Sesungguhnya Allah swt berfirman dalam hadis Qudsi; "Hai anak Adam (iaitu manusia), Aku sakit, tetapi kamu tidak suka meninjau-Ku." Manusia itu berkata, "Ya Tuhanku, bagaimanakah aku dapat meninjau Engkau sedangkan Engkau adalah Maha Menguasai seluruh alam ini."
Allah berfirman, "Adakah kamu tidak mengetahui bahawa hamba-Ku si fulan itu sakit, tetapi kamu tidak pergi meninjaunya. Apakah kamu tidak mengetahui, andaikata kamu pergi meninjaunya tentu kamu akan menemui Aku di sisi orang sakit itu.
"Hai anak Adam, Aku meminta makan daripadamu, tetapi kamu tidak suka memberikan makanan kepada-Ku." Manusia itu berkata, "Ya Tuhanku, bagaimanakah aku dapat memberikan makanan kepada-Mu sedangkan Engkau adalah Maha Menguasai seluruh alam ini."
Allah berfirman, "Adakah kamu tidak mengetahui bahawa hamba-Ku si fulan itu meminta makanan kepadamu, tetapi kamu tidak suka memberikan makanan kepadanya, tentu kamu akan menemukan yang sedemikian itu di sisi-Ku.
"Hai anak Adam, Aku meminta minuman daripadamu, tetapi kamu tidak suka memberikan minuman kepada-Ku". Manusia itu berkata, "Ya Tuhanku, bagaimanakah aku dapat memberikan minuman kepada-Mu sedangkan Engkau adalah Maha Menguasai seluruh alam ini."
Allah berfirman, "Ada seorang hamba-Ku si fulan itu meminta minuman daripadamu, tetapi kamu tidak suka memberikan minuman kepadanya. Adakah kamu tidak ingat, andai kata kamu memberikan minuman kepadanya, tentu kamu akan menemukan yang sedemikian itu di sisi-Ku."
Ini adalah satu pernyataan simbolik daripada Allah swt perihal gelagat kita, hambanya yang sering lupa akan hamba lain yang memerlukan. Menziarahi orang sakit adalah satu tuntutan di mana ia mampu membangkitkan rasa keinsafan. Keinsafan itu membawa kita ingat akan ihsan dan Kebesaran Allah swt tentang kematian yang sedang menanti.
Demikian dalam hal memberi makan mereka yang memerlukan, di mana ia membawa kepada rasa syukur terhadap kelebihan daripada pemberian Allah swt. Sedangkan Dia begitu tertunggu-tunggu akan kemurahan hati dan keprihatinan kita terhadap sekelian hamba-Nya yang lain.
Selain daripada ditujukan kepada sekelian mukmin, hadis Qudsi ini lebih menepati kepada sikap orang kaya dan berada; yang langsung tidak menghiraukan nasib orang lain di sekeliling mereka. Sebenarnya mereka lupa bahawa segala harta yang mereka miliki itu adalah ujian daripada-Nya semata-mata.
Lantaran nyawa dan jasad ini pun cuma pinjaman daripada-Nya juga. Apabila tiba masa, Dia akan mengambilnya kembali untuk dibuat perhitungan - iaitu perhitungan terakhir akan setiap sumbangan dan bakti di sepanjang tempoh hidup kita yang terhad di atas muka bumi ini.
No comments:
Post a Comment