Aku masih keliru...
ENTAH bagaimana secara tiba-tiba sahaja Jeff yang telah sekian lama mendiamkan diri menelefon Nur Anita di rumah. Ketika itu abang-abangnya tiada di rumah. Mereka semua keluar membawa ibu dan ayah pergi berbuka puasa di sebuah restoran makanan laut di pelabuhan. Hanya tinggal Nur Anita seorang membaca buku sambil menonton siaran televisyen.
Pada mulanya dia menyangka tunangnya yang menelefon, tetapi setelah diamat-amati dan mendengar suaranya baru Nur Anita sedar bahawa dialah Johari Zaini. Dalam pada itu dia pun tidak pasti bagaimana pula boleh memanggilnya Jeff? Sepatutnya dia dipanggil Jo atau Joe, singkatan daripada nama Johari. Kalau tidak pun boleh dipanggil sahaja nama penuhnya.
Jeff bercerita panjang tentang kisah dirinya. Lama mereka tidak berbual-bual. Gembira benar dia bila dapat bercakap dengan teman lamanya itu. Nur Anita yang lebih banyak mendengar akan celotehnya. Sambil itu gadis tunangan orang ini pun gatal mulut juga mengusik kerana sudah berbulan-bulan tidak kedengaran apa-apa berita daripada teman lamanya itu. Jeff meminta maaf. Berkali-kali dia merayu.
“Bukan tak ingat, tapi err... sibuk sangat,” kata Jeff dengan suara yang lembut. “Bukan ada kat sini pun....”
“Err... ke mana you menghilang?”
“I dah kena stationed kat Labuan.”
“Err... buat apa?”
“Syarikat dah buka cawangan baru kat sana....”
“Ooo... patut la sunyi-senyap aje,” Nur Anita seakan-akan jauh hati merajuk. Sambil itu dia masih juga asyik menonton siaran juara lagu Alam Fantasi. “Kat mana ni?”
“Err... kat Penang. Ikut bos,” sahutnya sambil tertawa. “Kena jumpa dengan lembaga pelabuhan berkaitan dengan projek mereka kat Labuan sana.”
“Kenapa dengan Labuan tu?”
“Kan Labuan dah jadi pusat kewangan pesisir pantai... ada projek pengangkutan pelabuhan di sana.”
“Sibuk le ye!”
“Ada le sikit-sikit, tapi ada satu yang I nak beritau.”
“Err... apa dia?”
Jeff terdiam seketika.
“Mmm... cakap la.”
“I miss you, Nita”.
Nur Anita tersentak. “Alaa... takkan takde orang lain yang nak dirindui.... Kalau dah pergi jauh sampai ke sana tu.”
“No. No. Takde... cause you’re my only one!”
Nur Anita menarik nafas panjang. Matanya meliar pada segenap penjuru di ruang tamu. Kemudian dia menggeleng. Dia gugup dan mula menelan liur kering di kerongkongan. Apa yang harus diucapkannya?
“Apa pun I hope you kan bersabar,” jelas Jeff dengan suara yang lembut tanpa menunggu jawapan daripada temannya itu. “My saving pun dah hampir cukup. Banyak dapat elauns kat sini. Semuanya untuk kehidupan masa depan kita.”
Sesungguhnya apakah helah Nur Anita nanti seandainya Jeff menyatakan hasrat untuk masuk meminang dalam tempoh terdekat? Mungkin dalam masa yang singkat itu.
Namun Nur Anita berasa lega apabila Jeff memberitahunya supaya bersabar. Masih ada masa dua tahun lagi sebelum umurnya mencecah dua puluh lima, katanya. Dia mahu mendapatkan sebuah rumah di Alam Syah atau di Bandar Puteri terlebih dahulu. Rumah yang cukup selesa untuk mereka apabila mendirikan rumahtangga nanti.
Hati Nur Anita segera dijenguk rasa sayu yang teramat menusuk di hatinya. Hasrat Jeff menggunung tinggi, tetapi bagaimana dengan dirinya? Perlukah dia berterus terang sahaja. Dan kini cukup jelas betapa dia sendiri yang tidak berpendirian tegas. Dia yang tidak mempunyai kekuatan untuk menentukan pilihan yang sebenar. Kini dia sendiri yang meletakkan dirinya di persimpangan dengan menjerumuskan diri untuk bermain api. Sedangkan Dia jelas tidak berani kiranya api itu akan membakar di jari.
“Anyhow... please take a good care of yourself,” pesan Jeff dengan suara ceria di hujung talian. “Mungkin kita tak dapat nak jumpa lagi. Petang ni I dah nak kena naik kapal terbang balik ke Labuan... flight pukul 4.40 ni dari Sepang.”
“Eh... kata kat Penang?”
“Kejap lagi nak bertolak le ke Sepang. Transit”
“Ooo...,” hatinya kembali galak untuk berdebar. Tiba-tiba peluh dingin menyerang ke seluruh anggotanya. Udara dingin daripada aircondition yang berputar kencang itu seakan tidak terasa.
Bibirnya berdecit, ditarik nafas kemudian melepaskannya perlahan. Dia menggeleng sambil memejamkan matanya melamun kenangan.
MALAM itu Nur Anita tidak boleh tidur dibuatnya. Dia asyik teringatkan Jeff. Dia rasa seperti kehilangan sesuatu selepas temannya itu menelefon. Nur Anita berasa kecil hati juga sebab Jeff tidak pun berusaha atau memintanya untuk bertemu. Kenapa temannya itu menaiki kapal terbang terus ke sana? Kenapa dia tidak singgah di Kuala Lumpur sehingga mesti terus sahaja di Sepang dan ke Labuan kemudiannya?
Walaupun Jeff tidak begitu lama Nur Anita kenali berbanding dengan Roy, tetapi dia seorang pemuda yang baik. Dia pandai mengambil hati dan sopan dalam tutur katanya. Kemudian dia rajin sekali membelikan hadiah. Kali terakhir dia membelikan Nur Anita seutas rantai leher yang masih dipakainya. Ia hadiah daripada Jeff dua tahun yang lalu bersempena dengan hari jadi Nur Anita yang kedua puluh satu.
Dengan hadiah itu bererti Nur Anita sudah bebas dan memiliki kunci kebebasan - jika menurut budaya Yahudi-Nasrani. Itu kata Jeff, sama seperti kata anak-anak muda orang putih yang lain. Selalunya, malam seperti itulah sebagai penentu yang menjadi kunci dalam penyerahan kesucian mereka buat kekasih hati.
Namun mereka tidak pula begitu. Jeff tidak pun menuntutnya.
Jeff hanya membawa Nur Anita pergi menonton wayang. Mereka nampak mesra dan intim sekali. Malah pada malam itu Nur Anita pun tidak kembali ke rumah. Mereka mengambil keputusan untuk tidur di sebuah hotel dekat Jalan Sultan Ismail. Cuma Nur Anita ada memberi tahu ibunya yang dia tidak sempat pulang.
Sebaliknya, dia berbohong dengan memberitahu ibunya yang dia tidur di rumah seorang kawan di Kampung Baru.
Di situ... pada malam itu kejujuran Jeff benar-benar teruji. Mereka tidak melakukan sesuatu yang tidak senonoh walaupun ketika itu Nur Anita seakan-akan telah pun bersedia. Nur Anita telah bersedia untuk menyerahkan segala yang dia ada sekiranya Jeff memintanya atau mendesak.
Sesekali Nur Anita berasa malu sendiri. Masakan dek kerana hadiah seutas rantai dia boleh menjadi sebegitu murah?
“I luv you forever, honey...,” kata Jeff ketika membisik di tepi telinganya.
Nur Anita kegelian diselit rasa bangga yang tidak terhingga. Itulah lelaki sejati yang baru ditemui dalam hidupnya selama ini. Sebaliknya, Jeff meminta biar mahkota itu disimpan untuk hari berbahagia mereka nanti.
Jeff sekadar memeluk erat dengan kain selimut yang tebal membalut. Cuma sekali dia meminta izin untuk mengucup dahi Nur Anita sebagai tanda kasihnya. Dia terus berbisik dengan kata-kata yang penuh syahdu di telinga sebelum mereka sama-sama melelapkan mata.
Itupun tidak lama. Hatinya benar-benar terusik oleh kejujuran temannya itu. Nur Anita terjaga dan terus tidak dapat melelapkan mata lagi. Selain daripada kejujuran itu yang menggugat, dia keresahan kerana beralih tempat. Ia diselangi dengan rasa bersalah apabila berbohong dengan ibunya.
Sesekali ditatap wajah temannya dalam kesuraman cahaya bilik itu. Ia cahaya lampu yang datang dari bilik mandi yang sengaja dipasangkan. Diperhatikan sekujur tubuh lelaki yang berbadan sasa dan sedap pada mata yang memandang. Orangnya tinggi dan tidurnya dilihat penuh damai dan aman sekali.
Jeff merupakan seorang ahli sukan ketika di sekolah dahulu. Malah apabila bekerja pun dia masih kerap pergi ke gymnasium dan fitness centre. Dia menjaga makannya biar seimbang.
Dan pada saat itu tanpa disedari, air mata Nur Anita mengalir di pipi kerana telah bertindak menghampakan lelaki itu. Kenapa dia bertindak sebodoh itu dan dengan mudah pula menerima pinangan Kamarul Izzat?
Kenapa mesti bebal, sedangkan dia masih punya dua lelaki lain dalam hidupnya itu? Mujurlah Jeff masih belum tahu akan kedudukannya yang sebenar. Namun biar apa pun, lambat-laun Jeff atau sesiapa jua pasti akan tahu juga. Bagaimana dan apa yang akan dijelaskannya nanti?
Nur Anita tidak dapat membayangkan kekecewaan yang akan terpancar di ruang wajah temannya itu nanti. Dia boleh menjadi gila dan menderita. Apa yang dapat dilakukan... selain daripada Nur Anita kembali membelek dan memegang erat ke dada akan rantai hadiah temannya itu. Matanya terkebil-kebil dan sukar sekali untuk dilelapkan.
Dan air matanya semakin galak untuk berderai lagi.
Oh Tuhan, bisiknya perlahan.
No comments:
Post a Comment