Mula-mulanya saya kena
'posting' ke Sekolah Menengah Seri Gunung, Kelantan. Maka bermula kisah zaman memuda 1973. Berpinau anak mata mengenangkan punya la jauh tempat yang nak kena pergi merantau tu. Tempatnya jauh terasing; mana ada jalan lain kalau nak ke sana kecuali melalui bandar Kuantan di Pahang.
Ayah angkat di Ipoh pun ikut bersimpati. Dia ikhtiarkan kalau kena juga bertugas di sana, hendaknya tidak la begitu lama. Saya dibawa bertemu dengan sedaranya juga di pekan Ipoh; guru pelawat - besten (betui ke ejaannya?), kata orang. Orang tua itu tulis surat minta saya menemui adiknya - pompuan; Pengarah Kurukulum Sekolah2 Malaysia di Jalan Duta.
Saya tak pergi pun - malas ada, segan pun sama. Sebab asyik dok memikirkan
'posting' beribu orang, sape di kementerian yang rajin nak layan kes kita sorang. Kalau anak menteri atau wakil rakyat, boleh la. Dua tahun saya simpan surat itu, tanpa dibuka untuk melihat isinya.
Sadangkan saya terlupa bapa angkat itu adalah ketua UMNO Bahagian Gopeng; tauke lombong bijih nombor dua terbesar di Ipoh! Tauke nombor satu ialah bapa sedaranya - Tuk Haji Ghapor yang tinggal dekat dengan lapangan terbang. Selain itu dia beritau agar saya pergi cari kawan baiknya di Kota Baru; Ketua Wanita UMNO Kota Baru - Datin Che' Chik (sekarang dah arwah). Suaminya Tok Sedewa Raja, orang besar istana yang tinggal di Jalan Pintu Pong.
Sampai masanya maka naiklah saya bas ekspres menuju ke Kota Baru; tambang baru RM17.50. Sesampai di bandar Kota Baru hari masih gelap. Jam baru menunjukkan pukul 4.00pagi. Jadi takkan saya nak terus pergi ke rumah orang besar istana tu. Tentu nak kena cari juga rumahnya, tetapi Jalan Pintu Pong itu di mana? Jadi, saya mengambil keputusan untuk menunggu siang dan terus pergi ke sekolah. Macam manalah rupa sekolahnya pun satu hal juga?
Keadaan sunyi sepi. Cuma pakcik pengayuh beca saja yang berkeliaran membawa penumpang. Ramainya, makcik-makcik yang berniaga di pasar besar dekat situ. Berkeliaran saya di sekitar tempat itu meninjau keadaan. Macam rusa masuk kampung pun ada; tercangak sana, tercangak sini. Bila kedai kopi Cina dibuka saya duduk di penjuru sambil memesan kopi dan roti bakar berinti kaya. Masa itu roti canai belum ada lagi di bandar Kota Baru!
Sambil itu saya bertanya juga dengan pakcik-pakcik yang ditemui sambil menunjukkan kertas arahan melapor diri. Saya bertanya macam mana cara untuk sampai ke tempat yang bernama Seri Gunung. Err... sebelum itu suka saya nak jelaskan kenapa saya gunakan perkara "Seri", sedangkan nama sebenar tempat itu adalah Sri Gunung saja. "Seri" bermaksud ceria atau lawa, sedangkan 'sri' yang orang suka gunakan itu adalah dari budaya Hindu - berkait dengan nama Tuhan Hindu, agaknya!
Tersengih-sengih pakcik itu gembira, bangga kerana masih ada orang luar yang sudi menabur bakti di negeri mereka. Sedangkan depa lupa itu semua kerja paksa semata-mata! Pakcik tu tunjukkan.
"Kalu demo nak mughoh gi naik bas tu.... ada tulis Bachok," jelas pakcik bersemutar kain bewarna kuning itu beria-ia. Tapi entah la... dua jam jugak lar nok sapai."
"Baik naik kete sewa," kata yang lain. "Bangat sekit... tapi tambeng keno lo 70 sen, naik smilen ogheng."
Aiik... naik kereta sewa sampai sembilan orang. Aduii....
"Tapi hok balik pagi ni tok ghamai yang nok gi denu," seorang pakcik yang lain menyeringai menampakkan kelaghah giginya bekas mengunyah sirih.
Takpe le dengan sebuah beg bewarna hitam berisi pakaian itu saya naik teksi. Memang tidak ramai orang yang hendak ke Seri Gunung. Jadi selesa la juga dapat duduk di hadapan, bersebelah dengan pemandunya. Ya la... sebab orang pertama yang
'booking' naik teksi, oops bukan... kereta sewa!
Dalam pada itu dup... dap, duk... dak juga dalam hati sana tu. Berdebar dengan tidak bersebab. Ya la... nak pergi ke tempat asing. Sebab di hujung-hujung telinga kedengaran juga ada yang lepas cakap mengatakan tempat itu 'daghat'! Takpe juga sebab belum faham lagi apa erti 'daghat' tu?
Lama juga masa yang diambil. Dari satu tempat ke satu tempat, kereta sewa itu asyik berhenti dan menaikkan penumpang; satu... satu...
lastnya di tempat duduk depan pun kena tambah sorang lagi. Aiik... kena duduk dua orang. Untung juga la sebab keretanya Mercedes... luas la sikit. Memang betul, sementara nak sampai ke simpang Telipot tu sudah ada sebelas orang, termasuk dua kanak-kanak! Naik menderam bunyi enjin disel itu memerah tenaga setiap kali menekan minyak selepas berhenti atau menempuh selekoh tajam.
Sampai di sekolahnya... aduh, kena pula masa perhimpunan. Murid sudah pun ramai-ramai berkumpul di depan sekolah dekat tiang bendera untuk perhimpunan memulakan sesi persekolahan setelah lama bercuti. Saya mengheret beg besar berisi pakaian itu letak di tepi tangga naik ke tingkat atas bangunan sekolah dua tingkat. Kelas sampai tingkatan lima saja. Itupun satu kelas, dua tingkatan empat, tiga tingkatan tiga, empat tingkatan dua dan tingkatan satu. Besar la juga sekolahnya - ada dua blok, ada padang dan bangunan kantin.
Sebaik selesai perhimpunan dan mendengar amanat Guru Besar (masa itu belum dipanggil Pengetua lagi), saya dibawa Guru Besar masuk ke bilik guru sambil diperkenalkan kepada guru-guru yang ada. Peghak juga saya sebab di dalam bilik itu riuh cikgu-cikgu berbual dengan bahasa daerah yang saya cukup tidak faham! Ya la... kita orang Perak, mana biasa bergaul dengan orang Kelantan. Masa di kolej pun bebudak Kelantan lebih suka berkawan sesama mereka saja.
Ada juga mek-mek lawa yang saya berkenan, tetapi disebabkan
'slank' yang agak ganjil itu ikut mematikan hasrat untuk mendekati. Maka saya hanya sempat berkawan dengan seorang bekas
'freshie' yang teruk kena buli. Dia budak Segamat. Itupun setakat dua bulan saja, apabila dia sambung masuk ke Universiti Malaya.
Corak perbualan walaupun dari kalangan cikgu, tetapi jelas agak kekampungan sikit. Cuma perhatian tu tertarik pada seorang cikgu - agak ada stail sikit. Rupa-rupanya dia Guru Penolong Kanan; orang yang keluar dari Universiti Malaya. Dan agenda seterusnya ialah beramah-tamah dengan Guru Besar di dalam biliknya, sambil sesekali dia memanggil kerani untuk tujuan pendaftaran dan sain itu-ini. Saya diberikan sebuah buku besar yang dipanggil buku rekod mengajar! Keras kulitnya.
"Ooo... beghat cikgu ni weh," rungut cikgu-cikgu yang lain. "Demo nok tinggal di mano?"
"Tak tau la lagi... tengok la dulu," saya menjawab dengan hati yang kosong.
Kemudian seorang guru pendidikan bahasa memanggil seorang guru muda lain. Dia pun belum saya temui ketika Guru Besar perkenalkan dengan cikgu-cikgu sebelumnya. Dia pun cuma memakai 'track-suit' dengan sport shoes macam orang yang hendak ke padang. Mungkin guru pendidikan jasmani, agaknya.
"Demo tolong saing kito ni," kata cikgu yang saya faham bernama Ismail yang berambut keriting. Akhirnya, saya diperkenalkan dengan guru itu - tinggi orangnya.
"Sayo... Muhammed," dia tersasul nak sebut 'kawe' ketika memperkenalkan dirinya. Mungkin sebab dia tahu saya ni orang luar. Dan saya pun memperkenalkan diri juga.
"Maih la... kito antar bagheng tu dulu," katanya sambil mencari-cari. "Err... mano begnyo?"
"Kat luar...," jawab saya masih dalam keadaan tidak menentu.
"Jom ambo bawak demo klik umah. Buat sementara ni dok kat umah ambo la...,' katanya sambil mendapatkan beg pakaian saya di luar.
Kami pun berjalan beriringan keluar dari kawasan sekolah. Kami menghala ke pekan Gunung. Berpeluh juga la saya menjinjing beg yang berat itu. Kami sampai di sebuah rumah... rumah kedai di tepi jalan, tetapi sudah dijadikan tempat kediaman. Dia menunjukkan bilik air, meja makan yang nampaknya tidak berkemas sejak beberapa hari. Ada di satu sudut kedapatan sebuah pangkin berlantai papan.
Lega, sebab tempat tinggal sudah tidak menjadi masalah. Dan kami kembali berjalan kaki ke sekolah semula.
Saya pun belum diberi tugas, sekadar cikgu-cikgu yang ada bertanyakan khabar - apa lagi kalau bukan dalam loghat Kelantan. Dan memang ada masalah besar untuk saya memahaminya. Baik-baik pula cikgu pompuannya berbahasa. Cikgu Hamidah, yang saya ingat namanya agak sombong. Pasal apa tau? Sebab di antara yang ramai-ramai tu dialah yang paling lawa, tetapi dah pun berpunya.
Sambil itu saya berlegar memerhatikan keadaan sekeliling sekolah; sambil mencerap satu suasana baru dengan harapan mendapat pengalaman yang juga baru.
Cikgu muda banyak ilmu... 1973 SMK Seri Gunung.
Seluar: Bell-bottom 24"
Kasut: Tapak depan 1", belakang 2"
Beginilah nasib anak di rantauan; menyebar ilmu demi anak watan. Sambil dalam kepala otak itu bersimpang-perenang tak senang, takkan lama aku di sini! Dok asyik melayani hati nan rawan.
Sesekali saya teringat pada ibu yang ditinggalkan. Harapan ibu nampaknya begitu tinggi apabila anaknya menjadi cikgu. Sayu pun ada. Rindu, sudah tentu!