Friday, 28 May 2010

Pertikaian Kaum Fuqaha dengan Sufi

Apabila seseorang telah dapat mengalahkan pertimbangan dan pendapat pancainderanya, dan memakai neraca pendapat akalnya bererti dia telah sampai ke tingkat pertama dalam ilmu tasauf - walaupun berlainan jalan. Kaum filsafat melalui dan menempuh jalan akal untuk sampai ke tujuannya mengenal Allah, sedangkan kaum sufi menempuh jalan ruh.

Kaum filsafat berpendapat mereka mempercayai bahawa akal itu terpelihara daripada sebarang kesalahan, tetapi ia ditentang oleh kaum sufi. Kaum filsafat atau kaum 'akal sendiri' sudah bertentangan antara satu dengan yang lain dalam menetapkan pendapat mereka terhadap Tuhan dan sifat-sifat ketuhanan. Mana mungkin akal itu bersifat maksum?

Bagi kaum sufi, akal itu hanya digunakan sebagai tangga untuk mencapai kebenaran, di mana ia tidak maksum. Lantaran, akal itu terkadang bersifat benar dan selalunya menerawang. Apatah jika ia melibatkan bidang yang tidak dapat dicampuri oleh pancaindera lagi. Perlu diingat, akal sekadar dapat menyuluh ke jalan ketuhanan - tetapi apabila sudah masuk ke sana maka lampu lanteranya sudah tidak berguna lagi.

Selain daripada ulama filsafat (ulama 'akal sendiri'), ahli-ahli akal, ahli masyarakat, ahli akhlak turut mengolok-olokkan tasauf dengan hebat sekali. Mereka berpendapat, ilmu tasauf dan didikannya tidak baik dijadikan pedoman hidup amali - masyarakat akan jadi tidak teratur. Jika atas dasar zuhud, kita takkan jadi manusia yang maju dan kuat!

Jika diperhalusi, dambaan dan tohmahan ini bukan meremehkan dasar tasauf, tetapi ia yang banyak membantu. Dasar-dasar zuhud dalam tasauf sebenarnya membawa manusia agar memandang hidup atas dunia ini sebagai mudah; nilai kebendaannya tidak besar; perasaan hidup sederhananya ada di mana-mana; beza tingkat kehidupan hampir tidak ada. Demikianlah corak kehidupan para sahabat.

Di Mana Letak Kedudukan Tuk Guru Ini?
Nota: Cuba lihat aura di antara kedua-dua air muka: yang mewakili 2 golongan ini.


Ada kalangan sahabat yang kaya-raya, tetapi tidak menonjol. Jumlah kekayaan itu tidak membezakan gaya hidup malah tidak pun menarik perhatian kebanyakan mereka. Contohnya, apabila timbul keperluan untuk sumbangan jihad dsb, langsung tidak ada yang keberatan. Ada yang memberi keseluruhan harta yang ada. Uthman bin Affan bisa menyerahkan separuh daripada hartanya, tetapi tidak lama kemudian dagangannya tambah menjadi, berkat dan dia jadi bertambah kaya lagi.

Namun kekayaan itu tidak memberi makna apa-apa dalam kehidupannya sehari-hari. Sikap serta kepatuhannya terhadap tatatertib syariat Islam tidak pun berkurang. Itu sebab kehidupan para sahabat pada 9 Zulhijjah 10 Hijriah telah diceritakan Allah dalam al-Quran dalam surah al-Maidah: 3 sebagai hidup yang sebaik-baiknya - diredhai Tuhan.

Pada orang-orang sufi yang melihat dan mengenal Allah melalui jalan tariqat, tidak pernah mendabik bahawa hanya jalan mereka sahaja sebagai benar. Mereka tetap mengiktiraf orang mukmin lain yang tidak melalui jalan tasauf sebagai mukmin dan muslimin yang benar. Sebab mereka faham, contohnya jalan untuk menjadi seorang pembesar sentiasa tersedia dan bisa diusahakan. Demikian juga untuk menjadi kaya, semua orang mampu mendapatkannya. Namun tidak semua manusia akan menjadi pembesar dan tidak semua orang yang akan menjadi kaya-raya!

Teori untuk memiliki ilmu yang tinggi pun begitu. Semua orang boleh belajar, tetapi tidak semua orang yang akan menjadi alim. Ada faktor yang lebih berkuasa dan mutlak; iaitu ketentuan dan kemahuan dari Yang Maha Kuasa. Hanya orang yang ditetapkan sahaja akan menjadi raja, punya kekayaan melimpah-ruah dan menjadi alim ulamak.

Lantaran ilmu tasauf ini termasuk dalam nilai ilmu yang tinggi, maka bukan sembarangan orang yang akan dapat mencapainya. Jadi, untuk mencapai sesuatu yang bernilai tinggi seperti ilmu tasauf seseorang itu perlu miliki iman yang baik, kemahuan yang kuat, berilmu, mempunyai akal dan seterusnya berhati baik. Jadi, berbahagialah mereka yang bisa mencapai cita-cita tersebut.

Ulama tasauf sekadar menjukkan jalan untuk sampai 'mengenal Allah', tetapi tidak pernah memperlekeh jalan-jalan yang lain. Ia berbeza dengan kaum fuqaha dan ulama kalam yang sering menghentak kaum sufi dan tasauf. Ia berbeza dengan ulama-ulama besar dalam ilmu fiqh seperti Imam Syafie dan Ahmad bin Hanbal yang mengakui kelebihan tasauf serta dengan kemuliaan yang tinggi.

Imam Syafie pernah menuliskan surat kepada Abu Hamzah as-Sufi dengan menyatakan, "Haraplah tuan ajarkan kami, wahai sufi." Imam Ahmad bin Hanbal pernah bertanyakan masalah fiqh dengan Syaiban ar-Ra'i pada hal kedua-dua imam mazhab itu tiada bandingan kepakaran mereka dalam bidang hadis dan fiqh!

Pada dasarnya, tidak harus timbul pertentangan di antara ulama fiqh dan ulama kalam dengan ahli tasauf. Biasanya, punca pertengkaran dan perbalahan yang timbul adalah berkait dengan soal keduniaan jua. Ia berkait dengan soal kehidupan, kedudukan dan masalah nafkah.

Contoh, ahli-ahli tasauf menyeru bahawa orang-orang yang faqih, syarat utamanya mestilah abid dan banyak menyembah Allah swt. Kedua, mereka harus mengetahui sekelian had (batas-batas) yantg telah ditetapkan Allah. Jika mereka tidak tahu batas-batas ini mana mungkin seseorang itu mampu menyebut dirinya sebagai abid dan faqih? Bagaimana seseorang itu akan menjadi penyembah setia jika dia tidak arif dengan segala batas perintah dan larangan Allah swt?

Dan seseorang itu tidak mungkin akan menjadi abid jika tiada ilmu yang cukup. Kemudian setelah mempunyai ilmu yang cukup, belum tentu lagi seseorang itu akan menjadi abid. Lantaran ada kalangan fuqaha yang tidak abid. Itupun tidak menjadi apa-apa halangan bagi kaum sufi dan tasauf. Cuma pada pandangan ramai - pemerintah dan rakyat biasa akan memandang tinggi dan mulia terhadap mereka yang hidupnya bersih dan sederhana.

Hj Harussani Zakaria Yang Sering Menentang Arus
...Dari Kalangan Fuqaha

Biasanya, orang-orang yang zuhud dan ahli tasauf lebih mudah mencapai hidup yang suci berbanding dengan yang lainnya; lantaran hubungannya dengan keduniaan tidak banyak. Jadi, dalam hal ini sekelian penguasa, orang-orang kaya dan ternama akan lebih menghargai dan memuliakan kaum sufi berbanding dengan pihak lain. Jadi, ini yang menjadi punca sakit hati golonga faqih yang tidak mencapai perhatian selayak kaum sufi.

Dan mereka pun mula mencari kambing hitam dari kalangan ahli tasauf. Kambing hitam itu pun memang ada, cuma jika hendak dikira peratusannya jauh lebih kecil daripada kalangan kaum fuqaha.

Seterusnya, kaum sufi sering mencuri tumpuan umat. Kalangan ramai yang biasa tekun dalam ilmu fuqaha, kemudian apabila masuk ke dalam halaqah ahli tasuf sudah tidak bisa untuk meninggalkannya lagi. Sebab mereka berasakan bahawa apa yang ada pada halaqah fuqaha, turut ada pada halaqah kaum sufi. Dan sebaliknya, apa yang ada pada halaqah kaum sufi tidak ada pada halaqah fuqaha!

Dalam soal perebutan kehidupan ini, hal keagamaan juga turut dipolitikkan - serangan kaum fuqaha terhadap kaum sufi. Ia seolah-olah menjadi warisan dan kebiasaan sehingga timbul 'perang dingin' yang tertuju kepada kalangan sufi, tetapi tidak sebaliknya.

Bagi kaum sufi, walaupun mereka mengkritik kaum fuqaha, tetapi mereka tidak pernah menyalahkan ilmu fiqh dan kaum fuqaha; lantaran ia merupakan tangga yang harus ditempuh oleh setiap orang baru yang menempuh tangga kedua sufi. Mereka cuma menegur kekurangan beribadat yang terdapat di kalangan kaum fuqaha.

Atau mereka menegur sebahagian tradisi kaum fuqaha yang asyik tenggelam dalam memperluaskan masalah debat dengan memperbesarkan amalan-amalan zahir, tanpa memerhatikan faktor ruhaniah lagi - dalam hukum-hukum fiqh mereka sendiri!

No comments:

Post a Comment