Renungan sebagai tanda masih curiga...
Pada mulanya ibunya agak keberatan untuk melepaskan Nur Anita pergi. Tetapi, Pak Bandar yang mententeramkannya. Dia meminta Rosmaniza, sepupu Nur Anita ikut sama buat menemankan. Nur Anita turut mengajak seorang kawan, Sharmaine. Dengan adanya mereka, dia akan berasa akan lebih selamat. Sebelumnya, Nur Anita berjaya mengelak daripada melakukan perbuatan terkutuk ketika mengikut Kamarul Izzat pergi ke Genting Highlands.
Dia juga berjaya mengelak daripada dipengapakan ketika Kamarul Izzat mengajaknya ke kompleks peranginan di Selesa Homes, Bukit Tinggi. Kini dia berharap akan dapat mengelaknya lagi. Apa pun dia tidak mahu terpaksa tidur sebilik dengan Kamarul Izzat pula. Dari sudut agama ia boleh dituduh sebagai perbuatan khalwat. Jika di kalangan muda-mudi sekarang ia boleh dikira sebagai kolot.
Sedih, mengelak sesuatu yang ditegah oleh agama dikira sebagai kolot; Apakah manusia yang ada pada hari ini manusia ataupun haiwan? bisiknya setelah teringat akan cerita kawan-kawannya yang biasa mengalami keadaan dan nasib sedemikian. Ada pula dek kerana tidak mahu dianggap kolotlah maka akhirnya terpaksa menangis seorang. Mereka ditinggalkan begitu sahaja setelah habis manisnya madu.... dan buat sang lelaki sepah itu bisa dibuang begitu sahaja!
Namun Nur Anita masih cuba untuk memusatkan perhatian dan perasaannya terhadap Kamarul Izzat. Mungkin dengan cara itu dia akan dapat membenih kasih yang tidak berbelah bahagi. Ia teramat penting buat seseorang gadis yang telah membuat keputusan untuk berkongsi hidup dengan seseorang lelaki dalam satu perkongsian alam rumahtangga. Kata hati diikat; susah senang sama dirasa. Berat-ringan sama-sama dipikul, salah-silap saling memaafkan. Lantaran tentu masih ada banyak sikap dan keistimewaan pasangan yang masih belum diketahui sepenuhnya.
Kamarul Izzat memandu kereta syarikat yang telah diterimanya. Rosmaniza dan Sharmaine ikut berada dalam kereta yang sama. Jadi, Kamarul Izzat jelas tidak bereluang untuk merengek. Mereka pula pandai meriuhkan suasana. Sharmainelah yang paling kerap dan gemar sekali mengusik Kamarul Izzat.
"Berapa anak yang you mau, Izzat?" Sharmaine bertanya selamba.
"Err... mestilah ramai untuk bantu I di masa tua nanti," jawab Kamarul Izzat sambil tersengih.
"Ooo... maknanya you tak ikhlas la," Sharmaine tersenyum sambil menjeling Rosmaniza di sebelah.
"Kenapa pulak?" Kamarul Izzat serius.
"You nakkan anak sebab ada muslihat."
"Bukan muslihat tu..., dia dah tau takkan kuat dan 'smart' macam sekarang ni lagi," Rosmaniza tiba-tiba mencelah.
Kamarul Izzat tersengih sambil menjeling Nur Anita di sebelahnya. Tunangnya sekadar tersenyum sambil memandang keluar.
"Sepatutnya... anak itu amanah. You kena didik dia agar jadi manusia berguna," jelas Sharmaine, anak keturunan 'mummy' Pulau Pinang itu menempelak.
"Apa selama ini ibu-bapa yang lahirkan anak dan besarkan mereka tu gagal," Kamarul Izzat seakan rasa tercabar. "Anak-anak tu jadi manusia tak berguna. Gitu!"
"Yeah... mungkin gagal. Pada zahir saja nampaknya anak mereka berjaya... periksa dapat 'A' dalam semua subjek, bijak berbicara dan apabila besar pandai bergaya dan masuk universiti hebat belaka."
"Abis tu?"
"Pernah tak kita terfikir, macam mana nak lahirkan anak yang sesuai dengan kehendakNya?" Sharmaine serius macam ustazah di sekolah.
"KehendakNya yang macam mana?"
"Tidak Kujadikan jin manusia melainkan untuk beribadat menyembahKu semata-mata," kata Sharmaine. "Ia ada disebut dalam Surah Az-Zariaat: 56."
"Ooo... gitu," Kamarul izzat melopong. "Tugasnya beribadat menyambah Tuhan saja. Err... boleh ke?"
"Itu sebab I kata kebanyakan ibu-bapa tadi gagal. Mereka gagal memikul amanah Allah yang paling utama tu."
Kamarul Izzat mengangguk sambil menoleh ke sebelah. Dia hairan melihat Nur Anita yang tersenyum.
"Kenapa you senyum?"
"Err... takde apa?" sahut Nur Anita ringkas.
"You fikir baik-baik, nanti kita sambung lagi," jelas Sharmaine seakan-akan serius. "Ni pun bukan kata I... I just got it from my pa...."
"Alright... macam teka-teki pula you buat kat I," keluh Kamarul Izzat.
"Ya la... sebab you bakal menjadi ketua dalam keluarga," celah Rosmaniza. "I pun setuju dengan kata Sharmaine tu."
"Nanti... orang cakap jadi macam bapak ayam!" Nur Anita bersuara sinis.
"Haa... yang itu I tak kata, kan!" Sharmaine mengelak.
"Bapak ayam you... buruknya!" celah Rosmaniza sambil emnekup mulutnya. "Isy... celuparnya."
"Ooo... you all kenakan I yeak!"
Memang Kamarul Izzat seorang yang pemurah. Banyak hadiah dan barang-barang yang dibelikan untuk persiapan perkahwinan mereka. Dia belikan cincin perkahwinan, persalinan dan berbagai-bagai jenis barang dari jenama yang boleh dikatakan mahal-mahal belaka. Kamarul Izzat dapatkannya dari negara seberang tambak itu kerana mahukan kualiti dan ketulenannya. Jelas kesemuanya itu memang kena dengan cita rasa Nur Anita.
Malamnya, Nur Anita tinggal sebilik bersama dengan Rosmaniza dan Sharmaine. Sebenarnya, Nur Anita malas untuk ke mana-mana lagi. Nita terlalu letih setelah seharian pergi menjelajah ke beberapa buah kompleks membeli-belah di pulau seberang tambak itu. Kemudian Kamarul Izzat bersama dengan kawan-kawannya entah ke mana pula menghilang? Nur Anita tidak pasti, tetapi ketika dia membuat intercom ke bilik di sebelah pada jam 3.00 pagi, tiada jawapan.
Menurut kata Sharmaine, dia terdengar yang Kamarul Izzat dan kawan-kawan ada berbisik membuat rancangan sendiri. Mereka ada rancangan lain yang dibuat secara sulit-sulit. Ada mata air dan kekasih lama yang ingin ditemui. Ada yang tinggal di Johor Lama.
Pada malam kedua dan ketiga pun begitu juga. Lewat ke pagi baru Kamarul Izzat pulang. Sebenarnya, Nur Anita malas untuk mengambil tahu akan setiap pergerakan bakal suaminya itu. Kamarul Izzat pernah memberitahu yang dia mempunyai seorang kawan di Johor Lama. Dia seorang gadis.
Nur Anita percaya mungkin Kamarul Izzat pergi menemui gadis itu kerana tunangnya itu ada mengajaknya untuk tidur bersama, tetapi Nur Anita menolak. Mungkin itu pun puncanya setelah banyak kali dia cuba mengecek, tetapi masih gagal juga. Dan ketika berada di pulau itu Nur Anita berasa lebih senang dan selamat untuk tidur sebilik dengan Rosmaniza dan Sharmaine sahaja.
Dia tidak perlu berfikir banyak... terus lelap dengan nyenyaknya.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment