Setiap orang yang hendak mencapai ke taraf nafsu al-kamil ini mestilah melalui proses perjalanan nafsu yang lain satu demi satu, iaitu dimulai dengan nafsu ammarah, kemudian lawwamah, mulhamah, dan seterusnya. Inipun jika dibuat mengikut adab tarbiah secara teratur. Lain pula dengan orang majzub di mana mungkin dia terlipat atau melangkah laluan dengan cara cepat, tetapi dibimbangi dia tidak akan mencapai taraf 'insan kamil'. Ia disebabkan tiada istiqamah dalam perjalanannya itu.
Namun begitu ada jalan yang lebih baik dan lebih teratur dari itu, iaitu jalan tarbiah guru melalui suluk campur jazbah. Inilah laluan terbaik dalam dunia suluk dan tarbiah seperti yang terdapat pada tariqat Ahmadiah, Nakhsyabandiah dsb.
Oleh itu bagi sesiapa yang ingin mencapai maqam nafsu al-kamil ini bukan mudah. Ia memerlukan semangat yang tinggi hemah dan berani menempuh laluan sukar dan susah sekali. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani sendiri pun melalui tempoh lebih 30 tahun bagi mencapainya. Hanya dengan kehendak Allah sahaja ada orang yang dapat mencapainya dalam masa yang agak singkat.
Maqam nafsu al-kamil ini adalah yang tertinggi dan paling istimewa di antara sekelian maqam wali-wali yang ada di atas muka bumi ini. Ia dapat menghimpunkan antara batin dan zahir atau antara hakikat dan syariat. Maka ia dinamakan 'baqa-i-billah' atau 'kamil-mukamil' atau insan nan kamil, di mana ruh atau hatinya kekal dengan Allah, tetapi zahir tubuh kasarnya bersama dalam pergaulan orang ramai. Dia menjadi pemimpin yang membentuk masyarakat ke arah jalan yang diredhai Allah; sama seperti khalifah khulafa ar-Rasyidin pada zaman tersebut.
Hati mereka yang seumpama ini kekal dengan Allah, sama ada sewaktu tidur atau jaga kerana mereka dapat musyahadah dengan Allah dalam setiap ketika. Maqam 'baqa-i-billah' ini tidakkan dapat dinilai dengan apa jua kejadian di atas alam ini biar emas sebesar dunia sekalipun. Ia adalah maqam khawas al-khawas. Maka di ketika itu, sekelian gerak-geri mereka, tutur kata, tidur-jaga mereka, makan minum, berak-kencing mereka dan segala kelakuan adalah ibadat semata-mata.
Rasul-rasul dan para nabi serta wali-wali besar adalah terdiri dalam golongan maqam 'baqa-i-billah' atau maqam nafs al-kamil ini belaka. Cuma pangkat rasul tentulah lebih tinggi daripada nabi seperti taraf rasul dengan maqam risalah ibarat berlian dengan maqam nubuwwah ibarat intan.
Sifat-sifat budi utama yang terhasil daripada benih nafs al-kamil ini adalah paling istimewa dengan sifat keruhanian murni dengan perangai terpuji seperti maqam-maqam nafsu yang terbaik seperti yang telah dihuraikan terlebih awal. Syurga bagi mereka ini adalah yang paling istimewa; ibarat emas bermutu sepuluh.
Kesimpulan daripada Kaedah Sufiah
Daripada penjelasan yang telah diberikan di atas sana maka dapatlah kita membuat kesimpulan tentang sesuatu kaedah itu begini;
* Setiap rasul adalah nabi;
* Setiap nabi adalah wali; dan
* Setiap wali adalah orang-orang sufi.
Oleh itu rasul adalah orang sufi lagi wali dan nabi!
Jadi tidaklah dapat diandaikan nabi jika dia bukan wali; tidak boleh dikatakan wali jikan dia bukan seorang sufi. Oleh itu, maka rasul mestilah seorang sufi mengikut pengertian bahawa rasul itu adalah benar-benar berhati keruhanian yang sufiah tanpa mengira dari mana datangnya asal-susul perkataan sufi itu.
Kesimpulan daripada Maqam Nafsu dan Pembalasannya mengikut Lojik Sufiah
Daripada penjelasan di atas maka dapatlah kita fahami bahawa golongan ahli syurga itu terdiri daripada orang-orang yang keimanannya bermaqam-maqam dalam darjah nafsu dan makrifatnya. Jadi, ahli syurga terdiri daripada mereka dari maqam-maqam berikut;
1. maqam berlian;
2. maqam intan;3. maqam emas sepuluh;
4. maqam emas sembilan;
5. maqam emas lapan;
6. maqam emas tujuh;
7. maqam suasa (tuasa); dan
8. maqam perak.
Selain daripada golongan ini, kesemuanya adalah ahli neraka belaka kecuali mereka yang mendapat rahmat besar dan keampunan daripada Allah azza wa-jalla.
Redha untuk menerima hukuman dunia
demi keselamatan daripada api neraka Allah
Bagi orang-orang kafir yang telah musnah keimanannya di atas dunia ini (di negara nafsu!) samalah seperti sekumpulan telur tembelang yang tidak boleh diperbaiki lagi. Hendak digadai tidak laku, jika hendak disedekahkan pun orang tak sudi. Maka tempatnya yang paling wajar adalah dilontarkan jauh-jauh agar busuknya tidak mengganggu kehidupan. Maka tempat si kafir adalah di dasar kawah neraka jahannam buat selama-lamanya. Wali-ya'uzubillah--minzaalik.
Demikian hikmat Allah swt yang terlalu sangat rahsia. Allah jadikan syurga yang berlapis-lapis mengikut kadar darjah maqam-maqam nafsu dan demikian juga dengan tingkat-tingkat di nerakaNya. Jadi, untuk menilai diri kita sendiri ukurlah dengan apa yang kita telah lakukan sekarang? Ke mana kita akan pergi? Elok ditanyai juga adakah kita ini dari golongan orang-orang yang akan bernasib baik?
Jika tidak, maka buruklah akibatnya di akhirat itu nanti.
Nota: Segala yang baik-baik itu dari Allah swt; manakala yang buruk datang dari diri sendiri kesan onar setan & iblis yang ada di sisi. Astaghfirullah-al 'aziim.
No comments:
Post a Comment