Sunday, 23 May 2010

Pengalaman Banjir di Ka'abah 1982; Arini 2010

Agak terkedu apabila menelusuri TKO, terbit berita yang mengatakan Ka'abah di Mekah baru dilanda banjir. Ia tidak akan menghairankan jika banjir itu berlaku di tempat lain. Dengan jumlah taburan hujan yang teramat sedikit sepanjang tahun, boleh dikira sebagai mustahil untuk hujan turun sehingga menyebabkan banjir di sana.
Langit Sedang Gelap Bakal Mencurahkan Hujannya

Itulah kuasa Allah swt yang menentukan qudrat dan iradat-Nya.

Sama seperti apa yang berlaku ketika kali pertama saya pergi menunaikan haji pada tahun 1982 dulu. Hajinya ifrad, jadi saya tiba di Mekah terlebih dahulu menunaikan segala rukun haji sebelum bertolak ke Madinah selepasnya untuk ziarah. Kami masih menggunakan khidmat 'sheikh' iaitu dengan Sheikh Hamid Thoha; berasal dari Kedah yang telah lama berada di sana.

Waktu itu, keadaan masih jauh daripada sempurna. Saya pergi bersama isteri, atuk tirinya serta ibu saudaranya. Kami tinggal di sebuah rumah - percaya atau tidak, yang diperbuat daripada batang kurma sebagai tiang, gelegar untuk lantai dan silingnya dengan pelepah kurma sementara 'simen'nya adalah tanah yang bisa relai apabila mengembang dek panas terik.

Kami tinggal di tingkat yang paling atas - tingkat 5. Kami tinggal di bahagian tepi sekali sayup seakan tinggal di sebuah flet tidak berlif jika di negara kita. Namun bahan binaannya tetap tanah, bukan simen. Peliknya, boleh pula tahan menanggung beban yang bukan sedikit. Itulah rumah yang terletak di pinggir bukit menuju ke Jabal-Qubis.

Cuma itulah, apabila waktu tengahari kurang selesa untuk tidur. Apabila hari semakin panas, bahagian-bahagian pasir di siling mula mengembang dan relai. Ia mula jatuh ke bawah menyirami pasir ke muka jika kita tidur menelentang. Untuk tidur juga muka harus ditutup dengan tuala. Sementara di lantai, walaupun dilapik dengan tikar ia tetap berpasir -pasir yang relai dan luruh dari atas itu.

Namun alhamdulillah. Itulah namanya pengorbanan demi menjadi tetamu Allah di tanah suci. Ia amat jauh berbeza dengan mereka pada hari ini yang pergi dengan segala keselesaan; tinggal di hotel mewah dan mendapat layanan paling istimewa. Yeah... semuanya kerana wang juga. Sedangkan, kami pada masa itu cuma dikenakan bayaran RM4,500. Itupun, pihak Tabung Haji memberi wang saku balik siap tukar dengan riyal Saudi sebanyak 750 riyal (Kadar pertukaran 97 riyal bagi RM100).

Jadi, entah beberapa hari sebelum kami bertolak ke Arafah, tiba-tiba kota Mekah dilanda hujan lebat selepas waktu asar berlalu. Sekejap sahaja hujan turun di sekitar kota Mekah. Sekejapan itu pula air dari bukit sekeliling menjujus turun menuju ke Mesjidil-haram dan memenuhi ruang tawaf di sekeliling Ka'abah. Air sedalam 6 inci tingginya.

Saya terpinga-pinga tidak mengerti apa yang patut dibuat? Tubuh masih dibaluti pakaian ihram. Larangan ihram perlu dijaga. Namun saya tetap berada di tengah hujan lebat itu, biar basah. Suka pun ada. Sebaliknya, ramai orang Arab yang mengambil kesempatan itu bermain air. Mereka meluncur macam orang 'stunt' menggelongsor di atas marmar licin itu; kemudian tertawa berderai - bukan setakat kanak-kanak, tetapi orang dewasa banyaknya dari kalangan Arab Yamen.


Air Turun dari Pancur Emas

Dan ramai pula yang mengambil kesempatan itu dengan lebih tawadduk berdoa dan merapati bangunan Ka'abah yang sedang digenangi air itu. Air mencurah-curah turun dari pancur emas di bahagian atas bumbung bangunan Ka'abah itu. Kata orang, berkatnya besar jika dapat mandi air dari pancuran itu. Sambil memerhatikan orang bermain air, saya memerhatikan pancur emas yang terus mengalirkan air ke bawah. Ramai juga yang menadah kepala untuk mandi.

Saya menunggu buat seketika memandangkan terlalu banyak taik burung yang turun dari pancur tersebut. Saya sudah mencubanya sekali, sudah bertempek taik burung di atas kepala dan bahu. Setelah agak lama, hujan masih menderu baru saya pergi semula mandi di bawah pancur itu. Sudah agak kurang taik burung yang turun dari atas sana. Alhamdulillah, jika nak ditunggu pun nanti hujan reda.

Kira-kira sejam juga air bergenang apabila hujan tidak henti menyirami.

Sebaik sahaja hujan teduh air yang tergenang cepat pula surutnya. Sekelian pekerja ramai-ramai segera menolak air yang masih tinggal dengan papan penyejat yang lebar. Sekejapan saja - kira-kira 30 minit semua air telah dibersihkan dari atas lantai marmar di sekeliling bangunan Ka'abah. Dan sekelian para hujjaj meneruskan ibadah mereka bertawaf dan solat sunat seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelumnya.

Apabila keadaan telah kembali seperti sediakala, saya mula beransur pulang ke rumah bertiangkan batang kurma itu untuk mandi. Badan dan kain ihram dipenuhi taik burung. Ia perlu segera sebab tidak berapa lama sahaja lagi azan maghrib akan dikumandangkan.

Air Bergenang di Lapangan Tawaf

Namun, keadaannya agak berlainan dengan banjir yang baru berlaku ini. Cuba lihat airnya bersih sekali, tidak seperti dulu dengan air yang berkeladak turun dari bukit dengan tanah hitam yang kering kontang. Ia jauh berbeza. Namun apa pun kita tetap redha di atas apa jua ketentuan-Nya.

Kita hanya datang sebagai tetamu-Nya. Labbaikallahumma-labbaik....

No comments:

Post a Comment