Covergirl majalah 'TIARA': Kali pertama dia didedahkan
Pada tahun 1997, Julai ko-ordinator majalah "TIARA" - sebuah majalah bulanan untuk wanita, Pn Linda Husin mencadangkan teman mengambil seorang wanita bernama Siti Shahrizah untuk menjadi 'covergirl' majalah kami yang telah beberapa bulan berada di pasaran. Teman tidak kenal siapa wanita ini. Namun disebabkan teman bisa menjarakkan diri daripada terlibat dengan mana-mana wanita/gadis yang menjadi bahan /topik perbincangan, jadi teman tidak mengambil hirau siapa pun yang hendak diketengahkan sebagai 'covergirl'.
Banyaknya, teman serahkan kepada ko-ordinator berkenaan.
Selain daripada menjadi 'covergirl' Siti Shahrizah atau EJA juga turut menggayakan beberapa jenis fesyen pakaian terbaru di pasaran oleh butik terkemuka. Lokasinya di Pulau Pangkor. Kebetulan pula saudara teman ada mengusahakan 'chalet' di sana maka soal penginapan memang tidak menjadi masalah.
Selain daripada Pn Linda, anggota lain dari majalah ialah penulisnya, jurukamera n 'team editorial' yang berangkat pergi. Teman tidak ikut sama walaupun lebih 30 minit Siti Shahrizah menunggu dalam kereta Mercedes ayahnya, mengajak teman ikut pergi bersama. Lama dia menunggu sewaktu teman melepaskan mereka pergi. Teman pujuk dia dengan memberikan sebuah novel terbaru (waktu itu) - 'Bunga Bukan Semusim' setebal 754 muka surat.
"Baca la bila ada kelapangan," jelas teman sambil dia membelek novel itu. "Ia sebuah kisah tentang susahnya orang jahat nak jadi baik semula. Banyak benar halangannya."
Itu, bulan Julai 1997.
Di antara fesyen yang digayakan: baru belajar nak jadi model!
Apabila keluar cerita Siti Shahrizah yang mula bertudung (seperti yang tersiar di akhbar Kosmo), pada minggu lalu (2013) mungkin teman di antara mereka yang paling gembira. Kenapa?
Novel 'BUNGA BUKAN SEMUSIM'
Di dalam novel itu terkandung kisah seorang model terkenal yang berubah kehidupannya dek kerana seorang lelaki yang dicintainya; tetapi hero lelaki itu terkenal nakalnya di ibu kota - menjadi gigolo peliharaan mak-mak datin yang sering dalam kesunyian (di samping membalas dendam terhadap kecurangan suami mereka juga!). Model itu pernah mengikut hero nakal itu ke Thailand dalam misi menyeludup dadah apabila 'kingpin' dadah telah mencolek anaknya sebagai tebusan.
Mereka terpisah beberapa tahun - langsung terputus hubungan (dek kenakalan hero), selain model itu berusaha gigih untuk lari daripada dunianya yang penuh danur n kepura-puraan itu. Dia membawa diri apabila cintanya tidak berbalas.
Secara tidak semena-mena mereka ketemu di sebuah hotel dekat Port Dickson apabila hero yang kematian isterinya (sewaktu dia berseronok dengan seorang wanita lain di pulau Phuket!) membawa anaknya bercuti. Namun sekejap saja apabila model itu segera 'check-out' dan terus menghilang.
Kamal Hanafi terpinga-pinga mencari model yang membawa diri itu entah di mana?
Jadi EJA mungkin terlupa (ataupun malu agaknya!) untuk memberitahu wartawan bahawa dia ikut terkesan dengan jalan cerita novel berkenaan. Namun model yang dimaksudkan dalam cerita sedih itu bukan EJA (sebab waktu itu dia belum pun menjadi model lagi). Model yang dimaksudkan adalah seorang model terkenal tanah air. Namun kuasa Allah swt itu adalah segala-galanya. Walaupun kisah itu ditujukan kepada seorang wanita lain, tetapi EJA yang mendahuluinya dalam menancap perubahan lantas mendapat taufiq n hidayah daripada Allah swt.
Semoga dia terus istiqomah.
Eja Mula Berhijab (KOSMO)
SELEPAS mengambil keputusan untuk berhijab sejak beberapa bulan lepas, aktres Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah memberitahu, dia kini sedang melalui satu fasa kehidupan yang cukup tenang dan bahagia.
Mengakui juga selepas berhijab ia bukan tanda aras hidupnya telah sempurna, Eja yang ditemui sewaktu mengikuti rombongan Anugerah Skrin 2011 & 2012 ke Korea Selatan baru-baru ini mengatakan dia kini dalam proses memperbaiki kelemahan dirinya.
"Alhamdulillah, secara perlahan-lahan Tuhan memberi saya petunjuk sehingga akhirnya saya berhijab.
"Apabila saya telah menutup aurat seumpama ini, ia bukan bermakna saya sudah menjadi seorang manusia yang sempurna, sebaliknya saya bersyukur kerana Tuhan telah memberi saya peluang untuk berubah," ujarnya yang mahu lebih kerap menghadiri majlis usrah sambil memanjat kesyukuran.
Dedah Eja, pada saat dirinya mengambil keputusan untuk terus berhijab sebaik sahaja pulang daripada menunaikan umrah sekitar Mei lalu, dia telah mempersiapkan diri dengan risiko untuk hilang atau kurang mendapat tawaran berlakon.
Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku. Tuhan telah mencurahkan dirinya dengan rezeki yang melimpah-ruah, satu hal yang tidak dijangka oleh wanita tinggi lampai ini.
Menurut Eja: "Pada saat saya telah bersedia dengan kebarangkalian untuk tidak menerima tawaran berlakon kerana penampilan baharu ini, pada saat itu, tawaran terus datang tanpa henti.
"Antara bukti rezeki saya tidak ditarik Tuhan kerana saya berhijab ialah kontrak saya untuk berlakon dalam filem Manisnya Cinta dan sebagai duta produk kecantikan Cosry yang ditandatangani sebelum saya berhijab masih diteruskan.
"Saya kemudian menerima beberapa tawaran lain termasuk dua telefilem sempena sambutan Aidilfitri ini. Alhamdulillah."
Tegas Eja, biar banyak tawaran berlakon yang bakal hadir kepadanya kelak, dia tetap tidak akan menanggalkan hijab.
Luahnya, sepanjang 17 tahun menjadi anak seni, khalayak telah melihat penampilan dan rambutnya, kini dia tidak mahu memperlihatkan semua penampilan silamnya lagi.
"Cukuplah 17 tahun khalayak telah melihat rambut saya. Dengan faktor usia yang sudah mencecah 41 tahun, saya kira semua sudah perlu diperlahankan," katanya yang menyebut, suaminya tidak pernah memaksa dia berhijab, sebaliknya bergurau dengan mengatakan dirinya bakal masuk syurga sebaik sahaja Eja mengambil keputusan berhijab.
Ditebak bagaimana pula dengan trademark bulu mata palsu dan solekan tebal sewaktu berlakon, adakah khalayak tidak akan melihat penampilannya di layar kaca seumpama itu lagi, Eja hanya ketawa.
Dia kemudian memberitahu, jika skrip penceritaan memerlukan dirinya memakai bulu mata palsu atau bersolek tebal, ia akan dilakukan. Sebagai seorang pelakon, jelas Eja, permintaan tersebut masih akan ditunaikan.
Sementara itu, Eja turut berkata, dia bersama Cosry kini dalam perbincangan untuk melancarkan koleksi hijab sempena bulan Ramadan ini.
Eja bagaimanapun dengan rendah hati memberitahu, sebagai seorang wanita yang baharu memakai hijab, dia tidak mahu koleksi tersebut sekadar menjadi satu trend.
"Insya-Allah, saya dan Cosry akan menghasilkan koleksi hijab dengan jenama Eja by Cosry sempena kehadiran bulan Ramadan ini.
"Koleksi itu kelak, saya mahu pastikan ia tidak sekadar menjadi satu trend, sebaliknya saya mahu menghasilkan koleksi hijab yang mengikut syariat Islam.
"Saya mahu wanita Muslim yang berpakaian mengikut syariat Islam tidak ketinggalan dalam berfesyen dan bergaya sopan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment