Saturday, 13 November 2010

'Luka HATI Siapa?' - 1

Nota:  Bab 1-7 ini adalah salinan teks yang dibuat daripada Tranungkite Online v11. Ia dihentikan daripada mengungsi laman tersebut atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Sambungannya akan bermula pada Bab 8 seperti biasa selepas ini.

Inikah gadisnya yang bernama Nur Anita?
Cuba teka.

1


INILAH saat yang bakal merobah segala-galanya dalam hidupnya; hari pertunangan di antara dua sejoli setelah mendapat restu daripada kedua-dua belah pihak, ibu dan ayah. Sebelumnya dia seakan-akan tidak percaya apabila Kamarul Izzat menyatakan hasrat untuk mengambilnya sebagai isteri.

Dia sekadar mengikuti perkembangan dan gelagat lelaki tersebut. Sebagai orang yang baru dikenali, tidaklah semudah yang disangkakan untuknya begitu mudah untuk jatuh cinta. Dia perlu mengambil masa dan memerhatikan setiap riak lakunya. Alangkan sang unggas pun tahu memilih pasangan. Lihat sahaja rencana di saluran Discovery, Animal Planet atau National Geographic tentang gelagat sang unggas dalam memikat pasangan masing-masing.

Inikan pula manusia yang mempunyai naluri dan segala cita rasa. Jadi dia juga berhak memilih sesiapa yang difikirkan layak dan bakal menjadi ayah kepada zuriatnya nanti. Memang Kamarul Izzat benar-benar serius apabila rombongan merisik datang menemui ibu dan ayah Nur Anita tiga bulan yang lalu.

Walaupun hari itu Sabtu, tetapi mengikut kata orang tua-tua ia baik untuk urusan tersebut. Sementelah harinya bekerja separuh hari, maka peminangan dibuat pada waktu petang selepas waktu Asar. Rombongan dari pihak lelaki datang agak ramai. Kawasan lapang sekitar rumah banglo setingkat di simpang Jalan Melawis itu penuh dengan kereta yang diletakkan, termasuk jemputan dari kalangan anggota keluarga tuan rumah juga.

Hantaran daripada pihak lelaki

Suasananya ringkas, tetapi meriah. Pihak lelaki membawa hantaran tiga belas dulang. Itupun satu kejanggalan juga. Mana pernah ada orang Perak yang membawa hantaran sedikit begitu? Paling kurang pun tiga atau empat puluh dulang dengan serba aneka mak nenek!

“Jadi, nak dipendekkan cerita... kami di pihak lelaki ni berpuas hati la,” jelas Chor Lanan sebagai jurucakap di pihak lelaki. “Kami ni datang dari jauh... lepas singgah kat rumah penanggah nanti cadangnya nak terus balik aje le ke Ipoh.”

Ahli rombongan yang lain mengangguk-angguk tanda setuju. Kelihatan juga ayah dan ibu dari pihak lelaki. Mereka disertai oleh ayah dan ibu saudaranya serta jiran sekampung. Penuhlah ruang tamu rumah tersebut. Apabila ditambah dengan tetamu serta ahli keluarga tuan rumah, keadaan sesak penuh rumah hingga ke dapur. Ia bertambah riuh dan meriah dengan kanak-kanak yang tidak duduk diam berlari hingga ke jalan.

Seperti sepatutnya, Nur Anita berada dalam bilik tengah ditemani oleh anak kakaknya yang lebih tua. Kak Bedah, Kak Mastura serta adiknya, Leita pun ada bersama serta dengan kawan-kawan sepejabat. Sarah turut menemaninya beserta dengan Khalidah dan Sharmaine juga.

“Err... takkan tak bercadang nak duduk sehari dua, pergi jalan-jalan tengok negeri membangun yang dah nak maju ni,” tegur Pak Jali sambil menjeling kakaknya yang duduk di balik pintu menuju ke dapur.

Abangnya, iaitu ayah Nur Anita, Pak Bandar yang duduk di sebelah ibu sekadar tersenyum.

“Kalau ya pun alang-alang dah sampai tu apa salahnya tengok negeri kami ni,” tingkah Pak Bandar meriuhkan suasana. Dia tersengih.

“Kalau tak ada upacara ni pun saya memang dah biasa datang... hantar anak, kadang-kadang tu anak buah masuk ke universiti. Ada juga datang atas jemputan lain...,” tingkah Chor Lanan sambil tersengih menampakkan giginya yang masih utuh.

“Ooo... orang penting juga rupa-rupanya sedara kita ni,” keluh Pak Jali sambil menoleh kepada Pak Bandar di belakangnya.

“Penting apanya... bila orang panggil kita datang la beri ceramah. Ngajar pun ada juga.”

“Ceramah politik ke?” Pak Jali menduga.

“Bukann... ceramah agama. Sikit-sikit... La ni pun bukannya orang minat sangat ke arah tu. Agama pun dah jadi barang dagangan”

Pak Jali mengangguk-ngangguk. Kemudian Pak Bandar mencelah.

“Ya la... semua dah asyik dengan kebendaan.... Orang nakkan kemajuan duniawi, jadi hal-hal rohani apa perlunya lagi?”

“Gitu la keadaan di zaman moden... semua nak tengok hasil berjagai di depan mata baru nak buat. Keadaan dah tak macam zaman atuk nenek kita dulu,” sahut Chor Lanan.

“Pengaruh dari Barat... yang tak sukakan agama,” Pak Jali bersuara perlahan.

“Tu la... agama pun dah jadi barang dagangan yang terpaksa dijaja ke sana ke mari...,” sahut Chor Lanan lagi. “Tengok aje la serangan budaya kat media. Budaya sekular pun dah semakin merebak.”

“Jahatnya... pengaruh sekular yang kita salin dari Turki tu,” kata Pak Bandar sambil menoleh ke dalam. “Sebelumnya, ia berkisar dari kalangan orang-orang nasrani yang memberontak terhadap gereja.”

“Ia merebak ke sini apabila Onn Jaffar terpengaruh dengan agenda sekularisme Kemal Atarturk laknatullah tu...,” Chor Lanan seolah-olah membengis.

“Peliknya, negara-negara Arab pun terkesan juga dengan budaya sekular ni...,” sahut Pak Bandar sambil menyandar.

“Puncanya... sebab negara Arab banyak yang tegak atas landasan asobiah. Mereka cenderung kepada perjuangan kebangsaan, bukan agama,” jelas Chor Lanan. “Akhirnya, ia menjahanamkan. Jati diri punah-ranah. Lingkup.”

“Kenapa kata gitu?” Pak Jali kehairanan sambil menoleh kepada Pak Bandar yang sedang memerhatikan isterinya di sebelah.

Keadaan di ruang tengah agak hingar-bingar. Keadaan di dapur pun tiada ubahnya. Mereka saling bercerita dan mengusik juga mana yang latah. Mak Tum yang kuat latah itu menjadi bahan usikan orang. Itulah satu-satunya adik bungsu Pak Bandar yang masih tinggal.

Pada mulanya dia ikut duduk di anjung bersama rombongan peminangan. Namun apabila dia mulai latah sebaik bekas hantaran yang dihulurkan itu terbalik, Mak Tum terus lari ke dapur. Di sana pun, dia masih diusik dan dicucuk juga membuatkan latahnya tiada penghujung.

“Negara-negara seperti Mesir, Libya, Tunisia, Algeria, Maghribi malah Arab yang tinggal di sekitar teluk pun dah banyak sekularnya,” jelas Chor Lanan sambil menjeling Pak Jali.

“Kenapa ya boleh jadi gitu?” seru Pak Jali. “Sepatutnya, Arab mesti la jadi pembela agama Islam yang syumul ni. Sebab ia turun di sana... Nabi pun dari kalangan bangsa mereka.”

Dato' Onn Jaffar yang terkesan dengan kejayaan sekularisme Turki.
Puncanya, sebab nenek perempuannya berketurunan orang sana.

Ia seakan sama dengan apa yang berlaku di negara ini apabila Dato’ Onn Jaffar yang menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu di Istana Johor turut menerapkan fahaman kebangsaan.

“Dia tu kan berketurunan dari sana, jadi orang kepercayaan pihak Istana Johor,” jelas Chor Lanan. “Sekularisme Turki telah berjaya meranapkan segala tinggalan kerajaan Islam Bani Uthmaniah.”

“Sebab tu dia orang anti sangat dengan golongan Islam...,” Pak Bandar pula mencelah. “Onn Jaffar tu la yang masuk kampung minta sokongan orang Melayu supaya menentang Malayan Union.”

“Seruan bagi pihak raja,” celah Pak Long Bidin sambil tunduk. “Kuasa raja dah nak dirampas dek Inggeris melalui pengwujudan jawatan Gabenor.”

“Dalam masa yang sama Onn Jaffar mewar-warkan, ‘Hubaya... hubaya! Awas bahaya dari Gunung!’ sahut Chor Lanan dengan wajah mencuka.

“Kenapa? Bahaya apa pula?” Pak Bandar pula yang tidak sabar.

“Kan Ustaz Abu Bakar Baqir baru saja tubuhkan Hizbul Muslimin di Ehya El-Syariff, Gunung Semanggul,” jelas Chor Lanan sambil menegakkan sandar belakangnya. “Dia dan rakan-rakannya mau tegakkan hukum syarak sebaik negara dapat dimerdekakan.”

“Ya la... kebetulan dia pun orang istana dan terkesan dengan kejayaan Kemal Attarturk, bangsa turunannya juga,” sampuk Pak Bandar sambil menoleh kepada Mak Enchom di sebelah. Dia mula mengerti.

‘Hancur Islam kat Turki tu dibuatnya... sama dengan hancurnya agama suci ni di negara kita sekarang,” tegas Chor Lanan sambil menggeleng.

“Belum teruk lagi, kan!” Pak Jali tersengih.

“Isyy... tak teruk apanya kalau hukum-hakam ditolak dengan terang-terang...,” tegas Chor Lanan sambil memandang keliling. Bimbang juga nanti dikata orang suara pihak pembangkang.

“Tandanya mudah saja... orang kita sekarang dah tak kisah pun dengan solatnya lagi,” tempelak Chor Lanan lagi. “Banyak yang nak ngelak dengan rukun yang lima waktu tu....”

“Alasannya?” tegas Pak Jali.

“Banyak. Sibuk. Lupa. Malas.” Chor Lanan berkalih duduknya. “Dari kecil kita tak didik sebagaimana sepatutnya.”

“Ya la... waktu kecil kena suruh. Bila dah besar sikit, kena rotan,” tingkah Pak Bandar.

Masing-masing terdiam. Ada yang tunduk. Sebabnya masih ada di antara mereka yang masih belum mengerjakan solat Asar walaupun rembang petang telah menguning. Cuma rombongan di pihak lelaki sahaja ada singgah di Mesjid Sultan Sulaiman sebelumnya. Chor Lanan mengajak mereka bertanggak di sana sebelum meneruskan perjalanan ke rumah pihak perempuan.



Contoh bakal pengantin

SAMBIL pihak lelaki berbual-bual di anjung, maka pertukaran balasan pun dibuat. Hantaran dari pihak lelaki itu dibalas. Di antaranya ialah sepasang persalinan, termasuk kasut, tas tangan, pewangi, alat mekap, manis-manisan dan beberapa jenis kek yang istimewa. Semuanya barangan yang asas dan segala-galanya terserah kepada budi bicara keluarga di pihak perempuan. Jumlah bekasnya dua puluh lima, hampir sekali ganda daripada bekas yang dibawa.

Sementara itu kisah dalam bilik lain pula jadinya. Ada peristiwa lucu berlaku sebab Mak Cik Baiti, ibu Kamarul Izzat sendiri pun tersasul. Dia menyangkakan Nurul Asyira yang menemani Nur Anita itu yang disangkakan bakal menantunya. Sebabnya, mereka berdua sedang berdiri sambil Nurul Asyira membetulkan rambutnya di hadapan cermin meja solek.

Mak Cik Baiti memeluk Nurul Asyira membuatkan Nur Anita di sebelah terpinga-pinga. Salahnya isteri Pak Jali juga yang menunjukkan secara rambang pada mereka yang sedang berdiri. Oleh kerana Nurul Asyira berada di belakang dan paling hampir dengannya, jadi dia menyangka itulah bakal menantunya.

“Eh, macam mana ni pula?” Mak Cik Baiti tersasul lagi. Dia tersarungkan cincin pertunangan ke jari hantu.

“Aii... maknya pula yang gabra!” tegur isteri Pak Cik Jali. Mengusik.

“Ntah! Ntah apa-apa..,” rungut Mak Cik Baiti.

Nur Anita hanya tersenyum.

Selepas menyarungkan cincin, dia memeluk dan mencium dahi bakal menantunya itu. Dia berbisik di telinga memberitahu bahawa dia rela menerima Nita jadi menantu. Si ibu turut mengalirkan air mata. Terharu, agaknya. Terusik juga hati Nita dibuatnya, sedang hatinya di dalam terus juga berdebar-debar. Namun dia bisa mengawalnya.

Entah kenapa, biar di mana-mana pun jua, setiap orang yang memandang pasti akan menoleh buat kali yang kedua. Lama kelibat gadis itu diperhatikan sehingga terkadang-kadang Nur Anita sendiri pun berasa kekok. Di ketika Nur Anita sedang duduk, boleh tahan jugalah. Bagaimana sekiranya pada waktu dia sedang berjalan?

Menurut kawan-kawan dan mereka yang rapat dengannya, Nur Anita dikatakan mempunyai sepasang mata yang cantik. Bentuknya agak panjang dan kelihatan redup dan cukup manja apabila merenung. Apatah pula bulu matanya yang sedikit melentik menjadikannya bertambah menawan. Menurut mereka lagi, orang seperti itu pendiam dan sabar. Orangnya sentiasa berahsia, sedangkan jiwanya cukup sensitif dan romantis. Nur Anita seorang yang taat dan rajin dalam menekuni sesuatu jenis pekerjaan yang digemari.

Hidungnya mancung, tetapi tidaklah semancung bagaikan seludang. Bibirnya sederhana tebal dan agak berair. Sebabnya, Nur Anita gemar bermain dan membasahi bibir dengan hujung lidahnya. Di kedua-dua hujung bibirnya terdapat lekuk garisan yang nampak ketara apabila dia tersenyum. Namun ia bukannya lesung pipit.

Itulah keistimewaan Nur Anita yang pada hari itu sudah disunting dek orang.



NUR ANITA seorang yang mudah bersimpati dan tidak banyak kerenah. Dia mudah diajak berkira-bicara. Itu sebab, rata-rata kawannya amat menyenangi dan tidak mudah berkecil hati. Sesuai pula dengan sifat semulajadinya yang tidak gemar berterus-terang. Lantaran Nur Anita terlalu menjaga hati dan perasaan orang.

Ada baiknya sikap sedemikian. Namun sayang, dalam keadaan tertentu ia hanya boleh memakan diri. Akhirnya, dia yang menderita sendiri. Kerongkongnya yang tercekik dek tulang apabila Kamarul Izzat cepat-cepat mengambil keputusan untuk masuk meminang. Lelaki yang terpukau oleh penampilan unik si gadis ayu itu. Sedangkan perkenalan yang terjalin di antara mereka tidaklah selama mana?

Lebih menarik lagi apabila kedua-dua belah pihak bersetuju agar tempoh pertunangan itu tidak dibuat terlalu lama.
“Tak payah la lama-lama. Bebudak sekarang ni... huh payah! Entah-entah lain pula jadinya nanti,” tegas Pak Jali sambil menyerongin.

“Sebelum hari raya haji yang nak datang ni kita kira jadi la ye?” Chor Lanan menyampaikan hasrat di pihak lelaki. Putus.

“Ooo... kami di pihak perigi ni, terima aje bila-bila saja pihak timba nak mencedok airnya,” sahut Pak Jali dengan berkiasan.

“Bukan apa nak tengok juga airnya tu... kot-kot nanti musim kemarau,” gurau Chor Lanan lagi. “Err... kalau musim hujan, keruh pula.”

“Ooo... tak la juga nampaknya. Maklum aje le sekarang ni orang-orang muda dah siap berunding sesama depa. Kita yang tua ni menurut aje ikut dari belakang...,” Pak Jali menguatkan persetujuan di pihak perempuan.

Ia bermakna tidak berapa lama sahaja lagi majlis perkahwinan akan dapat dilangsungkan. Mungkin inilah tempoh pertunangan yang paling singkat pernah berlaku dalam keluarga di Jalan Melawis itu.

“Tarikhnya, nanti kedua-dua pihak ibu-bapa rundingkan sesama la ye?” tegas Chor Lanan sambil menoleh kepada Pak Bandar.

Ayah Nur Anita nampaknya mengangguk sambil menoleh kepada isterinya, kemudian beralih kepada Pak Jali. Mak Cik Baiti dan ayah Kamarul Izzat serta ahli keluarga yang lain pun menurut. Mereka mengangguk tanda setuju.

“Gitu la. Hal tu dah jadi kecil, jadi kita tak masuk campur pun tak ngapa dah kot!” sahut Pak Jali disertai dengan anggukkan sekelian tetamu yang hadir.

Mak Cik Encom menegakkan lehernya untuk meninjau ke ruang tengah. Apabila matanya tertembung dengan renungan Pak Bandar, dia tunduk dan surut. Itu tanda persetujuannya. Anggota keluarga yang lain pun turut mengiyakan. Masing-masing gembira nampaknya. Maklum sahaja pasangan bakal pengantin itupun datang dari Ipoh. Dari kalangan orang yang berada dan berjaya juga, kononnya.

Sementara Nur Anita yang duduk dalam bilik mencuri-curi dengar di hujung telinga akan persetujuan yang telah dicapai. Hatinya yang kerap berdebar-debar itu agak reda apabila terdengar cara bualan di pihak yang mendatang. Berhemah dan berilmu agama juga orangnya. Penuh budi bahasa. Jadi, harapannya menggunung agar dia tidak tersilap dan membuat pilihan yang tidak tepat.

Sebenarnya, keluarga Nur Anita turut menyediakan sesuatu yang memeranjatkan untuk sekelian yang hadir. Sebaik selesai upacara pertunangan, mereka seisi rumah itu merayakan hari jadi bakal pengantin yang ke-23. Itulah persetujuan yang telah dicapai dan disetujui bersama oleh Kamarul Izzat, iaitu majlis pertunangan dibuat pada tarikh tersebut. Ia hari paling istimewa.

Mungkin bukan salah Kamarul Izzat juga, apabila dia terlupa untuk mengucapkan selamat hari jadi kepada Nur Anita. Telefon bimbit di dalam beg pun sunyi-senyap sejak tengahari. Hanya cincin pertunangan dan rombongan peminangan sahaja yang datang mengunjungi rumah setingkat yang sentiasa berseri dan meriah itu.

Sesekali Nur Anita mengerutkan keningnya. Bibirnya berdecit.

“Kenapa?” Nurul Asyira menegur.

“Err... takde apa-apa,” Nur Anita mengelak. Dia menggeleng.

Selepas mencuci muka dan bersolat, Nur Anita berbaring malas di atas katilnya. Nur Asyirah dan beberapa orang teman yang lain telah pun pulang. Sambil itu dia berangan-angan mengingat kembali akan apa yang telah dilaluinya pada petang itu. Dia membelek cincin tunang yang tersarung di jari manisnya. Sesekali dia terpandangkan barang hantaran dari ihak lelaki yang terletak di penjuru biliknya.

Dia beralih sambil melihat kasut, pakaian sepersalinan, jam, rantai, al-Quran, sejadah dan banyak lagi - 25 bekas kesemuanya. Itulah cara adat orang Perak; bekas hantaran mesti ada sebanyak-banyaknya. Barulah meriah, kononnya. Oops... pulut kacau dan halua betik kegemarannya pun ada juga!

Sambil itu dia teringatkan kisah perjuangan sewaktu penjajahan negara ini seperti yang diceritakan oleh Chor Lanan, jurubicara pihak lelaki pada petang itu. Keadaan bagaimana golongan patriotik-demokratik Melayu yang telah bergabung untuk menuntut pembebasan negara. Mereka telah membangkitkan kesedaran di kalangan orang-orang Melayu dengan bersikap anti-Brtitish.

Mereka tubuhkan Kesatuan Melayu Muda dengan pemimpin penting seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Ibrahim Hj Yaakob, Mustapha Hussin, Ishak Hj Muhammad dan Ahmad Boestamam. Pada 17 Oktober 1945 mereka tubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan meneruskan perjuangan untuk kemerdekaan Tanah Melayu dengan slogan ‘merdeka’nya.

Sedangkan Dato’ Onn Jaffar serta golongan elit Melayu yang berlegar di sekitar istana baru berani menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu setahun kemudian. Itupun tujuannya adalah untuk menentang Malayan Union, gagasan penjajah Inggeris. Slogan mereka ialah ‘Hidup Melayu’, tetapi masih berkawan baik dengan British. Puncanya, apabila kuasa Raja-raja Melayu ditarik dan digantikan oleh seorang Gabenor.

Apabila timbul seruan merdeka, golongan aristokrat Melayu ini tidak bersedia untuk menerima. Mereka sudah biasa enjoy, dancing dan bercanda dengan mem-mem orang putih hingga ke pagi. Selain itu mereka bimbangkan golongan agama yang ingin menegakkan undang-undang syarak di negara ini.

Jadi, apa yang dapat diperlakukan mereka ialah dengan memperkecil-kecilkan perjuangan Dr. Burhanuddin dan rakan-rakan beliau dengan mencemuh, ‘... membuat sebatang jarum pun tak pandai, nak merdeka!’

Nur Anita cuba mencari rasional di sebaliknya. Apakah benar Melayu waktu itu masih belum tahu membuat walaupun sebatang jarum? Sedangkan setahunya, Kerajaan Siam Islam Kedah meluas jajahan takluknya hingga ke Moghul di India dan ke China hasil daripada hubungan perkahwinan. Kerajaan Melayu itu menguasai Vietnam, Kemboja, Filipina, Borneo, Jawa, Sumatera malah hingga ke Australia melalui Raja Albino. Sultan Dili adalah wakil Raja Siam Islam di Timor Leste.

Dia berguling dan disebabkan keletihan yang amat sangat, Nur Anita terus terlelap di katilnya. Cerita Chor Lanan itupun ikut terpadam di benak lamunannya sendiri.

No comments:

Post a Comment