Lokasinya di sekitar 3 hujjaj yang bertudung warna 'pink' itu
Waktunya lepas solat maghrib.
Jemaah yang lain semakin berkurang, ramai yang bangun menuju ke bangunan Ka'abah - mungkin untuk mengerjakan tawaf atau, solat dan berdoa. Ada 4-5 orang keturunan mungkin Arab Afrika di sebelah kanan sejarak 2 meter. Di kiri ada seorang-dua agak jauh di hadapan.
Sekonyong-konyong datang dari arah depan seorang wanita ranggi, dengan beg Louis Vuittonnya tersandang di bahu dengan sejadah terjuntai bulu di dalamnya. Dia terus duduk di sebelah kanan saya; benar-benar di sebelah! Saya memerhatikan, tetapi tidak begitu ambil endah. Yeah... di tempat tumpuan ramai, biasa la begitu keadaannya. Namun melihat daripada gayanya dia baru berusia sekitar awal 20an. Pelik pun ada, sedangkan ada banyak ruang lagi di sekitar tempat itu -100 orang pun boleh muat. Kenapa di sebelah itu juga pilihannya?
Orangnya sederhana, tidak gempal dan tidak pula terlalu kurus. Bentuk agak berisi daripada kebanyakan model terkenal. Lawanya lebih kurang macam model - dengan kulit putih-lembut, berhidung mancung dilengkapi sepasang mata yang menarik. Dia duduk selamba, kemudian mengeluarkan senaskah terjemahan al-Quran saiz 6x5inci. Dibukanya bahagian tengah sambil terus menatap.
Saya tidak menghiraukan sebab, saya pun ada jadual sendiri - wirid dan membaca selawat itu kira-kira 30 minit baru selesai sebuah buku. Orangnya sukar untuk diterka dari mana. Jika dari Malaysia di atas telekungya tidak pun bertulis Malezie. Jika Indonesia, tiada pula gelang rantai di tangannya. Singapura pun bukan, dan jika Brunei - tidak mungkin dia bersendirian begitu. Ada sesekali menoleh, tetapi tiada apa-apa reaksi daripadanya. Bagus orangnya. Cukup feminin.
Masa berlalu tanpa menghiraukan apa-apa. Dia masih juga dengan gelagatnya; kusyuk dengan naskah terjemahan itu. Lama juga kami dengan hal sendiri-sendiri. Entah bagaimana, saya menoleh kepadanya lalu terpandangkan beberapa helai rambutnya berjuntaian di sebelah dahi kanannya. Saya tidak hiraukan. Kemudian teringat pula, baginya itu adalah aurat. Kasihan juga.
"Err... your hair...," saya menegur sambil menunjukkan isyarat dengan jari.
Dia tidak menjawab, sekadar membetulkan rambutnya itu. Kemudian menjeling pun tidak. Okey la.
Saya terus juga berwirid sambil sesekali tertarik juga perhatian pada sekian ramai jemaah yang lalu-lalang di sebelah kami. Agak bernasib kami tidak dilanggar kerana sekitar tempat itu kami membentuk seakan-akan satu pulau; secara berkelompok. Agak jauh sedikit daripadanya ada beberapa orang jemaah - mungkin satu kumpulan atau berkeluarga. Sementara kami berdua - agak berdekatan macam satu pasangan; bezanya tidak pun bertegur-sapa.
Alhamdulillah, amalan rutin sudah selesai cuma ditambah mana yang patut - ikut teringat.
Kemudian saya menoleh kepadanya. Baru saya terperasan sejak mula dia tidak pun beralih daripada muka surat naskah terjemahan yang dipegangnya. Jari-jemarinya bergerak-gerak - seakan-akan tidak concentrate bagaikan menunggu sesuatu kemungkinan, agaknya. Ah, biarkan.
Saya terus juga berzikir, tasbih dan sesekali menoleh kepadanya; pun sama. Dia masih tetap di muka naskah yang sama. Daripada gaya renungannya, saya percaya hatinya bukan di situ... bukan di naskah terjemahan itu. Ia dapat dilihat pada jari-jemarinya yang tidak tinggal diam. Jarinya bergerak-gerak, tetapi tidak juga menyelak muka suratnya!
Dan berbeza daripada selalu, itulah saat saya menjadi orang yang paling baik. Saya tidak pun menyapanya, usahkan untuk bertanyakan khabar atau mencari peluang untuk berkenalan. Sedangkan sebelumnya dengan mamat negro dari Nigeria yang cakap 'broken' English itu pun dapat diajak berbual. Demikian juga dengan tokoh pengusaha kain dari Pakistan, pun saya berjaya dapatkan alamatnya di sana.
Tetapi tidak dengan gadis itu. Sesekali mata nakal ni meleret pada beg dan cara 'dressing'nya; memang seorang gadis yang ada kelas. Paling tidak pun dia mungkin dari keluarga orang berada. Ya la... jika tidak masakan membimbit beg besar Louis Vuitton yang pada masa itu sahaja berharga sekitar RM350 di Kuala Lumpur. Kain sejadah yang dibawa pun rambunya dari jenis yang mahal.
Hinggalah azan dikumandangkan. Dia masih di sebelah. Naskah terjemahan itu disimpan ke dalam begnya. Sejadah pun masih tidak dikeluarkan. Dia berlagak biasa mengikut seruan azan yang kerap meremangkan disulami rasa sendu itu. Yeah, sebaik azan maka solat sunat didirikan. Dia masih juga di sebelah saya dengan begnya di sebelah sana.
Hingga ke solat isya', kami solat bersebelahan; rapat-rapat tanpa ada rasa apa-apa. Dan apabila selesai solat dan berdoa, kami mengerjakan solat sunat, dan si gadis itu masih di situ kemudian mengemaskan begnya - dia menunggu sambil matanya dileret pada pandangan yang pendek-pendek! Saya masih enak-enak di situ dengan buku, tasbih dan buku catatan yang ada di hadapan. Tiada rancangan yang jelas selepas itu.
Kira-kira 10 minit dia seakan-akan menunggu, namun ya... saya masih tidak berhasrat apa-apa. Walaupun dalam hati itu tertarik juga. Mana mungkin ya, saya masih di dalam ihram ifrad! Jadi, tidak tergerak hati itu untuk menyapa.
Sebentar kemudian, dia bangun seakan meminta diri... dan saya mengangguk serta dia berlalu di depan menuju ke arah Ka'abah. Saya cuma memerhatikan lenggoknya. Kemudian saya teringat, dia memakai stokin putih, tetapi pada tumit dan tapak di depannya langsung tiada kesan hitam bekas tapak kaki yang puas melatam. Sedangkan, sebelum itu dia tentu sudah berjalan agak jauh sehingga datang duduk di sebelah. Saya perhatikan dia berlalu, kira-kira 15-20 langkah baru hati ini terdetik. Siapakah dia gerangannya itu?
Saya segera mengemaskan barang-barang dengan harapan untuk mengekorinya. Dan ketika saya mahu bangun, susuk tubuh yang menggamit perasaan itu telah hilang dari pandangan. Saya memandang ke sekeliling. Belum putus asa dan masih belum mahu percaya. Suasana yang telah semakin reda... adalah tidak mungkin dalam sekejapan dia boleh hilang begitu sahaja. Memang di sekeliling Ka'abah ada orang bertawaf... pun dia masih jauh dari sana. Tidak mungkin dalam sekejapan dia boleh berada di sana - bersama orang tawaf.
Saya mengekori arah dia menghala ke Ka'abah; terus ke multazam dengan harapan mungkin dia akan mengerjakan tawaf. Susuk manja itu tidak ada di sana. Hanya yang kelihatan susuk-susuk besar agam minah Afrika yang kasar dan bisa melanggar sesiapa sahaja.
Para jemaah di sekeliling semakin reda. Rata-rata bangun menuju ke arah Ka'abah dan ada yang membawa diri pulang ke rumah.
Dan hingga ke hari ini susuk gadis itu masih jelas terbayang di ruang mata; setelah hampir 25 tahun masa berlalu. Dan apa yang kerap bermain di ruang ingatan; siapakah gerangan si gadis itu?
No comments:
Post a Comment