Thursday, 20 June 2013
Ciri-ciri Ahli Sunnah Wal-Jamaah
Susunan: Tok Kelana
1.0 Siapakah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah?
Sekelian Ummat Islam sudah tahu istilah ahlus-sunnah wal-jamaah. Semua berharap dan mengaku mereka ahlus-sunnah, tetapi siapakah sebenarnya ahlus-sunnah wal-jamaah? Adakah ia merupakan jamaah atau kumpulan tertentu? Apakah ciri-ciri mereka itu?
Ahlus-sunnah wal-jamaah adalah satu-satunya golongan yang mendapat jaminan daripada junjungan Nabi صلى الله عليه وسلم sebagai golongan yang selamat.
Mereka berpegang kepada Nabi dan sunnah khalifah Baginda serta bersatu dalam jamaah muslimin. Sementara itu golongan-golongan yang lain telah sesat dan terkeluar dari jamaah muslimin/jamaah Rasulullah ini - iaitu mereka terkeluar dari jamaah yang diwariskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم .
Dari Abu Hurairah Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda;
"Bangsa Yahudi telah terpecah menjadi 71 golongan, kaum Nasrani telah terpecah menjadi 72 golongan, dan ummatku akan terpecah menjadi 73 golongan. Semuanya masuk neraka kecuali satu". Kemudian para sahabat bertanya, "Siapakah mereka ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Mereka yang mengikutiku dan sahabat-sahabatku." (Hakim, Ibnu Majah).
Dalam hadis lain,
Daripada 'Irbad bin Sariyah katanya, bahawa pada suatu hari selepas sembahyang pagi (iaitu lepas subuh) Nabi saw menyampaikan pengajaran yang cukup mendalam maksudnya, maka dari situ keluarlah air mata orang ramai, dan hati mereka pun menjadi takut. Maka (dalam hal itu) berkatalah seorang lelaki "Sesungguhnya nasihat itu adalah seperti nasihat mengucap selamat tinggal, apakah yang tuan hamba ingin mewasiatkan kepada kami wahai Rasulullah?"
Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
"Aku berwasiat kepada kamu sekelian supaya bertaqwa kepada Allah, supaya mendengar dan taat, walaupun ia seorang hamba abdi bangsa Habsyi (yang diangkat menjadi ketua kamu sekelian); maka sesungguhnya sesiapa dari kalangan kamu yang hidup (bila sampai masanya) ia akan melihat berlaku perselisihan yang banyak, dan bendaklah kamu berjaga-jaga daripada (mengadakan) perkara-perkara baru (dalam urusan agama), maka sesungguhnya itu adalah kesesatan; maka sesiapa di kalangan kamu yang mendapat perkara demikian itu hendaklah ia mengikuti Sunnahku dan Sunnah para Khulafa' ar-Rasyidin yang mendapat hidayat daripada Allah, dan hendaklah kamu berpegang kepada Sunnah itu dengan gigi geraham kamu". (Riwayat Tirmizi - Hadith hasan sahih)
Berdasarkan daripada pemerhatian ulama billah Nabi saw telah memberikan beberapa petunjuk yang jelas di dalam hadis-hadis yang di atas, berkenaan dengan ciri-ciri umum golongan yang selamat, di antaranya;
Pertama: Mereka yang mengikuti Sunnahku;
Kedua: Mereka yang mengikuti sunnah sahabatku;
Ketiga: Tinggalkan bid'ah;
Keempat: Golongan atau jamaah
Sunnah Nabi sebahagian besarnya sudah pun jelas, dan semua golongan mengakui akan kebenarannya. Salah satu perkara yang menjadi pokok perselisihan adalah berkenaan wasiat Nabi, "Sunnah Khalifahku" Di sinilah bermulanya perpecahan. Hanya orang-orang yang terbuka hatinya bisa dapat melihat siapa yang dimaksudkan dengan "Sunnah Sahabatku."
Sementata kebanyakan orang melihat makna "sahabat Nabi" sebagai umum, ahli ma'rifat melihatnya sebagai pewaris Nabi yang menerima ilmu sahabat nabi secara musyafahah dari satu generasi ke generasi berikutnya tidak putus sehingga ke akhir zaman ini,
Apa yang dimaksudkan dengan bid'ah (mengada-adakan perkara baru) dalam agama pada hadis di atas adalah isyarat daripada Nabi saw kepada golongan yang memisahkan diri jamaah kaum muslimin dan membuat bid'ah fahaman sendiri yang sesat. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain.
Golongan yang pertama sekali memisahkan diri jamaah kaum muslimin adalah kaum Khawarij, kemudian di ikuti oleh kaum Jabariyah. Kemudian timbul Mu'tazilah, Mujassimah, Rafidah dll semuanya berjumlah semuanya 72 golongan - yang memisahkan diri daripada kaum Muslimin. Inilah golongan-golongan bid'ah, iaitu golongan mereka yang mengadakan fahaman-fahaman yang menyimpang daripada fahaman ahlus-sunnah.
Bukanlah maksud 'bid'ah' tersebut sebagaimana kupasan sesat kaum Wahhabiyah zaman ini yang mengatakan tawassul, ziarah kubur dsb itu sebagai bid'ah, sedangkan semua amalan tersebut adalah bersandarkan Hadis Nabi saw.
Sementara itu apa yang dimaksudkan dengan "jamaah" bukanlah bermakna satu-satu jamaah tertentu, tetapi ia adalah umum, iaitu jamaah Muslimin yang berpegang kepada ciri-ciri umat Islam yang disebutkan oleh ulama-ulama mu'tabarah dahulu.
2.0 Bagaimana mengenali golongan yang selamat ini?
Bagaimana mengenali Ahlus Sunnah Wal Jamaah? Apakah ciri-ciri mereka?
Pada zaman ini banyak pihak mendabik dada konon merekalah ahlus -sunnah wal Jamaah, sedangkan perbuatan dan ucapan mereka jauh menyimpang dari pegangan ahlus-sunnah wal jamaah. Ini termasuklah puak Wahabiyyah /Talafiyah/ Takrifiyah. Pada hakikatnya golongan ini adalah 'penjelmaan' semula daripada fahaman sesat Mujassimah.
Orang awam yang tiada ilmu bisa terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan dan hujjah-hujjah batil mereka. Kesesatan ini disemarakkan lagi dengan terbitnya golongan pelajar-pelajar muda berkelulusan agama. Dengan hanya membekalkan ilmu syari'ah atau beberapa hadis yang mereka pelajari di bilik-bilik kuliah, mereka cuba mencabar ilmu ulama-ulama Mu'tabarah yang terdahulu.
Jadi bagaimanakah cara untuk menyelamatkan iman dari "kuman bahaya Wahhabiyyah" dan juga fahaman sesat yang lain? Kita perlu mentelaah secara saksama daripada perkataan-perkataan ulama Mu'atbarah yang diakui oleh seluruh umat Islam seperti Imam Jailani, Shaikh Ibnu Ata'illah, Imam Ghazali, Imam Hanbali, Imam Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan lain-lainnya.
Berikut adalah himpunan ciri-ciri penting pendirian Ahlus-sunnah Wal Jamaah yang dipetik daripada kitab Al-Ghunyah Li Talibil Haqq dan Ihya Ulumuddin serta kitab-kitab mu'tabar yang lain. Mudah-mudahan bermanafaat.
1. PENGERTIAN IMAN
Iman adalah meyakini dengan hati, mengucapkan dengan lisan dan memanifestasikan dengan amal perbuatan. Iman bererti pembenaran oleh hati disertai oleh pengetahuan tentang apa yang dia benarkan. Sedangkan menurut syari'at, iman bererti pengetahuan tentang Allah dan sifat-sifatNya disertai oleh ketaatan atas semua hal yang wajib dan yang sunnat serta menghindari berbagai larangan dan maksiat. Atau iman itu bererti agama, syari'at dan millah, kerana agama bererti sesuatu yang dianuti disertai dengan ketaatan dan penghindaran dari larangan dan segala yang haram.
Hal itu merupakan sifat iman.
Islam juga termasuk di dalam iman. Setiap iman adalah Islam, tetapi bukan setiap Islam itu iman, kerana Islam bererti penyerahan dan ketundukan (menundukkan diri sepenuhnya!). Setiap mukmin pasti menyerahkan diri dan tunduk kepada Allah, tetapi tidak setiap yang berserah diri itu beriman kepada Allah. Ada kalanya dia menyerahkan diri kerana takut ancaman pedang. Dengan demikian iman merupakan nama yang mencakup berbagai sebutan, baik dalam wujud perbuatan maupun ucapan, sehingga mencakup segala bentuk ketaatan.
2. IMAN DIPERKUAT DENGAN ILMU DAN DIPERLEMAH OLEH KEBODOHAN
Firman Allah:
فَأَمَّا الَّذِينَ ءامَنُواْ فَزَادَتْهُمْ إِيمَـناً وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ
"Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya)". - At-Taubah, 9 :124
3. IMAN BOLEH MENAMBAH DAN BERKURANG
Ahlus-sunnah berpendirian iman bertambah dengan ketaatan dan menjauhi segala larangan Allah. Sementara ia bisa berkurang dengan berkurangnya ketaatan dan bertambahnya ma'siat seseorang.
Firman Allah:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَـناً وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah". - Al-Anfal, 8 : 2
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Abu Hurairah serta Abu Darda'; mereka berkata: "Iman itu dapat bertambah dan berkurang."
4. IMAN BUKAN MAKHLUK
Berdasarkan kata Imam Ahmad Bin Hambal apabila ditanya orang, apakah iman itu makhluk? Beliau menjawab, "Barangsiapa mengatakan bahawa iman itu makhluk bererti dia telah kafir, kerana demikian bererti dia telah menentang Al-Qur'an".
Iman adalah cahaya Ilahi yang melimpah ke dalam hati seseorang hamba. Wadah (jasad?) yang menanggung iman, iaitu hati adalah makhluk, tetapi zat iman itu bukan makhluk.
5. DILARANG BERKATA: 'AKU PASTI MU'MIN'
Seseorang mu'min tidak boleh mengatakan 'aku pasti mu'min', tetapi katakanlah: 'Aku ini orang mu'min InsyA Allah'. Hal ini menolak pendapat kaum Mu'tazilah yang mengatakan, 'aku pasti mu'min'.
Pendapat kami berdasarkan kata-kata Sayyidina Umar, "Barangsiapa mengaku dirinya mu'min (yakni pasti mu'min), bererti dia telah kafir!
6. PENGERTIAN ISLAM
Islam merupakan ungkapan dari dua kalimat syahadat yang disertai dengan ketenangan hati dan diiringi dengan menjalani semua kewajipan. Perintah Allah yang wajib dikerjakan dengan bersungguh-sungguh dan sempurna. Segala tegahan Allah yang haram ditinggalkan tanpa berbelah bahagi.
Kewajipan asas adalah: Mendirikan Rukun Islam yang lima: i) Mengucap dua kalimah syahadat dengan keyakinan; ii) Mendirikan solat; iii) Berpuasa di bulan Ramadhan; iv) Menunaikan zakat; v) Mengerjakan haji di Baitullah bagi yang bekuasa.
Selain daripada kewajipan asas tersebut, banyak lagi kewajipan lain yang wajib ditunaikan mengikut ukuran dan tingkatan tuntutannya, iaitu;
- Berbakti kepada ibu-bapa; berkhidmat kepada guru /ulama pewaris Nabi; berdakwah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran; berjihad fisabilillah dan lain-lain.
Kemudian wajib pula menjauhi segala yang diharamkan, iaitu;
- Berzina; minum arak; berjudi; bertenung nasib; membunuh jiwa tanpa hak; menipu; merampas harta orang tanpa hak; menganiaya/menzalimi makhluk Allah; mengumpat; khianat dan banyak lagi.
7. PENGERTIAN IHSAN
Ihsan adalah perhambaan yang tulus ikhlas kepada Allah yang tiada sedikitpun syirik dalam penyembahannya. Ibadahnya semata-mata kerana Allah dek kerana kasihnya, kerana cintanya; bukan kerana menuntut atau mengharap sesuatu sama ada habuan duniawi atau ukhrawi.
Di dalam tasawwuf, maqam ihsan dilihat sebagai maqam tertinggi bagi seseorang hamba Allah dalam penghampirannya kepada Allah swt. Ini berdasarkan sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :
"Hendaklah engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau." (Bukhari)
Hadis ini tidak dapat ditafsirkan dengan pengetahuan akal semata-mata. Ia adalah penghayatan berkait dengan hati dan ruh yang terhasil daripada mujahadah di jalan Allah sebagaimana yang ditunjukkan oleh para imam, syeikh toreqat sufiyyah.
8. WAJIB BERPEGANG KEPADA SALAH SATU MAZHAB FIQH
Pendirian Ahlus-sunnah Wal Jamaah adalah: wajib bagi seseorang yang belum sampai ke taraf mujtahid, berpegang kepada salah satu mazhab fiqh yang diakui oleh ulama-ulama Ahlus-sunnah. Sebaik-baiknya berpegang kepada salah satu dari mazhab fiqh yang masyhur, iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Shafie atau Hambali.
Seseorang yang belum bertaraf mujthaid, hanya boleh berpegang kepada salah satu azhab pada suatu masa dalam mengerjakan ibadahnya. Dan disyaratkan dia mesti mengetahui/telah mempelajari selok-belok mazhab tersebut. Apa yang cuba disampaikan adalah: harus bagi seseorang berpindah kepada mazhab lain dengan syarat dia mengetahui selok-belok hukum di dalam mazhab tersebut; bukan kerana ikut-ikutan sahaja.
Mujtahid adalah: seseorang yang alim dalam ulmul-Qur'an, mengetahui nasikh-mansuh, alim dalam hadis Nabi, mengetahui hadis sahih - hadis maudhu', ilmu usul, berbagai lughah bahasa Arab dan banyak lagi disiplin ilmu yang berkaitan sehingga melayakkan dia untuk menerbitkan hukum untuk dirinya sendiri.
Beberapa kemusyklian:
Ada golongan yang mendakwa mereka hanya merujuk kepada Al-Qur'an serta hadis Nabi dan tidak berpegang kepada mazhab fiqh. Alasan mereka ialah bahawa Nabi saw sendiri pun tidak bermazhab, malah sahabat juga tidak bermazhab.
Jawapannya:
(i) Sahabat Nabi hidup bersama Nabi saw, di mana semua kemusykilan mereka ajukan kepada Nabi saw untuk penjelasan. Tiada perbezaan pendapat kerana sumbernya satu, iaitu kata-kata Nabi saw. Apabila zaman berlalu, sahabat-sahabat telah bertebaran di seluruh dunia, ilmu yang sampai kepada generasi berikutnya pun berbeza-beza disebabkan adanya perbezaan periwayatan sahabat - jarak masa dan tempat. Inilah yang menjadikan berlakunya perbezaan pendirian imam-imam mazhab, iaitu ijtijhad mereka sesuai dengan apa yang mereka terima menurut pandangan masing-masing.
(ii) Al-Qur'an adalah Kalamullah yang suci. Setiap perkataannya mengandungi makna-makna yang jelas dan mudah difahami di samping terdapat makna-makna yang tersembunyi. Ada ayat-ayat yang bersifat umum, ada yang bersifat khusus, ada ayat-ayat muhkamat dan ada ayat-ayat mutasyabihat.
Bagi memahami semua jenis ayat Allah yang suci ini, seseorang itu perlu memiliki ciri-ciri penting yang melayakkan dia untuk mentafsirkannya; di antara yang paling penting ialah bersifat taqwa, telah hafal seluruh Al-Qur'an dan hafal juga hadis-hadis Nabi yang berkaitan, mengetahui berbagai lughah bahasa Arab dan lain-lain lagi.
(iii) Hadis-hadis Nabi saw berjumlah ratusan ribu bahkan mungkin mencecah sampai jutaan hadis. Untuk menerbitkan sesuatu hukum, seseorang perlu memahami hadis-hadis Nabi yang banyak daripada berbagai-bagai periwayatan. Orang-orang awam yang jahil tidak mungkin dapat melakukannya.
(iv) Semua mazhab yang masyhur dan diakui adalah pada hakikatnya adalah pancaran daripada Al-Qur'an dan Hadis Nabi juga. Para imam cuma menghimpunkannya menjadi satu disiplin ilmu yang tersusun agar orang-orang awam dapat mengamalkan Islam dengan mudah tanpa tercari-cari hukum-hakamnya. Sebagai contoh yang mudah; untuk mengerjakan solat kita hanya perlu merujuk kepda kitab fiqh dalam bab solat. Di sana ada dijelaskan tentang hukum halal haram, sah batal dsb.
(v) Cuba kita tanya kepada orang-orang yang mendakwa mereka cuma merujuk Al-Qur'an serta Hadis Nabi dan tidak mahu mengikut mazhab - bagaimanakah agaknya cara mereka melakukan wudhu? Bagaimanakah cara mereka mengerjakan solat? Malah cuba tunjukkan di manakah di dalam Al-Qur'an atau hadis Nabi yang menunjukkan tentang rukun-rukun solat yang 13 dan wudhu yang 6 itu? Cuba tunjukkan pula dimanakah sah dan batalnya solat?
Cuba kamu keluarkan hukum-hukum tersebut dengan sendiri, bolehkah?
Jika perkara-perkart asas agama seperti solat pun mereka tidak dapat mengeluarkan hukum dengan sendiri, maka akurlah dengan pegangan dan anjuran para ulama Ahlus-sunnah. Jangan tertipu dengan tipu-daya syaitan dan nafsu yang merugikan!
9. WAJIB MENGAMALKAN TASAWWUF
Seluruh ulama-ulama Ahlus-sunnah berpendirian adalah wajib bagi setiap muslim mengamalkan tasawwuf. Tasawwuf adalah ilmu yang membicarakan tentang ahwal hati, segala penyakit-penyakit hati, sifat-sifat yang tercela dan sifat-sifat terpuji, sekalian syirik khafi serta menunjukkan jalan membaiki hati tersebut melalui zikrullah dan mujahadah. Seluruh Ilmu ini adalah bersumberkan Al-Qur'an dan Hadis Nabi صلى الله عليه وسلم
Ilmu tasawwuf yang wajib diamalkan ada diterangkan di dalam kitab-kitab ulama Ahlus-sunnah seperti Ihya Ulumuddin, Minhajul Abidin, I'anatut-Talibin, Sirrus-Salikin dan Hidayatus-Salikin.
Berkata Imam Ghazali رضي الله عه :
"Bermula ilmu tentang qalbu dan mengenal penyakitnya berupa iri hati, riya' dan semisalnya adalah fardhu 'ain."
Seseorang muslim tidak akan dapat menjadikan dirinya sebagai hamba Allah dengan hanya mengamalkan ilmu fiqh semata-mata. Malah wajib baginya menghimpunkan kedua-duanya; iaitu ilmu fiqh dan ilmu tasawwuf untuk kesejahteraan zahir dan batin. Seperti kata Imam Malik رضي الله عه:
"Sesiapa yang mengamalkan Fiqh tanpa tasawwuf, maka dia fasiq. Sesiapa mengamalkan tasawwuf tanpa fiqh, maka dia zindiq. Mengimpun keduanya itulah yang haq."
http://kerjayahalal.blogspot.com/2010/10/sifat-sifat-ahlus-sunnah-wal-jamaah.html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment