang rasa hati tunangnya pula. Namun Nur Aita terasa agak lucu. Dia lucu kerana Kamarul Izzat jelas gelojoh dan tidak dapat menelah bagaimana pasangannya itu sedang dalam keuzuran.

Dia hanya mahukan sesuatu...! Bak kucing biang di jalanan.

Sama seperti kebanyakan peristiwa yang telah menimpa kawan-kawannya, ramai yang bertunang dan terputus di tengah jalan. Berbagai dugaan dan cabaran yang terpaksa dilalui dalam mengharung badai cinta yang melanda.

Sesetengahnya terputus tunang sebaik sahaja mahkota kebanggaan mereka itu dapat direnggut oleh orang yang tersayang. Lesen pertunangan itu telah digunakan buat mencapai kepuasan sendiri. Seolah-olah upacara bertunang adalah sebuah lesen besar buat si lelaki dalam menagih madu bunga mekar di kota larangan.

Nur Anita tidak mahu dan tidak akan jadi begitu. Walaupun telah beberapa kali tunangannya merengek, dia masih dapat bertahan. Bukan kasih-sayangnya tidak berputik. Sayangnya tetap membekas, tetapi bukan begitu caranya untuk membuktikan kasih sayang yang bersemi.

Lagipun memang tabiat lelaki, mudah jemu sebaik sahaja mendapat apa yang mereka idam dan hajatkan. Mereka akan mudah tawar hati sebaik sahaja pasangannya berjaya diambil mudah - apabila madunya dapat diserap dan dikecapi, maka tinggal sepah yang tidak bererti. Kemudian setelah berjaya sekali, sang kumbang jati akan mengulanginya lagi dan lagi. Ia akan terus menyeri... Kamarul Izzat akan terus menagih lagi.

Akhirnya sang bunga yang terkulai layu menyembah ke bumi; menunggu putiknya menjadi... melahirkan anak yang tiada hati budi. Di samping ia hanya membawa kepada kutukan Ilahi.

Apakah hukuman bagi mereka yang berzina?

Nur Anita masih ingat lagi akan kata-kata ustazah di sekolahnya dahulu. “Zina hanya akan menjauhkan rahmat Allah daripada seseorang.”

“Kutukan-Nya besar sekali. Itu sebab hukumannya sebat seratus kali.”

“Err... itu hukuman bagi mereka yang belum pernah bernikah,” jelas Mak Tum yang selalu berleter mengingatkan Leita, adiknya di dapur. “Kalau dah pernah nikah lain pula hukumannya.”

“Apa hukumnya, Mak Usu?” Nur Anita tidak sabar.

“Direjam dengan batu sampai mati... tanpa belas kasihan,” jawab adik bungsu ayah mereka itu. “Kalau la 10 kali orang itu berzina maknanya terhutang la dia 10 nyawa!”

Soalnya, bukan bermakna Nur Anita tidak percayakan kejujuran Kamarul Izzat, lantaran kasihnya pun sedang memutik. Namun adalah lebih baik dan selamat baginya agar berhati-hati. Dia tidak sanggup kecewa di tengah jalan dan ditinggalkan menangis seorang.

Banyak sudah kes dan kejadian seperti itu yang berlaku di kalangan teman-teman. Ramai yang ditinggalkan setelah madu dihirup meninggalkan sepah yang sedia untuk dibuang - ke longkang. Dan... si gadis hanya mampu menangis dan tersedu seorang, kemudiannya.

Itupun belum lagi dikira akan benih yang mencambah dan menjadi.... Perut yang semakin berisi. Ada pula yang terpaksa dinikahkan dengan tergesa-gesa buat menutup malu anggota keluarga.

“Tu pun masalah juga... ada yang bagi nikah. Mana boleh pompuan mengandung dinikahkan? Tak sah tu,” jelas Mak Tum sambil meletakkan biskut yang dibawanya dari rumah.

Mak Tum memang rajin... selalu buatkan kek, biskut atau penganan untuk dibawa ke rumah itu. Itu sebab Pak Bandar terlalu sayangkan dia.

“Jadi, lepas bersalin kes-kes camni kena dinikahkan semua,” jelas Mak Tum bersungguh-sungguh. “Kalau tidak, berterusan la depa tu berzina - sepanjang hayat!”

Nur Anita terkedu. Banyak kes tutup malu begitu dibuat dalam masyarakat Melayu pada hari ini. Mereka hanya berusaha menutup malu dengan sesama manusia, tetapi subahat zina pasangan itu mereka tidak ambil kira.

Pun begitu ada yang bertindak mencarikan pak sanggup dari kalangan lelaki yang tidak tahu apa-apa? Ada juga yang diupah dengan bayaran tertentu, namun ia tetap tidak dapat menyelesaikan masalah. Anak yang bakal lahir itu tetap tidak sah tarafnya; anak luar nikah atau biasa dipanggil sebagai anak haram!

“Orang kata anak itu tak bersalah,” sanggah Kak Bedah yang sedang membasuh pinggan. Diperhatikannya Mak Tum yang sedang duduk di bangku dekat meja makan.

Nur Anita mengangguk. Memang begitulah pada tanggapan ramai - di kalangan teman-temannya. Dia pun bersetuju.

“Ia tidak berdosa apa-apa, tetapi kita yang harus ingat selain daripada nasab keturunan yang telah rosak, generasinya yang terkemudian akan ada yang mengikut jejak. Ia bakal berjangkit dan akan lahir lagi anak sedemikian taraf bagi generasi-generasi berikutnya sehingga ke hari kiamat,” Mak Tum berhujah panjang lebar.

Maka dengan sebab itu Islam melarang keras perzinaan. Dosa zina memang besar sekali; sama ada kepada mereka yang belum pernah bernikah apatah pula bagi yang sebaliknya.

“Perlu diingat... anak luar nikah itu kelak akan menjadi saksi kebejatan 'ibu' dan 'ayah'nya di hari perhitungan nanti,” pernah ustazah memberitahu mereka ketika di sekolah dahulu. “Bagaimana ketika dalam kubur nanti kita akan tahu dan mendapati generasi dan turunan di atas dunia sana sedang melakukan zina dan melahirkan anak-anak di luar nikah?”

Aduiii... Nur Anita terasa ngeri sekali. Betapa tidak, jika kemaluannya kelak bakal dibakar dan dituangkan dengan besi dan tembaga cair yang sedang menggelegak.

Hukumannya itu pula bukan sekali, tetapi berulang-ulang kali sehingga tempoh hukuman tersebut selesai.

“Err... bukan seribu atau dua ribu tahun... 80,000 tahun akhirat,” dia pernah mendengar kaset ceramah seorang ustaz. Orang kata itu ustaz PAS, tetapi dia peduli apa?

Persoalan dan ketetapan tersebut bukan bererti meletakkan kita sebagai manusia kolot. Ia adalah ketentuan Allah swt. Hikmatnya kerana Pencipta Yang Agung itu mahu memelihara nasab keturunan dari kalangan hamba-hambaNya yang terpilih daripada tercemar. Dia mahu meletakkan hamba-hamba-Nya yang taat sebagai insan paling mulia di atas dunia dan di akhirat nanti.

Jadi, sementara hidup yang singkat ini seseorang itu perlu bersabar sedikit. Allah Taala telah membenarkan sesuatu pernikahan itu dibuat secara sah. Manusia boleh bernikah serta hidup rukun dan damai dengan beranak-pinak. Seperti yang tercatat dalam Surah Al-Baqarah: 208;

‘Hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (perdamaian) seluruhnya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuhmu yang nyata.’

Ketika dalam kereta Kamarul Izzat masih bermasam muka. Liur keringnya masih belum dapat dibasahkan. Namun sempat juga dia mencium pipi Nur Anita ketika hendak pulang. Namun bagi Nur Anita ia tidak memberikan apa-apa makna. Dia masih tidak merasakan apa-apa daripada ciuman berkenaan.

Entah bagaimana, hatinya teramat keras. Hingga ke saat itu hatinya masih belum terbuka sepenuhnya walaupun dia sedang mencuba dan berusaha. Sangsinya nyata masih menebal.

No comments:

Post a Comment